MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan bahawa Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor hanya dipanggil untuk membantu siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada petang Rabu.
MBSA dalam kenyataan menafikan dakwaan berhubung penahanan Datuk Bandar Shah Alam itu oleh SPRM bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dan dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin.
“Datuk Bandar Shah Alam telah kembali melaksanakan kerja seperti biasa di pejabat semalam. Pihak MBSA juga ingin menegaskan bahawa akan sentiasa sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu melengkapkan siasatan dengan pihak SPRM,” menurut kenyataan itu.
Media semalam melaporkan, SPRM berjaya membongkar satu kartel yang dipercayai memonopoli tender projek di MBSA susulan serbuan di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Ahad lepas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini sembilan individu termasuk beberapa kakitangan MBSA dan seorang pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan.
PERIKATAN Nasional (PN) memberi bayangan calon Menteri Besar dari PAS sekiranya gabungan tersebut berjaya menawan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Portal BeritaBersatu melaporkan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, BERSATU mengakui kedudukan PAS sebagai ‘abang’ kepada gabungan itu di Perlis.
Katanya, PAS perlu memimpin BERSATU dengan sebaiknya dan kedua-dua pihak tidak sewajarnya melakukan serangan antara satu sama lain menjelang perang PRU15.
“Saya sebut abang sebab kita bagi sokongan kepada pemimpin PAS yang akan kita kekalkan untuk pimpin negeri ini.
“Jadi, salahkah kalau abang kita dari PAS akan jadi Menteri Besar di Perlis (selepas PRU15),” katanya pada Majlis Pertemuan Khas Bersama Barisan Kepimpinan PN Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia Kangar, semalam.
Hadir sama, Pesuruhjaya PAS negeri merangkap Pengerusi PN Negeri, Mohd. Shukri Ramli dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, menerusi pertemuan berkenaan, pihaknya juga turut mengingatkan semua anggota PN agar tidak menghebahkan strategi parti menerusi media sosial bagi menggelakkan pihak lawan mengambil kesempatan.
“Apa yang penting, kita kenali dan percaya antara satu sama lain di samping mewujudkan kerjasama bagi membuktikan PN dapat menawan negeri Perlis,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, pertemuan itu juga adalah bagi meminta setiap anggota PN Perlis untuk bersiap sedia menghadapi PRU15 dan meyakinkan mereka tentang sokongan yang diperolehi gabungan itu termasuk dari kalangan bukan bumiputera.
Tambah beliau, terdapat pertambahan sokongan bukan bumiputera terhadap PN direkodkan menjelang PRU15.
“Saya juga rasa amat bangga kerana kita dapat buktikan yang pemimpin PN tidak boleh dipersoal dari segi intergriti,” katanya.
REMAJA lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh di Sungai Bukit Lanchong, Subang Jaya, Selangor, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa Wan Mohamad Hafiq Wan Ismail, 13, ditemukan 2 kilometer (km) dari tempat mangsa terjatuh.
“Anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.56 petang dan dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Berdasarkan laporan awal, mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika cuba mengambil bola sebelum dibawa arus dan tenggelam.
“Anggota membuat pemantauan di kawasan sekitar dan tugas diserahkan kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) manakala pencarian secara ‘surface searching’ masih diteruskan di kunci air dan kawasan kali terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pencarian diteruskan pada hari ini dengan menggunakan dua buah bot dan mangsa telah ditemui terapung 2km dari tempat mangsa terjatuh, pada 8.21 pagi.
Mengulas lanjut, Norazam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, lapor Astro Awani.
FILEM seram ‘Don’t Look at the Demon’, sebagai filem Malaysia pertama memasuki pasaran Amerika Utara sekali gus membuka jalan untuk kejayaan dalam produksi tempatan masa depan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Menaraf filem itu sembilan daripada 10, katanya, filem tersebut, yang diterajui oleh pengarah dan penerbit filem tempatan, Brando Lee, memberi peluang kepada penonton antarabangsa untuk mempelajari dan memahami budaya, tradisi dan tarikan pelancong di Malaysia.
“Sekarang kami telah memasuki pasaran Amerika Utara, kami boleh berusaha untuk mencapai tahap baharu dengan menyasarkan memburu anugerah seperti Oscar, Emmy, dan banyak lagi dalam masa terdekat,” katanya selepas tayangan perdana filem itu di Pawagam DADI, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, malam ini.
