Category: Semasa

  • PRU-15: Pegawai JPN ke lokasi banjir, mudahkan urusan penggantian dokumen

    PRU-15: Pegawai JPN ke lokasi banjir, mudahkan urusan penggantian dokumen

    JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) akan menggerakkan pegawainya ke lokasi banjir bagi memudahkan urusan pembaharuan dokumen pengenalan diri yang hilang akibat bencana itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bawah JPN, secara langsung dapat turut membantu mangsa banjir terbabit untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

    “Program MEKAR JPN akan menyelesaikan permasalahan dokumen membabitkan individu di pedalaman atau mereka yang menghadapi bencana seperti banjir. Sebagai contoh jika berlaku banjir sebelum PRU, sudah tentu akan menyusahkan pengundi jika dokumen pengenalan diri hilang. Bagaimana mereka hendak mengundi jika tiada kad pengenalan?

    “Oleh itu, JPN sudah memikirkan ini semua, ia demi kepentingan rakyat. JPN sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi rakyat,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, JPN sudah membuat persiapan rapi dengan memberi fokus kawasan yang terjejas.

    “Kita sudah bersedia untuk menghantar pegawai JPN ke tempat tertentu. Namun sekiranya ditanya untuk semua kawasan, minta maaf kita masih tidak bersedia. Untuk memberi fokus pada kawasan terjejas, JPN sudah bersedia.

    “Ini kerana di Malaysia, banjirnya berfokus, kejap di sini dan kejap di sana, ia (banjir) tidak datang sekali satu Malaysia. Contohnya, (banjir) semalam di Langkawi, sebelum itu di Johor dan Sarawak,” katanya.

  • Remaja masih bersekolah antara ditahan sertai parti liar

    Remaja masih bersekolah antara ditahan sertai parti liar

    REMAJA bawah umur yang masih bersekolah merupakan antara 22 individu yang ditahan menyertai ‘parti liar’ di sebuah banglo di Batu Feringghi, Pulau Pinang ditahan polis dalam serbuan pada 13 Oktober lalu.

    Kesemua mereka iaitu 14 lelaki dan lapan wanita tempatan berusia 16 hingga 21 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.40 pagi.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka didapati berkongsi wang untuk menyewa banglo tiga tingkat itu dengan kadar bayaran RM1,000 sehari.

    Menurutnya, setiap peserta dijemput menghadiri parti itu menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp dengan bayaran antara RM80 hingga RM100 seorang.

    ”Kita juga mendapati lapan peserta perempuan yang ditahan tidak dikenakan sebarang bayaran kerana dibayar oleh peserta lelaki.

    “Dalam serbuan itu, polis juga telah merampas dua peket dadah jenis ketamin seberat 0.9 gram bernilai RM150 serta tiga biji pil ekstasi dengan anggaran berat 1.6 gram bernilai RM45,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Soffian, hasil saringan air kencing ke atas 22 individu berkenaan juga mendapati enam individu lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine.

    Tambahnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama enam hari bermula 13 Oktober hingga 18 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta yang sama.

    “Kesemua tangkapan juga diserahkan kepada Unit Agama dan Kaunseling, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Timur Laut untuk sesi kaunseling dan ceramah yang turut dihadiri waris terdekat mereka,” katanya.

  • PRU-15 bukan ibu segala pilihan raya – Hamzah

    PRU-15 bukan ibu segala pilihan raya – Hamzah

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan ‘ibu’ segala pilihan raya seperti dikatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selar Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Sebaliknya, PRU15, jelas Hamzah, merupakan proses demokrasi yang biasa dilakukan seperti sebelum ini yang memberi mandat kepada rakyat memilih pemimpin mereka.

    “Saya dengar Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) kata, dia kata kali ini adalah ibu segala pilihan raya, pada saya perkara biasa tiada ibu pilihan raya atau tidak. “Kita semua kena bersedia menentukan landskap politik sesuatu melambangkan kematangan pengundi dalam negara. Jadi kali ini sudah ada peningkatan pemikiran rakyat terhadap sesiapa mereka mahukan,” katanya lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendaftaran Negara ke-74 tahun 2022 di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Putrajaya, hari ini.

