Category: Semasa

  • Nelayan jatuh sampan dijumpai maut di Pulau Jerejak

    Nelayan jatuh sampan dijumpai maut di Pulau Jerejak

    SEORANG nelayan yang dikatakan terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan di perairan Jelutong, Pulau Pinang pada petang Sabtu lalu ditemukan maut di pantai Pulau Jerejak semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 mengenai penemuan satu mayat disyaki lelaki terdampar di pantai Pulau Jerejak, pukul 12.45 tengah hari semalam.

    Hasil maklumat yang diterima jelasnya, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi dan menemukan satu mayat lengkap berpakaian terdampar di pantai Pulau Jerejak.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat serta siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, tular dalam media sosial mengenai seorang nelayan yang dikatakan terjatuh di laut ketika sedang keluar menangkap ikan.

    Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang

    Menurut Abd. Razak, siasatan awal yang diterima daripada pihak polis menyatakan mangsa disyaki Mohd. Shahrul Mansor, 37, beralamat di Simpang Empat, Pulau Pinang dipercayai terjatuh dari sampan ketika cuaca buruk di perairan Jelutong ketika keluar menangkap ikan.

    “Ini adalah berdasarkan laporan polis yang diterima oleh Balai Polis Jelutong selepas kejadian tersebut dan pihak Maritim Malaysia tidak mendapat sebarang makluman awal berhubung kejadian ini,” katanya.

    Tambahnya, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak, mereka dinasihatkan mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini kurang baik.

    “Kita juga sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999,” katanya.

  • Dipercayai terhidu gas ammonia, pekerja kilang tidak sedarkan diri

    Dipercayai terhidu gas ammonia, pekerja kilang tidak sedarkan diri

    SEORANG pekerja sebuah kilang di Batu 6, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah selepas dipercayai terhidu gas ammonia yang bocor.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.18 pagi.

    “Komander Operasi yang membuat pemantauan mendapati terdapat bau gas ammonia yang sangat kuat di lokasi. Kesemua anggota telah diarahkan memakai alat pernafasan dan membuka aliran hos dan membuat teknik ‘water curtain’ bagi menghampiri kawasan kilang dan
    mengenal pasti punca kebocoran gas.

    “Pada pukul 7.06 pagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja menemukan mangsa yang berusia 40-an dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kilang berkenaan akibat terhidu gas yang bocor di dalam kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan dan telah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah untuk tindakan lanjut.

    “Kawalan keselamatan telah dilakukan di lokasi kejadian bersama pasukan Hazmat dan telah berjaya menemui injap gas yang bocor dan menutup injap berkenaan.

    “Pasukan Hazmat melakukan pengesanan gas di sekitar kawasan berkenaan bagi memastikan ia selamat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.19 pagi,” katanya.

  • Pembabitan wanita sebagai pelaku rasuah membimbangkan – Azam Baki

    Pembabitan wanita sebagai pelaku rasuah membimbangkan – Azam Baki

    BILANGAN kes-kes rasuah yang membabitkan pelaku wanita semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan keadaan itu amat membimbangkan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

    Beliau berkata berdasarkan statistik, seramai 824 wanita ditahan dan daripada jumlah itu, 356 dituduh di mahkamah dalam tempoh 2017 hingga Ogos lepas.

    Secara terperinci seramai 308 wanita ditahan bagi kes tuntutan palsu; 249 (menerima rasuah); 90 (memberi rasuah) dan 82 (salah guna kuasa) manakala selebihnya membabitkan kesalahan lain berkaitan rasuah.

    “Rata-rata mereka yang dituduh adalah mereka yang mempunyai kuasa, peranan dan jawatan dalam sesuatu entiti.

    “Masa mula-mula zaman saya masuk kerja dalam BPR, dalam masa setahun pun, susah hendak tangkap walaupun seorang wanita. Rasuah adalah mengenai orang yang mempunyai kuasa, orang yang sudah diberi kepercayaan untuk melaksanakan amanah. Jadi mereka ini diberikan tanggungjawab,” katanya semasa temu bual di Putrajaya.

    SPRM ditubuhkan pada 1 Oktober 1967, dengan dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum menjadi suruhanjaya bebas pada 2009 dengan dikenali sebagai SPRM.

