Category: Semasa

  • Bajet 2023: Langkah tepat ke arah luar bandar sejahtera – KPLB

    Bajet 2023: Langkah tepat ke arah luar bandar sejahtera – KPLB

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyifatkan pembentangan Bajet 2023 sebagai langkah tepat ke arah pencapaian luar bandar sejahtera yang digariskan kementerian itu.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Bajet 2023 untuk kementerian itu yang meningkat sebanyak 4 peratus atau hampir RM424.9 juta berbanding 2022, menunjukkan komitmen kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan agenda kesejahteraan rakyat di luar bandar.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid GAMBAR IHSAN: Jabtan Penerangan

    “KPLB merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di atas peruntukan RM10.93 billion kepada KPLB dan ia merupakan bajet yang inklusif dan menyeluruh dalam memastikan tiada golongan yang tertinggal termasuk B40 dan warga luar bandar.

    KPLB menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menerusi Bajet 2023 untuk memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan yang akan memberi manfaat kepada 8.09 juta penduduk luar bandar”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Jelas Mahdzir, Bajet 2023 KPLB meliputi RM3.62 bilion peruntukan mengurus dan RM7.31 bilion bagi peruntukan pembangunan.

    Menerusi peruntukan itu katanya, lebih banyak projek pembangunan akan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi ekonomi dan modal insan.

    “Ini seterusnya dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera seperti mana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

    Tambah Mahdzir, KPLB turut menerima peruntukan sejumlah RM2.49 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa, Jambatan Luar Bandar dan Program Ameniti Sosial.

    Jumlah itu adalah RM64.2 juta atau 2.6 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2022.

    Selain itu, RM102.86 juta diperuntukkan untuk kos operasi dan penyelenggaraan lampu jalan kampung.

    Untuk merancakkan ekonomi di luar bandar pula, KPLB menerima peruntukan sebanyak RM114.4 juta untuk aktiviti ekonomi luar bandar.

    Jumlah itu kata Mahdzir, meningkat sebanyak RM84 juta atau 26.6 peratus berbanding tahun 2022.

    Bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar, RM460 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PPRKM), yang sebelum ini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

    Jumlah itu jelas Mahdzir, peningkatan sebanyak RM99 juta atau 21.5 peratus berbanding tahun 2022.

    Sejumlah RM25 juta juga diperuntukan untuk program-program lain di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat seperti Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Komuniti Sejahtera.

    “KPLB juga amat mengalu-alukan peruntukan bagi memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan yang turut memberi manfaat kepada golongan belia dan wanita di luar bandar.”

    Selaras dengan konsep kebersamaan Keluarga Malaysia, pembangunan Orang Asli tidak dipinggirkan di mana RM305 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli.

    Ini merupakan peningkatan sebanyak 13.5% atau RM41.2 juta berbanding peruntukan tahun 2022 yang meliputi program pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan untuk memperkasa komuniti Orang Asli di Malaysia.

    Ia termasuk Projek Tanam Semula ladang getah dan kelapa sawit yang akan memberi manfat 2,100 Orang Asli di Terengganu, Kelantan dan Pahang serta Program Pembangunan Usahawan Orang Asli yang akan memberi manfaat kepada 550 usahawan Orang Asli.

    KPLB juga mengalu-alukan peruntukan berjumlah RM187.89 juta untuk Elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

    Peruntukan itu meningkat sebanyak 6.4 peratus atau RM11.95 juta yang akan dapat membantu memperkukuh 15,434 JPKK dan JPKKP bagi kesejahteraan kampung di seluruh negara.

    KPLB juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM612.59 juta untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil getah di bawah agensi berkenaan.

    Ia merupakan kenaikan RM104.6 juta atau 20.6 peratus yang turut meliputi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM256 juta dengan kadar RM800 yang akan memberi manfaat kepada 320,000 pekebun kecil.

    Kadar BMT sebanyak RM800 itu merupakan kenaikan sebanyak RM200, berbanding RM600 sebelum ini.