Selain Lee, tayangan perdana tersebut turut dihadiri pelakon, Malin Crépin, kelahiran Sweden. yang membawakan watak ‘Martha’ dan pelakon tempatan Hafidzuddin Fazil memegang watak sebagai pelayan bar.
‘Don’t Look at the Demon’, dengan bajet pembikinan hampir RM9 juta akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 6 Okt ini dan sehari kemudian di lebih 250 pawagam di Amerika Utara.
Berdasarkan kisah sebenar, filem tersebut mengisahkan sekumpulan penyiasat paranormal Amerika Syarikat yang telah mengembara ke Bukit Fraser di Pahang untuk menyiasat kejadian ghaib di sebuah rumah yang dibina pada tahun 1970-an. – BERNAMA
KALAU mengikut Mursyidul Am Pas , Hashim Jasin, minggu depan, parti itu akan memuktamadkan siapakah yang akan menjadi pilihan Pas untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Pada masa sama, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Pas tidak harus diberikan pilihan sama ada mahu UMNO atau PN.
Sememangnya agak menarik untuk mengetahui apa pilihan Pas yang begitu hebat menguar-uarkan soal perpaduan ummah dan tidak senang dengan kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa ‘BN musuh utama’.
Kata pemimpin Pas, misi utama parti itu ialah bekerjasama dengan parti Melayu bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah. Penulis bersetuju dengan misi tersebut.
Namun pada masa sama penulis tidak begitu yakin usaha untuk menyatukan parti Melayu khususnya melibatkan UMNO dan Bersatu akan menjadi kenyataan. Perlu diingat, kalau Pas tidak mahu mana-mana pihak menekan mereka untuk memilih dengan siapa mahu bekerjasama, maka mereka juga harus ikhlas menghormati pendirian Bersatu untuk tidak bekerjasama dengan UMNO.
Lagi pula UMNO pun lebih awal sudah memutuskan dalam Perhimpunan Agung parti itu bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. Jadi kalaulah Bersatu tidak mahu bekerjasama maka ia bukanlah sesuatu yang aneh.
Dan kenapa sebelum ini, tidak ada penekanan atau penegasan daripada pemimpin Pas apabila UMNO memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15. Kenapa tidak ada pemimpin Pas menegaskan kepada UMNO, ‘’janganlah kasar sangat’’.
Pas perlu faham, ahli-ahli Bersatu perlu sentiasa berpegang kepada matlamat perjuangan Bersatu yang termaktub di dalam Perlembagaan parti.
Antaranya ialah memerangi rasuah dan mewujudkan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti serta membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.
Oleh itu jika Bersatu mahu bekerjasama dengan UMNO yang segelintir pemimpinnya ada masalah integriti, sudah pasti ia melanggar Perlembagaan parti tersebut. Justeru Pas tidak boleh memaksa Bersatu mengikut kehendak ‘penyatuan ummah’ mereka.
Hakikatnya, tidak ada orang Melayu yang tidak mahu melihat parti-parti Melayu bergabung atau bersatu dalam satu pasukan bagi menentang PH dalam PRU-15, tetapi usaha murni itu terjejas kerana dalam Pas sendiri ada segelintir pemimpin lebih cenderung mahu bekerjasama dengan UMNO dan memandang Bersatu ‘sebelah mata’.
Jadi kalaulah ada mana-mana pemimpin Pas mahu melihat penyatuan ummah maka haruslah ada keikhlasan dalam perjuangan itu. Janganlah asyik membuat kenyataan yang dilihat lebih cenderung kepada UMNO.
Tidak kisah kalau mahu bersikap demikian tetapi berilah kata putus! Tidak payah berdolak dalih dengan menggunakan hujah, keikhlasan berpolitik. Kalau itu hujahnya cuba bertanya secara ikhlas kepada diri sendiri, benarkah Pas mahu terus bekerjasama dengan Bersatu?
Penulis melontarkan pandangan ini kerana berdasarkan kenyataan beberapa pemimpin yang boleh dianggap ‘berpengaruh’ dalam Pas , mereka seolah-olah beranggapan bahawa bekerjasama dengan UMNO dalam PRU-15 lebih menguntungkan.
Dulu mereka bekerjasama dengan Bersatu kerana Bersatu dilihat kuat dan sekarang apabila Bersatu dilihat agak lemah, Pas mencari pula kawan baru atas nama perpaduan ummah.