    Bercakap mengenai undang-undang berkaitan pembiayaan dana politik, Azam berkata, perkara itu perlu disegerakan bagi memastikan ahli dan parti politik mengisytiharkan dana yang diterima mereka sama ada dari dalam atau luar negara dan punca dana itu diperoleh.

    Beliau berkata, takrifan mengenai pembiayaan politik yang sah atau tidak bergantung kepada takrifan yang dipersetujui dalam rang undang-undang dan ia berbeza antara satu negara dan negara lain.

    Bagaimanapun, Malaysia belum mempunyai undang-undang dan peraturan pembiayaan politik, justeru bukan satu jenayah bagi ahli politik dan parti politik untuk menerima pembiayaan politik dan derma persendirian.

    Ini bermakna mana-mana ahli politik atau parti politik boleh menerima sumbangan politik daripada perbadanan atau individu, dengan syarat wang itu bukan daripada sumber haram (tetapi) isu itu menjadi jenayah jika dapat dibuktikan bahawa ahli politik yang menerima dana itu berada dalam kedudukan untuk membalas budi kepada pemberi derma berdasarkan jawatan ahli politik itu, katanya.

    Azam berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada masyarakat yang meminta SPRM menyiasat entiti-entiti politik yang dikatakan menerima dana berbentuk rasuah.

    “Kami siasat dan bukan kami tidak siasat apabila dilaporkan tapi banyak kes berakhir dengan tiada tindakan pertuduhan. Mereka (orang awam) yang melaporkan tidak berpuas hati… apabila tiada akta (khusus) ini maka kami mengklasifikasikan sebagai tindakan menerima suapan atau menerima rasuah,” katanya.

  • MPN komited jana idea, strategi untuk pulihkan Malaysia

    MPN komited jana idea, strategi untuk pulihkan Malaysia

    SEJAK Covid-19 melanda Malaysia, isu kesihatan selalunya diletakkan sebagai tumpuan utama kerajaan, terutamanya untuk mengembalikan semula kehidupan rakyat seperti sebelum pandemik.

    Meskipun kesihatan menjadi tumpuan paling utama namun sektor lain seperti pendidikan, ekonomi, sosial dan kebajikan rakyat tidak langsung diketepikan bagi memulihkan negara.

    Bagi memastikan segala usaha dirancang, diatur dan dilaksana sebaiknya, kerajaan menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada 21 Julai 2021, menghimpunkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang kritikal.

    Objektifnya, memastikan lebih banyak idea dikongsi bersama dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif, demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

    Ahli MPN, Datuk Dr. Hartini Zainudin yang juga aktivis kanak-kanak berkata, MPN sememangnya memerlukan lebih masa untuk melaksanakan semua perkara sebaiknya kerana tidak mungkin ia boleh dilakukan bersendirian, tanpa kerjasama banyak pihak.

    “Ia bukan soal wang semata-mata, ini soal kemahuan dan ini soal apa yang menjadi keutamaan dan jika keutamaannya adalah untuk negara ini pulih dan memastikan setiap orang di Malaysia berjaya, maka semua orang mesti melakukan tugasnya.

    “Semua orang, bukan seorang, bukan dua orang tapi semua orang. Kita perlu berikan, bukan secara minimum tetapi maksimum.

    “Ya, ia memang berkisar kepada ekonomi tetapi bukan hanya ekonomi semata-mata. Kebajikan, kesihatan, semangatnya. Rakyat Malaysia memang hebat tapi kita berdepan situasi cukup sukar.

    “Jangan lihat negara lain, lihat di Malaysia pun. Ia memang sukar untuk kita,” katanya dalam temu bual khas bersama media semalam.

    Tambah beliau, semua pihak perlu bergabung, tidak boleh bergerak bersendirian dan perlu ada pemimpin untuk menggerakkan usaha sebegitu agar Malaysia kembali pulih seperti dahulu.

    “Kami berusaha dengan sungguh-sungguh. Saya bercakap mewakili diri saya. Saya turun padang hampir setiap hari. Saya bercakap kepada semua orang, kita buat apa yang kita mampu buat.

    “Apa yang kita lakukan sekarang ialah kita mewujudkan gerakan, mendapatkan NGO lain, masyarakat sivil, sektor korporat dan swasta untuk bekerjasama dalam sektor makanan, kesihatan, ekonomi dan lain-lain.

