Category: Semasa

  • Besut dilanda ribut, rumah, sekolah rosak teruk

    Besut dilanda ribut, rumah, sekolah rosak teruk

    PENGHUNI lebih 60 rumah di tujuh kampung di Jertih berdepan detik cemas apabila kawasan itu dilanda ribut sehingga merosakkan kediaman mereka pada petang semalam.

    Kampung terlibat dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu ialah Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Dengir, Tok Has, Lay Out Tok Has, Gong Penaga dan Air Terjun manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri yang terletak di Kampung Tok Has turut mengalami kerosakan dalam insiden itu.

    Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat yang berlarutan hampir satu jam itu.

    “Pihak kami dalam tindakan mendapatkan maklumat jumlah sebenar keluarga yang terjejas kerana kemungkinan ada lagi mangsa yang belum melaporkan kejadian kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Hamdhan Abd Ghafar berkata tiada kecederaan dilaporkan susulan kejadian berlaku selepas waktu persekolahan di mana semua guru dan pelajar telah pulang.

    Katanya, bumbung garaj letak kereta guru diterbangkan ribut sehingga tersangkut pada bumbung bangunan kelas berdekatan.

    “Empat kelas mengalami kerosakan di bahagian bumbung apabila atap diterbangkan angin namun tidak ada sebarang kecederaan. Kejadian berlaku selepas waktu persekolahan, pelajar serta guru telah pulang ke rumah masing-masing.

    “Persekolahan beroperasi seperti biasa hari ini tetapi murid yang kelas mereka terjejas ditempatkan sementara di dewan sekolah dan tindakan segera akan diambil untuk membaiki kerosakan supaya murid-murid dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa apabila sekolah dibuka Rabu depan,” katanya.

  • PRU-15: SPR punyai kuasa untuk ubah, tangguh tarikh undi jika banjir

    PRU-15: SPR punyai kuasa untuk ubah, tangguh tarikh undi jika banjir

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses pengundian dan mengubah ke tarikh baharu untuk pengundian di sesuatu lokaliti sekiranya berlaku insiden atau bencana tidak diingini.

    Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, mengambil contoh sekiranya sesuatu Pusat Mengundi itu dinaiki air banjir yang menyulitkan proses pengundian, maka ia boleh ditangguhkan ke suatu tarikh baharu.

    Menurutnya, di bawah Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 memberi kuasa kepada SPR untuk mengubah tarikh pengundian dan menangguh proses pengundian.

    “Kalau ditakdirkan malam sebelum hari mengundi, Pusat Mengundi itu dinaiki air, jadi ia mustahil untuk pengundi keluar dan jejaskan prosesnya. Maka SPR ada kuasa untuk tetapkan tarikh lain bagi Pusat Mengundi itu sahaja.

    “Penangguhan juga dibolehkan sekiranya sesebuah Pusat Mengundi itu dinaiki air pada hari pengundian, maka SPR mempunyai kuasa untuk menangguhkannya,” katanya dalam program Menjelang Malaysia Memilih hari ini.

    Katanya, penangguhan pengundian pula hanya dilakukan di satu-satu lokaliti yang terkesan sahaja dan tidak menjejaskan seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

    Semestinya ia juga melibatkan tatacara yang perlu diikuti bagi memastikan proses penangguhan berjalan lancar, jelasnya.

    “Bila penangguhan dibuat ada tatacara rapi yang perlu dibuat di hadapan wakil calon seperti cara menutup peti undi, disaksikan oleh wakil setiap calon, dan ditempatkan di tempat yang selamat.

    “Apabila tiba hari pengundian semula, maka proses sama akan dilakukan di hadapan wakil-wakil calon, ia bagi memastikan proses berjalan lancar dan dakwaan penipuan dan sebagainya,” jelasnya, lapor Astro Awani.

    Tambah Wan Ahmad, kuasa untuk menentukan penangguhan itu diberikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di setiap Parlimen.

  • Kos PRU-15, PRK DUN Bugaya cecah RM1 bilion

    Kos PRU-15, PRK DUN Bugaya cecah RM1 bilion

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah memerlukan peruntukan dianggarkan berjumlah 1.01 bilion, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

    Beliau berkata seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya manakala sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi dan saluran serta 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi dan saluran awal akan digunakan.

    “Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 dengan 39,318 tempat mengundi dan saluran,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di Menara SPR di Putrajaya hari ini.

    Abdul Ghani berkata SPR telah melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 1,264 penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya.

    “Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

    Beliau berkata sebanyak 222 pusat penamaan calon (PPC) dan 222 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan.

    Abdul Ghani berkata SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU15 PRK DUN Bugaya agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan pada 5 Nov 2022 (Sabtu) bagi memudahkan proses penamaan calon.

    Selain itu, beliau berkata bakal-bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

    “Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.

    Abdul Ghani berkata SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi penstriman langsungbagi pusat dan saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR seperti yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.

    Beliau berkata SPR juga menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRU15 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

    “Permohonan untuk menjadi pemerhati pilihan raya telah dibuka pada 11 Okt 2022 dan akan ditutup pada 21 Okt 2022,” katanya.