    Selain itu kata Mahdzir, RM315 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil bagi menggantikan pokok getah tua yang tidak lagi produktif yang akan memberi manfaat kepada 387,000 pekebun kecil.

    Manakala RM40 juta lagi untuk Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu seperti tanaman makanan jangka pendek.

    Manakala FELCRA pula menerima peruntukan sebanyak RM369.75 juta yang akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil di bawah agensi berkenaan.

    Bagi menyokong usaha untuk menaiktaraf pendidikan awal kanak-kanak ke arah pendigitalan terutamanya di luar bandar, sebanyak RM194.83 juta diperuntukkan untuk TABIKA dan TASKA KEMAS.

    Ia termasuk untuk Bantuan Makanan Tambahan, Bantuan Geran Perkapita serta peralatan dan kelengkapan TABIKA dan TASKA KEMAS.

    Selain itu, 10 buah TASKA KEMAS baharu akan dibina di Port Dickson, Negeri Sembilan, Limbang, Sarawak dan Pasir Putih, Kelantan untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak daripada umur 2 hingga 4 tahun.

    “KPLB akan memastikan peruntukan yang disediakan ini sampai kepada masyarakat luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar ke arah luar bandar yang lebih sejahtera.

    Bajet 2023 juga akan dimanfaatkan agar nikmat pembangunan dapat dikongsi bersama Keluarga Malaysia dalam menggerakkan usaha pemulihan negara ke arah luar bandar sejahtera dan makmur”, kata Mahdzir.

  • Bajet 2023 tumpu segenap masyarakat, persediaan hadapi ekonomi tidak menentu – PM

    Bajet 2023 tumpu segenap masyarakat, persediaan hadapi ekonomi tidak menentu – PM

    BAJET 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ memberi tumpuan kepada segenap lapisan rakyat termasuk B40, M40, belia, wanita dan orang kurang upaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata peruntukan yang disediakan melalui belanjawan itu adalah bercirikan keperluan rakyat di bandar mahupun di luar bandar.

    “Bajet ini juga menumpukan kepada pemulihan ekonomi dan sebagai persediaan kita menghadapi keadaan ekonomi yang agak tidak menentu pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2023 di bangunan Parlimen, hari ini.

    Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini. GAMBAR IHSAN: Jabatan Penerangan

    Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion, yang merupakan peningkatan ketara berbanding belanjawan  tahun lepas.

    Ismail Sabri berkata Bajet 2023 itu turut memberi keutamaan kepada aspek pembangunan di Sabah dan Sarawak.

    “Bukan sahaja projek-projek luar bandar tetapi juga untuk (Lebuh Raya) Pan Borneo dan sebagainya jelas disebutkan secara khusus tentang Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion menerusi Bajet 2023, antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan. 

    Sementara itu, Perdana Menteri menerusi perkongsian di laman Facebook berkata Bajet 2023 memperlihatkan komitmen kerajaan menawarkan manfaat kepada Keluarga Malaysia serta manifestasi usaha kerajaan untuk kebangkitan negara menjadi sebuah negara yang unggul setelah mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sebelum ini.

    Beliau berharap usaha yang berterusan itu akan menjadikan Malaysia lebih sejahtera, aman, makmur dan Keluarga Malaysia mendapat penghidupan yang lebih berkualiti untuk hari-hari mendatang. – BERNAMA

  • KPM terus ikhtiar tambah baik infrastruktur pendidikan – Radzi

    KPM terus ikhtiar tambah baik infrastruktur pendidikan – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus berikhtiar menambah baik infrastruktur pendidikan bagi menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif kepada warganya.

    Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini berikutan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion disediakan untuk selenggara dan membaik pulih sekolah-sekolah KPM di bawah Bajet 2023.

    “Peruntukan ini meningkat RM250 juta berbanding RM850 juta tahun 2022.

    “Dengan ini, KPM akan dapat menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif untuk seluruh warga sekolah,” katanya di Facebook hari ini.

