Category: Semasa

  • 27 ‘kerusi kritikal’ Bersatu bincang dengan Pas

    27 ‘kerusi kritikal’ Bersatu bincang dengan Pas

    BERSATU akan berbincang dengan Pas berhubung isu pertandingan di 27 ‘kerusi kritikal’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menegaskan hal itu akan diteliti bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Kita jumpa dahulu dan bincangkan dengan Presiden (PAS),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penutup Retreat Media bersama Klien dan Sahabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Larut, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, dilaporkan mendakwa, Bersatu sudah dimaklumkan supaya tiada pertembungan berlaku dengan UMNO di 27 ‘kerusi kritikal’ pada PRU-15 walaupun Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggelar UMNO sebagai ‘musuh utama’.

    Ia bagi memastikan kerusi berkenaan tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selepas Barisan Nasional (BN) dan PN memutuskan untuk tidak bekerjasama pada PRU-15.

    Dalam perkembangan lain, Hamzah memberi bayang akan mempertahankan kerusi Parlimen Larut yang disandangnya.

    “Nak saya bertanding di mana lagi?” jawabnya ketika ditanya mengenai perkara itu.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri yakin dengan penerimaan rakyat terhadap gerak kerja dan fungsinya selama ini.

    “Apa yang paling penting ialah penerimaan rakyat kerana saya bukan sekadar membawa nama Parlimen Larut tetapi juga atas dasar kepentingan agama, bangsa dan negara. “Perjuangan saya konsisten,” katanya.

    Hamzah memberi contoh Nabi Muhammad yang bertukar-tukar bendera ketika berperang namun perjuangan Baginda kekal konsisten.

    “Sifat seorang pemimpin harus membawa imej pengikutnya dan saya bersyukur apabila Pas istiqamah untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam memastikan perjuangan itu terus konsisten.

    “Kalau mahu bersama, tak bolehlah memberikan syarat orang itu tak boleh, orang ini tak boleh. Jika nak semua, perlu bersekali supaya kita ada penyatuan dalam perjuangan,” katanya.

  • Polis rampas cecair vape ‘perisa’ dadah RM3.4 juta, tahan 7 individu

    Polis rampas cecair vape ‘perisa’ dadah RM3.4 juta, tahan 7 individu

    KEGIATAN sindiket mengedar dan memproses dadah dalam bentuk cecair vape bernilai RM3.4 juta terbongkar susulan penahanan tujuh individu termasuk seorang wanita warga asing dalam empat serbuan sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.

    Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata semua individu berusia 25 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Selangor dan Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 104.16 liter cecair ketamin, 27.56g syabu dan 160 biji pil yaba selain tiga kenderaan, wang tunai RM2,530 dan barang kemas bernilai RM3,077.

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan modus operandinya mencampurkan cecair ketamin ke dalam perisa vape dan menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengedarkan dadah untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan.

    Noorsiah berkata, lima individu ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo, manakala enam daripadanya mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.

    Menurutnya, semua individu termasuk wanita warga Indonesia itu direman lima hingga tujuh hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Ku Li beri bayangan terus pertahan Parlimen Gua Musang

    Ku Li beri bayangan terus pertahan Parlimen Gua Musang

    TENGKU Razaleigh Hamzah tidak menolak jika dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Katanya, beliau menyerahkan urusan agihan kerusi kepada parti, namun ramai pengundi tidak mahu beliau bersara selain terus mendapat sokongan daripada masyarakat Orang Asli.

    “Saya sendiri, saya serah kepada parti. Di Gua Musang ni setiap tahun tak nak bagi saya bersara terutama sekali Orang Asli, mereka buat keputusan ramai-ramai tak mahu calon lain.

    “Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang (Ab Aziz Yusoff) kata selagi saya tak ‘gogek’ (selagi boleh bergerak) saya kena tawar diri saya untuk bekerja lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Gua Musang, di Gua Musang, lapor Berita Harian.

