Category: Semasa

  • Datuk Bandar ditahan SPRM bantu siasatan projek tebatan banjir di Selangor

    Datuk Bandar ditahan SPRM bantu siasatan projek tebatan banjir di Selangor

    SEORANG Datuk Bandar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

    Sumber yang mengesahkan tangkapan itu, berkata lelaki berusia lingkungan 50 tahun terbabit ditahan dalam usaha agensi itu melengkapkan siasatan terhadap penyelewengan berkenaan.

    “Beliau ditahan semalam. Selepas keterangannya diambil, beliau dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin. “Datuk Bandar itu dibebaskan sementara siasatan lanjut dijalankan SPRM,” katanya sumber kepada Berita Harian.

    Sebelum itu di Pulau Pinang, Ketua  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan, terdapat pegawai kanan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima habuan barangan berharga bernilai puluhan ribu ringgit.

    “Siasatan juga sedang dijalankan berhubung bagaimana sebuah syarikat mampu mengawal 30 buah syarikat lain untuk mendapatkan projek-projek di jabatan di MBSA. Setakat ini kita sudah menahan seramai sembilan orang dan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Azam percaya, penahanan mereka yang terlibat merupakan sebuah kartel yang berjaya dibongkarkan dengan tangkapan terbaharu pegawai kanan kerajaan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

    SPRM sebelum ini mengesahkan menahan beberapa individu berhubung siasatan terhadap Pelan Induk Saliran Lestari Shah Alam (SASUD) yang dikaitkan dengan MBSA.

    Pegawai MBSA yang ditahan itu termasuk dua jurutera, seorang penolong jurutera dan seorang penolong pentadbir selain seorang kontraktor.

  • Ada pegawai kanan MBSA terima barangan berharga puluhan ribu ringgit, Azam Baki

    Ada pegawai kanan MBSA terima barangan berharga puluhan ribu ringgit, Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan, terdapat pegawai kanan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima habuan barangan berharga bernilai puluhan ribu ringgit.

    “Siasatan juga sedang dijalankan berhubung bagaimana sebuah syarikat mampu mengawal 30 buah syarikat lain untuk mendapatkan projek-projek di jabatan di MBSA.

    “Setakat ini kita sudah menahan seramai sembilan orang dan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Azam percaya, penahanan mereka yang terlibat merupakan sebuah kartel yang berjaya dibongkarkan dengan tangkapan terbaharu pegawai kanan kerajaan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

    SPRM sebelum ini mengesahkan menahan beberapa individu berhubung siasatan terhadap Pelan Induk Saliran Lestari Shah Alam (SASUD) yang dikaitkan dengan MBSA.

    Pegawai MBSA yang ditahan itu termasuk dua jurutera, seorang penolong jurutera dan seorang penolong pentadbir selain seorang kontraktor.

    Media melaporkan, seorang jurutera dipercayai ditugaskan untuk menyediakan dokumen berkaitan dan senarai kontraktor bagi projek itu.

    Malah, SPRM dilaporkan turut mengenal pasti sebanyak 68 syarikat yang dipercayai berada dalam senarai itu yang didakwa ditawarkan tender untuk projek berkenaan.

  • SPRM jangka siasatan rasuah Penjana Kerjaya selesai sebulan lagi

    SPRM jangka siasatan rasuah Penjana Kerjaya selesai sebulan lagi

    SIASATAN kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai RM100 juta dalam tempoh sebulan lagi.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, ini kerana siasatan kes berkenaan mengambil sedikit masa yang melibatkan ramai suspek termauk banyak pihak lain.

    “Setakat ini SPRM telah membuka sebanyak 62 kertas siasatan bersabit kes itu dan menahan 38 lelaki dan 13 wanita bagi membantu siasatan.

    “Kes ini tiada kaitan dengan politik, ia seperti rompakan di siang hari (daylight robbery) yang mana sekumpulan individu melihat ada peluang (untuk ambil keuntungan) daripada kemurahan hati kerajaan bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Sebelum ini SPRM memaklumkan tentang pelaksanaan operasi besar-besaran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri seluruh negara.

