Category: Semasa

  • Perdana Menteri menghadap Agong hari ini

    Perdana Menteri menghadap Agong hari ini

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 4 petang hari ini menjadi tumpuan seluruh negara.

    Khabar angin bertiup kencang Ismail Sabri akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat.

    Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini memutuskan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

    Menurut laporan BH Online, dalam tentatif rasmi, Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini untuk mempersembah Bajet 2023 tetapi desas-desus mengatakan beliau juga akan memohon perkenan pembubaran Dewan Rakyat.

    Teka-teki pembubaran itu akan terjawab petang ini.

  • Myvi dipandu warga emas rempuh pasar raya

    Myvi dipandu warga emas rempuh pasar raya

    SEBUAH kereta Perodua Myvi dipandu warga emas hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pasar raya Sakan Seri Manjung di Jalan Medan Sitiawan 1, Manjung, 3.15 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya mengesan kemalangan berkenaan selepas rakaman video tular di media sosial yang dimuat naik dalam kumpulan Facebook ‘Komuniti Seri Manjung’.

    “Siasatan mendapati kemalangan itu terjadi ketika kereta dipandu wanita berusia 75 tahun itu datang dari arah sebuah farmasi menghala ke arah stesen minyak Caltex Samudera.

    “Apabila tiba di simpang tiga pasar raya itu, pemandu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh psar raya terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Nor Omar berkata, wanita warga emas itu cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

    “Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 bagi kesalahan gagal kawal kenderaan,” katanya.

    Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan pihak polis.

  • Pekerja ladang warga India terlepas tali gantung

    Pekerja ladang warga India terlepas tali gantung

    SEORANG pekerja ladang warga India terlepas tali gantung setelah Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati kerana membunuh rakan sekerja pada 2018 kepada hukuman penjara 14 tahun selepas mengaku bersalah atas dakwaan membunuh tanpa niat.

    Ini berikutan selepas pihak pendakwaan menerima representasi S Rajendran, 55, untuk meminda pertuduhan membunuh kepada membunuh tanpa niat.

    Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah memerintahkan Rajendran memulakan hukuman penjara mulai tarikh tangkapan pada 17 April 2018.

    Rajendran pada mulanya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh tahun lalu selepas didapati bersalah membunuh P Ramunaidu, seorang buruh di ladang kelapa sawit, berhampiran sebuah rumah di Simpang Kampung Awah, Jalan Maran, Marah, Pahang antara jam11.10 malam hingga 11.30 malam pada 6 April 2018.

    Dalam mitigasi, peguamnya, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu berkata, trend hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan adalah antara 12 hingga 20 tahun.

    “Kepentingan awam juga akan dilaksanakan sebaik-baiknya sekiranya perayu (Rajendran) boleh diberi peluang untuk membuka lembaran baharu dalam hidupnya dan masa yang dihabiskan perayu dalam penjara selama empat tahun lima bulan sejak tarikh dia ditangkap, telah memberikannya kesan pemulihan,” katanya.

    Baljit Singh berhujah bahawa anak guamnya, yang juga bekerja di ladang kelapa sawit, telah diprovokasi oleh si mati, sambil menambah bahawa Rajendran tidak mempunyai sabitan lampau dan merupakan pesalah kali pertama.

    Mengikut fakta kes, Rajendran sedang tidur apabila si mati menarik kakinya menyebabkan dia terjatuh dari katil.

    Si mati kemudian menyerangnya dengan menampar dan memukul serta memarahinya dengan kata-kata yang menyinggung perasaan.

    Rajendran merayu si mati untuk berhenti tetapi tidak diendahkan oleh si mati yang kemudiannya mengambil sebatang besi dan memukul kepala dan dada tertuduh sebelum Rajendran kemudian melawan dan secara spontan menetak si mati dengan sebilah parang.

    Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara antara 15 hingga 18 tahun.

  • Tuan Ibrahim seru komponen PN gabung kekuatan, ketepikan masalah remeh

    Tuan Ibrahim seru komponen PN gabung kekuatan, ketepikan masalah remeh

    TIMBALAN Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bahawa satu kajian menunjukkan bahawa 23 peratus anak-anak muda Malaysia telah bosan dengan politik.

    Keadaan ini, katanya adalah sesuatu yang berbahaya kepada masa depan negara dan perlu ditangani segera oleh Perikatan Nasional (PN), khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Sehubungan itu, beliau mengajak semua anggota komponen PN supaya bergabung tenaga bukan sahaja untuk memelihara watikan pelantikan ketua-ketua jentera pilihan raya, sebaliknya mengetepikan masalah-masalah remeh.

