SEORANG pekerja meninggal dunia selepas dihempap sebuah jentolak di sebuah tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat, Jalan Rumbia 4, Pasir Gudang, hari ini.
Difahamkan semasa kejadiaan lelaki berkenaan yang berusia 51 tahun sedang bekerja di tapak pelupusan tersebut.
Mangsa merupakan pekerja luar yang datang untuk membaiki jentolak tersebut dan semasa membaikinya, jentolak tersebut terjatuh dan menghempab mangsa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Shahrol Suboh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.02 pagi.
Susulan itu katanya, seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Seorang lelaki maut selepas dihempap sebuah jentolak ketika bekerja di sebuah tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati seorang pekerja telah dihempap sebuah jentolak. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dibantu sebuah jengkaut.
“Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Jelas beliau, operasi berkenaan tamat pada pukul 11.27 pagi.
PERIKATAN Nasional (PN) berazam melonjakkan kawasan pentadbiran Putrajaya ke tahap yang lebih baik sekiranya diberikan mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Calon PN bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yakin dapat memenangi hati pengundi Putrajaya nanti.
“Bagi tempoh empat tahun (selepas menang di Putrajaya), saya menetap di kawasan itu cukup untuk mengenali masyarakat setempat dan mengetahui pelbagai masalah yang membelenggu penduduk.
“Saya tinggal di sini sejak 2018 dan rumah pertama saya adalah di Pangsapuri Larai sebelum berpindah ke Presint 10, ketika itu saya banyak bergaul dengan komuniti setempat khususnya jawatankuasa masjid dan surau, masyarakat, kepimpinan masyarakat, persatuan penduduk dan persatuan sukan.
“Insya-Allah, jaringan yang ada dengan kakitangan awam semasa di Kementerian Hal Ehwah Ekonomi dan Kementerian Pendidikan memberi ruang yang sebaiknya untuk saya menyantuni pengundi di sini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bersarapan pagi bersama sebahagian pelajar-pelajar ketika hadir ke Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di SMK Presint 16 Putrajaya, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Banyak perkara yang disampaikan kepada saya, walaupun Putrajaya ini sebuah bandar pentadbiran serta bandar terancang, banyak perkara perlu ditambah baik, antaranya penyelenggaraan kuarters yang tidak diberi perhatian dalam tempoh yang lama dan tiada pengangkutan awam seperti bas untuk menghantar pelajar ke sekolah.
“Kalau dulu pelajar ini pergi sekolah dengan bas, tetapi kini ibu bapa terpaksa menghantar ke sekolah berikutan ketiadaan bas di Putrajaya. Selain itu ruang parkir juga menjadi isu di bandar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1), di Putrajaya hari ini.
Rabu lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengumumkan Radzi yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai calon gabungan itu di Parlimen Putrajaya sekali gus menutup pelbagai khabar angin berkaitan kerusi berkenaan.
Untuk rekod, kerusi P125 Putrajaya itu disandang oleh Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang kerusi berkenaan selama empat penggal. Pada PRU14, Tengku Adnan menang dengan majoriti 3,372 undi.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengadakan sidang media ketika hadir ke Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di SMK Presint 16 Putrajaya, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Beliau memperoleh sebanyak 12,148 undi menewaskan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat yang masing-masing memperoleh undi sebanyak 3,634 dan 8,776.
Sementara itu, Radzi berkata rekod PN semasa menjadi kerajaan mampu membantu parti gabungan itu menakluk Putrajaya.
“Kita pernah memerintah ketika waktu Covid-19 dan ia membuktikan kerajaan dibawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat bekerjasama rapat dengan penjawat awam serta menghormati pandangan yang diberikan oleh mereka.
“Rekod kita jelas bagaimana kita dapat bekerjasama dengan baik dan rekod itu juga akan dibawa bersama bagi memastikan kita dapat melonjakkan Putrajaya ini kepada yang lebih baik,” katanya, lapor Berita Harian.
Sementara itu, menyentuh mengenai manifesto, Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PN berkata, perkara itu akan dilihat secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada konteks prihatin, bersih dan stabil.
“Ini adalah perkara yang ingin kita bawa dalam konteks pembangunan masyarakat, banyak perkara yang kita akan lihat secara menyeluruh bagi memastikan apabila kita membentuk kerajaan, kita bersedia.