    Menurut Hamzah, pengundi pada PRU15 dilihat lebih matang dalam menentukan masa depan mereka dengan memilih kerajaan yang berintegriti.

    “Ia bukan hanya melambangkan warna parti itu, tapi melambangkan kepimpinan yang ada, negara kita perlukan pemimpin bertanggungjawab dan berintergriti.

    “Kalau itu jadi salah satu kayu pengukur, saya merasakan pengundi bijak mengetahui demi kepentingan masa depan negara, tanggungjawab itu demi negara,” katanya lagi.

    Mengulas mengenai PRU15 yang akan diadakan ketika negara berdepan bencana banjir bulan depan, tambah Hamzah lagi, semua anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap sedia berdepan musibah itu.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 menegaskan, PRU15 merupakan ibu segala PRU di negara ini.

    Sehubunga itu, penyandang Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Barisan Nasional (BN) perlu menjadi dominan dalam kerajaan yang akan diwujudkan selepas PRU15.

  • Pemandu lori Isuzu terbabit nahas 2 rentung direman 4 hari

    Pemandu lori Isuzu terbabit nahas 2 rentung direman 4 hari

    PEMANDU lori jenis Isuzu yang terbabit nahas lima kenderaan sehingga mengakibatkan dua individu maut akibat terbakar di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Sedenak, di Kulai, malam kelmarin, direman selama empat hari hingga Khamis ini.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki tempatan berusia 38 tahun itu direman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam pada itu, beliau berkata, identiti mangsa kedua yang maut terbakar dalam kemalangan berkenaan belum dapat disahkan, setakat ini.

    “Kita sedang dalam proses mengenal pasti identiti mayat kedua,” katanya lapor Berita Harian, hari ini

    Kemalangan ngeri membabitkan dua lori serta tiga kereta menyebabkan tiga kenderaan terbakar hingga 90 peratus dan dua maut di lokasi kejadian.

    Salah seorang mangsa terkorban ialah penumpang Proton Wira dikenali sebagai Nur Nazihah Kamalul Arifin, 28.

    Semalam, Beng Yeow dalam satu kenyataan media memaklumkan, kejadian dipercayai berpunca daripada lori pertama yang menukar lorong dari kanan ke kiri ketika jalan sesak.

    Suami Nazihah, Redzuan Jamil, 28, pula mendakwa terdapat impak dari arah belakang sebelum beliau keluar dan mendapati sebuah lori melanggar tiga kenderaan, termasuk keretanya yang berada di tengah

  • Kerajaan setuju hapuskan hutang peserta FELCRA

    Kerajaan setuju hapuskan hutang peserta FELCRA

    KERAJAAN hari ini bersetuju untuk menghapuskan hutang peserta FELCRA Bhd selain mengumumkan pengagihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022 berjumlah RM181.5 juta untuk para pesertanya.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau difahamkan Lembaga Pengarah FELCRA telah meluluskan cadangan untuk memohon kerajaan supaya menghapus kira hutang peserta FELCRA yang tertunggak bernilai RM233.8 juta bagi projek kurang berdaya maju.

    “Sehingga Disember 2021, sebanyak 323 projek dengan keluasan 22,173 hektar dikenal pasti sebagai projek kurang berdaya maju. Kalau hasilnya kurang, saya faham macam mana hendak bayar hutang,” katanya pada program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama peserta FELCRA, pekebun kecil Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan warga Orang Asli di Arena Merdeka di Tapah hari ini.

    Ismail Sabri berkata hal berkaitan penghapusan hutang peserta FELCRA itu perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet sebagai prosedur untuk kelulusan dan berharap ia dapat dikemukakan ke Kabinet selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan seramai 74,949 peserta FELCRA di seluruh negara akan menerima agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022 yang berjumlah RM181.5 juta.