    Ia sebagai reaksi beliau kepada pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, peruntukan untuk bangunan daif di sekolah yang ditingkatkan sebanyak RM454 juta kepada RM1.2 bilion juga antara ikhtiar KPM.

    Menurutnya, sudah menjadi tekad beliau agar isu bangunan daif di sekolah seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dapat ditangani dengan cekap dan menyeluruh.

    “Sewaktu mula menjejak kaki di KPM, saya bertekad agar isu bangunan daif di sekolah seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dapat ditangani dengan cekap dan menyeluruh.

    “Kita akan terus ikhtiarkan yang terbaik,” katanya.

    Sementara itu, Radzi meramakamkan ucapan tahniah kepada penduduk Cyberjaya apabila sebuah sekolah rendah baharu akan dibina di kawasan berkenaan.

  • Geng Ali Kuantao samun guna parang akhirnya tumpas

    Geng Ali Kuantao samun guna parang akhirnya tumpas

    ‘GENG Ali Kuantao’ yang melakukan samun berkawan menggunakan parang di kedai serbaneka 24 jam di Bandaraya Kuching, tumpas, selepas penahanan enam lelaki semalam dan kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahan mereka yang berusia 20 hingga 26 tahun.

    “Siasatan awal suspek turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah harta benda.

    “Polis turut merampas kenderaan, pakaian, senjata dan mesin daftar wang untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

    Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi dengan memakai topeng dan mengacukan parang untuk menakutkan mangsa.

    Katanya, penahanan kesemua suspek dipercayai berjaya menyelesaikan lima kes samun.

    “Kesemua suspek warga tempatan direman sehingga 13 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Ibu penerima BKM lahirkan anak tahun hadapan terima RM500

    Ibu penerima BKM lahirkan anak tahun hadapan terima RM500

    PARA ibu daripada isi rumah yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada 2023 akan menerima bantuan tunai one off sebanyak RM500 di bawah program CahayaMata Keluarga Malaysia.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan sebanyak RM150 juta itu bertujuan meningkatkan kadar kelahiran, di samping mengurangkan masalah kanak-kanak bantut.

    “Jadi saya rasa masih sempatlah lagi untuk ambil peluang mendapatkan zuriat pada tahun hadapan. Tapi kenalah ingat bahawa bantuan ini hanya kepada ibu bukannya kepada bapa,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Bajet 2023 adalah yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept tahun lepas.

    Tengku Zafrul berkata bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh career break (berhenti sementara daripada pekerjaan), kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028.

    “Bagi menangani isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga, Pusat Sokongan Psikososial Setempat akan diperkukuh. Sejumlah RM8 juta disediakan untuk pusat ini berperanan sebagai lokasi intervensi awal serta sesi advokasi psikososial dan kaunseling.

    “Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pusat perlindungan seperti P.S The Children untuk memberi sokongan kepada mangsa,” katanya.

    Kerajaan juga katanya akan memperbanyak ujian saringan melalui subsidi ujian mamogram dan program saringan kanser serviks kepada kaum wanita dengan peruntukan RM11 juta.

    Beliau berkata pelaksanaan saringan kanser serviks juga akan dirintis menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR yang telah dipelopori oleh Yayasan ROSE dengan kerjasama Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sarawak.

    Sementara itu, bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran, sejumlah RM235 juta dana pembiayaan tersedia khas untuk wanita di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNita MARA dan Biz Lady Bank Rakyat.

    Bagi terus memperkasakan peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

    “Saya percaya parti-parti politik pun sedang giat mengenal pasti serta berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita untuk PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang,” katanya.

    Dalam pada itu, kerajaan juga menyediakan RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS.

    Ini katanya, termasuk pembinaan 10 taska KEMAS termasuk tiga projek baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan; Limbang, Sarawak dan Pasir Puteh, Kelantan.