“Apa yang selalu disebut oleh Tan Sri Muhyiddin, apabila diizinkan untuk membentuk kerajaan perkara pertama yang ingin dilihat adalah bagaimana cabaran yang dihadapi oleh negara dan rakyat kerana kita melalui satu tempoh yang sukar,” katanya.
Manifesto PN akan dilancarkan selepas hari penamaan calon yang ditetapkan pada 5 November ini oleh Muhyiddin.
PAS menerusi Perikatan Nasional (PN) bersepakat untuk menawarkan sebuah kerajaan yang bersih dan stabil kepada rakyat melalui kepimpinan yang berintegriti.
Menurut Ketua Penerangan Pas, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin, komitmen tersebut dibuktikan dengan menapis semua latar belakang calon yang akan mewakili PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Setiap calon wajib mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama, berbaiah (janji setia) dan bersumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak mengkhianati amanah sebagai pemimpin,” lapor Sinar Harian.
“Rekod bersih pentadbiran di tiga negeri bawah pimpinan Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta beberapa kementerian membuktikan Pas mampu mewujudkan kepimpinan yang prihatin pada rakyat dan bersih daripada rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk memberikan kepercayaan kepada PN untuk mentadbir Malaysia dengan mengundi calon gabungan tersebut dalam PRU-15 pada 19 November nanti demi sebuah negara yang bersih dan stabil.
DUA anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa maut dalam kemalangan di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, Pasir Mas, pukul 4.25 pagi
Anggota PGA berpangkat koperal dan lans koperal itu, Jerry Layong Anak Nyalin, 32, dan Juna Anak Jembat, 39, maut di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan teruk di kepala.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan awal mendapati setiba di lokasi kejadian kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mangsa melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.
“Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, mayat kedua-dua anggota terlibat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
BEKAS Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat akan membuat kemunculan semula dalam arena politik tanah air dan kini menyertai Parti Warisan (Warisan).
Bekas menteri pengangkutan itu juga berminat bertanding di kawasan lamanya di Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menurut MalaysiaKini yang memetik laporan Sin Chew Daily.
Tee Keat berkata, Presiden Warisan, Mohd. Shafie Apdal menghubunginya beberapa bulan lalu dan dia bersetuju menyertai parti itu selepas mempertimbangkannya secara serius.
“Saya memutuskan untuk membuat kemunculan semula kerana perkembangan politik Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Selain daripada lompat parti yang mengerikan, sesetengah ahli politik tidak mempunyai pendirian atau pandangan yang tegas.
“Salah satu perkara yang membingungkan saya ialah peruntukan bajet menjadi lebih tidak seimbang berbanding semasa saya dalam kerajaan, namun suara-suara yang berbeza menjadi semakin lemah,” Tee Keat dipetik berkata.
Katanya, belanjawan yang dibentangkan semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin adalah sangat cacat, dan kurangnya tekanan daripada pembangkang menyebabkan dia kecewa.
Beliau turut membidas memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“(Memorandum) adalah seperti gencatan politik dan negara lain juga melakukan ini, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi ‘pelucutan senjata’.
“Ia merugikan diri sendiri. Apa kata pengundi? Harga untuk reformasi di Parlimen tidak seimbang dan hanya biarkan Ismail Sabri mengharungi sedikit pergolakan. Adakah itu yang rakyat mahukan? Saya tidak fikir begitu,” katanya.
Sementara itu, Bernama malam tadi melaporkan Shafie memberitahu pemberita di Tenom, Sabah, bahawa ‘seorang bekas Presiden MCA’ akan menjadi antara calon Warisan di Semenanjung Malaysia, bersama bekas pemimpin dan ahli dari PKR dan UMNO.
Shafie bagaimanapun tidak menamakan bekas presiden MCA berkenaan.
Tee Keat menyertai MCA pada 1981 dan kemudian menjadi presiden parti itu dan menteri pengangkutan. Beliau mendapat pujian kerana mendedahkan rasuah dalam peruntukan untuk sekolah Cina dan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Ampang Jaya selama lima penggal dari 1989 hingga 2013. Kawasan itu dinamakan semula sebagai Pandan selepas itu.
Bagaimanapun, Tee Keat keluar parti pada 2017 dan enggan memberikan alasan berbuat demikian walaupun selepas pihak media menghidu berita peletakan jawatannya beberapa bulan kemudian.
Bulan lalu, Warisan membayangkan Tee Keat akan menyertai parti itu, tetapi dia enggan mengesahkannya secara terbuka pada masa itu.