    Untuk rekod, Tengku Razaleigh adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, iaitu selama 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

    Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li, 85, mempertahankan kerusi itu yang kali pertama dimenanginya tanpa bertanding pada 1974. Kerusi itu sebelum ini dikenali sebagai Ulu Kelantan.

    Dalam PRU lalu, beliau mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen terbabit selepas menang dengan majoriti 3,913 undi dalam saingan tiga penjuru bersama calon PAS dan PKR.

    Sementara itu mengulas tindakan PAS menangguhkan kerjasama dengan UMNO pada PRU15, Tengku Razaleigh berkata ia akan menjadi kayu ukur penerimaan rakyat terhadap PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Beliau berkata tindakan itu tidak salah jika PAS mendapat kerjasama daripada Perikatan Nasional (PN) dan bergantung dengan BERSATU.

    “Jadi kita test (uji) lah, rakyat di negeri-negeri ini puas hati (atau) tidak dengan pemerintahan dia (PAS).

    “Tetapi kalaulah dia mendapat kekuatan daripada PN kerana bergabung dengan BERSATU, apa salahnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Gua Musang, di sini, hari ini.

    Pada mesyuarat itu ahli sebulat suara menyokong penuh Tengku Razaleigh untuk terus meneraju kerusi Parlimen Gua Musang.

  • UMNO Pontian usul Ismail Sabri jadi PM, bukan setakat ‘poster boy’ PRU15

    UMNO Pontian usul Ismail Sabri jadi PM, bukan setakat ‘poster boy’ PRU15

    UMNO Bahagian Pontian mengusulkan supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketuanya, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata ia antara tiga usul yang diputuskan UMNO bahagian berkenaan selain isu calon dan solidariti ahli parti.

    “UMNO Pontian bersetuju mengusulkan supaya Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO diangkat sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU-15 nanti. Bagi kami, jaminan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri lebih sesuai dan tepat berbanding hanya ‘poster boy’ BN,” katanya, lapor Berita Harian

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian, di Pontian hari ini. Hadir sama, Setiausa Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan.

    Pada 18 September lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN dilaporkan mengesahkan Ismail Sabri kekal sebagai ‘poster boy’BN pada PRU-15.

    Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor merangkap Pengerusi BN Johor berkata, UMNO Pontian turut mengusulkan ahli parti supaya menyokong siapa juga calon yang diputuskan pucuk pimpinan.

    “Sokongan tidak berbelah bahagi terhadap siapa jua calon parti adalah penting supaya semua jentera bergerak memastikan parti menang PRU-15 nanti.

    “UMNO Pontian juga mengusulkan solidariti antara ahli parti perlu dikuatkan serta diperkukuhkan dan kita perlu bergerak bersama memenangkan siapa jua calon dikemukakan parti walaupun ia dari parti komponen,” katanya.

  • Golongan muda perlu tunaikan hak mengundi – Muhyiddin

    Golongan muda perlu tunaikan hak mengundi – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa golongan muda mempunyai tanggungjawab untuk menentukan masa depan negara.

    Sehubungan itu beliau berharap golongan muda mengambil peluang menunaikan hak mereka untuk mengundi apabila tiba hari mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    “Yang penting kita ada hak mengundi. Boleh tak saya minta jaminan tuan tuan, bila sampai hari mengundi, tuan tuan akan mengundi,” kata berucap di hadapan ribuan anak muda yang menghadiri program Gegar Anak Johor di Kompleks Sukan Pagoh hari ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mencabut cabutan bertuah pada progra Gegar Anak Johor di Kompleks Sukan Pagoh, pada Sabtu.

    Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

    Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara demokrasi semua rakyat mempunyai hak untuk mengundi termasuk golongan muda.

    Katanya, sebagai golongan yang akan menjamin masa depan negara, anak-anak muda perlu menunaikan hak tersebut.