    “Bayaran akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini yang boleh digunakan peserta FELCRA untuk kegunaan pelbagai perkara,” katanya.

    “Saya gembira kerana FELCRA berjaya mengekalkan prestasi yang baik apabila mencatat kenaikan hampir RM51 juta atau 38.1 peratus berbanding prestasi pada tahun lalu, sekali gus membuktikan kecekapan kerajaan Keluarga Malaysia dalam mengurus tadbir ekonomi negara,” katanya.

    Beliau berkata FELCRA telah berjaya membangunkan tanah-tanah terbiar kelompok kecil dan kurang berdaya maju menjadi estet milik peserta dengan kos pengurusan yang minimum iaitu hanya 6.5 peratus.

    Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada FELCRA dalam melaksanakan pembangunan tanah terbiar kerana berjaya menaikkan nilai tanah luar bandar melebihi 204,000 hektar, yang memberikan manfaat kepada lebih 103,000 peserta di seluruh negara.

    Bagi pekebun kecil RISDA pula, Ismail Sabri berkata bantuan berupa geran sekali bayar berjumlah RM15,000 dengan pecahan RM10,000 untuk pembelian peralatan dan RM5,000 untuk tujuan latihan telah disediakan untuk golongan belia pekebun kecil.

    Kerajaan juga telah meluluskan RM191 juta Bantuan Musim Tengkujuh dengan kadar RM600 untuk diagihkan pada November dan Disember ini bagi membantu 232,319 pekebun kecil RISDA yang terjejas akibat musim tengkujuh yang diunjurkan berlaku akhir tahun ini, katanya.

    Beliau berkata berkata kerajaan Keluarga Malaysia akan menyediakan peruntukan itu dengan peningkatan kepada RM800 pada 2023.

    Ismail Sabri yang pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata peruntukan yang diperakukan kepada RISDA dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) adalah RM3.019 bilion bermula 2021 hingga 2025, manakala subsidi program tanam semula yang disalurkan kerajaan meningkat kepada RM13,710 sehektar di Semenanjung berbanding RM9,230 sebelum ini.

    Dalam RMK12 juga, RISDA diberi peruntukan RM269 juta dengan sasaran 77,183 orang pekebun kecil akan menerima manfaat keusahawanan, katanya.

    “Saya yakin hasrat RISDA untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil pada tahun 2025 kepada RM4,500 sebulan sekeluarga, boleh dicapai dengan pelbagai pendekatan pembangunan yang dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

    Ismail Sabri berkata di bawah Rancangan Tanam Semula Komersial (TSK) yang diurus RISDA melibatkan kawasan seluas 18,667.83 hektar dengan jumlah peserta seramai 13,357 orang, telah berjaya menikmati hasil dividen yang membanggakan.

    Menurutnya, RM73.2 juta dividen RISDA TSK telah diagihkan kepada peserta pada purata RM5,480.38 sehektar seorang bagi tempoh yang berakhir sembilan bulan pertama tahun ini.

    Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Tapah yang juga Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

    — BERNAMA

  • PM umum pemberian one-off untuk Tok Batin

    PM umum pemberian one-off untuk Tok Batin

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pemberian one-off atau sekali beri sebanyak RM1,000 kepada setiap Tok Batin atau Penghulu komuniti Orang Asli di seluruh negara.

    Beliau berkata pemberian yang melibatkan peruntukan RM624,000 itu sebagai tanda penghargaan kerajaan Keluarga Malaysia atas jasa dan tenaga Tok Batin serta Penghulu dalam pembangunan dan adat warisan masyarakat Orang Asli.

    “Ini juga membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan sumbangan masyarakat Orang Asli yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia,” katanya pada program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Peserta Felcra, Pekebun Kecil Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Warga Orang Asli di Arena Merdeka di sini hari ini.

    Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Tapah yang juga Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

    Ismail Sabri berkata kerajaan menghargai peranan dan kerja keras Tok Batin dan penghulu dalam memastikan pentadbiran peringkat kampung Orang Asli berjalan lancar.

