SEORANG warga emas berusia 60 tahun antara 14 individu yang ditahan dipercayai anggota sindiket pemerasan penyebaran video bogel melalui media sosial.

Kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 60 tahun dan merupakan warga tempatan itu ditahan dalam operasi khas di sekitar Pulau Pinang, Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur bermula 16 hingga 19 September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu berjaya memeras ugut mangsa membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM306,101 dengan mangsa paling tinggi mengalami kerugian sebanyak RM69,000.

Jelas beliau, siasatan mendapati suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita ini merupakan pemilik akaun yang digunakan oleh sindiket tersebut.

“Semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek-suspek ini mempunyai pelbagai kesalahan jenayah serta dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek itu akan menyalurkan wang yang diterima daripada mangsa ke dalam akaun milik mereka sendiri sebelum memindahkannya ke akaun lain milik sindiket.

Tambahnya, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan individu yang melayari laman sosial yang menawarkan perkhidmatan seks serta menggunakan aplikasi seperti Wechat, Facebook, Whatsapps, Michat dan Line sebagai mangsa.

“Mangsa yang terdiri daripada penjawat awam, kakitangan swasta dan penganggur itu diperdaya untuk membuat panggilan video serta mempamerkan aksi lucah yang dirakam tanpa disedari mereka,” katanya.

Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, polis Pulau Pinang menerima sebanyak 76 laporan melibatkan sindiket seperti itu.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya yakin dapat menyelesaikan sebanyak 12 kes di sekitar Pulau Pinang dan 27 kes yang masing-masing di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang serta Sarawak dengan penahanan anggota sindiket berkenaan.

Dalam operasi sama tambah beliau, polis turut merampas 13 buah telefon bimbit pelbagai jenama, lapan keping kad ATM serta satu buku akaun.

Jelasnya, suspek yang merupakan pekerja swasta, suri rumah, pelajar serta penganggur itu kini ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 385 Kanun Keseksaan, Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here