Category: Semasa

  • UMNO yang nak bubar Parlimen, PN pula disalahkan… politik apa ni?

    UMNO yang nak bubar Parlimen, PN pula disalahkan… politik apa ni?

    Penulis boleh memahami kenapa pemimpin UMNO khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) punca terpaksa Parlimen dibubarkan.

    Segalanya kerana mereka tahu betapa marahnya rakyat kepada UMNO yang semua orang tahu sejak awal tahun lagi mendesak dan memberi tekanan kepada Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen. Pada mulanya ia bermula dengan ‘percikan kecil’ apabila sekumpulan penyokong BN melaungkan ‘Bubar Parlimen’ di Bangunan UMNO Johor sejurus selepas BN memenangi PRN negeri itu.

    Dari semasa ke semasa keghairahan UMNO untuk mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin semakin ketara.

     Pada 27 Ogos lalu ketika Taklimat Khas Presiden UMNO di Kuala Lumpur , laungan bubar bermula apabila Ahmad Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah memberikan panduan kepada Perdana Menteri bagi menetapkan tarikh pembubaran Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Saya tegaskan PRU perlu diadakan segera. MKT UMNO telah memberi panduan tarikh PRU-15 kepada Perdana Menteri selepas imuniti kelompok dicapai. Sekarang, imuniti kelompok telah dicapai, pandemik Covid-19 juga sudah berakhir. Bila lagi..bila lagi? PRU perlu diadakan bagi menghormati mandat rakyat,” katanya.

    Kata-kata Zahid disusuli dengan laungan bubar oleh seluruh ahli UMNO yang bergema di Dewan Merdeka.

    “Ahli-ahli parti senada mahu PRU diadakan dan memulangkan semula mandat kepada rakyat. Jadi, janganlah ada suara antara kita menuduh kita gopoh mahukan PRU. Ini bukan keputusan Zahid, ini keputusan MKT, Perhimpunan Agung dan Perhimpunan Khas,” katanya.

    Sebelum itu ketika Perhimpunan Agung UMNO, dalam ucapan dasarnya Zahid  10 kali menyebut tentang PRU-15 dalam ucapan dasarnya.

    “Jadi hendak tunggu apa lagi, bubarkan Parlimen,” katanya,lapor Malaysiakini.

    Kemuncak tekanan ke atas Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen ialah apabila MT UMNO memutuskan pada 30 September lalu, PRU-15 mesti diadakan pada tahun ini. Apabila ditanya oleh wartawan keesokkan harinya berhubung keputusan MT itu…ini jawapan Ismail Sabri;

    “Tunggu dulu. Tunggulah… kalau daripada tahun lepas sudah tunggu, tahun ini boleh tunggu. Semalam dalam kenyataan SUA (Setiausaha Agung UMNO), dia kata tahun ini (Pilihan Raya Umum) (PRU) ke-15,” katanya.

    Ismail Sabri menafikan kononnya ada pihak menetapkan syarat tertentu supaya beliau memohon pembubaran Parlimen segera bagi memberi laluan PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

    “Tiada (syarat). Kita dari segi UMNO, ada ‘top five’, ada Biro Politik. Tiada sesiapa yang beri sebarang ‘condition’. Kalau kita mahu buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh itu, tunggulah pengumuman,” katanya.

    Tetapi yang anehnya apabila Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permintaan Ismail Sabri membubarkan Parlimen pada Isnin lalu, Munhyiddin dan menteri PN pula dituduh menjadi punca langkah itu dilakukan. Kalaupun ‘gabra’ selepas melihat reaksi rakyat terhadap pembubaran tersebut, fikirlah dulu sebelum mengaitkan orang lain. Yang mahu PRU… UMNO, Yang dok desak bubar Parlimen…UMNO, apa pasal pula Muhyiddin dan PN mahu disalahkan?

    Adalah tidak wajar sama sekali pemimpin UMNO membuat kenyataan  semata-mata mahu tunjuk kepada rakyat kononnya bukan UMNO yang mahu membubarkan Parlimen tetapi mereka terpaksa melakukannya. Penulis tidak pasti siapa yang memberi idea atau nasihat kepada Ismail Sabri untuk membuat kenyataan seumpama itu sebelum ia disambut pula oleh Ahmad Zahid.

