Category: Semasa

  • PRU15: Takiyuddin nafi Mohd. Amar ke Parlimen Pengkalan Chepa

    PRU15: Takiyuddin nafi Mohd. Amar ke Parlimen Pengkalan Chepa

    SETIUSAHA Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan khabar angin mendakwa Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Takiyuddin dalam pesanan ringkasnya semalam menafikan Mohd. Amar berpindah kerusi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Parlimen.

    Bahkan, Mohd Amar yang turut dihubungi juga memaklumkan beliau tidak mengetahui kedudukannya dan menyerahkan kepada presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membuat keputusan.

    “Saya tidak tahu, semua serah kepada Presiden untuk buat keputusan,” jawabnya ringkas, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini ada khabar angin menyatakan Naib Presiden Pas itu akan berpindah dari kerusi DUN ke kerusi Parlimen.

    Mohd. Amar menyandangkan kerusi DUN Panchor bawah Parlimen Pengkalan Chepa sejak sekian lama dan merupakan antara kubu kuat Pas sejak dari zaman Allahyarham ayahnya, seorang tokoh agama.

    Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, anak Allahyarham bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh hampir pasti tidak dicalonkan dikerusi yang disandangnya, Parlimen Bachok.

    Dari senarai yang tular sejak beberapa hari lalu, nama Nik Mohamad Abduh tidak tersenarai di Parlimen yang diwakilinya sebelum ini.

    Selain itu, nama penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi juga tidak tersenarai di kerusi berkenaan sebaliknya digantikan dengan nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Idris Ahmad.

    Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat pada sidang medianya semalam turut memaklumkan, dari 14 kerusi Parlimen Kelantan, lima darinya diperuntukkan kepada Bersatu.

    Dalam senarai nama calon PN Kelantan yang tular itu turut menyenaraikan Ketua Armada Nasional Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang bakal bertanding di kerusi parlimen Machang dan bakal ditentang pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob selain seorang lagi calon dari Pakatan Harapan.

    Penyandang kerusi Parlimen Kuala Krai dari Pas, Abdul Latif Abdul Rahman turut tidak tersenarai dalam senarai nama calon yang tular itu.

    Bagaimana pun senarai nama calon PN Kelantan itu tidak muktamad dengan tiada pimpinan PN Kelantan yang mengesahkan mengenai senarai nama calon itu.

    PN Kelantan dijangka mengumumkan nama calon mereka pada 2 November depan.

  • Kajian Invoke dakwa PH sudah kuasai 100 kerusi Parlimen – Anwar

    Kajian Invoke dakwa PH sudah kuasai 100 kerusi Parlimen – Anwar

    KAJIAN terkini Pusat Inisiatif Dasar Invoke (Invoke) mendapati Pakatan Harapan (PH) telah menguasai 100 kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa demikian berkata, parti itu perlu berusaha lebih lagi untuk menguasai sekurang-kurangnya 12 Parlimen untuk membolehkan PH menjadi kerajaan semula.

    Beliau yang juga calon PH bagi Parlimen Tambun serta bakal Perdana Menteri ke-10 jika PH menang berkata, kajian terakhir Invoke yang diumumkan hari ini kita sudah capai 100 kerusi.

    “Kita perlu usaha sedikit lagi untuk dapat 12 kerusi dan kita akan menang. Insya-Allah,” katanya dalam ceramah Jelajah Mega Harapan Perak di Ipoh, malam tadi, lapor MalaysiaGazette.

    Sementara itu Anwar meminta pengundi Parlimen Tambun untuk memberi beliau peluang menjadi wakil rakyat di kawasan itu dan berjanji akan mengubah Tambun menjadi tarikan utama pelancongan.

    Penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata, Tambun mempunyai banyak destinasi menarik yang boleh mengamit pelancong luar.

    “Tambun ini, saya minta maaf tak tengok dengan teliti tapi dalam bulan ini saya pergi tempat-tempat pelancongan. Saya kata ‘eh, luar biasa potensi dan cantiknya pusat pelancongan di Tambun ini.

    “Dan beri saya peluang, saya akan usahakan agenda dan Tambun akan jadi tarikan utama pelancongan,” kata Anwar.

    Anwar berkata, pengundi perlu melihat rekod beliau semasa menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.

    Banyak yang telah dilakukan kepada penduduk di kawasan itu sepanjang menjadi wakil rakyat di Port Dickson.