    “Saya katakan, mari semua… mari kita bergerak bersama dan bekerjasama. Itulah yang saya lakukan dan semua yang di MPN lakukan,” katanya lapor BeritaBersatu.

    Selepas hampir dua tahun ditubuhkan, MPN kini memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara dan sedang meneliti PPN 2.0 bagi memastikan ekonomi negara kembali pulih terutamanya sektor paling terjejas akibat Covid-19.

  • Ular sawa 20kg telan kucing dalam sangkar

    Ular sawa 20kg telan kucing dalam sangkar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEEKOR ular sawa berjaya ditangkap selepas menelan seekor kucing dalam sangkar di Taman Damai Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Ular sawa sepanjang 1.5 meter dan seberat 20 kilogram itu ditangkap dalam sangkar yang menempatkan kucing.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan II, Faisal Ismail berkata, sembilan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 7.04 pagi,

    Ular sawa sepanjang 1.5 meter dan seberat 20 kilogram itu ditangkap dalam sangkar yang menempatkan kucing.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, terdapat seekor ular sawa berada dalam sangkar kucing di rumah pemanggil.

    “Anggota bomba bertindak menangkap ular tersebut dengan menggunakan alat penjerut dan dilepaskan di kawasan yang jauh dari kawasan penempatan orang awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

  • Kalau Pas berjaya pujuk UMNO, Bersatu tiada masalah pertimbang kerjasama – Razali Idris

    Kalau Pas berjaya pujuk UMNO, Bersatu tiada masalah pertimbang kerjasama – Razali Idris

    SEORANG pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pihaknya masih terbuka bekerjasama dengan UMNO, jika Pas berjaya memujuk parti itu untuk meneruskan perpaduan ummah bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Datuk Razali Idris berkata, Bersatu menyokong Pas untuk menjayakan gabungan pemimpin Melayu dan Islam sejak dahulu, bagaimanapun ditolak UMNO yang memberi pelbagai alasan, termasuk tidak mahu bekerjasama dengan parti itu.

    “Kalau Pas berjaya pujuk UMNO terima Bersatu, kita meraikan kejayaan itu. Hakikatnya, UMNO sudah tolak secara jelas, tetapi kalau Pas masih hendak berusaha, kita biarkan…kalau berjaya baguslah.

    “Bersatu tidak ada masalah untuk pertimbang kerjasama (dengan UMNO), Pas tak payah pujuk Bersatu, kita tiada masalah, agenda kita sama dengan Pas nak perpaduan ummah,” katanya, lapor FMT.

    Beliau mengulas usaha Pas mahu menjayakan perpaduan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN), susulan pertemuan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 17 September lalu.

    Pada 2 Oktober lalu, Zahid yang mengesahkan pertemuan itu berkata, Pas perlu memenuhi tiga tuntutan, jika mahu kembali menjalin kerjasama politik, iaitu meninggalkan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengumumkan secara rasmi mereka ‘mufarakah’ (berpisah) 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

    Razali berkata, komitmen Bersatu mewujudkan perpaduan ummah sudah terbukti dengan menerima pelawaan menyertai MN, namun ia tidak berjaya direalisasikan susulan penolakan UMNO.

    Beliau turut menepis dakwaan Bersatu cuba menghancurkan UMNO, termasuk mencuri ahlinya, yang dijadikan alasan oleh parti itu menolak kerjasama dengan pihaknya.

    Katanya, tidak timbul isu ahli dan Ahli Parlimen UMNO dicuri Bersatu, sebaliknya ia dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan UMNO enggan bekerjasama dengan parti itu.

    “Orang nak masuk, kita terbuka dan ahli Bersatu masuk UMNO ada juga, tapi kita tak tuduh UMNO curi ahli. Nak curi apa, semua ahli sudah matang,” katanya yang menyifatkan UMNO kembali kepada perangai asalnya apabila mendapat kuasa.

    Mengulas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin melabelkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama PN, Razali berkata, ucapan presidennya itu rentetan tindakan UMNO menolak untuk kerjasama.