    “Mari kita gabung kekuatan… mari kita mulakan gerak kerja sampai ke akar umbi. Pastikan bahawa isu remeh-temeh jangan kita besar-besarkan dan isu besar jangan kita remeh-temeh.

    “Main bola, jangan sibuk dengan kemuncup yang lengkat di stoking, yang lengkap di seluar. Main dulu, lepas main baru cabut kemuncup.. lebih malang lagi kalau penjaga gol duk sibuk cabut kemuncup,” katanya pada majlis pemberian watikah pelantikan ketua-ketua pilihan raya Parlimen Selangor, malam ini.

    Mengulas mengenai PRU-15, Tuan Ibrahim berkata pada pertengahan November, beberapa negeri khususnya negeri Pantai Barat akan menerima taburan hujan yang lebih berbanding bulan-bulan sebelumnya.

    “Jika pilihan raya diadakan ketika musim tengkujuh dan banjir, maka jentera perlu memastikan pengundi yang menyokong PN keluar membuang undi. Sebab penyokong tegar sesuatu parti ini sangat penting dalam memenangkan pilihan raya. Kalau hanya ada kekuatan yang tak boleh kita pegang kerana penyokong atas pagar kita tetapi risiko kita ialah kalau sekiranya situasi yang menyusahkan mereka tidak akan keluar mengundi.

    “Kecuali ahli parti yang hardcore dia tak peduli ribut taufan pun dia akan keluar. Tetapi bagaimana kita nak pastikan mobilisasi dapat dibuat supaya pengundi keluar beramai-ramai,” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata kalau kita lihat pilihan raya di Melaka dan Johor yang memenangkan UMNO dan Barisan Nasional ialah penyokong tegar mereka.

    “Tetapi sebenarnya kita (PN) masih majoriti untuk menolak BN. Tetapi kalau mobilisasi pengundi tidak dibuat, hubungan dengan pengundi tak dibuat, susah anak-anak muda kita… suatu yang kita bimbang dalam situasi cuaca demikian kalau mereka orang bersikap malas keluar mengundi dan seumpama,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan supaya parti-parti gabungan PN tidak mempedulikan masalah remeh-temeh yang muncul, sebaliknya terus berjuang untuk memenangkan calon-calon PN.

  • Azmin sifatkan UMNO ‘tidak berhati perut’ mahu PRU ketika musim banjir

    Azmin sifatkan UMNO ‘tidak berhati perut’ mahu PRU ketika musim banjir

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  menyifatkan langkah UMNO yang tergesa-gesa mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai ‘tidak berhati perut’ kerana tidak memikirkan nasib rakyat yang berdepan kesusahan memandangkan musim banjir semakin dekat.

    “Kata nak bubar Jumaat pagi ini, kenapa tergesa-gesa sangat ni… Kita (PN) sudah buat kenyataan terbuka supaya rakyat Malaysia tahu kita bantah sebarang cadangan pembubaran pilihan raya pada tahun ini. Sebab rakyat sedang susah… tak ada hati perut,” katanya ketika berucap pada program PN Selangor malam ini.

    Azmin mendakwa kumpulan terdesak dalam UMNO sebagai punca PRU-15 bakal diadakan pada masa terdekat sehingga tidak mengendahkan nasib rakyat.

    “Tetapi sekarang rakyat sudah tahu yang terlalu terdesak untuk mengadakan pilihan raya ini adalah sekumpulan manusia yang sedang dibayangi masalah mereka sendiri,” katanya lagi.

    Menurut Azmin lagi, hasil perancangan kerajaan PN sebelum ini semasa sedang berdepan cabaran pandemik, Covid-19 sudah membuahkan hasil malah pertumbuhan ekonomi negara sudah menunjukkan kesan positif.

    “Hari ini saudara Bank Negara baru saja membuat pengumuman pertumbuhan ekonomi tahun kedua tahun ini sudah mencatatkan 8.9 peratus. Tahniah Perikatan Nasional, orang lain jangan ambil kredit,” katanya.

    Semalam satu perjumpaan tertutup UMNO diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Ia melibatkan 764 pemimpin sayap 191 bahagian yang terdiri daripada Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO, Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO.

    Perjumpaan tersebut disifatkan yang terakhir sebelum pembubaran Parlimen pada Jumaat ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

  • Zahid Hamidi adakan pertemuan tertutup dengan 40 ADUN Johor

    Zahid Hamidi adakan pertemuan tertutup dengan 40 ADUN Johor

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan tertutup dengan semua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor malam ini.