    “Orang kata Tambun macam mana? Saudara kena tengok rekod. Bantuan rakyat, tandas sekolah-sekolah di seluruh Port Dickson kita baiki. Sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil kita bantu. Takkanlah sekolah kebangsaan tandas mesti baik. Sekolah Tamil tak apa tepi parit cukup.

    “Dua minggu sekali pasukan peguam beri nasihat percuma kerana ada orang miskin ada masalah yang nak cari peguam tak ada wang. Sebulan sekali datang rombongan pakar perubatan. Saya boleh ‘replicate’, insya-Allah. Menang 20 haribulan beri saya masa seminggu, sebulan kita mulakan program ini di Tambun,” katanya.

    Sementara itu Anwar berkata, hubungannya dengan pemimpin dunia akan memberi banyak kelebihan kepada Malaysia jika beliau dipilih pada PRU-15.

    Dalam ucapannya Anwar memberitahu walaupun dia hanya ahli Parlimen namun pemimpin seperti Perdana Menteri India, Narendra Modi , Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mahu bertemu dengannya.

    “Saya pergi bukan mewakili kerajaan pada masa itu, saya ahli Parlimen. Jumpa empat mata. Mereka hantar pegawai bincang satu persatu.

    “Maknanya dunia boleh beri pengiktirafan. Kita ada peluang itu,” kata Anwar lagi.

  • Pemecatan Phahrolrazi: Dalam disiplin parti, itu perkara biasa, kata Mat Sabu

    Pemecatan Phahrolrazi: Dalam disiplin parti, itu perkara biasa, kata Mat Sabu

    PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, pemecatan bekas pengerusi parti itu di Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi sebagai suatu perkara biasa sekiranya terdapat mana-mana ahli yang melanggar disiplin parti.

    Jelas beliau, perkara sama pernah berlaku kepada Pas yang mana bekas Yang Dipertua Agung, Datuk Mohd. Asri Muda juga pernah dikenakan tindakan disiplin sekitar tahun 1980an.

    “Dalam disiplin parti itu perkara biasa. Dulu dalam ‘parti lama’ Pas dulu, Datuk Asri pun diambil tindakan disiplin.

    “Orang yang langgar disiplin (parti) akan diambil tindakan. Justeru ia perkara biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada selepas program Jelajah Mega Harapan di Pasar Tambun, Lipis, malam tadi.

    Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kebangsaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng serta Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof.

    Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi PH Kebangsaan sebelum itu diminta mengulas berkenaan tindakan Amanah yang memecat Phahrolrazi berkuatkuasa serta-merta pada Ahad.

    Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli, dilaporkan berkata bekas Pengerusi Amanah Kedah itu telah mengingkari keputusan dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.

    Media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu tidak berpuas hati apabila kerusi Parlimen Jerai diserahkan kepada DAP untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Dalam pada itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut diminta mengulas berkenaan keputusan PH yang memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong dan Parlimen Jerai ditandingi calon DAP dan bukan daripada Amanah.

    Secara ringkas beliau berkata tiada bantahan yang diterima daripada kalangan parti berhubung ketetapan dua kerusi itu selain hubungan dengan DAP juga baik.

    “Tidak ada bantahan apa-apa. Tak ada masalah (hubungan antara Amanah dan DAP),” ujar beliau.

    Kerusi DUN Changkat Jong menjadi pertikaian selepas Naib Pengerusi Amanah Perak, Dr. Muhaimin Sulam, diumumkan parti itu sebagai calon bagi bertanding di kawasan berkenaan.

    DAP kemudian mengumumkan Setiausaha Publisiti DAP Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin iaitu muka baharu sebagai calon di kerusi sama.

    Anwar kemudian dilaporkan berkata hasil perbincangan antara pemimpin tertinggi PH, gabungan itu memutuskan DUN berkenaan akan ditandingi calon daripada DAP.

  • 100,000 akaun pengguna terjejas akibat paip rosak

    100,000 akaun pengguna terjejas akibat paip rosak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KIRA-KIRA 100,000 akaun pengguna Ranhill SAJ di mukim Plentong mengalami gangguan bekalan air akibat kerosakan paip di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru sejak empat hari lalu.

    Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ketika ini pihak bertanggungjawab masih melakukan kerja-kerja pembaikan.

    “Gangguan bekalan air ini berpunca akibat kerosakan serentak pada dua batang paip masing-masing bersaiz 1000mm dan 1200mm sedalam lebih kurang lapan meter.