  • Anggota polis mengaku tidak bersalah 24 tuduhan terima wang

    Anggota polis mengaku tidak bersalah 24 tuduhan terima wang

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuantan hari ini atas 24 tuduhan menerima imbuhan wang tunai tanpa balasan daripada seorang individu dengan jumlah keseluruhan RM4,800 antara 2016 hingga 2019 lalu.

    Tertuduh, Rasip Majid, 53, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin.

    Berdasarkan kertas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain itu, tertuduh didakwa menerima RM200 bagi setiap transaksi (24 transaksi) daripada individu tersebut melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun banknya antara Disember 2016 hingga Oktober 2019.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut yang mana dia mengetahui individu tersebut mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Ekoran pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar, lapor Sinar Harian.

    Dalam rayuan terhadap jaminan itu, tertuduh yang kini bertugas di IPD Merlimau, Melaka merayu agar jumlah itu dikurangkan.

    Tertuduh memberi alasan terpaksa menyara keluarga termasuk ibu bapa dan anak yang masih bersekolah dengan pendapatan lebih RM6,000 sebulan.

    Ahmad Zamzani bagaimanapun mengekalkan jumlah jaminan RM5,000 dengan beberapa syarat tambahan.

    Tertuduh diperintahkan supaya melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula November depan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasportnya.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam bagi kes itu.

  • Saman pemula Charles wajar ditolak

    Saman pemula Charles wajar ditolak

    PEGUAM Persekutuan menghujahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, saman pemula oleh penyandang kerusi Parlimen Klang berhubung pembubaran Parlimen, wajar ditolak selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 19 November depan.

    Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata demikian ketika prosiding pendengaran permohonan untuk membatalkan saman pemula oleh Charles Santiago di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid, lapor Sinar Harian.

    SPR telah menetapkan 19 November depan sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, Sabah.

    Menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPR hari ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal, 15 November ini.

  • Peniaga didakwa bunuh Datin di dapur

    Peniaga didakwa bunuh Datin di dapur

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh seorang Datin di sebuah rumah di Taman Paroi Jaya di Seremban pada September lalu.

    Tertuduh, Mohd. Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan seorang peniaga, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Faizul didakwa telah menyebabkan kematian seorang warga emas, Noraida Nordin, 75.

    Kesalahan itu dilakukan di dapur sebuah rumah di Taman Paroi Jaya, Seremban antara pukul 4.52 petang hingga 8 malam, 23 September 2022.

    Berikutan itu dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau dengan penjara selama 30 tahun, dan jika dikenakan hukuman mati boleh disebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Sritharai C. N. dan P. Praveen.

    Sebutan semula kes 20 Disember depan.

    Sebelum itu, tertuduh yang memakai baju-T berwarna biru tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi.

    Turut kelihatan pelakon Farhan Asri atau nama sebenarnya Muhamad Farhan Mohd. Asri, 25, yang merupakan cucu kepada mangsa.

    Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita warga emas bergelar Datin berusia 75 tahun ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada badan di rumahnya di Taman Paroi Jaya pada 23 September lalu.

    Kejadian pada pukul 8.25 malam itu berlaku ketika Datin Noraida Nordin, 75, tinggal bersama suaminya yang merupakan bekas ahli perniagaan bergelar Datuk.

  • Jabatan Penjara tidak benarkan Najib keluar kenyataan PRU

    Jabatan Penjara tidak benarkan Najib keluar kenyataan PRU

    JABATAN Penjara tidak membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan sebarang kenyataan termasuk perkara-perkara berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim berkata, banduan-banduan yang sedang menjalani hukuman penjara termasuk bekas Perdana Menteri keenam itu tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan.

    “Semua surat serta dokumen yang dikeluarkan juga perlu ditapis terlebih dahulu. Termasuk surat yang akan dihantar kepada keluarga, ia akan ditapis oleh pihak penjara dahulu,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Menjangkau Abad Dinding Penjara yang dirasmikan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin di Muzium Penjara Banda Hilir di Melaka hari ini.

    Jelas beliau, Jabatan Penjara Malaysia sebuah jabatan kerajaan yang tidak terlibat dengan mana-mana politik dan warganya terus menggalas tanggungjawab yang diamanahkan biar siapa pun kerajaan yang memerintah.

    Sebelum ini media melaporkan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara tidak dibenarkan keluar berkempen pada PRU-15.

    Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad berkata, bekas Perdana Menteri itu sentiasa tertakluk kepada akta dan peraturan semasa beliau menjalani hukuman penjara.

    Media pada 23 Ogos lalu melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib berhubung kes penyelewengan dana SRC International.

  • Bapa dituduh bunuh bayi, mengaku cederakan isteri

    Bapa dituduh bunuh bayi, mengaku cederakan isteri

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki didakwa membunuh bayi lelakinya yang baru berusia tiga bulan di kediaman mereka, kira-kira dua minggu lalu selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini.

    Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Nasyran Zamzury, 28, yang juga seorang petani ketika pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh anaknya, Muhammad Annas di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang, Mukim Padang Hang, Alor Setar antara pukul 9 malam pada 4 Oktober hingga 1.30 petang, 10 Oktober lalu.