    Menyedari kepentingan institusi itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah memperuntukkan elaun berjumlah RM6.739 juta setahun yang melibatkan seramai 624 Tok Batin atau penghulu.

    Menurut Ismail Sabri kerajaan memperuntukkan RM2.7 juta dalam Bajet 2023 bagi membangunkan ekonomi golongan belia dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

    Ismail Sabri berkata kerajaan pimpinannya akan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli jika terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan terus berjuang untuk menyelesaikan beberapa masalah komuniti itu termasuk isu tanah.

    — BERNAMA

  • Jho Low, bapa dihukum penjara kerana hina mahkamah

    Jho Low, bapa dihukum penjara kerana hina mahkamah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho dan bapanya, Larry Low Hock Peng kerana tidak mematuhi perintah yang melarang mereka melupuskan aset.

    Namun kedua-duanya tidak hadir mahupun diwakili peguam ketika perbicaraan di depan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz hari ini.

    Portal Malaysiakini melaporkan, perintah itu dikeluarkan selepas dua beranak itu gagal mematuhi injunksi mareva yang diperolehi 1MDB dalam saman berjumlah AS$3.7837 terhadap mereka dua empat pihak lain.

    Injunksi Mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara kes sedang berjalan.

    Ketika dihubungi, peguam 1MDB Siva Kumar Kanagasabai mengesahkan keputusan permohonan syarikat itu agar Jho Low dan bapanya dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana melanggar terma injunksi.

    “Mereka (Jho Low dan Larry Low) dihukum penjara sehingga tindakan menghina mahkamah disingkirkan,” katanya.

    Pengurusan kes untuk tindakan sivil ini ditetapkan pada Rabu ini.

    Pada 15 Mac lalu, mahkamah membenarkan permohonan 1MDB dan satu lagi plaintif untuk mendapatkan injunksi Mareva terhadap Jho Low, bapanya dan beberapa individu lain.

    Plaintif kedua adalah subsidiari 1MDB, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini menggunakan nama MDB Global Investments Limited).

    Kemudian, pada 29 Mac, mahkamah membenarkan permohonan dua plaintif itu untuk injunksi sementara untuk menghalang mereka daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana aset di Malaysia bernilai sehingga US$1.03 bilion, sehingga tindakan sivil utama selesai.

    1MDB dan subsidiarinya kemudian memohon agar Jho Low dan bapanya diisytihar menghina mahkamah kerana tidak memberikan sebarang respons di mahkamah berkenaan perintah injunksi Mareva tersebut.

    Pada 25 Mei lalu, mahkamah menolak permohonan mereka untuk mengetepikan injunksi tersebut..

  • Pagar kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat biru, merah

    Pagar kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat biru, merah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TANPA diketahui motifnya, pagar kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon dekat Jalan Anak Bukit di sini disimbah cat berwarna biru dan merah, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu disedari oleh salah seorang petugas di kediaman terbabit sebelum melaporkannya kepada bilik gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

    Katanya, siasatan awal pihak polis menemukan empat plastik berisi merah dan biru yang dipercayai dilempar ke pagar tersebut.

    “Kami menerima maklumat mengenai kejadian ini kira-kira pukul 10 pagi tadi daripada pos pengawal kediaman rasmi tersebut. Kejadian dipercayai berlaku selepas pukul 7 pagi kerana ketika pertukaran pengawal pada waktu itu, pagar tersebut masih lagi bersih.

    “Terdapat empat beg plastik ditemukan berhampiran kawasan pagar tersebut dengan dua daripadanya berisi cat biru dan dua lagi berisi cat merah. Setakat ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Pemerhatian mendapati kebanyakan cat tersebut mengenai papan tanda di kawasan pagar selain turut terkena kepada pintu pagar dan pokok hiasan di belakangnya.

    Ahmad Shukri menambah, motif kejadian setakat ini masih disiasat.

