Category: Semasa

  • Pemandu Jabatan Tanah dan Ukur Kudat didakwa minta rasuah

    Pemandu Jabatan Tanah dan Ukur Kudat didakwa minta rasuah

    PEMANDU kenderaan Gred H11 Jabatan Tanah dan Ukur Kudat didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu atas tuduhan meminta rasuah daripada seorang pemohon lanjutan tempoh pajakan tanah.

    Tertuduh, Ali Hashin Nasip didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 5 dan 19 September 2020 dengan meminta suapan daripada Chong Fah Shin berjumlah RM15,000 di dua tempat berlainan.

    Ali Hashin meminta rasuah dengan tujuan untuk mempercepatkan kelulusan permohonan lanjutan tempoh pajakan tanah milik lelaki tersebut, lapor Astro Awani.

    Ali Hasnin bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibaca oleh pegawai pendakwa SPRM Norsham Saharom di hadapan hakim Abu Bakar Manat.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam diarah membayar wang ikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan oleh Abu Bakar.

    Kes dibicara di bawah Seksyen 16(a) (B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

    Mahkamah menetapkan semula tarikh perbicaraan pada 28 November 2022.

  • Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    POLIS Johor telah menerima lima laporan polis setakat hari ini berhubung kekecohan dalam satu ceramah politik anjuran parti MUDA di Parit Jawa, Muar, Ahad lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

    “Kita akan maklum nanti (perkembangan). Buat masa ini, polis akan jalankan siasatan,” katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada Bernama, hari ini. 

    Terdahulu, ceramah yang membariskan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA itu diganggu oleh sekumpulan anak muda menaiki motosikal yang didakwa cuba menimbulkan provokasi.

    Difahamkan beberapa parti politik telah membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan tersebut. – BERNAMA

  • Isteri pemain dram Noah meninggal dunia

    Isteri pemain dram Noah meninggal dunia

    PEMAIN dram tambahan Noah, Rio Alief, 30, kehilangan isteri tercinta Clerence Cynthia Audry, 28, yang meninggal dunia disebabkan kanser, pada Selasa.

    Clerence menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) dan dikebumikan di TPU Jombang, Tangerang Selatan, Jakarta, lapor Harian Metro.

    Pemain keyboard Noah, David Albert berkongsi mengenai berita sedih itu di Instagram.

    “Kamu pasti akan dirindukan, Clere, wanita kuat, isteri hebat. Istirehat dengan tenang,” katanya.

    Rio menukar gambar profilnya di Instagram dengan gambar kosong berwarna hitam tanda berduka atas pemergian isterinya itu.

    Terdahulu, dia sempat berkongsi beberapa foto di Instagram Story (IGS) saat berada di sisi Clerence. Ia termasuk fotonya menggenggam tangan isterinya semalam.

    Rio juga memuat naik video kenangan mereka bersama di IGS dengan kapsyen yang ringkas namun cukup menyentuh hati.

    “Mahu kemana sii Clerence,” katanya. Pasangan itu berkahwin pada 6 November 2020, manakala resepsinya diadakan pada Jun tahun lalu. Mereka sepatutnya menyambut ulang tahun kedua berkahwin pada bulan depan.

  • Polis kesan pemandu Myvi lawan arus

    Polis kesan pemandu Myvi lawan arus

    POLIS sedang mengesan pemandu Perodua Myvi yang tular memandu melawan arus dengan memasang lampu kecemasan (hazard lights) di Kilometer 31.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala Kulai, Johor.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata satu video berdurasi 11 saat dimuat naik dalam Facebook dikesan pada Selasa memaparkan sebuah kereta Myvi dipandu melawan arus.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Kilometer 31.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala Kulai.

    “Susulan video tersebut, bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah Kulai telah membuat semakan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Kulai mendapati kenderaan tersebut telah melalui plaza tol berkenaan pada kira-kira pukul 10 pagi Selasa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beng Yeow memberitahu, usaha mengesan pemandu Myvi tersebut sedang dilakukan untuk tindakan selanjutnya.

    “Orang ramai diingatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan dan seterusnya menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

    “Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang,” katanya.

  • Cikgu Fadli kongsi keputusan lembaga tatatertib malam ini

    Cikgu Fadli kongsi keputusan lembaga tatatertib malam ini

    GURU Matematik, Mohd. Fadli Mohamed Salleh yang mengetengahkan masalah pendidikan di Malaysia khususnya silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan isu beg berat melalui media sosial, akan berkongsi keputusan mesyuarat Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadapnya, malam ini.