    “Bilangan akaun pengguna yang terjejas ketika ini berkurang kepada 43,000 selepas beberapa langkah ‘diversion’ diambil pihak Ranhill SAJ,” katanya ketika meninjau kerja-kerja membaik pulih paip berkenaan, petang semalam.

    Menurut beliau, kerosakan itu berlaku semasa kerja-kerja pemasangan paip baharu dijalankan di kawasan berkenaan.

    Katanya, proses membaik pulih paip dilakukan selama 24 jam sejak empat hari lalu dan mengambil masa kerana berlaku tanah runtuh.

    Mohamad Fazli berkata, pihak Ranhill SAJ mengagihkan bekalan air bersih ke kawasan yang terjejas dengan 17 lori tangki dan dibantu lima lori tangki milik swasta dan dua lori tangki pihak bomba.

    Jelasnya, 14 lori tangki dari luar Johor turut membantu selain terdapat pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu memberikan khidmat penghantaran air percuma kepada pengguna yang terjejas.

    “Bilangan lori tangki akan ditambah dari masa ke semasa sepanjang kerja-kerja pembaikan dilakukan,” katanya.

    Pihaknya menjangka keadaan akan pulih seperti sediakala dalam tempoh terdekat.

    “Diharapkan semua pengguna yang terjejas bersabar dan mendoakan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar serta disiapkan segera,” katanya.

  • MPN kemuka lima cadangan utama kepada kerajaan

    MPN kemuka lima cadangan utama kepada kerajaan

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mengutamakan isu keselamatan makanan dalam memastikan sumber makanan penduduk di negara ini berada pada tahap optimum.

    Justeru tanah-tanah di bawah kerajaan negeri harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan bahan makanan sekali gus mengelak kebergantungan kepada bahan import.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob, sekiranya perkara itu diutamakan bekalan makanan di negara ini bukan sahaja mencukupi malah dapat mengurangkan kesan inflasi.

    “Pada tahun 1970, kita ada rancangan Buku Hijau. Program (sekarang apa) kena kurangkan import, perkara ini perlu ada respons yang cepat untuk mengatasi inflasi.

    “Justeru setiap kerajaan negeri juga harus memanfaatkan hasil bumi, malah menjadi tanggungjawab mereka memperuntukkan tanah-tanah khusus kepada pertanian bagi menghasilkan bahan makanan terutama bahan yang sering diimport,” katanya lapor Sinar Harian hari ini.

    “Inflasi menyebabkan rantaian bekalan global terjejas dari segi pergerakan logistik. Sebagai contoh, bekalan bijirin Ukraine terjejas akibat perang. Ini secara tidak langsung meningkatkan kadar inflasi di Eropah dan Amerika Syarikat dan kesannya turut dihadapi negara.

    “Bahan-bahan yang dikeluarkan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp.) juga mesti lebih murah daripada bahan import.

    “Begitu juga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kita beli barang tempatan dan hasilkan barangan yang boleh ganti barangan import,” katanya pada sesi temu bual bersama media di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sentral di Kuala Lumpur.

    Untuk rekod, memperkasakan keselamatan makanan antara lima keputusan penting yang diputuskan oleh MPN dan perlu diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan agar dapat mempercepatkan kadar pemulihan sosioekonomi negara selepas pandemiK Covid-19.

    Empat lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah:

    • Isu kekurangan pekerja di sektor pembinaan, perladangan, pembinaan, pembuatan, pelancongan, perkhidmatan.
    • Memudahkan pinjaman dan pelaksanaan PMKS.
    • Mengatasi masalah keciciran pembelajaran.
    • Naik taraf infrastruktur pelabuhan.

    Sementara itu Sulaiman berkata, isu kekurangan pekerja asing wajar ditangani segera berikutan jumlah kemasukan pekerja asing ke Malaysia terlalu sedikit berbanding jumlah levi sudah dibayar berjumlah RM713,890 bagi 467,223 kuota diluluskan.

    “Statistik kelulusan kuota dan pembayaran levi hingga 12 September merekodkan 467,223 kuota diluluskan, namun bagi tempoh sama hanya menyaksikan 76,000 kemasukan tenaga kerja dari 12 negara.

    “Angka itu terlalu sedikit berbanding jumlah levi sudah dibayar RM713,890 bagi 467,223 kuota diluluskan,” katanya.

    Beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengkaji semula proses pengambilan tenaga kerja asing kerana banyak sektor mempunyai tahap kebergantungan yang sangat tinggi.