PKR mengumumkan Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli akan bertanding di Pandan pada pilihan raya umum akan datang.
Rafizi sebelum ini menyandang kerusi itu dari 2013 hingga 2018.
Penyandang kerusi sekarang ialah Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dari PKR, yang akan bertukar kerusi dan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 5 Nov, manakala hari pengundian pada 19 Nov.
BUKAN mudah untuk Pakatan Harapan (PH) menawan kerusi Parlimen kawasan luar bandar di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata penganalisis yang melihat pengundi di kerusi itu cenderung untuk memihak kepada Barisan Nasional (BN) atau Pas.
Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata PH, yang kini menyandang 16 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, akan memberikan tumpuan kepada kawasan luar bandar seperti Sungai Besar dan Sabak Bernam bagi memastikan calon parti itu menang pada PRU-15.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kawasan luar bandar di Selangor yang majoriti penduduknya Melayu kebiasaannya adalah kubu kuat Umno atau Pas.
Beliau berkata, PH mungkin akan menggunakan strategi untuk meraih undi popular dengan meletakkan ‘nama-nama besar’ di kerusi berkenaan bagi meningkatkan sokongan pengundi luar bandar.
Penganalisis politik Pensyarah Kanan Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub turut senada dengan Noor Nirwandy yang melihat masih sukar untuk PH menawan kerusi Parlimen seperti Sabak Bernam dan sekitarnya yang majoriti dihuni penduduk Melayu.
“Ini kerana kawasan berkenaan adalah deposit tetap undi BN atau Umno, dengan parti itu dapat mengekalkan kemenangan walaupun ketika gelombang PRU-14 lalu, dan ketika ini gelombang itu sudah tiada dan tiada isu besar untuk dibawa PH bagi menawan kawasan luar bandar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sekalipun PH meletakkan calon Melayu di kerusi berkenaan, namun lambang PH yang digunakan tidak mampu menjadi ‘batu loncatan’ untuk memenangi hati penduduk di kawasan itu, katanya.
Penganalisis politik Dr Azmi Hassan berkata, pengundi di luar bandar terutamanya Melayu dilihat tetap mempunyai persepsi negatif terhadap calon PH terutamanya berkait dengan parti DAP.
Amirudin sebelum ini mengumumkan PH Selangor akan meletakkan calon PKR di kerusi Parlimen Sungai Besar dan Amanah di kerusi Parlimen Sabak Bernam.
Kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dimenangi Umno pada PRU-14 bertukar menjadi milik Bersatu apabila penyandangnya Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh mengumumkan keluar daripada Umno untuk menyertai Bersatu, manakala penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar adalah Datuk Muslimin Yahaya adalah daripada Bersatu.
DUA maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang di Jalan Jelapang di Ipoh, awal pagi tadi.
Jurucakap dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa, lelaki dan wanita disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.
“JBPM Perak menerima panggilan memaklumkan berhubung kejadian kemalangan pada 2.13 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi.
“Bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati sebuah kereta dalam keadaan terbalik dan terdapat dua mangsa masih berada di dalam kenderaan berkenaan.
“Komander operasi mengarahkan anggota untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan maut oleh petugas kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
DUA lelaki nyaris rentung apabila terperangkap di dalam sebuah bilik yang terbakar, di Jalan Tun Hussein Onn, Taman Kemena Raya di Bintulu pukul 8.25 malam tadi.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, pihaknya mengatur gerak dua jentera, dengan kekuatan 21 pegawai dan anggota dari Balai Bintulu dan Balai Kidurong menuju lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukannya mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah rumah jenis kekal dua tingkat, yang terbakar 20 peratus.
“Terdapat dua mangsa terperangkap dalam insiden tersebut, namun telah berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.
Seorang mangsa, katanya, ditemui masih sedar manakala seorang mangsa lagi, sebaliknya.
“Kedua-dua mangsa diberi bantuan kecemasan oleh paramedik EMRS sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan seterusnya.”
Kata Henderi, pasukan bomba kemudian bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran iaitu satu aliran salur bantu mula dan satu aliran hos hantaran 100 kaki.
Kedua-dua mangsa katanya, dilaporkan selamat dan dirujuk ke Hospital Bintulu.
Punca kejadian dan taksir kerugian sedang disiasat pasukan forensik bomba.