    Pertemuan tertutup itu diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Saujana, Johor Bahru bermula 9 malam ini.

    Kenderaan rasmi Presiden UMNO itu dilihat memasuki pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar pukul 8.16 malam tadi.

    Turut dijadualkan hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

    Sumber dalaman UMNO Johor memberitahu, tujuan utama pertemuan tertutup itu untuk membincangkan pembahagian tugas jentera negeri bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Presiden juga dijangka mengingatkan kesemua 40 ADUN yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak selesa dan terus meningkatkan perkhidmatan.

    “Ini berikutan PRU-15 adalah padang permainan yang lebih besar dengan segala isu tidak dijangka akan menjadi peluru berbahaya,” katanya.

  • ’Kalau berjaya penyatuan kita terus, kalau tak, kita ada pelan B – Tuan Ibrahim

    ’Kalau berjaya penyatuan kita terus, kalau tak, kita ada pelan B – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu mempunyai pelan kedua jika penyatuan ummah yang diusahakan dengan UMNO gagal menjadi kenyataan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Ini kerana, katanya Muafakat Nasional (MN) bukan kepentingan politik yang hanya melibatkan UMNO dan PAS semata-mata.

    “Kalau berjaya kita terus. Kalau tak, kita ada plan B (rancangan kedua),” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

    Berikutan itu, beliau tidak kisah jika masih dianggap bermain dua kolam.

    “Sekarang kita 4, 5 kolam pun tak ada isu, bila sebut penyatuan ummah, ia libatkan semua, bukan PAS dengan UMNO sahaja. Walaupun MN ini adakan perjumpaan secara tidak rasmi, tetapi MN ini platform bukan untuk politik tapi kepentingan masyarakat orang Islam dan sebagainya.

    “Kalau nak kira sensitif berasa hati, Pas lebih berasa hati dengan UMNO, 60 tahun berbanding Bersatu, Bersatu sendiri pun sebahagian daripada UMNO. Sebab itu itu kita kata ada beberapa isu kecil sahaja yang kita cuba selesaikan. Kalau berjaya, kita teruskan. Kalau tidak berjaya pun kita ada plan kedua,” katanya

    Pasa masa sama Tuan Ibrahim turut menjelaskan yang keputusan mengenai kerjasama dengan UMNO akan diputuskan pada Sabtu ini.

    Mengenai syarat dikenakan UMNO kepada PAS jika mahu meneruskan kerjasama, beliau berkata:

    “Saya tengok kenyataan rasminya tidak ada syarat itu. Syarat itu tidak ada dalam kenyataan rasminya. Jadi saya fikir kalau betul tiga syarat itu mesti masuk dalam kenyataan rasmi.

    “Kenyataan rasmi tidak menyebut syarat-syarat tersebut.”

  • Ajal buruh terkena renjatan elektrik

    Ajal buruh terkena renjatan elektrik

    SEORANG buruh pembinaan ditemukan maut terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pendawaian elektrik di tapak pembinaan rumah di Bukit Penyau di Sibu, pukul 10.20 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa iaitu lelaki berusia 22 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring oleh seorang penyelia tapak pembinaan berkenaan.

    “Pihak polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terjumpa mangsa dalam keadaan terbaring di tapak pembinaan itu.

    “Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah pergi ke tempat kejadian dan menemukan seorang lelaki pekerja tapak pembinaan warga tempatan terbaring dalam tapak pembinaan itu.

    “Turut ditemukan berhampiran mayat ialah wayar elektrik yang bersambung dengan generator,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik semasa membuat penyambungan dengan soket gerudi.

    “Siasatan tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat hospital Sibu untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • SOSMA: Kontraktor gagal dapat jaminan

    SOSMA: Kontraktor gagal dapat jaminan

    SEORANG kontraktor yang berdepan dengan pertuduhan menyeludup migran ke negara ini dan menerima habuan daripada aktiviti tersebut gagal dalam permohonanya untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan kesnya.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Vernon Ong Lam Kiat menolak permohonan Samat Yamin selepas memutuskan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) menghadkan pemberian jaminan kepada tertuduh tertentu adalah berperlembagaan.

    Seksyen 13 akta itu memperuntukkan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada individu yang didakwa dengan kesalahan keselamatan dan pengecualian diberikan kepada tahanan berusia bawah 18 tahun, wanita,individu yang sakit atau uzur.

