Category: Semasa

  • Mengundi adalah fardu kifayah bagi umat Islam

    Mengundi adalah fardu kifayah bagi umat Islam

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mengundi di dalam pilihan raya merupakan amalan fardu kifayah dan termasuk sebagai salah satu cara atau kaedah bagi mencapai kemaslahatan rakyat.

    Menurut beliau, penyertaan di dalam pilihan raya dengan niat memilih wakil rakyat yang baik boleh dianggap amalan saling bekerjasama pada jalan kebajikan dan takwa yang amat digalakkan di dalam Islam.

    Jelas beliau, mengundi di dalam pilihan raya juga adalah termasuk sebahagian daripada bab muamalat yang terbina di atas kepentingan umum.

    “Namun, umat Islam dilarang memilih seorang calon yang diketahui tidak bertanggungjawab dan mengkhianati amanah terhadap agama, negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Wan Salim, umat Islam juga dilarang memilih individu yang menyeru kepada kesesatan atau maksiat kerana dibimbangi individu itu akan menyalahgunakan kuasa, jawatan dan kedudukan untuk merosakkan agama, masyarakat dan negara.

    “Ungkapan Nabi Yusuf sebagaimana di dalam al-Quran yang mana calon yang layak dipilih mewakili rakyat mestilah memiliki dua kualiti peribadi.

    “Iaitu dapat memelihara amanah yang diharapkan oleh para pengundi dan mempunyai kebolehan atau kecekapan mengurus serta mengendalikan pekerjaannya dengan baik,” katanya.

    Tambah beliau, umat Islam juga diharuskan memilih calon daripada kalangan bukan Islam sekiranya terbukti atau diyakini boleh memberi perkhidmatan yang berfaedah kepada rakyat dan negara termasuk kemajuan agama Islam.

    Ia katanya, selari menurut pandangan beberapa ulama muktabar seperti Imam Ramli, Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam Khatib Syarbini di dalam kitab-kitab karangan mereka.

    Dalam pada itu, beliau berkata, setiap calon PRU-15 perlu ingat bahawa pemerintahan adalah satu amanah dan tanggungjawab yang berat.

    Sehubungan itu jelas beliau, setiap calon perlu mengutamakan kepentingan rakyat di atas kepentingan diri atau kumpulan tertentu sekiranya menang dalam pilihan raya nanti dan terpilih sebagai wakil rakyat.

    “Kepada para pengundi pilihlah calon yang mempunyai sifat jujur dan amanah, berintegriti dan prihatin kepada kepentingan rakyat di samping sedia berkorban untuk membela nasib mereka,” katanya.

  • PRU-15: Razali umum tidak bertanding kerusi Parlimen di Terengganu

    PRU-15: Razali umum tidak bertanding kerusi Parlimen di Terengganu

    KETUA Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris, memutuskan untuk tidak bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya akan memfokus kepada tugasnya sebagai Senator yang tamat tempoh perkhidmatan pada 2024.

    Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada calon lain daripada Bersatu untuk bertanding di kerusi Parlimen yang akan diputuskan pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

    “Saya dengan rendah hati ingin memohon ribuan maaf kepada penyokong serta ahli Bersatu seluruh negeri ini kerana memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU-15.

    “Pada masa sama, saya meminta semua ahli parti supaya menyokong calon yang diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti nanti, bagi memastikan PN meraih kemenangan pada PRU-15,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Bahagian Besut, semalam.

    Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, beliau sudah memaklumkan hasratnya itu kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Walaupun tidak bertanding, saya bersama ahli jawatankuasa pada semua peringkat akan turun padang ke semua kawasan Parlimen di negeri ini untuk membantu calon kita, termasuk daripada Pas,” katanya.

    Mengenai jumlah kerusi Parlimen di Terengganu yang diagihkan kepada Bersatu, Razali berkata, perbincangan terakhir sedang dilakukan dan akan diumumkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

    “Setakat ini, saya dimaklumkan kerusi Parlimen Hulu Terengganu akan diserahkan Pas kepada Bersatu .