    Operasi berkenaan adalah susulan maklumat diperolehi susulan pemantauan dan risikan oleh SPRM dengan kerjasama Perkeso yang mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu serta menyeleweng dana program tersebut.

    Program itu merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020 yang dilaksanakan Perkeso melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja. 

  • SPRM terbuka cadangan diletakkan di bawah Parlimen

    SPRM terbuka cadangan diletakkan di bawah Parlimen

    CADANGAN meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen mungkin akan menyebabkan agensi itu terikat atau terpaksa mengikut polisi dan arahan yang ditetapkan oleh ahli politik.

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, sedangkan terdapat pihak lain yang mahukan SPRM terus kekal bebas daripada tekanan politik.

    Beliau turut mengambil contoh terdapat badan pencegahan rasuah di negara tertentu yang diletakkan di bawah Parlimen atau Senat perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu untuk menjalankan siasatan melibatkan kes berprofil tinggi.

    “Saya sebelum ini juga pernah mendapat mesej daripada seorang menteri kanan yang bertanyakan adakah SPRM sedang menyiasat beliau. Saya cuma balas ‘Ya, terima kasih’, setakat itu sahaja.

    “Dalam siasatan kes Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) misalnya, ramai individu berprofil tinggi dinamakan, adakah saya perlu tanya mereka terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan? Kita tidak pernah tanya dan ini menunjukkan kebebasan kita.

    “Bagaimanapun SPRM terbuka dengan cadangan tersebut,” katanya dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Azam ditanya berkenaan cadangan beberapa pihak sebelum ini supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen yang mana akan memastikan proses semak dan imbang SPRM lebih bebas serta telus.

    Mengulas lanjut Azam berkata, SPRM masih boleh dilihat bebas meskipun tidak diletakkan di bawah Parlimen sekiranya cadangan yang digariskan menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dilaksanakan secepat mungkin.

    Antaranya kata beliau, memastikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dilantik secara sewenang-wenangnya sebaliknya menerusi perkenan Yang di-Pertuan Agong.

  • KPLB belanja hampir RM900 juta bangunkan infrastruktur asas di Sarawak

    KPLB belanja hampir RM900 juta bangunkan infrastruktur asas di Sarawak

    HAMPIR RM900 juta dibelanjakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi Wilayah Sarawak untuk tujuan pembangunan infrastruktur asas, ekonomi dan modal insan.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara tumpuan projek pembangunan infrastruktur asas adalah Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

    “Tahun 2022 kita ada peruntukan lebih kurang RM900 juta untuk Sarawak, jadi kita nak belanjakan untuk 2022, tapi pada masa yang sama ada projek sambungan 2021 yang belum siap lagi, 2020 dekat-dekat nak siap 2022, jadi kita kena tengoklah benda ni supaya benda ni berjalan dan pada masa yang sama bila ada projek yang baru masuk, kita koordinasi dengan kerajaan Negeri.

    “Kita ada projek tertentu yang sedang dilaksanakan di negeri Sarawak dan ada yang dipanggil pra pelaksanaan, yang belum dilaksanakan dan pada masa yang sama kerajaan Negeri juga ada projek prasarana yang mereka yang di atas bajet Negeri yang sedang berjalan.”

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

    Turut sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi dan Pengarah KPLB Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah.

    Mahdzir memaklumkan hasil pertemuan itu, kerajaan Sarawak dan KPLB bersetuju untuk meningkatkan penyelarasan bagi semua projek-projek pembangunan yang sedang dan yang akan dilaksanakan di wilayah itu.

    “Jadi antara perkara yang kita bincang hari ini adalah yang melibatkan koordinasi di antara kerajaan Negeri dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Premier juga bersetuju supaya pasukan teknikal daripada KPLB dan juga daripada kerajaan Negeri dapat kerap berjumpa,”katanya.