    “Kita dapati ramai pekerja memohon dan membuat pembayaran, namun jumlah yang masuk adalah kurang. Persoalannya, mengapa mereka belum lagi tiba?

    “Adakah ia melibatkan masalah di negara mereka, atau sebab lain. Perkara ini perlu ditekankan, jika tidak sektor pertanian kita khususnya kelapa sawit akan terus mengalami masalah kekurangan pekerja,” tegasnya.

    Sulaiman turut meminta kerajaan memberi tumpuan kepada masalah kekurangan tenaga kerja terutama dalam industri intensif buruh seperti sektor pembuatan, pelancongan, pembinaan dan peruncitan, termasuk sektor elektronik dan pertanian.

    Malaysia perlu menggalakkan pelaburan dan perdagangan global kerana ia menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat bagi memastikan pemulihan ekonomi negara terus meningkat, kata Sulaiman.

    Ujarnya, golongan PKS dan PMKS memerlukan perhatian khusus kerajaan kerana mereka merupakan punca perkembangan pelaburan domestik bagi negara.

    “PKS dan PKMS paling teruk terjejas disebabkan pandemik berbanding syarikat multinasional yang boleh bergerak dengan kos pekerja yang lebih rendah.

    “Kita mahu mereka berkembang kepada syarikat peringkat pertengahan dan seterusnya menyokong syarikat multinasional serta menjadi pemain industri global,” katanya.

    Berkenaan cadangan pemberian moratorium khas kepada PKMS, Sulaiman berharap kerajaan yang bakal dibentuk kelak turut melihat isu ini kerana PKS merupakan komponen kritikal dalam pertumbuhan ekonomi negara.

    Beliau mencadangkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dengan penglibatan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedia mempertimbangkan lanjutan pemberian moratorium kepada sektor PMKS.

    Dalam pada itu, Sulaiman turut mendedahkan 95 cadangan telah dibuat oleh MPN, di mana 86 daripadanya telah diluluskan oleh Kabinet, manakala sembilan cadangan masih menunggu keputusan kabinet.

    Daripada jumlah itu, 69 peratus adalah berkaitan isu utama seperti kesihatan, ekonomi dan sosial manakala 26 peratus lagi berkaitan hal pengurusan dan pentadbiran.

    “Daripada 69 peratus itu, 16 cadangan atau 23 peratus telah selesai dilaksanakan, 30 cadangan atau 43 peratus masih dalam pelaksanaan, manakala 14 cadangan atau 20 peratus masih belum dilaksanakan.

    “Keseluruhannya, hampir 66 peratus dilaksanakan, ‘things are moving’ dan kebanyakan cadangan diterima kabinet,” jelasnya.

    INFO:

    Sejak ditubuhkan pada 21 Julai 2021 sehingga mesyuarat terakhir pada 29 Ogos 2022, sebanyak 95 cadangan telah dikemukakan MPN kepada kerajaan:

    • 86 cadangan: Diluluskan kabinet
    • 9 cadangan: Proses kelulusan kabinet
    • 69 cadangan: Isu-isu penting /ekonomi dan sosial
    • 26 cadangan: Hal berkaitan pentadbiran
  • 13 kedai musnah dalam kebakaran

    13 kedai musnah dalam kebakaran

    SEBANYAK 13 deretan kedai musnah dalam kejadian kebakaran di Serdang, pada awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

    “Kebakaran melibatkan sebuah kedai emas sebelum merebak ke 12 lagi kedai bersebelahan.

    “Bomba berjaya memadam kebakaran pada jam 5.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Norazam turut memaklumkan tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut.

  • Lima anggota polis ditahan miliki pelbagai dadah di pusat hiburan

    Lima anggota polis ditahan miliki pelbagai dadah di pusat hiburan

    LIMA anggota polis ditahan dan pelbagai jenis dadah seberat 13.9 gram dirampas dalam serbuan dan pemeriksaan di bawah Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Serbuan pada pukul 11.45 malam itu dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

    Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku penjaga premis semasa serbuan itu.

    “Selain itu, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam yang disyaki pelayan pelanggan turut ditahan.

    “Semasa pemeriksaan di sebuah bilik di premis itu, terdapat lima pengunjung yang juga penjawat awam. Hasil pemeriksaan dijalankan menemui dadah jenis methamphetamine anggaran berat 0.87 gram, pil eramin 5 (7.38 gram) dan ganja (5.65 gram),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Amihizam berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati empat suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine, manakala seorang lagi suspek positif ketamin.