    “Jika betul kerusi Parlimen Hulu Terengganu diserahkan kepada BERSATU, kita bersetuju untuk Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, dicalonkan untuk bertanding,” katanya lapor BH Online.

  • Kilang perabot didenda RM4,000 cemar alam sekitar

    Kilang perabot didenda RM4,000 cemar alam sekitar

    SEBUAH kilang perabot di Butterworth, Pulau Pinang dikompaun sebanyak RM4,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang gagal menguruskan buangan terjadual mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling, Buangan Terjadual 2005.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang itu diserbu pihaknya dalam operasi bermula pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.

    seramai 40 warga asing yang bekerja di kilang terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut.

    Menurut beliau, dalam operasi bersama-sama Jabatan Imigresen negeri itu, seramai 40 warga asing yang bekerja di kilang terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut.

    “JAS Pulau Pinang akan meneruskan penguatkuasaan tegas bagi memastikan peraturan dan undang undang dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dipatuhi oleh pihak industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Remaja perempuan baling pisau pada adik hingga mati direman

    Remaja perempuan baling pisau pada adik hingga mati direman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja perempuan yang membaling pisau pada adik lelakinya sehingga menyebabkan maut di Ulu Pulai, Ulu Choh, di Iskandar Puteri semalam, direman enam hari bermula hari ini.

    Majistret Nurmadiana Mamat membenarkan tempoh reman bermula hari ini sehingga 25 Oktober ini terhadap remaja berusia 18 tahun itu di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi.

    Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Semalam, polis menahan remaja itu selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut pada 2.15 petang.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dilapor berkata, tragedi malang itu dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia 16 tahun bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

    Beliau berkata, mereka berebut tempat duduk dalam kereta dipercayai menjadi punca pergaduhan dua beradik itu.

    “Ibu mereka mengatakan pada awalnya, mangsa bergaduh dengan kakaknya disebabkan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah dan kakak mangsa mengaku telah membaling pisau ke arah mangsa setelah diejek ketika masuk ke dalam rumah,” katanya.

    Rahmat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hari ini.

  • Ini penjelasan Radzi Jidin kenapa silibus tak boleh ditukar segera

    Ini penjelasan Radzi Jidin kenapa silibus tak boleh ditukar segera

    SILIBUS pelajaran di sekolah tidak boleh ditukar dalam kadar segera atas dua faktor utama, menurut penjelasan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

    Pertama, sesuatu silibus itu harus dilengkapkan kitarannya iaitu pelajar harus mengharunginya dari mula memasuki sekolah hingga tamat di darjah atau tingkatan penghabisan.

    Jelasnya, murid Tahun Satu pada 2017 merupakan kohort pertama yang menggunakan silibus yang ada hari ini, sementara murid Tahun lain masih memakai silibus lama kerana ia perlu dilengkapkan perjalanannya hingga Tahun Enam.

    “Saya nak jelaskan bahawa pembangunan silibus ini mengambil masa, perjalanannya itu ada pusingan dan silibus yang kita lihat hari ini telah mula digunakan pada 2017.

    “Itulah kali pertama ia digunakan sehinggalah hari ini, mereka yang Darjah Satu pada 2017 itu sudah Darjah Enam pada tahun ini, dan mereka yang Darjah Satu pada 2018 sekarang sudah Darjah Lima.”

    Oleh hal demikian yang membawa kepada faktor kedua iaitu sebarang silibus tidak boleh diubah di pertengahan jalan kerana ia akan menggangu seluruh aturan sistem itu.

    Dalam erti kata lain, untuk memperkenalkan silibus yang baharu, perlu ditunggu hingga seluruh kohort yang menggunakan silibus lama selesai perjalanannya hingga Darjah Enam.