    Namun apa yang pasti, sejak awal lagi rakyat tahu, yang mahukan sangat PRU, yang ‘menggigil satu badan’ mahu Parlimen dibubarkan adalah UMNO. Mereka sudah tidak sabar-sabar lagi untuk kembali berkuasa di peringkat Persekutuan selepas mencapai kemenangan di PRN Melaka dan Johor.  Pemimpin UMNO dan BN begitu yakin bahawa rakyat sudah kembali menyokong mereka selepas kemenangan di negeri tersebut. Ini adalah fakta.

    Pemimpin UMNO sepatutnya sedar kita bukannya berada pada era tahun 90-an yang mungkin sukar untuk orang mengetahui siapa sebenarnya dari awal lagi ghairah mahukan PRU. Kita berada di era yang mana ‘Profesor Google’ boleh membantu.. taip sahaja ’bubar Parlimen’ di situ akan keluar segala kebenaran.

    Justeru cukup-cukuplah pemimpin UMNO memutarkan fakta atau dianggap mahu memperbodohkan rakyat dengan menyalahkan orang lain sebagai punca Parlimen dibubarkan. Sepatutnya mereka bersyukur kerana selepas berbulan-bulan terpekik terlolong dan meratib siang malam mahukan PRU, kini ia sudah menjadi kenyataan.

    Oleh itu hadapilah ‘peperangan’ tersebut dengan berani, bukannya panik tidak tentu hala sehingga mahu memburukkan Muhyiddin dan PN selepas melihat reaksi rakyat. Adakah UMNO bimbang akan tersungkur lagi? Jangan bimbang bukankah semangat perjuangan UMNO berkobar-kobar, kalau tidak mana mungkin, Ahmad Zahid dengan lantang berkata;

    ‘’Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut. Tetapi, kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, (kita) sanggup redah banjir untuk bertanding,’’.

    Jadi apa nak takut untuk berhadapan perhitungan rakyat…betul tak?

  • Neelofa dedah gambar Bilal, ruangan komen dipenuhi doa, pujian

    Neelofa dedah gambar Bilal, ruangan komen dipenuhi doa, pujian

    SELEPAS sekian lama berteka-teki akan wajah Muhammad Bilal Muhammad Harris, pengacara dan pelakon, Neelofa akhirnya memuat naik gambar anak sulungnya itu di akaun Instagram miliknya hari ini.

    Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan kekecewaan Neelofa semalam akan tindakan segelintir pihak yang berkongsi gambar wajah Bilal di laman sosial tanpa kebenaran.

    “Cinta dan sayang pada anakku Bilal, antara kecintaan tertinggi & teragung ummi di dalam hidup ini. Tiada yang lebih menyayatkan hati selain anak ummi ini disakiti, pasti semua ibu kasih dan cinta kan anak mereka apatah lagi sewaktu mereka kecil.

    “Sungguh ini adalah hadiah yang Allah kurniakan dalam hidup ummi menjadi penyejuk mataku. Syukur yang tiada penghujung padaMu ya Allah.

    “Ummi doakan Bilal menjadi asbab agama tersebar seluruh alam
    Terima kasih wahai Allah Yang Menzahirkan anak ini kepada kami,” tulisnya,”tulisnya.

    Sementara itu, hantaran Neelofa itu mendapat pujian dan doa daripada pengikut termasuk selebriti yang menjadi rakan Instagram beliau.

    Antara selebriti itu ialah Mira Filzah yang menulis:” MashaAllah Bilal sayang. Semoga membesar jadi anak yang soleh.”

    Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza pula menulis:”Subhanallah, anak soleh umi dan abah’.

    Pelakon dan usahawan, Shuib Sepahtu turut tidak ketinggalan meninggalkan komen dengan mendoakan Bilal menjadi anak soleh dunia akhirat.

    Semalam, Neelofa menegaskan, tindakan segelintir pihak berkongsi gambar Bilal dilihat tidak menghormati pendiriannya yang selama ini enggan berkongsi secara terbuka menerusi platform tersebut.

    “Saya sebenarnya saya enggan ulas mengenai perkara ini, saya dah penat nak kongsikan, sebab banyak sangat cerita mengenai Bilal.

    “Cuma itulah, saya akan bawa keluar anak saya seperti anak orang lain, tapi apabila ada pihak nampak saya dengan Bilal, saya minta jangan dedahkan di media sosial.

    “Saya sebagai ibu memang berasa berkecil hati dengan sikap mana-mana pihak yang mendedahkanya terus di media sosial tanpa kebenaran,” katanya.