Mungkin kenyataan ini tidak menyenangkan tetapi inilah tafsiran atau persepsi yang wujud dalam kalangan banyak pihak. Oleh itu, Pas harus memperbetulkan persepsi ini. Ia tidak boleh dibiarkan berlegar-legar dalam fikiran orang Melayu kerana kesudahannya boleh mendatangkan kesan buruk kepada Pas.
Penulis akui Pas bukanlah calang-calang parti dan peluang Pas untuk menang lebih banyak kerusi dalam PRU-15 terbuka luas jika mereka bekerjasama dengan UMNO, tetapi itu tafsiran atas kertas, realiti di lapangan apabila pilihan raya berlangsung belum tentu lagi.
Begitu juga dengan keghairahan sesetengah pemimpin UMNO mahu bekerjasama dengan Pas, UMNO pun mahu menumpang kekuatan Pas di sesetengah negeri seperti Selangor khususnya.
Dan adakah Pas yakin melalui kerjasama dengan UMNO, mereka akan mampu bertanding di kerusi-kerusi yang mereka inginkan? Mana mungkin ‘dua ekor singa’ berada di atas bukit yang sama. Sudah pasti masing-masing akan berlumba untuk mendapat lebih kuasa. Begitu juga dalam konteks pilihan raya, adakah UMNO akan ‘senang-senang’ beri laluan kepada Pas di kerusi yang UMNO yakin boleh menang?
Seperkara lagi, Pas perlu memahami PN dan Bersatu sudah bersedia jika Pas memilih bekerjasama dengan UMNO kerana Bersatu tidak mahu dilihat ‘melukut di tepi gantang’ seperti mana nsib Pas sebelum ini, bila Pas cuba ‘bergesel-gesel badan’ dengan UMNO.
Apapun sama-samalah kita tunggu keputusan muktamad Pas dalam soal kerjasama dengan UMNO dan PN. Yang pastinya Pas perlu berhati-hati, jangan sampai akhirnya orang menganggap penyatuan ummah yang begitu hebat digembar-gemburkan oleh Pas hanya sekadar retorik untuk terus mendapat kuasa.
EJEN jualan produk kosmetik wanita Rosnazirah Mohd Naim, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.
Lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam ini berkata melalui kerjasama erat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan di Thailand.
“Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini. Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.
PAda 14 September lalu, Rosnazirah diculik dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat.
Dia dilarikan sekumpulan tidak dikenali pada jam 4.10 petang dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios.
Pada 16 September lalu, Polis Thailand melancarkan operasi bagi mengesan Rosnazirah dengan turut membuat serbuan di sebuah rumah di pinggir Sungai Golok atau Takbai,
Katanya, serbuan berkenaan dibuat susulan maklumat yang diperoleh bahawa kediaman itu dihuni salah seorang suspek.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang lagi bekas Yang Dipertua (YDP) sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, esok.
Tertuduh yang juga merupakan Pegawai Tadbir Diplomatik (PBT) berusia 48 tahun pernah berkhidmat di sebuah daerah di Selangor.
Menurut sumber, tertuduh dipercayai telah menerima suapan berbentuk wang tunai kira-kira RM100,000 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Pada 23 Sept lepas, dua bekas YDP iaitu YDP Majlis Daerah Hulu Selangor, Shukri Mohamad Hamin, 49, dan YDP Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Mohamad Zain A Hamid, 48, serta seorang bekas Timbalan YDP Majlis Perbandaran Sepang Muhammad Hafiz Shaari, 43, masing-masing didakwa di mahkamah sama atas beberapa pertuduhan menerima rasuah melibatkan wang tunai, tiket kapal terbang, basikal berjenama, wang untuk membeli kereta dan telefon pintar.
Turut dituduh, seorang juru ukur bahan MPKL Muhammad Asyraf Mohammad Jasni, 33, yang didakwa menerima rasuah berjumlah lebih RM50,000 antara Disember 2019 hingga November 2020.
Mereka yang masing-masing didakwa empat dan enam pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu, mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut.
Pertuduhan berkenaan adalah susulan daripada penahanan beberapa individu pada tahun lalu kerana disyaki menerima rasuah dalam pelbagai bentuk sebagai dorongan pemberian projek kepada pihak tertentu.