    “Maka kita perlukan penelitian yang mendalam, kita sedar daripada maklum balas daripada ibu bapa yang menceritakan bahawa silibus hari ini dilihat agak sukar berbanding dengan yang dahulu dan kita ambil kira.

    “Kerana dalam konteks ini, satu kohort (Tahun Satu 2017) sudah tamat kitarannya dan inilah ruang terbaik untuk kita lihat kembali silibus tersebut,” katanya dalam program Agenda Awani.

  • BERSATU tanding semua kerusi di Parlimen Gopeng

    BERSATU tanding semua kerusi di Parlimen Gopeng

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parlimen Gopeng akan bertanding di semua kerusi dalam Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

    Selain kerusi Parlimen Gopeng, tiga lagi kerusi di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Sungai Rapat, DUN Simpang Pulai dan DUN Teja akan turut ditandingi.

    Ketua Bahagian Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak berkata, semua nama calon telah dikemukakan dan pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut akan diumumkan sendiri oleh pimpinan tertinggi parti tidak lama lagi.

    “Kita akan bertanding di semua kerusi di Parlimen Gopeng ini malah di DUN Simpang Pulai kita akan letakkan ahli bersekutu calon India. Mesej kita adalah untuk menunjukkan bahawa kita berbesar hati untuk meletakkan calon dalam kalangan masyarakat India di sini.

    “Di Gopeng ini kita ada ramai ahli bersekutu, jadi kita menghargai peranan mereka dalam menggerakkan jentera dan kita akan bergerak secara berpasukan bersama Pas untuk membantu memenangkan calon PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Gopeng di Dewan Bandaran Gopeng, malam tadi.

    Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Timbangan Pengerusi PN Perak yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria.

    Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Gopeng, Abu Bakar Hussain ketika berucap pada majlis yang sama mengesahkan bahawa Bersatu akan bertanding di semua kerusi Parlimen Gopeng.

    Beliau berkata, Pas Kawasan Gopeng akan membantu memastikan kemenangan PN di kerusi Parlimen itu dan tiga kerusi DUN di dalamnya pada PRU-15 nanti.

    “Saya sebagai YDP Kawasan Gopeng, saya berjanji bahawa Pas akan memberikan sokong yang padu. Walaupun Pas tak bertanding, tapi Insya-Allah semangat berjuang untuk menentang PH dan kalahkan UMNO tetap berkobar-kobar.

    “Sekarang kita kena mulakan gerak kerja pilihan raya walaupun calon-calon belum diisytiharkan lagi namun kerja-kerja awal mesti lakukan mulai sekarang. Kami dalam PAS ada pengalaman,” ujarnya lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Razman yang ditemui pemberita selepas majlis itu menjelaskan bukan isu Pas tidak meletakkan calon di Parlimen Gopeng kerana mereka bertanding atas tiket PN.

    Menurutnya, sesiapa sahaja yang bertanding atas tiket PN akan diberikan sokongan untuk memastikan kemenangan.

  • Maut dipercayai dihempap kereta ketika curi ekzos

    Maut dipercayai dihempap kereta ketika curi ekzos

    SEORANG lelaki ditemui mati berhampiran sebuah kereta di tepi jalan di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, Selangor, dipercayai akibat dihempap kenderaan itu pada awal pagi semalam.

    Ketua Polis Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki itu bersama seorang rakan disyaki sedang mencuri tabung ekzos kereta berkenaan sekitar jam 4 hingga 6 pagi.

    “Lelaki tempatan berusia 40 tahun itu dipercayai maut akibat terhempap selepas peralatan yang digunakan untuk mengangkat kereta berkenaan tiba-tiba terjatuh.

    “Dia dipercayai terhempap ketika berada di bahagian tengah kenderaan, berdekatan tabung ekzos. Kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya, lapor Berita Harian.

    Susulan itu, Ahmad Ridhwan berkata, bertindak atas maklumat diperoleh, pihaknya kemudian menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun yang juga rakan kepada si mati, di sekitar kawasan Telok Panglima Garang pada pukul 10.45 pagi semalam.