    “Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, kerajaan juga bersetuju melanjutkan sehingga tahun taksiran 2024 pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran taska dan tadika berdaftar,” katanya. – BERNAMA

  • Sepahtu terbuka kerjasama dengan Shuib

    Sepahtu terbuka kerjasama dengan Shuib

    PELAWAK dan penyampai radio Rahim menyatakan, kumpulan Sepahtu terbuka sekiranya Shuib ingin menjayakan program Sepahtu Reunion atau sebarang kerjasama pada masa akan datang.

    Jelas beliau, tidak timbul isu bermasam muka biarpun Shuib kini tidak lagi bersama program tersebut.

    “Saya tak pasti jika sebelum ini Shuib ada merajuk. Mungkin dia ada terasa hati dengan industri tetapi rasanya tidaklah dengan kami.

    “Terus-terang antara kami tiada apa isu dan baik-baik sahaja walaupun Shuib sudah tidak bersama Sepahtu. Kami memang sudah tidak berada di pentas yang sama tapi masih berkawan dan berhubung.

    “Apatah lagi, kami sentiasa terbuka untuk dia datang dan bekerjasama seperti sebelum ini menjadi cameo untuk Sepahtu Reunion dan sebagainya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Rahim mengulas pengunduran Shuib dan pembabitan usahawan itu selepas sidang media Sepahtu Reunion Live Tour yang diadakan di Astro, baru-baru ini.

    Berkongsi mengenai projek sulung iaitu Sepahtu Reunion Live Tour yang akan diadakan di tiga buah negeri iaitu Johor, Terengganu dan Kedah, Rahim menjelaskan bagaimanapun Shuib tidak dapat untuk menjayakannya.

    “Kami kini sedang fokus intipati serta idea untuk dibawakan ke persembahan di luar Kuala Lumpur nanti. Setakat ini semuanya masih berada dalam perbincangan.

    “Seperti biasa akan ada cameo yang akan memeriahkan lagi persembahan kami seperti Erra Fazira, Uqasha Senrose, Elizad dan ramai lagi.

    “Tapi untuk ahli Sepahtu yang terdahulu belum ada yang pasti untuk sertai. Cuma Shuib sudah mengesahkan dia tidak dapat sertai kami untuk persembahan jelajah ini,” katanya.

    Selain Rahim, ahli terbaharu Sepahtu Jep dan Pak Ya bersama Ebby Yus bakal menjelajah tiga buah negeri sempena program Sepahtu Reunion Live Tour bermula 14 Oktober ini.

  • Bapa Nabil Ahmad hembus nafas terakhir

    Bapa Nabil Ahmad hembus nafas terakhir

    BAPA kepada pengacara dan penyampai radio Nabil Ahmad iaitu Ahmad Ismail meninggal dunia pada usia 71 tahun di Hospital Serdang sekitar pukul 2 petang tadi akibat komplikasi jantung.

    Berita sedih tersebut dikongsi sendiri oleh pengurus Nabil yang memaklumkan Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu.

    “Arwah sebelum ini dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang pada Khamis minggu lalu.

    “Bapa Nabil sudah lama menghidap masalah jantung dan dimasukkan ke hospital disebabkan keadaan semakin teruk. Nabil kini berada di hospital bagi pengurusan jenazah,” katanya lapor mStar.

    Jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman Nabil di Mambau, Negeri Sembilan untuk diuruskan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Air Garam.

  • Pekerja kilang diculik, dibunuh selepas wang tebusan dibayar

    Pekerja kilang diculik, dibunuh selepas wang tebusan dibayar

    MAYAT pekerja kilang warga Bangladesh dipercayai mangsa culik ditemukan di kawasan semak di Jalan Taming Jaya 10, Seri Kembangan di Kajang, malam tadi.

    Keadaan mayat itu ditemukan dalam keadaan separuh reput dengan tangan dan mukanya diikat menggunakan pita pelekat serta kain sarung 

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan memberitahu, perkara itu terbongkar selepas polis menahan empat lelaki Bangladesh dalam dua serbuan berasingan semalam dan kelmarin.

    “Polis menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh yang menyatakan anak saudaranya yang keluar rumah pada 25 September lalu gagal dihubungi.