SEORANG lelaki maut dipercayai akibat terjun dari tingkat lapan selepas menikam teman wanitanya sehingga maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Kilangan, Jalan Sungai, Pulau Pinang petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan dua warga Myanmar itu kira-kira pukul 8 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa wanita yang dikenali sebagai Khin Nyein, 30, dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di balkoni tingkat lapan manakala mayat teman lelakinya yang berusia 30-an di parkir tingkat bawah pangsapuri tersebut.
“Menurut saksi yang juga rakan mangsa wanita, dia dan mangsa yang bekerja di sebuah kilang emas baru pulang dari tempat kerja dan ketika tiba di rumah mereka suspek lelaki secara tiba-tiba meluru dan memeluk wanita berkenaan.
“Lelaki itu juga menutup mulut teman wanitanya dan terus menikam mangsa di bahagian perut beberapa kali dengan sebilah pisau.
“Rakan mangsa wanita berkenaan cuba menyelamatkannya namun ditolak oleh suspek,” katanya kepada pemberita malam ini.
Menurut Saravanan, suspek lelaki yang dipercayai tinggal tidak jauh daripada kawasan perumahan mangsa kemudiannya bertindak terjun daripada tingkat lapan sebelum ditemukan maut di kawasan parkir apartment tersebut.
Katanya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kejadian manakala mayat kedua-dua warga asing itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.
UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menamatkan perkhidmatan seorang pensyarahnya yang didakwa melakukan gangguan seksual pada bekas siswazah, berkuatkuasa serta merta.
UiTM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, mereka mengambil serius mengenai dakwaan gangguan seksual oleh pensyarah itu dan telah melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
Menurut kenyataan universiti itu, mengikut akta tersebut, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas staf yang melanggar peraturan, tatakelakuan serta larangan yang terdapat dalam Akta 605 dan Peraturan UiTM.
Kenyataan itu menyebut Unit Integriti UiTM telah menjalankan siasatan yang teliti bermula pada tahun lalu, terhadap segala bahan bukti yang telah dikumpulkan sebelum sebarang kesalahan dapat dibuktikan dan jenis hukuman dapat ditentukan.
“Setelah prosedur soal siasat dan siasatan dalaman selesai, serta dimesyuaratkan di Jawatankuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi, UiTM telah mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan berkuatkuasa serta merta terhadap pensyarah terbabit yang didakwa melakukan gangguan seksual pada bekas siswazah tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Naib Canselor UiTM Roziah Mohd Janor berkata, warga universiti sentiasa diberi peringatan secara berkala perihal Akta 605.
“Sekiranya ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah, pihak universiti tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan keras sekiranya disabit kesalahan,” katanya.
Hari ini, FMT melaporkan, bekas siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farah Azuin Razak, 23, kecewa susulan tiada tindakan undang-undang diambil terhadap pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya, termasuk bertanyakan pelbagai soalan lucah atas alasan menjalankan kaji selidik.
Dia membuat laporan di Balai Polis Tangkak, Johor lebih setahun lalu, di mana beliau turut menyerahkan bukti rakaman perbualan telefon dengan pensyarah itu.
Farah berkata, susulan tiada tindakan diambil pihak berkuasa sekian lama, pensyarah berkenaan menghantar notis mahu mengambil tindakan saman malu terhadapnya pada 6 Sept lalu.
Katanya, tindakan itu diambil untuk “menakutkan” beliau setelah menolak tawaran RM20,000 daripada pensyarah itu kepada beliau sekeluarga bagi “menutup” kes itu.
KERTAS siasatan melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sudah selesai, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jelasnya, SPRM kini hanya menunggu arahan yang akan diberikan oleh Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Dalam kes berkenaan, pada saya, kami telah selesaikan kertas siasatan, dan ia sudah berada dengan SPRM.
“Tetapi kami belum dapat mengumumkan apa-apa arahan lanjut yang kita terima dari Pejabat Peguam Negara.
“Buat masa ini saya reserve my comment (enggan mengulas lanjut) dalam siasatan ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.
Sebelum ini Azam berkata, kertas siasatan itu pernah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara sebelum dipulangkan semula kepada SPRM untuk siasatan lanjut.
SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan terdapat sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaun banknya.
Mohd. Nazlan yang mengetuai perbicaraan kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib berhujah yang mana Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang serius ketika menghakimi perbicaraan itu.