  • PRU-15 ketika banjir: “Yang berkempen bukan bomba, tapi ahli politik” – Asyraf Wajdi

    PRU-15 ketika banjir: “Yang berkempen bukan bomba, tapi ahli politik” – Asyraf Wajdi

    PEMUDA UMNO berpendapat tiada sebarang isu sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terpaksa berdepan dengan situasi banjir kerana kerajaan dilihat sudah bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.

    Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perihal pilihan raya juga hanya melibatkan ahli politik.

    Tegas beliau, terdapat sebilangan pihak yang memainkan isu banjir seolah-olah kerajaan tidak wujud.

    “Kerajaan masih ada, yang berkempen bukan pasukan bomba, NADMA, bukan PDRM dan Rela… yang terlibat hanya orang parti politik,” katanya, lapor Astro Awani dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, hari ini.

    Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan (caretaker) sedia ada sudah pasti bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah memberikan gambaran yang jelas.

    Dalam masa sama, Asyraf Wajdi menegaskan, lazimnya, Pemuda UMNO merupakan antara yang terawal turun padang sekiranya berlaku insiden banjir.

    Penglibatan Pemuda UMNO sudah terbukti semasa bencana banjir di Baling, Kedah beberapa bulan lalu, apabila pihaknya antara terawal membantu agensi terlibat.

    Kata Asyraf Wajdi juga, kebiasaannya musim tengkujuh berlaku secara berfasa dan tidak terjadi serentak melibatkan seluruh negara.

  • Ismail Sabri wajar tegur Presiden UMNO

    Ismail Sabri wajar tegur Presiden UMNO

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya menegur tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa memberi tekanan untuk segera membubarkan Parlimen.

    Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, ia berikutan tekanan pimpinan UMNO itu jelas disampaikan oleh Ahmad Zahid secara terbuka melalui Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin.

    “Malah beliau (Ismail Sabri) perlu jujur dan mengakui bahawa beliau telah ditekan dan dipaksa melakukan pembubaran ini atas desakan pimpinan parti UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Kamarudin turut menyifatkan kenyataan Ismail Sabri berhubung tindakan 12 menteri PN yang menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak ikhlas, memesong dan palsu.

    “Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang telah cuba mengalihkan tanggungjawab membubarkan Parlimen ini pada ketika ini adalah kononnya terletak terhadap menteri-menteri PN kerana mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.

    “Seluruh negara telah sedia maklum berbulan-bulan sebelum warkah menteri PN dikeluarkan, pimpinan tertinggi UMNO terutama Presidennya, Ahmad Zahid yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah telah bertubi-tubi kali mengarah Ismail Sabri untuk segera membubarkan Parlimen.

    “Warkah menteri-menteri PN tersebut adalah satu reaksi yang perlu terhadap tuntutan yang bersifat mementingkan diri sendiri dari kalangan pimpinan parti UMNO sendiri,” katanya, lapor portal BeritaBersatu.

  • Sindiket bawa masuk PATI tumpas, dua Pegawai Imigresen ditahan

    Sindiket bawa masuk PATI tumpas, dua Pegawai Imigresen ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MEMBAWA masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang telah disenaraihitamkan menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, Johor.

    Dua Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bersubahat dengan sindiket membawa PATI berkenaan akan melepaskan mereka tanpa sebarang pemeriksaan sebelum dibawa ke Larkin Sentral, Johor Bahru menggunakan bas.

    Selepas itu semua PATI berkenaan yang masuk dari Singapura akan dibawa menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur.

    Itu modus operandi dilakukan sindiket Ah Chong yang membawa masuk PATI Indonesia yang sudah disenarai hitam pihak JIM ke negara ini.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kegiatan mereka tumpas selepas pihaknya menerusi satu operasi khas dijalankan sepasukan pegawai dan anggota imigresen Putrajaya bermula pukul 1.30 petang tadi.

    “Seramai 25 PATI warganegara Indonesia ditahan yang melibatkan 13 lelaki dan 12 wanita. Turut ditahan dua tekong warganegara tempatan berusia 34 dan 49 tahun.

    Khairul Dzaimee bertanyakan soalan kepada PATI yang ditahan dalam operasi dijalankan JIM di KSAB, Iskandar Puteri, hari ini

    “Selain itu dua Pegawai Imigresen yang berusia 20 dan 27 tahun yang bertugas di KSAB turut ditahan petang tadi,” katanya dalam sidang akhbar di Laluan Keluar Bas dan Lori di KSAB, hari ini.