    Perkara itu disahkan beliau menerusi paparan terbarunya dalam Facebook hari ini yang menggunakan akaun Cikgu Fadli Salleh.

    “Keputusan meeting (mesyuarat) Lembaga Tatatertib dah keluar.

    “Malam ni saya share (kongsi). Debor macam tunggu result (keputusan) pilihan raya pula,” katanya menerusi paparan terbaru di FB sebentar tadi, lapor Harian Metro.

    Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dilaporkan berkata, keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap guru berkenaan akan diketahui hari ini.

    “Keputusan itu akan diserahkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan kepada ketua jabatan guru matematik berkenaan.

    “Saya baru dimaklumkan persidangan atau mesyuarat Lembaga Tatatertib baru sahaja tamat sebentar tadi (semalam) dan Insya Allah esok pihak urus setia berkenaan akan sampaikan keputusan berkenaan melalui ketua jabatannya,” katanya dipetik.

    Kelmarin, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang hari ini selepas menerima surat representasi yang dikemukakan Mohd. Fadli pada Jumaat lalu.

    Pkharuddin memaklumkan, surat yang diterima Mohd. Fadli tidak membawa maksud hukuman sudah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

    Sebelum ini, Mohd. Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat, kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

    Beliau dalam hantaran FB miliknya menyatakan, bilangan murid dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

  • Rogol berkumpulan remaja 14 tahun, 8 direman tujuh hari

    Rogol berkumpulan remaja 14 tahun, 8 direman tujuh hari

    LAPAN remaja lelaki yang ditahan semalam kerana dipercayai merogol seorang remaja perempuan bawah umur direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi di Mahkamah Majistret Bachok pagi tadi.

    Lapan remaja berusia dari 14 hingga 18 tahun itu sebelum ini ditahan selepas disyaki merogol pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Bachok.

    Kesemua remaja berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu di Kampung Tawang, Bachok kelmarin.

    Kes disiasat mengikut seksyen 375B Kanun Keseksaan.

    Penahanan remaja berkenaan selepas polis menerima laporan berkait kes rogol melibatkan mangsa yang berusia 14 tahun 11 bulan itu lapor Astro Awani.

  • Mahkamah benarkan LHDN tuntut cukai RM1.054 bilion daripada Jho Low

    Mahkamah benarkan LHDN tuntut cukai RM1.054 bilion daripada Jho Low

    MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang menerusi penghakiman terus semalam membenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat tuntutan cukai sebanyak RM1,053,972,936.58 daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Kenneth Yoong Ken Chinson St. James membenarkan permohonan LHDN itu dengan faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman dengan kos RM15,000.

    LHDN tahun lalu mengemukakan saman itu terhadap Jho Low selepas ahli perniagaan berkenaan didakwa gagal mengemukakan penyata cukai bagi tahun 2013 dan 2014 sebanyak RM1,053,972,936.58.

    Dalam penghakimannya, Kenneth berkata, mahkamah tidak boleh menerima pembelaan Jho Low yang mana beliau tidak mempunyai akaun di Malaysia dan tidak menjalankan apa-apa perniagaan di Malaysia dalam menolak tuntutan saman daripada LHDN itu.

    “Saya dengan itu membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman sebanyak RM1,053,972,936.58 dengan faedah 5 peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga tarikh realisasi penuh,” katanya dalam penghakiman sebanyak 60 muka surat.

    Tahun lalu, LHDN turut memfailkan saman terhadap Eric Tan Kim Loong yang didakwa sebagai sekutu Jho Low memintanya membayar cukai pendapatan berjumlah RM68 juta.

    Media sebelum ini melaporkan Eric Tan merupakan sekutu rapat Jho Low dan turut terlibat dalam transaksi berbilion ringgit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Tuntutan sama turut dibuat LHDN terhadap dua lagi `rakan’ Jho Low iaitu bekas pengarah 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas pegawai undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan tahun lalu membabitkan tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.3 juta.

    Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman penjara terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng kerana menghina mahkamah dan memerintahkan mereka membayar kos RM5,000 akibat tidak mematuhi dua perintah injunksi yang dikeluarka

  • Aplikasi  ‘Reading Progress’ bantu murid tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

    Aplikasi ‘Reading Progress’ bantu murid tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

    SEBANYAK 576 sekolah termasuk di pedalaman di seluruh negara akan terlibat dalam program rintis aplikasi ‘Reading Progress’ bagi membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata program rintis yang bermula hari ini itu melibatkan seramai 1,088 guru. 