    “Pada keesokan harinya, ibu kepada mangsa yang berada di Bangladesh mendakwa menerima panggilan daripada suspek disyaki warganegara sama menyatakan mangsa berada di bawah tahanan mereka dan mereka dikehendaki membayar 500,000 Taka Bangladesh (RM24,000) sebagai wang tebusan untuk membebaskannya.

    “Pada 27 September, ibu mangsa yang telah memindahkan wang yang diminta suspek melalui akaun bank di Bangladesh dan suspek berjanji untuk melepaskan mangsa dalam tempoh masa dua hari.

    “Memandangkan ibu mangsa tidak menerima sebarang berita berkenaan mangsa, ibunya meminta abang kandungnya untuk membuat laporan pada 30 September lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaid memberitahu, bertindak atas laporan itu, polis menahan dua lelaki warga Bangladesh di sekitar Beranang petang kelmarin dan dua lagi suspek juga warga Bangladesh petang semalam di sekitar Semenyih.

    Beliau berkata, penahanan empat suspek itu, akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak berkenaan.

    “Hasil siasatan awal, mangsa yang berusia 39 tahun itu dibunuh kerana mangsa mengenali suspek,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tambahnya lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108 dengan segera.

  • Ikmal Hisham buat laporan polis ke atas  Rafizi

    Ikmal Hisham buat laporan polis ke atas Rafizi

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyifatkan dakwaan Rafizi Ramli dalam satu artikel yang disiarkan Facebook milik Timbalan Presiden PKR itu semalam sebagai mahu merosakkan nama baiknya.

    Beliau menegaskan, artikel itu yang bertajuk ‘Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri’ adalah tohmahan yang menyemarakkan kebencian orang awam terhadapnya.

    Susulan itu katanya, satu laporan polis dibuat Setiausaha Sulit Kanannya, Mohammad Iskandar Idris terhadap Rafizi itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

    “Saya menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Rafizi melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

    “Pada masa sama sekali lagi saya tegaskan, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah satu fitnah dan tohmahan yang bermotif politik apatah lagi dalam keadaan negara dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi.

    “Saya juga bersedia bekerjasama dalam sebarang siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, dakwaan dalam artikel tersebut yang mengaitkan namanya dengan sebuah syarikat iaitu MA Analytics Sdn. Bhd. adalah tidak benar.

    “Ia adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik saya.

    “Sebagai Timbalan Menteri Pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa dalam menentukan atau mempengaruhi pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian.

    “Ini memandangkan Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya yang baharu mempunyai proses kerja yang perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum sebarang perolehan dilaksanakan,” katanya.

    Seterusnya kata Ikmal Hisham, perlu dikemukakan kepada agensi Pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan.

  • Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan RM150, diberi kepada semua murid

    Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan RM150, diberi kepada semua murid

    KERAJAAN menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 dan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya pada tahun hadapan.

    Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan itu akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah.

    “Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450,” katanya.

    Beliau berkata peruntukan yang disediakan untuk BAP ialah RM825 juta pada 2023, jauh melebihi peruntukan tahun ini iaitu RM450 juta.

     Tengku Zafrul menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar sebanyak RM55.6 bilion dalam belanjawan Persekutuan pada 2023 berbanding RM52.6 bilion tahun ini.

    Selain itu, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung manakala RM4 berbanding RM3 sebelum ini bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang berkuat kuasa pada bulan ini.

    Katanya, RM777 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat kepada lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan.

    Tengku Zafrul turut mengumumkan RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah dengan RM1.1 bilion daripada jumlah itu disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.

    Beliau berkata RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di Sabah manakala 182 projek di Sarawak.

    Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, beliau memaklumkan kerajaan akan membina lima sekolah baharu dengan kos RM430 juta pada tahun depan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu, Sabah; SMK Dudong, Sarawak; Sekolah Kebangssan (SK) Paya Dusun, Terengganu serta SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam, Selangor. – BERNAMA