    Beliau berkata, sindiket itu didapati telah bergiat aktif sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka pada April lalu dengan mensasarkan PATI yang telah disenarai hitam daripada memasuki negara ini oleh pihak imigresen.

    Sindiket itu katanya, mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM8,000 seorang dan dianggarkan mereka telah membawa masuk sekurang-kurangnya 600 PATI sejak April lalu dengan mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta sejak beroperasi.

    “Kesemua PATI yang dibawa masuk sindiket ini adalah mereka yang telah disenarai hitam imigresen atas pelbagai kesalahan antaranya masuk melalui laluan salah, tinggal lebih masa dan juga menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

    Beliau memberitahu, semua 25 PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, manakala dua tekong warga tempatan akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

    “Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran,” ujar beliau lagi.

  • “We don’t treat joke” – Hamzah ulas Najib jadi calon PRU-15

    “We don’t treat joke” – Hamzah ulas Najib jadi calon PRU-15

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin enggan mengulas mengenai persoalan yang dibangkitkan oleh peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak, sama ada anak guamnya itu boleh menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, atau sebaliknya.

    Ia selepas Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa perkara itu penting kerana bekas Perdana Menteri itu, mempunyai hak mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

    “We don’t treat joke. (Kami tidak melayan jenaka) (berhubung persoalan dibangkitkan peguam Najib).  Saya rasa kita perlu berlaku adil kepada semua orang,” katanya ringkas lapor Astro AWANI dalam sidang akhbar selepas menerima taklimat bencana seluruh negara di Bukit Aman hari ini.

    Najib, yang juga penyandang kerusi Parlimen Pekan sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Memetik laporan Bernama, Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 19 Oktober depan untuk mendengar permohonan Najib bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkan permohonannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas sebutan kes itu hari ini yang dihadiri Peguam Persekutuan M. Kogilambigai, yang bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala Muhammad Shafee, mewakili Najib.

    Kogilambigai memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk mengkaji permohonan bekas perdana menteri itu bagi kebenaran semakan kehakiman.

    Begitu pun, Muhammad Shafee berkara perkara itu amat mendesak kerana terdapat isu perundangan yang serius yang akan ditentukan oleh mahkamah, termasuk sama ada Najib boleh dicalonkan dan hadir di pusat penamaan calon di mana beliau akan bertanding

    “Saya cadangkan agar permohonan itu didengar pada Jumaat ini (14 Oktober ini),” katanya.

    Pada 5 Oktober lepas, Najib memfailkan permohonan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

    Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

    Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata keputusan responden pertama dan ketiga yang menolak permohonannya atas alasan keselamatan telah disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 September.

    Najib juga menyatakan bahawa keengganan responden pertama dan ketiga untuk membenarkannya mengakses kepada pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua adalah tindakan tidak munasabah atau tidak rasional.

    Najib berkata menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan Perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan.

  • Pelakon veteran Hisham Ahmad Tajuddin meninggal dunia

    Pelakon veteran Hisham Ahmad Tajuddin meninggal dunia

    PELAKON veteran, Hisham Ahmad Tajuddin, 76, yang dirawat di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), Hospital Shah Alam (HSA) sejak 29 September lalu, meninggal dunia pada pukul 4.30 petang tadi.

    Khabar duka itu dikongsikan anaknya, Aqeela Mohd Hisham, 26, menerusi kiriman mesej ringkas menerusi aplikasi WhasApp kepada Harian Metro.

    “Assalamualaikum, dengan rasa rendah hati saya ingin memaklumkan abah saya, Hisham Ahmad Tajudin telah kembali menemui sang pencipta pada waktu Asar tadi, pukul 4.30 petang. Sama sama sedekahkan Al- Fatihah untuk arwah..Innalillahiwainnailaihirojiun,” katanya.

    Media sebelum ini, melaporkan Hisham berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman pada paru-paru, selepas difahamkan arwah mengalami batuk teruk selama seminggu.

    Pelakon yang aktif dalam arena drama dan filem tanah air sekitar 1980-an itu yang menerima rawatan di HSA sebelum ini ditidurkan dan bernafas sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan.

    Difahamkan, Allahyarham juga diberikan dos antibiotik yang lebih kuat oleh doktor untuk membunuh kuman-kuman yang menyerang dalam badannya pada 2 Oktober lalu.