    Dalam penghakimannya, Ong berkata Samat, 56, gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 13 Akta SOSMA untuk diberi jaminan sementara menunggu perbicaraan.

    “Kami tidak fikir pemohon (Samat) sakit atau uzur mengikut takrifan Seksyen 13 Akta SOMSA,” katanya yang bersidang bersama hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.

    Ong juga berpendapat pertuduhan Samat mengikut Seksyen 26A dan 26D Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) berada dalam lingkungan SOSMA.

    Samat, didakwa di Mahkamah Tinggi Klang dua tahun lalu atas tuduhan menyeludup migran dan menerima hasil daripada penyeludupan migran di sebuah rumah di Setapak, Kuala Lumpur, antara 17 Mei dan 20 Mei 2020.

    Mahkamah Tinggi pada 2020 menolak permohonan Samat untuk memperoleh jaminan sementara menunggu perbicaraan susulan dua pertuduhan dihadapinya menyentuh soal keselamatan negara dan pihak pendakwaan menggunakan Akta SOSMA untuk tidak membenarkannya dibebaskan dengan ikat jamin.

    Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan Samat pada Mei tahun ini yang memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

    Hari ini, Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal pihak pendakwaan dan meneruskan untuk mendengar merit permohonan jaminan selepas memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

    Peguam Samat, Ram Karpal Singh, berhujah bahawa Seksyen 13 adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana terdapat diskriminasi dalam pemberian jaminan kepada orang yang didakwa atas kesalahan keselamatan.

    Beliau berkata lelaki cergas dan sihat yang didakwa atas kesalahan keselamatan di bawah SOSMA tidak boleh memohon dan mendapatkan jaminan tetapi wanita yang didakwa melakukan kesalahan sama di bawah SOSMA boleh mendapatkan jaminan tanpa mengira sama ada sihat atau sebaliknya.

    Beliau berkata sekatan dalam Seksyen 13 yang hanya membenarkan ikat jamin kepada tertuduh tertentu adalah melanggar prinsip kesaksamaan yang termaktub dalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu tidak berperlembagaan.

    Ram Karpal, yang dibantu oleh Sangeet Kaur Deo, Harshaan Zamani, Simranjit Kaur, berkata anak guamnya menghidap penyakit gout, jantung, buah pinggang dan diabetes dan sepatutnya diberi jaminan sementara menunggu perbicaraan.

    Beliau juga berkata pertuduhan yang dihadapi anak guamnya bukanlah kesalahan berkaitan keselamatan kerana tiada unsur keganasan atau aktiviti keganasan.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, berhujah bahawa Seksyen 13 tidak diskriminasi dan selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, sambil menambah bahawa Samat tidak menghidap penyakit yang mengancam nyawa yang memerlukan rawatan berterusan.

  • Penganggur didakwa cederakan anggota polis

    Penganggur didakwa cederakan anggota polis

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah seorang anggota polis di sebuah kediaman di Jalan Siswi, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di Shah Alam bulan lepas.

    Norazizul Lizam Miskun, 47, yang tidak diwakili peguam didakwa mencederakan Mohd Ridzuan Marsudi, 32, menggunakan parang pada 4.01 petang, 26 September lepas.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Hakim Rihaida Rafie memerintahkan Norazizul Lizam diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta diarahkan untuk tidak mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 21 Disember ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Reetha.

    Sementara itu di Mahkamah Majistret di Shah Alam, Norazizul Lizam didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan dua kenderaan milik dua abangnya di kediaman yang sama, bulan lepas.

    Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman itu ke atas Norazizul Lizam yang melakukan perbuatan itu di kediaman sama kira-kira 4 petang, 25 September dan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa dengan sengaja mengambil pasu bunga dan menghempasnya pada cermin dua kereta masing-masing milik Noor Hadi Miskun, 53, dan Nor Baiza Miskun, 49, sehingga menyebabkan cermin kenderaan berkenaan pecah serta mengakibatkan kerugian.

    Di Mahkamah Majistret berlainan di Shah Alam, Norazizul Lizam turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani atas satu pertuduhan memasukkan dadah jenis tetrahydro cannabinol hydrocarboxy lic acid (THC); methamphetamine dan amphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, pada 7.40 malam, 26 September.

    Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Nur Faizah kemudian memerintahkan tertuduh djamin RM2,000 dan menetapkan 21 November untuk tarikh serahan laporan patologi sebelum hukuman dijatuhkan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saidah Fasihah.