    “Aplikasi ini akan digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk membantu murid-murid menguasai sebutan perkataan dalam BI dengan baik. 

    “Melalui pendekatan itu, murid-murid boleh merekodkan audio dan video atau kedua-duanya sekali apabila membaca dalam BI, selain sistem ini akan membantu mereka melihat apakah perkataan, cara sebutan dan sebagainya. 

    “Ini akan dapat membantu murid mengenal perkataan baharu dan penyusunan struktur ayat yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di Shah Alam hari ini.

    Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian konsep dan usaha pendigitalan pendidikan serta memberi ruang kepada murid untuk belajar dalam suasana menyeronokkan.

    Beliau berkata aplikasi itu juga akan memudahkan tugas guru dalam membuat penilaian tahap kemampuan murid.

    Radzi berkata pihaknya menjangkakan penggunaan aplikasi itu diperluas ke semua sekolah menjelang awal tahun hadapan, selain aplikasi dalam Bahasa Melayu bakal menyusul.

    “Kementerian juga akan memperluaskan dalam Bahasa Melayu sekiranya aplikasi telah tersedia dalam Microsoft yang dijangka pada tahun depan.

    “Semua ini merupakan pendekatan bagi memudahkan pembelajaran dan memastikan lebih cekap serta berkesan,” katanya. – BERNAMA

  • KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dakwaan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang menculik seorang warga Palestin seperti dalam laporan sebuah akhbar tempatan hari ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, jika benar ejen Mossad memasuki Malaysia.

    Katanya, kerajaan sentiasa meneliti dan memantau setiap dokumen kemasukan rakyat asing ke negara ini.

    Beliau berkata, jika terdapat mana-mana rakyat asing yang memasuki negara tanpa dokumen sah, tindakan akan diambil.

    “Sesiapa saja yang masuk ke negara kita, mereka perlu ada dokumen sah. Jadi, bila kita ada maklumat yang mengatakan ada orang masuk menggunakan dokumen tidak sah, kita akan pantau.

    “Akhirnya, kalau kita rasa sudah sampai masa kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Terdahulu, laporan sebuah akhbar tempatan mendakwa perisik Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin yang mereka percaya merupakan aset Briged Hamas al-Qassam baru-baru ini.

    Menurut laporan itu, tindakan perisik terbabit menyesuaikan taktik supaya tidak meninggalkan kesan penglibatan mereka dan aset tempatan dipercayai direkrut untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia.

    Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas pukul 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara.

    Pada 2018, pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi Mohammad Al-Batsh yang merupakan warga Palestin ditembak mati individu dipercayai ejen Mossad.

  • Annuar masih teringin jadi calon PRU-15

    Annuar masih teringin jadi calon PRU-15

    PENYANDANG kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyuarakan hasrat menjadi calon pada PRU-15, namun segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

    “Sebenarnya ramai bukan saya saja sentiasa teringin menjadi calon. Kalau kita mempunyai keinginan untuk berkhidmat, maka kena ada keinginan untuk menjadi calon.

    “Itu keinginan. Tetapi sama ada menjadi calon mewakili parti, maka parti yang menentukan, bukan kita,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 hari ini.

    Pada PRU14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas dan Pakatan Harapan.

    Terdahulu semasa berucap dalam majlis itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beliau masih tegak berdiri ingin menjadi calon walaupun sudah lapan kali menyertai pilihan raya.

    “Sebab kata orang, politik adalah suatu bidang yang boleh memberi kenikmatan. Masuk politik nak keluar payah.” katanya.

    Ditanya mengenai peratus kemenangan parti itu di Ketereh, Annuar berkata, ia bergantung kepada pendirian rakyat di kawasan itu dan beliau yakin terhadap keputusan yang akan diambil oleh pengundi nanti.

    “Para pengundi di Ketereh cukup bijak dan saya percaya kali ini sama juga. Cuma sesiapa yang menjadi calon nanti perlu berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab seperti yang diharapkan rakyat.

    “Setakat ini… Ketereh itu insyaallah…orang Ketereh semua baik-baik belaka,” tambahnya.

    Annuar menjadi wakil rakyat Ketereh selama dua penggal selepas menang atas tiket BN pada PRU13 dan PRU14.