    Selain berlakon, arwah juga pesara kerajaan yang banyak menghabiskan waktu berehat di rumah bersama keluarga kerana faktor usia serta penjagaan kesihatan kerana menghidap penyakit diabetes (kencing manis) serta darah tinggi.

    Selama aktif sebagai pelakon berdekad lamanya, Hisham sudah membintangi banyak drama dan filem. Antara karya lakonannya ialah Tsu Feh Sofiah, Wira Angkasa, Hanny, Putera, Black Maria, Dalam Hati Ada Cinta, Tanah Kubur dan Tok Ayah.

  • Tuanku Muhriz titah utamakan kepentingan rakyat

    Tuanku Muhriz titah utamakan kepentingan rakyat

    YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan agar kerajaan negeri mengutamakan dahulu isu membabitkan kepentingan rakyat dan persiapan menghadapi banjir sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehubungan itu kerajaan negeri mengekalkan keputusan tidak membubarkan DUN susulan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Cerita persetujuan untuk kita tangguh pembubaran DUN ini sebenarnya saya sudah mendapat perkenan daripada Tuanku terlebih dulu sebelum keputusan dibuat Majlis Presiden (Pakatan Harapan).

    “Tuanku menitahkan terpulang kepada kerajaan negeri (pembubaran DUN), kita maklumkan nak buat tahun hadapan dan Baginda tiada halangan.

    “Tuanku menitahkan supaya kerajaan negeri fokus hal kepentingan rakyat terutama isu banjir,” katanya dalam laporan Berita Harian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di Seremban.

    Mengulas lanjut, Aminuddin dalam laporan itu berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Tuanku mengenai tempoh akhir mandat penggal PRU-14 sebelum membubarkan DUN pada tahun hadapan.

    “Tuanku sendiri serius tentang isu banjir dan itu yang saya selalu tekankan. Isu rakyat jadi keutamaan terutama masalah banjir,” katanya.

    Sebelum ini, Aminuddin menegaskan bahawa DUN Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan serentak dengan Parlimen, sudah bersedia dari segi jentera pilihan raya untuk menghadapi PRU-15 di kerusi Parlimen.

    Baru-baru ini, Majlis Presiden PH turut mengumumkan bahawa tiga negeri di bawah gabungan itu iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN masing-masing.

    Mengenai kemungkinan akan berlaku perubahan dalam masa terdekat terhadap keputusan berkenaan, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, berkata ia terpulang kepada Majlis Presiden yang menentukannya.

    Menurutnya, pihaknya sudah menyampaikan hasrat itu kepada badan tertinggi gabungan berkenaan berpandukan pelbagai faktor terutama mengenai kesesuaian diadakan PRU-15 ketika ini.

    “Alhamdulillah, tempoh hari Majlis Presiden telah buat keputusan dan kita akur apa juga yang dibuat. Kita di peringkat EXCO negeri juga akur dengan keputusan dan arahan daripada Majlis Presiden.

    “Dalam hal ini kita kena patuh kepada Majlis Presiden. Saya juga dapat maklum balas daripada rakyat yang setuju dengan keputusan ini (tidak bubar DUN sekarang),” tegasnya.

    Berhubung gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya negeri di bawah PH turut membubarkan DUN serentak dengan Parlimen sebagai langkah menjimatkan kos, Aminuddin berkata, penangguhan pembubaran DUN dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama isu banjir.

    “Individu yang menguruskan banjir dan pilihan raya adalah orang yang sama. Pegawai Daerah adalah pengerusi bencana daerah dan dia juga pengurus pilihan raya, semua duduk di pusat mengundi.

    “Kita tidak tahu banjir berlaku dan sekarang pun sudah berlaku (banjir),” katanya.

  • Ismail Sabri masih di bawah telunjuk kleptokrat-Azmin

    Ismail Sabri masih di bawah telunjuk kleptokrat-Azmin

    KENYATAAN media Datuk Seri Ismail Sabri yang mendakwa tindakan Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai punca ketidakstabilan politik adalah dangkal dan meleset.

    Ahli Parlimen Gombak yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sudah menjadi rahsia umum bahawa pembubaran Parlimen dilakukan atas desakan UMNO.

    “Punca sebenar ketidakstabilan dan ketidakharmonian dalam kerajaan hari ini adalah akibat percakaran kuasa antara kleptokrat dengan kluster Ismail Sabri.