Ketika kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) terpalit dengan pendakwaan kes di mahkamah, Perikatan Nasional (PN) sewajarnya menjadi pilihan terbaik rakyat untuk dipilih bagi menerajui negara ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Pemuda PN Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, ketika BN dan PH saling menuding jari antara satu sama lain berhubung kes mahkamah dihadapi pimpinan mereka, PN yang ditunjangi Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan pula dilihat lebih prihatin, bersih dan stabil untuk rakyat.
“Kita ada tiga pilihan utama dalam PRU kali ini iaitu PN, BN dan PH. Tetapi kalau dilihat kepad PH dan BN, hari ini mereka saling tuding-menuding antara satu sama lain membuka aib masing-masing.
“PH menuduh BN kluster mahkamah dan BN pula kata PH juga ada kluster mahkamah kerana Syed Saddiq sudah diarahkan membela diri dalam kesnya. Jadi antara BN dan PH saling kata-mengata mengenai perkara ini.
“Maka kita kena beritahu kepada semua terutamnya anak muda bahawa antara tiga gabungan ini, pilihan kita adalah PN yang lebih prihatin, bersih dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Jentera PN di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar, malam tadi.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) dan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Ahmad Sanusi Md. Nor (kiri) melancarkan Majlis Himpunan Jentera PN Kedah yang turut dihadiri Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Ahmad Sanusi Md. Nor di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, malam tadi. – Foto ihsan Facebook Pas Kedah
Nurul Aminn menambah, PN masuk ke gelanggang PRU dengan mesej yang cukup jelas ketika pimpinan mereka sudah menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengadakan PRU di saat negara sedang bersiap-sedia menghadapi banjir.
“Sekarang ini pun beberapa negeri termasuk beberapa kawasan di Kedah sudah ada yang banjir tetapi kerana gelanggang dah dibuka, maka kita masuk PRU ini dengan matlamat untuk menafikan kemenangan PH dan BN serta meletakkan PN sebagai pilihan utama rakyat.
“Rakyat tak pernah lupa jasa PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika dilanda Covid-19. Selama dua tahun, kita lihat pelbagai kebaikan dilaksanakan PN.
“Akhir sekali, saya ingin mengajak seluruh anak muda supaya menggunakan senjata paling utama dalam PRU-15 ini iaitu media sosial. Gunalah segala platform media sosial di Facebook, Tik Tok dan twitter supaya kempen memilih PN dan menolah PH serta BN ini berjalan dengan baik,” katanya.
PAS tidak mungkin akan mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sanggup meninggalkan Pakatan Harapan (PH) walaupun digelar pengkhianat demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, keadaan itu menyebabkan Pas tidak dapat bersama dengan UMNO kerana parti itu meletakkan syarat kepada mereka untuk mengisytiharkan putus hubungan bersama Bersatu, jika mahu berunding mengenai kerjasama antara Pas dan UMNO.
“Mana mungkin Pas nak khianati Bersatu ketika mereka sanggup tinggalkan PH untuk bersama Pas dan Gerakan hingga Muhyiddin sendiri menyebut bahawa beliau digelar pengkhianat.
“Biar dituduh pengkhianat oleh PH, asalkan tidak khianat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap pada Himpunan Jentera PN Kedah di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, malam tadi.
Menjelaskan tindakan Pas bersetuju untuk menggunakan logo PN di Kedah dalam PRU kali ini.
Foto Facebook Pas Kedah
“Orang Pas mungkin persoalkan mengapa pilih PN sedangkan dalam PRU lalu, 15 kerusi DUN serta tiga kerusi Parlimen dikuasai Pas. Mengapa pilih PN sedangkan ada dalam kalangan orang Kedah tak selesa dengan warna ‘biru’ hingga menyebabkan gatal-gatal badan.
“Hakikatnya kita memilih logo PN sebagai isyarat meraikan kepelbagaian kaum di Kedah. Di depan saya ini ada Melayu, Cina serta India yang akan beri sokongan kepada PN dan disebabkan itulah, kita pilih logo PN,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak lagi menjadikan Kedah sebagai negeri yang banyak menyumbang kerusi kepada PH untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
“22 bulan di bawah pemerintahan PH, teras utama kita digugat. Ada saja perkara membimbangkan dilakukan hingga jutaan rakyat turun ke Kuala Lumpur bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Semua itu isyarat dan pengajaran yang perlu diambil bahawa cukuplah 22 bulan di bawah PH. Jangan diulangi lagi dengan membenarkan PH kuasai dan tadbir negara,” katanya.