    “UMNO dengan tegas menolak kita, sama ada dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO, mereka kata ‘no’ Bersatu, maka kita kata ‘no’ UMNO. Apa yang Muhyiddin cakap sebenarnya urutan daripada UMNO-BN menolak Bersatu untuk bekerjasama.

    “Kalau orang tak mahu dengan kita, perlekeh kita, fitnah kita macam-macam, apakah kita nak terhegeh-hegeh bekerjasama (dengan mereka)?” soalnya.

  • Pas tidak putus asa satukan ummah walaupun bukan dalam PRU-15

    Pas tidak putus asa satukan ummah walaupun bukan dalam PRU-15

    PAS tidak akan berhenti berusaha untuk menyatukan ummah di negara ini meskipun tidak dapat direalisasikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menjelaskan, hasrat tersebut akan diteruskan bukan sahaja melibatkan parti Melayu tetapi parti bukan Melayu yang tidak ekstrem.

    “Penyatuan yang dimulakan menerusi Piagam Perpaduan Ummah di antaran Pas dan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dua tahun lalu membuahkan hasil.

    “Sebenarnya kita Pas ini, perkara yang tak elok itu sudah dibersihkan, sucikan dah berpadu elok. Kita tak mahu kembali seperti tahun 1970-an, 1980-an. Orang Melayu dah berpadu elok, masyarakat di kampung pun sudah berpadu elok. Kenduri-kendara, sakit, demam, kematian, semua pakatan itu sudah elok. Kenapa kita nak rosakkan?

    “Kita banyak berkorban, banyak bersusah payah untuk dapat tahap yang kita capai sekarang. Jadi kerana itulah seruan ini, kita tidak akan berhenti, Insya-Allah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihan Raya PRU-15 Pas Negeri Perak di Ipoh malam tadi.

    Hashim berkata, sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, UMNO dan Pas tidak boleh bertemu kerana bermusuh sehinggakan berlaku kejadian solat dua imam, tidak makan sembelihan akibat tekanan cukup hebat oleh UMNO.

    “Namun berkat kesabaran dan kefahaman terhadap kepentingan menyatukan ummah, Pas boleh menerima UMNO serta melupakan segala yang pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.

    Menurut beliau, usaha ke arah penyatuan UMNO dan Pas sebenarnya telah berlaku sejak sekian lama dan idea dicambah sedikit demi sedikit kepada pimpinan serta masyarakat sehingga ia diterima.

    Jelas Hashim, jika perpaduan di antara parti-parti Melayu Islam ini berjaya dilaksanakan, bukan sahaja ia memberi manfaat kepada orang Islam, tetapi seluruh umat manusia akan mendapat nikmat.

  • Pas, Bersatu masing-masing bertanding 20 kerusi DUN di Perak

    Pas, Bersatu masing-masing bertanding 20 kerusi DUN di Perak

    PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masing-masing akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pesuruhanjaya Pas Perak, Razman Zakaria mengumumkan perkara tersebut ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihan Raya PRU-15 Pas Perak di Ipoh, malam tadi.

    “40 kerusi DUN itu adalah kawasan majoriti pengundi Melayu, baki 19 lagi yang merupakan kerusi campuran, akan dibincangkan oleh Gerakan dengan beberapa pihak seperti Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan Sayap Bersekutu Bersatu.

    “Bagaimanapun, perkara ini tertakluk kepada keputusan kepimpinan Pusat,” ujar Razman, yang juga Timbalan Pengerusi PN Perak, lapor Astro Awani.

    Hadir sama pada majlis itu ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Timbalan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Razman berkata, sekiranya keputusan yang dibuat kepimpinan Pusat tidak sama dengan pembahagian kerusi itu, mereka akan mematuhinya.

    “Pas Perak bersetuju untuk menggunakan logo PN bagi mewakili parti itu dalam PRU-15 nanti dan hasrat itu telah dimaklumkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.

    Namun, katanya, keputusan muktamad mengenai perkara tersebut tetap bergantung kepada arahan pimpinan di peringkat Pusat.

    Sementara itu, dalam majlis berkenaan turut diadakan lelongan koleksi peribadi Abdul Hadi, Hashim dan bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Allahyarham Norazli Musa bagi mengisi dana PRU-15 Pas Perak.

    Tongkat milik Abdul Hadi mendapat bidaan tertinggi iaitu RM11,000 selain beberapa barang lain seperti kopiah, vest dan jubah.