    Beliau berkata, suspek yang ditahan didapati mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan kes mencuri ekzos kenderaan dan pecah rumah serta dua rekod narkotik.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri, dan suspek akan direman hari ini,” katanya.

  • SPR bermesyuarat hari ini, tentukan tarikh penting PRU15

    SPR bermesyuarat hari ini, tentukan tarikh penting PRU15

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada pukul 10 pagi di sini, hari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Mesyuarat khas yang berlangsung di Menara SPR itu, akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

    Berdasarkan jemputan media yang dikeluarkan oleh SPR, satu sidang media dijangka diadakan pada pukul 12 tengah hari bagi mengumumkan tarikh pengundian, penamaan calon, tarikh writ pilihan raya, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain untuk melaksanakan PRU15.

    Mesyuarat khas itu diadakan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lepas bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    SPR juga dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, yang dijangka diadakan serentak dengan PRU15.

    Kekosongan kerusi DUN Bugaya adalah berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020 dan PRK DUN itu tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

    SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah mengenai kekosongan kerusi DUN berkenaan pada 12 Oktober lepas.

    Pada 7 Oktober lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Oktober lepas.

    Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Ismail Sabri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

    PRU kali ini berlainan apabila beberapa DUN tidak dibubarkan antaranya Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kerana belum mencapai tempoh matang manakala tiga negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri di bawah Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak membubarkan DUN masing-masing.

    Hanya Perak, Pahang dan Perlis membubarkan DUN masing-masing untuk membolehkan PRN diadakan serentak dengan PRU15.

    Tempoh mandat kerajaan Persekutuan sepatutnya berakhir pada Julai 2023.

  • 10 cedera termasuk pemandu, van kilang terbalik dan ‘melekat’ di tiang

    10 cedera termasuk pemandu, van kilang terbalik dan ‘melekat’ di tiang

    SERAMAI 10 pekerja kilang termasuk pemandu cedera selepas van yang membawa mereka terbabas dan melanggar tiang dalam kemalangan di KM 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Tambun Juru, Juru pukul 6.38 pagi tadi.

    Kemalangan itu mengakibatkan pemandu van kilang tersepit, manakala sembilan lagi penumpang terdiri daripada pekerja wanita dan lelaki cedera.

    Menurut pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Pegawai Bomba Kanan 11, Azhar Samsudin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.38 pagi.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian pihak bomba mendapati sebuah van jenis Foton terbabas dan melanggar tiang.

    “Pemeriksaan mendapati van berkenaan remuk teruk dengan pemandu van tersepit di dalam kenderaan tersebut, dua mangsa mengalami kepatahan manakala tujuh lagi mangsa cedera ringan.

    Anggota bomba ketika berusaha mengeluarkan mangsa dari van terbabit yang seakan ‘melekat’ pada tiang. – Foto JBPM

    “Pasukan penyelamat melakukan kerja kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 7.34 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan kemudian diberikan rawatan awal oleh Pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya lapor Astro Awani.

    Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.47 pagi dan kes diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Berebut tempat duduk kereta, kakak tikam adik

    Berebut tempat duduk kereta, kakak tikam adik

    SEORANG remaja lelaki maut, dipercayai ditikam kakaknya selepas berebut tempat duduk di dalam kereta ketika pulang sekolah.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, perselisihan faham dua beradik itu berlarutan selepas tiba di rumah mereka di Ulu Pulai, Ulu Choh, semalam.

    Katanya, polis menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada 2.15 petang yang melaporkan mangsa maut ditikam.

    Beliau berkata, ibu mangsa mendakwa mangsa berusia 16 tahun bertengkar dengan kakaknya berusia 18 tahun, kerana berebut tempat duduk dalam kereta.

    Katanya, kakak mangsa berang selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang.

    “Bedah siasat akan dijalankan esok (Khamis) di Hospital Sultanah Aminah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, suspek ditahan dan perintah tahanan reman akan dilakukan esok.