    “PN tuntas menolak cadangan pembubaran pada waktu terdekat demi memenuhi aspirasi rakyat yang mahu kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha pemulihan ekonomi dan menjamin kesejahteraan serta kebajikan rakyat ketika berhadapan dengan bencana.

    “Pendirian menteri PN menolak cadangan pembubaran adalah penegasan semula terhadap keputusan Jemaah Menteri pada 21 September di mana cadangan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU- 15 telah dibincangkan dan Jemaah Menteri bersetuju untuk kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha pemulihan ekonomi negara serta meningkatkan usaha kesiapsiagaan menghadapi banjir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Azmin berkata, Ismail Sabri juga sedia maklum bahawa beberapa kerajaan negeri berpendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tahun ini. Pembubaran Parlimen dan DUN secara berasingan akan mengakibatkan kos pengurusan pilihan raya yang sangat tinggi.

    “Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 September lalu telah bersetuju bahawa proses pembubaran Parlimen perlu dibuat melalui konsultasi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum Perdana Menteri menyembah warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon perkenan untuk membubarkan Parlimen.

    “Ismail Sabri sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa keputusan pembubaran Parlimen perlu dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri memandangkan Barisan Nasional (BN) bukan lagi gabungan yang membentuk kerajaan secara bersendirian.

    “ Mengapa kini Ismail Sabri mempertikaikan pendirian menteri PN yang telah diputuskan secara bersama dalam Jemaah Menteri ? Pastinya, pendirian terbaru Ismail Sabri adalah di atas desakan Presiden UMNO,” katanya.

    Menurutnya, tindakan Ismail Sabri menyalahkan menteri PN adalah bermotifkan politik yang terdesak untuk mengalih persepsi rakyat terhadap UMNO dan BN yang gagal merasai denyutan nadi rakyat.

    “Saya yakin rakyat dapat menilai siapakah musuh sebenar rakyat.PN beriltizam untuk terus mengorak langkah menjana kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama,” katanya.

  • Penduduk mula sediakan bot, rak tinggi sebagai persediaan hadapi banjir

    Penduduk mula sediakan bot, rak tinggi sebagai persediaan hadapi banjir

    LEBIH 100 keluarga di Kampung Padang Kijang, di Tanah Merah mula melakukan persediaan seperti menyediakan bot serta menyiapkan rak khas yang tinggi bagi menyimpan barangan mereka apabila berdepan dengan banjir semasa musim tengkujuh nanti.

    Penyelia pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Padang Kijang Mazlan Ashaari, 58, berkata kawasan kampung itu antara ‘hotspot’ banjir justeru penduduk sudah mula mengambil inisiatif membuat persiapan awal.

    “Kampung ini antara kawasan banjir apabila musim tengkujuh, malah kami perlu berpindah tiga atau empat kali ke PPS atau rumah saudara-mara dalam tempoh berkenaan.

    “Sebagai persediaan, penduduk sudah mula menyediakan bot peribadi, malah ada yang membuat stor khas (rak tinggi) bagi menyimpan barangan penting daripada ditenggelami air banjir nanti,” katanya ketika ditemui Bernama, di Tanah Merah, hari ini.

    Mazlan berkata kebiasaannya, paras air sungai di kampung itu boleh mencecah 14 meter seterusnya mengakibatkan banjir yang memaksa penduduk segera berpindah.

    “Keadaan kampung akan berubah seperti sebuah pulau apabila banjir kerana jalan perhubungan utama ditenggelami air sepanjang 800 meter dan sedalam dua meter,” katanya.

    Bagi Lokman Zakaria, 53, mengambil kira pengalaman menghadapi banjir sebelum ini, beliau mengambil inisiatif membina rak khas di dalam rumah untuk menyimpan barangan penting.

    “Saya bina rak khas setinggi dua meter bagi menyelamatkan barangan kerana paras banjir di kawasan ini biasanya antara satu hingga dua meter.

    “Walaupun sudah terbiasa dengan kejadian banjir, saya tetap membuat persiapan bagi mengelak lebih banyak barangan mengalami kerosakan,” katanya.

    Mat Suhaimi Abdullah, 50, berkata beliau menyediakan sebuah bot fiber di rumahnya yang terletak hanya 100 meter dari sungai kampung itu.

    “Bot ini memudahkan kami sekeluarga berpindah kerana kami akan berpindah sebanyak tiga atau empat kali ke PPS sebelum musim tengkujuh berakhir,” katanya.