  • Cabaran ekonomi, persiapan banjir tumpuan hari pertama Dewan Rakyat

    Cabaran ekonomi, persiapan banjir tumpuan hari pertama Dewan Rakyat

    LANGKAH kerajaan menangani cabaran ekonomi dan kesiapsiagaan agensi kerajaan dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir antara tumpuan utama pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, persoalan mengenai cabaran ekonomi itu diajukan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) kepada Perdana Menteri yang ingin tahu tindakan kerajaan menangani cabaran tersebut demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia semasa sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pula meminta Perdana Menteri menyatakan perangkaan terkini butiran kategori pendapatan berkenaan isi rumah mengikut kategori B40, M40 dan T20 menurut pecahan tahun bermula 2019 sehingga 2022.

    Turut tersenarai, soalan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri mengenai status Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir pada hujung tahun ini.

    Selain itu, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan persiapan kementerian itu bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka melanda Kuala Lumpur pada akhir tahun ini. 

    Persidangan kali ini bakal menyaksikan pembentangan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali pertama. 

    Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, selain usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mesyuarat juga dijangka bakal tertumpu kepada pembentangan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang berkaitan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022. 

    Penyata yang mengandungi cadangan penambahbaikan kepada rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lewat daripada Khamis (6 Okt) sekiranya usul Menteri Kesihatan bagi melanjutkan tarikh pembentangan penyata itu dipersetujui. 

    Pada 2 Ogos lepas, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang yang dianggotai 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta dipengerusikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ditetapkan perlu membentangkan penyata itu tidak melebihi tarikh hari pertama persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14.

    Fokus utama persidangan kali ini adalah kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023, yang dijadual dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 4 petang, Jumaat ini. 

    Rang undang-undang itu dijadual dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari dan akan dijawab oleh menteri selama empat hari sebelum dibahaskan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari. 

    Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 29 Nov.

  • ‘’Kalau nak bincang, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik’’ – Tuan Ibrahim

    ‘’Kalau nak bincang, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik’’ – Tuan Ibrahim

    KEPEMIMPINAN Pas ternyata tidak senang dengan kenyataan Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap memberi kata dua kepada parti itu jika mahu bekerjasama dengan UMNO.

    Presiden UMNO tersebut sebelum ini mengemukakan tiga syarat tersebut iaitu Pas mesti keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

    Dan malam tadi, pada sidang media selepas Ceramah Jentera Pas Selangor yang disiarkam secara talian, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan UMNO supaya tidak meletakkan syarat ‘Puteri Gunung Ledang’ sekiranya ingin bekerjasama.

    Beliau menegaskan, jika UMNO meleletakkan syarat “berat” itu, ia tidak akan memenuhi hasrat yang sama.

    “Kita seboleh mungkin kalau boleh nak pakat tiga parti dan kita pun tahu, dua parti bagus, tapi tiga (parti) lagi bagus, kita kena ambil yang terbaik,” katanya.

    Sehubungan itu beliau berkata,  Pas akan bertemu dengan kepimpinan UMNO bagi mengadakan perbincangan berhubung syarat terbabit.

    “Jadi dalam konteks kerangka muafakat ini kita ada masa untuk bincang saya suka cari titik persamaan, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik,” katanya lapor portak FMT.

    Ditanya, bila pertemuan itu akan berlangsung, Tuan Ibrahim berkata “masa belum boleh beri tahu lagi”, sambil menambah pemimpin Pas dan UMNO sentiasa berhubung memandangkan mereka berada dalam kerajaan persekutuan.

    Mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga, Tuan Ibrahim menegaskan, ia tidak sesuai.

    “Saya dah sebut kita masih ada masa, tempoh masa masih panjang, sekiranya dalam situasi tak stabil, kita tak tahu banjir tak banjir tapi kemungkinan. Biasa bula November, Disember berlaku banjir, oleh kerana kalau waktu itu kita adakan PRU, saya kira tak sesuai.

    “Kabinet akan bincang, dan Perdana Menteri akan maklum kerana kita anggota Kabinet bersama dari semua parti, bila dia nak bubar walaupun hak prerogatif Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bila tarikh dicadangkan, terpulang pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.