    Ditanya mengenai projek yang bermasalah di Sarawak, Mahdzir berkata setakat ini tidak ada projek yang dihentikan atas faktor penjimatan kos ekoran pandemik Covid-19.

    “Ada projek yang sudah siap, ada projek yang sedang dalam pelaksanaan, tapi yang paling penting sekali yang belum dan yang nak mula tu kita ada koordinasi kerana koordinasi sangat penting sebab nak tentukan supaya tidak ada pertindihan di antara bajet Negeri dengan bajet daripada KPLB.”

    Mengulas mengenai Bajet 2023 KPLB untuk wilayah Sarawak, beliau yakin peruntukannya akan melebihi daripada tahun ini.

    “InshaAllah ada bajet, bajet tu masih embargo 2023, tapi saya yakin ia lebih daripada 2022 lah”, katanya.

  • Bersatu beri 6 cadangan libat RUU Berkaitan Sumbangan Politik

    Bersatu beri 6 cadangan libat RUU Berkaitan Sumbangan Politik

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan enam perkara perlu diambil kira dalam penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Berkaitan Sumbangan Politik.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan pertama adalah mengenai keperluan mewujudkan dana iaitu ‘state-funding’ untuk parti politik di dalam negara.

    “Langkah menubuhkan pengurusan dana itu bakal mewujudkan persaingan yang sama rata dan adil untuk semua parti politik di Malaysia.

    “Kedua, pelaporan aset dan harta parti mestilah telus dan terperinci agar tiada sesiapa boleh menyalahgunakan dana politik, atau menyorok dana yang mereka perolehi atas topeng politik.

    “Ketiga, pelantikan pegawai pengawal sumbangan politik mestilah bebas daripada pengaruh politik dan diselia oleh Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, keempat, denda atau hukuman yang dikenakan bagi mereka yang tidak patuh mestilah signifikan supaya ia menghalang salah laku.

    Beliau turut menjelaskan bahawa sumbangan kepada parti harus mendapat pengecualian cukai agar dapat menyuburkan budaya yang telus.

    Selain itu katanya, peraturan mestilah menyuburkan budaya politik sihat dan menggalakkan partisipasi rakyat dalam menghidupkan budaya politik sihat.

    Wan Saiful berkata, kesemua cadangan tersebut dikemukakan ketika sesi perundingan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diadakan di Parlimen pada Rabu.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, penyediaan draf RUU berkaitan sumbangan politik itu adalah satu perkembangan baik kerana beberapa kes berprofil tinggi di dalam negara dilihat membabitkan wang berbilion ringgit yang didakwa sebagai sumbangan politik.

    “Sejak 2015 saya terlibat dalam proses merangka peraturan pendanaan politik. Semalam saya melihat buat pertama kali perkara pokok dirangka Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

    “Tahniah kepada pasukan di GIACC yang bertungkus lumus merangka draf undang-undang yang sedang disediakan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pada 23 September lalu, Wan Junaidi berkata, RUU Berkaitan Sumbangan Politik itu dijangka akan dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen bagi bacaan pertama pada awal November ini dengan bacaan kedua pula pada penghujung bulan tersebut.

  • Dakwaan penculikan di sekolah: KPM teliti sesuatu kes sebelum ambil tindakan

    Dakwaan penculikan di sekolah: KPM teliti sesuatu kes sebelum ambil tindakan

    SEBARANG dakwaan kononnya berlaku kes penculikan di beberapa negeri ketika ini, perlu disiasat dan diambil tindakan kes mengikut kes dan bukannya secara menyeluruh sehingga timbul pelbagai spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), akan meneliti secara mendalam berkaitan semua aspek daripada laporan kejadian penculikan itu, bagi memahami kejadian sebenar sebelum mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan di kawasan sekolah.

    “Saya hendak meneliti kebenaran cerita sebenarnya, seperti yang dikatakan hendak menguji tindakan pihak polis dan sebagainya…sebab itu pelaporan ini kita tidak mahu dengan mudah terus melihat perkara itu pada luaran sahaja, tetapi apa yang sebenarnya berlaku.