    “Sebab itu kita nak tentukan kita bentuk sebuah kerajaan yang boleh jaga kebajikan anak muda, cucu cicit kita yang akan datang,” katanya.

    Beliau yang mesra dipanggil Abah turut mengingatkan golongan muda supaya sentiasa menguatkan semangat untuk berjuang supaya negara menjadi sebuah negara cemerlang.

    Terdahulu Muhyiddin yang dalam lawatan kerja ke Pagoh menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Masyarakat Gersik dan Jualan Prihatin Rakyat PN di Kundang dekat Pagoh.

    Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagor turut singgah menyaksikan Pertandingan Futsal di Kompleks Sukan Komuniti Kundang.

  • Tiga negeri PH tidak bubar DUN – Anwar

    Tiga negeri PH tidak bubar DUN – Anwar

    MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan persiapan dibuat bagi menangani banjir di tiga negeri terbabit.

     “Oleh demikian saya dan parti Amanah yang mempunyai pendirian sama pada peringkat awal, DAP mengambil masa menjelaskan pendirian mereka.

    “Tapi akhirnya Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) memutuskan bahawa kita PH dan tiga negeri (di bawah pentadbiran) PH akan bersama membuat keputusan menangguhkan pilihan raya negeri, supaya tumpuan dibuat menangani permasalahan banjir,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya hari ini.

    Anwar yang juga Presiden PKR berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan diadakan bersama DAP dan Amanah serta wakil rakyat di beberapa negeri terbabit.

    Oleh itu tegas beliau jentera kerajaan yang sah ketika ini perlu memberi tumpuan kepada persiapan menangani banjir dan bukannya pilihan raya.

    “PH adalah satu badan yang utuh dan kita berikan ruang perbincangan cukup terbuka, apa alasan kita buat keputusan bersama. Pertama kita menolak kerakusan pemerintah memaksa pilihanraya dalam keadaan rakyat derita susah menghadapi banjir.

    “Kedua, kita mahu jentera kerajaan yang sah dan punyai mandat menumpukan bukan pada pilihan raya atau kedudukan mereka, tetapi sepenuhnya tumpu persiapan dan penyelesaian mengurangkan beban kesukaran hidup mangsa-mangsa banjir,” jelasnya lagi.

    Turut hadir dalam sidang media itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

  • Bersatu sedia hadapi pertandingan pelbagai penjuru, tiada kerjasama dengan PH -Muhyiddin

    Bersatu sedia hadapi pertandingan pelbagai penjuru, tiada kerjasama dengan PH -Muhyiddin

    PARTI Bersatu bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain yang akan bertanding.

    Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkukuhkan PN bersama Pas, Gerakan, SAPP dan STAR Sabah sebagai gabungan politik pelbagai kaum di negara ini yang berhasrat menawarkan kepemimpinan yang bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat.

    Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, Bersatu telah membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU-15.

    ‘’Bersatu juga mengambil maklum pendirian Majlis Presiden PH yang telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Bersatu,’’ katanya.

    Penegasan Muhyiddin itu berikutan terdapat gerakan yang cuba memburuk-burukkan beliau dengan mendakwa, bekas Perdana Menteri tersebut akan bekerjasama dengan PH dan Gerakan Tanah Air (GTA) diketuai Tun Dr.Mahathir Mohamad.

    Dakwaan itu sengaja diwujudkan oleh musuh politik Bersatu dan PN bagi memecah belahkan perpaduan dalam gabungan berkenaan dan menjejaskan sokongan  kepada PN.

  • Najib tak layak bertanding kecuali dapat pengampunan

    Najib tak layak bertanding kecuali dapat pengampunan

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak boleh bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, melainkan beliau mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Bekas Presiden Badan Peguam, Salim Bashir, berkata penangguhan kehilangan kelayakan seseorang ahli Parlimen mengikut Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai jika parlimen belum dibubarkan.