    Mahkamah turut menjatuhkan hukuman 14 bulan penjara terhadapnya setelah dia mengaku bersalah bagi pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22.

    Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 5 petang, pada 4 Oktober lalu di lokasi sama.

    Selain itu, Muhammad Nasyaran turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan methamphetamine ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 7 petang, 10 Oktober lalu.

    Siti Norhidayah menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 18 Disember depan sementara menunggu laporan patologi.

    Namun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan bekas teman wanitanya yang kini berusia 26 tahun pada 2019.

    Kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra, Alor Setar kira-kira pukul 7 pagi, 5 Mei 2019.

    Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 November depan sementara menanti serahan dokumen selain tiada jaminan ditawarkan.

    Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nurfatin Mastura Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriyah Mohd. Nordin hanya untuk pertuduhan mencederakan isterinya.

    Sebelum ini, lelaki yang turut memiliki dua lagi anak perempuan berusia setahun dan enam tahun ditahan selepas polis menemukan bayi terbabit dalam keadaan tidak bernyawa ketika serbuan dilakukan di rumahnya.

    Soal siasat awal polis mendapati, suspek mengaku memukul anaknya kerana enggan minum susu dan menangis tanpa henti.

    Ibu bayi berkenaan dipercayai keluar rumah bagi menyelamatkan diri sebelum kejadian menimpa anaknya itu kerana dia turut diugut bunuh oleh suspek selain tidak tahan apabila sering dipukul.

  • Nakhoda didenda RM5,000 halang tugas penjawat awam

    Nakhoda didenda RM5,000 halang tugas penjawat awam

    SEORANG nakhoda warga asing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di Kota Tinggi semalam selepas mengaku salah atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu kenyataan akhbar hari ini memaklumkan, tertuduh, Tsetskhladze Alexander, 47, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

    “Lelaki warga Georgia itu yang bertugas sebagai nakhoda di atas MT SIMBA iaitu kapal tangki yang berdaftar di Kribi, gagal memberikan kerjasama ketika cuba diperiksa kapal ronda maritim yang menjalankan Op Jangkar Haram, pada 15 Oktober lalu.

    “Akibat kedegilan kapal tangki itu, ia memaksa Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia diatur gerak dan menggunakan kaedah ‘force boarding’.

    “Hasil pemeriksaan mendapati MT SIMBA yang bersauh di kedudukan 24.8 batu nautika Tanjung Siang itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen

    491B(1)(L)Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tiada kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Laut Malaysia,” ujar beliau.

    Menurut Maritim Malaysia, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Pada masa sama, Maritim Malaysia menasihatkan mana-mana syarikat perkapalan supaya sentiasa memastikan kapal-kapal di bawah seliaan mereka mematuhi undang-undang kerana tidak akan berkompromi serta tindakan yang lebih tegas akan diambil.

  • PRU-15:Ditetapkan 5 November penamaan calon, 19 November hari mengundi

    PRU-15:Ditetapkan 5 November penamaan calon, 19 November hari mengundi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN


    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.

    “Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, Sabah akan turut diadakan serentak dengan PRU-15 katanya dalam sidang akhbar PRU15 di Menara SPR, di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 5 November
    2022 Sehingga pukul 11.59 malam, 18 November.

    Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula 10 Oktober 2022 untuk PRU Ke-15 dan dari 13 Oktober bagi PRK DUN Bugaya.

    Jelasnya, permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan Kategori 1C agensi/organisasi) dilaksanakan secara dalam talian (online).

    Bagi menjalankan proses PRU Ke-15 dan PRK DUN Bugaya, SPR telah melantik 222 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 1,264 Penolong Pegawai Pengurus, katanya.

    Sementara bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

    “Bagi maksud PRU Ke-15 dan PRK DUN Bugaya, sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 222 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

    “Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru bakal-bakal calon PRU-15 dan PRK DUN Bugaya agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya.

    Selain itu ujar beliau, bakal-bakal calon juga adalah digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

    Walau bagaimanapun katanya, diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu perlu dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon.

    SPR ujar Abdul Ghani, akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi ‘live streaming’ bagi pusat dan saluran mengundi yang terpilih dalam Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.

    “Seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU-15 dan PRK DUN Bugaya manakala, 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi/saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 97 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

    “Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi/saluran. PRU Ke-15 dan PRK DUN Bugaya ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion,” katanya.

    Menurutnya lagi, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU-15 dan PRK DUN Bugaya adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober lalu.

    DPPR bagi PRU-15 ini mengandungi seramai 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 pengundi tidak hadir luar negara, katanya.

    DPPR bagi PRU-15 dijadualkan mula dijual pada 31 Oktober, para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

    “Semakan boleh dibuat mulai 31 Oktober. SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRU-15 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

    “Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syaratsyarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.

    Jelasnya, permohonan untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya telah dibuka pada 11 Oktober dan ditutup pada 21 Oktober ini.

    Permohonan masih boleh dikemukakan kepada SPR melalui emel [email protected]. Untuk maklumat lanjut, sila layari
    https://www.spr.gov.my.

    Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen Jom Kita Undi melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat lain yang bersesuaian.