    “Apabila kita dapat maklumat daripada pihak polis, apa yang penting pihak polis boleh berikan maklumat untuk buat siasatan dan sebagainya, kita akan lihat konteks tertentu untuk kita mengambil tindakan yang sewajarnya dalam apa jua keadaan.

    “Generasi anak kita yang ada pada hari ini, terdedah kepada pelbagai pendedahan maklumat dan sebagainya…apapun setiap maklumat itu kita kaji, kita tidak mahu ambil pada nilai luaran dan kita akan masukkan kesemuanya,” katanya pada sidang media program Eksplorasi Alam Lestari III di Pusat Perlindungan Hidupan Liar (PKHL) Sungkai di Tanjung Malim hari ini.

    Beliau berkata KPM mempunyai maklumat yang terhad, kerana kes yang berlaku di luar sekolah termasuk semasa murid dalam perjalanan pulang ke rumah dan siasatan dijalankan oleh pihak polis yang menentukan asas sebenar atas setiap laporan daripada mangsa.

    “Apabila berlaku sebarang laporan, polis yang akan menyiasat perkara ini dengan mendalam. Sebab itu kami tidak mahu buat spekulasi, kerana ia berada di bawah bidang kuasa polis dan pihak kami sentiasa memberi kerjasama.

    “Saya rasa ibu bapa pun inginkan semua anak bercerita secara jujur dan benar, namun kita nak kena tahu apakah keadaan di belakang tersebut, itu kita nak kena tahu, umumnya mereka kanak-kanak ini jujur namun apa keadaan di sebalik hal tersebut, kita nak kena semak secara mendalam,” katanya.

    Radzi berkata para murid sentiasa diberikan didikan dan diingatkan tentang keselamatan mereka semasa berada di sekolah dan di mana sahaja, supaya mempunyai kesedaran dan memahami risiko dihadapi kanak-kanak seterusnya tindakan yang perlu diambil.

    “Sebab itu kalau kita lihat ada sekolah yang keluarkan notifikasi untuk mengingatkan, tetapi pada masa yang sama kalau keluar macam itu (isu culik) seolah-olah keadaannya tidak begitu selamat, sebab itu kita minta dijelaskan dalam sesi persekolahan apakah keadaannya dan bagaimana pendekatan yang paling sesuai untuk anak-anak kita,” katanya.

    Semalam, polis mengesahkan mesej yang tular mengenai kejadian penculikan kanak-kanak menerusi media sosial membabitkan beberapa daerah di negara ini antaranya Tangkak, Melaka Tengah, Kuantan dan Shah Alam adalah palsu.

    Selain itu, dakwaan kononnya ada cubaan menculik seorang murid sekolah rendah di Taman Pinji Mewah, Ipoh seperti yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak benar, tetapi hanya sebuah cerita yang direka-reka sahaja.

  • Jangan percaya iklan Bantuan Lesen Memandu Percuma – JPJ

    Jangan percaya iklan Bantuan Lesen Memandu Percuma – JPJ

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan iklan ‘Bantuan Lesen Memandu Percuma Buat Semua Golongan’ yang tular dalam media sosial.

    JPJ dalam hantaran di Facebook menegaskan, iklan ‘Bantuan Lesen Memandu Percuma Buat Semua Golongan’ itu adalah palsu.

    Menurut jabatan itu, pihaknya telah menerima laporan berkaitan tawaran tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

    “Menerusi iklan yang telah menyalahgunakan gambar Perdana Menteri itu, sindiket berkenaan mempromosikan lesen memandu percuma yang boleh didaftarkan melalui pautan https://www.motif.my/bantuan-lesen/.

    “Bukan itu sahaja, orang ramai turut dipelawa untuk menyertai ‘group WhatsApp’ di pautan https://www.portalmalaysia.com/whatsappgroupbantuan, untuk memperdaya lebih ramai mangsa,” katanya dalam hantaran itu.