    “(Ia) bukan untuk tujuan pencalonan, pelantikan atau pemilihan ke mana-mana dewan parlimen,” kata Salim kepada Malaysiakini.

    Tambah Salim, hal itu dinyatakan secara jelas oleh perlembagaan melalui perkara 48(5).

    Sekiranya seseorang itu mengemukakan pencalonan walaupun terdapat larangan Perlembagaan, katanya, pegawai pengurus pilihan raya boleh menolak kertas tersebut mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 1981.

    Bagaimanapun, Salim berkata, Najib boleh bertanding dalam pilihan raya jika mendapat pengampunan daripada Agong, juga melalui Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

    Kenyataan Salim itu dibuat selepas UMNO Pekan mengesahkan mereka mengemukakan lima nama, termasuk Najib, untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi kerusi parlimen di situ pada PRU ke-15 yang dijangka ditetapkan tarikhnya tidak lama lagi.

    Kerusi parlimen Pekan disandang Najib sehinggalah dia disabitkan bersalah atas pertuduhan jenayah oleh mahkamah dan dihukum penjara 12 tahun.

    Walaupun Najib disabitkan bersalah, dia kekal sebagai ahli parlimen Pekan sehingga pembubaran parlimen pada 10 Okt ekoran permohonan pengampunan dirajanya yang dikemukakannya.

  • PRU-15: Agihan kerusi PN selesai sebelum Jumaat depan – Ahmad Samsuri

    PRU-15: Agihan kerusi PN selesai sebelum Jumaat depan – Ahmad Samsuri

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menyelesaikan agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti komponennya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum Jumaat depan.

    Pengerusi PN Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara berkenaan akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang.

    “Sebelum Jumaat akan selesai perbincangan kerusi. (Mesyuarat) fokus pada kerusi DUN dan Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian hadiah kejohanan bola sepak Terengganu Football League di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Naib Presiden PAS itu berkata mesyuarat tersebut juga akan memperincikan soal pemilihan calon yang bakal diketengahkan gabungan politik itu pada PRU15 dan menurutnya PAS sudah mempunyai senarai calon berpotensi, namun masih memerlukan penelitian bagi memastikan calon terpilih adalah layak dan boleh menang.

    “Senarai calon itu ada…akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti. Semua sekali kami bincangkan. Kami akan selesaikan cepat kerana sedar pengundi 20 tahun dahulu dengan sekarang berbeza. Dahulu orang tengok (undi) atas parti, tetapi sekarang orang tengok calon,” kata Menteri Besar Terengganu itu.

    Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata senarai akhir calon yang akan bertanding akan diputuskan kepimpinan peringkat pusat selari dengan pembahagian kerusi komponen dalam PN kelak.

    — BERNAMA

  • Kementerian Pendidikan akan perkenal aplikasi pembelajaran bahasa Inggeris – Radzi

    Kementerian Pendidikan akan perkenal aplikasi pembelajaran bahasa Inggeris – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan sentiasa melakukan transformasi dalam usaha menambahbaik pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran para pelajar, termasuk menggunakan teknologi digital dalam pendidikan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, antara transformasi yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi adalah dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

    “Dalam tempoh terdekat, kementerian akan melancarkan satu program bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak yang memudahkan para guru melihat setakat mana pelajar boleh menguasai bahasa tersebut, khususnya dalam percakapan dan sebutan perkataan,” katanya dalam paparan video yang disiarkan di laman Facebook miliknya hari ini.

    Radzi berkata, program itu yang akan dilancarkan itu dikenali sebagai Microsoft Reading Progress yang mana murid-murid yang menggunakan aplikasi itu boleh membaca ayat-ayat yanhg disediakan oleh guru.

    “Sistem akan menilai bacaan tersebut dari konteks sebutan dan seterusnya membantu murid-murid membuat sebutan yahg lebih tepat dan sekaligus membantu mereka diperkenalkan dengan perkataan-perkataan baharu,” tambahnya. – UtusanTV