    “Kediaman ini tidak memiliki kamera litar tertutup (CCTV) namun kita akan mendapatkan bantuan daripada CCTV kawasan berhampiran untuk mendapatkan petunjuk mengenai kejadian ini.

    “Menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi, saya berharap tiada mana-mana pihak yang membuat spekulasi terhadap kejadian ini,” katanya.

  • Tanpa protokol, Radzi rai Hari Sukan Negara bersama pelajar GENIUS

    Tanpa protokol, Radzi rai Hari Sukan Negara bersama pelajar GENIUS

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di Putrajaya Sabtu lalu tanpa protokol atau sambutan rasmi yang menjadi sebahagian daripada aktivitinya sepanjang berada dalam kementerian.

    Beliau melawat sekolah tersebut bertujuan untuk bersama-sama para pelajar GENIUS Negara dan GENIUS Kurnia menyertai program Hari Sukan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak Genius sempena Hari Sukan Negara.

    “Meriah program tadi dengan kehadiran murid dan ibu bapa. Bukan anak-anak sahaja yang gembira dan seronok menyertai aktiviti yang disediakan, ibu bapa pun saya nampak begitu teruja menyertai pertandingan,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

    ANTARA pelajar yang terlibat dalam sambutan Hari Sukan Negara di SK Putrajaya Presint 17(1).Gambar FB Radzi Jidin

    Beliau berkata, mereka mewakili pasukan adiwira Superman, Ninja Turtle, Bumblebee & Captain America.

    “Singgah ke sekolah atau program sekolah tanpa protokol atau sambutan rasmi memang menjadi amalan saya sejak berada di KPM.

    “Melalui pendekatan ini saya dapat meluangkan lebih masa untuk berjumpa dengan anak-anak murid, cikgu dan ibu bapa,” tambahnya.

    Katanya, pentadbir sekolah dan guru juga tidak perlu membuat persiapan berhari-hari dengan bermacam-macam jawatankuasa dan apa yang penting beliau dapat mengetahui kepayahan dan situasi sebenar yang berlaku di sesebuah sekolah.

    “Kemudian langkah penyelesaian akan diambil.

    “Terima kasih semua, maaf pak cik muncul secara tiba-tiba tadi,” katanya.

  • 43 mangsa banjir di Langkawi berlindung di PPS

    43 mangsa banjir di Langkawi berlindung di PPS

    Oleh BADLISHAH MAT

    SERAMAI 43 penduduk terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Syifa, Padang Matsirat di Langkawi, ekoran banjir yang melanda daerah itu semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kebanyakan kawasan terlibat telah pulih seperti sedia kala petang semalam, kecuali di Padang Matsirat.

    Katanya, hujan lebat berterusan sejak pukul 4 pagi itu mengakibatkan beberapa kawasan di Langkawi terjejas akibat dinaiki air.

    “Sebuah PPS di Dewan Syifa Padang Matsirat dibuka bagi menempatkan 43 mangsa yang terlibat.

    “Mangsa terdiri daripada 11 keluarga dengan 25 daripadanya adalah lelaki termasuk masing-masing seorang bayi dan warga emas, manakala baki selebihnya adalah wanita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Antara kampung terjejas adalah Kampung Limbong Putra, Kampung Buluh Penyumpit dan Kampung Atas.

    Sementara itu, Shariman berkata, laluan ke Gunung Raya ditutup kerana terdapat empat runtuhan tanah berlaku dan masih terdapat pergerakan tanah dikesan.

    “Terdapat juga satu rumah yang terjejas di kawasan Kuah akibat tanah runtuh,” katanya.

    Dalam pada itu, Shariman memaklumkan, kesemua 44 mangsa yang terperangkap di kawasan rekreasi Air Terjun Telaga Tujuh, di sini telah berjaya diselamatkan petang semalam.

    Terdahulu, mereka yang terdiri daripada sekumpulan pendaki tidak dapat melintasi sungai di puncak air terjun itu ekoran arus deras disebabkan kepala air ketika hujan lebat.