    Pada masa sama, JPJ memaklumkan memandang serius terhadap penipuan sindiket lesen terbang.

    Katanya, siasatan lanjut berhubung perkara tersebut akan dilaksanakan.

    “Ia termasuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

    “JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpengaruh serta menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat serta sahih,” jelasnya sebagaimana dilaporkan Utusan TV.

  • Pekerja asing: Adakah terdapat perkara yang disembunyikan, soal Dr. Marzuki

    Pekerja asing: Adakah terdapat perkara yang disembunyikan, soal Dr. Marzuki

    KENYATAAN Menteri Sumber Manusia (KSM), Datuk Seri M. Saravanan yang mengatakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat laporan terkini berhubung pengambilan pekerja asing, dipertikaikan.

    Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, beliau hairan dengan kenyataan itu apabila individu yang hadir memberi taklimat setiap kali mesyuarat MPN merupakan pegawai kanan KSM.

    “Saya hairan juga. Setiap kali mesyuarat MPN, yang datang beri taklimat ialah pegawai kanan KSM. Adakah pegawai tak melaporkan perkembangan terkini kepada MPN? Tak mungkin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

    Malah menurut beliau, Timbalan Ketua Setiausaha KSM hadir ke bangunan Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya untuk memberikan taklimat kepada MPN pada mesyuarat terbaharu, 27 September lalu.

    Pada mesyuarat itu dilaporkan hanya 76,000 pekerja asing berjaya dibawa masuk daripada lebih 400,000 permohonan yang telah diluluskan dan telah dibayar levi.

    “Dilaporkan juga, 10,000 pekerja asing dari Bangladesh akan dibawa masuk menerusi ‘projek khas’ yang tidak melalui Sistem Pegurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

    “MPN (seterusnya) membangkitkan persoalan mengapa tidak boleh lebih ramai pekerja asing dibawa masuk tanpa sistem FWCMS sekiranya 10,000 pekerja asing boleh dibawa masuk tanpa sistem berkenaan untuk menampung kekurangan pekerja yang meruncing pada masa ini.

    “Bagaimanapun, tiada jawapan diberikan,” katanya, lapor SatuBerita.

    Dr. Marzuki seterusnya berkata, baru-baru ini, pergawai dari syarikat mengendalikan FWCMS disoal siasat oleh SPRM.

    “Adakah terdapat perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan MPN?

    “Saya tanya saja, saya bukan tuduh,” ujarnya lagi.

    Pada Rabu, M. Saravanan memberitahu pemberita bahawa telah banyak perkara dilaksanakan oleh KSM dan beliau yakin Muhyiddin tidak dimaklumkan mengenai perkembangan isu berkenaan serta akan menghantar laporan terkini berhubung masalah kemasukan pekerja asing.

    Terdahulu pada Selasa Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kecewa apabila hanya 16 daripada 69 perakuan berkaitan isu utama yang diusulkan MPN, dilaksanakan kerajaan.

  • Aktiviti penyelewengan diesel di Penampang tumpas

    Aktiviti penyelewengan diesel di Penampang tumpas

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Kibabaig, Penampang, semalam.

    Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, menerusi serbuan pada pukul 5.30 petang itu, pasukan serbuan merampas 15,683 liter diesel bersubsidi dan menahan tiga lelaki warga tempatan dipercayai pekerja di lokasi serbuan.

    “KPDNHEP Sabah menjalankan selama lima hari sebelum serbuan dijalankan. Berdasarkan keterangan awal, pekerja di lokasi berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan.

    “Pasukan serbuan menemui dan menyita sebanyak 15,683 liter diesel, sebuah lori, sebuah ‘skid tank’, tangki minyak kenderaan pelbagai kapasiti dan satu unit pam elektronik yang disyaki digunakan untuk menyeleweng.

    “Tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Georgie berkata, nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM114,018.45.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran.

    “KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Sabah supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar peraturan boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

    “Ia juga boleh disalurkan menerusi portal (e-aduan.kpdnhep.gov.my), emel ([email protected]) atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.