    “Kesemua suspek ditahan reman tiga hari bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Kes juga akan disiasat dari segi kesalahan tatatertib,” katanya.

    Menurut Amihizam, jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan boleh dibekalkan kepada lima sehingga 10 pengguna dadah.

    Polis juga katanya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah diperoleh.

    Sementara itu, Amihizam berkata, pusat hiburan juga akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai rampasan dadah itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi pihaknya di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.

  • PRU-15: PN Kelantan bertanding sembilan kerusi, Bersatu lima

    PRU-15: PN Kelantan bertanding sembilan kerusi, Bersatu lima

    PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan memperuntukkan sembilan kerusi kepada PAS dan lima kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Perhubungan PN Kelantan Wan Roslan Wan Hamat.

    Beliau berkata pengumuman calon yang bakal bertanding itu akan dibuat pada Rabu ini (2 Nov) oleh Pengerusi PN Kelantan, merangkap Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

    Katanya kesemua calon PN yang akan bertanding di 14 kerusi Parlimen Kelantan, akan menggunakan logo PAS seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

    “Kesemua calon PAS telah ditapis oleh Majlis Syura Ulama dan (demikian juga) calon Bersatu seperti diumumkan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassan sebelum ini,” katanya pada sidang media khas tarikh pengumuman Majlis Pengisytiharan Calon PN Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

    Ketika ditanya sama ada Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan kekal mempertahankan kerusi masing-masing, Wan Roslan berkata keputusan mengenai perkara itu belum dimuktamadkan.

    “Keputusan calon yang akan bertanding akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat. Kerjasama antara PAS dan Bersatu juga cukup mantap, kita akan mengatur gerak kerja sebaik selepas penamaan calon.

    “Semua kerusi insya-Allah PAS letak jentera yang akan bekerja dengan keras walaupun kerusi selesa, apatah lagi yang tidak selesa,” katanya.

    Pada PRU14, Tuan Ibrahim menang di kerusi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti 19,369 undi  manakala Takiyuddin memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu dengan memperoleh majoriti 5,869 undi.

    Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata gabungan itu menyasarkan untuk menyapu bersih semua kerusi Parlimen termasuk Parlimen Jeli, menerusi kerjasama antara semua parti dalam PN Kelantan. – BERNAMA

  • PRU-15: PDRM kenal pasti kurang daripada 100 kawasan ‘panas’

    PRU-15: PDRM kenal pasti kurang daripada 100 kawasan ‘panas’

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kurang daripada 100 kawasan berstatus ‘hotspot’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata penugasan pegawai dan anggota telah dibuat untuk ditempatkan di kesemua kawasan tersebut.

    “…melalui risikan daripada polis daerah, kita tahu beberapa kawasan agak hangat dari segi kempen, sentimen emosi dan seumpamanya. Kita sudah kenal pasti dan membuat penugasan sewajarnya untuk berusaha meredakan suhu apabila kempen tiba kelak,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Asas Tiger Platoon Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Batalion 6 PGA di sini hari ini.

    Katanya seorang anggota polis akan ditempatkan di setiap saluran mengundi yang melibatkan lebih 38,000 saluran, selain anggota dan pegawai untuk tugasan kawalan rondaan.

    “Kesemua mereka akan bertugas bermula hari penamaan calon, masa berkempen…bagi memastikan tiada unsur mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.

    Acryl Sani turut mengingatkan mereka yang terlibat dengan kempen pilihan raya supaya berhemah dan tertib, mengikut peraturan yang ditetapkan.

    Sebelum ini, Acryl Sani dilaporkan berkata seramai 94,411 daripada 120,557 pegawai dan anggota PDRM akan digerakkan bagi menghadapi PRU15.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dengan penamaan calon pada 5 Nov, manakala pengundian awal pada 15 Nov ini. – BERNAMA

  • ‘Semua calon PM layak tapi mampukah mereka urus negara?’, soal Muhyiddin

    ‘Semua calon PM layak tapi mampukah mereka urus negara?’, soal Muhyiddin

    “SEMUA layak tetapi adakah mereka mampu menguruskan negara? Adakah mereka faham apa sebenarnya yang negara hadapi ketika ini?.”

    Itu kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri pada tempoh paling sukar sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara berhubung lawan-lawannya sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

    Tidak menidakkan keupayaan calon-calon Perdana Menteri daripada setiap parti, namun Muhyiddin yang berpengalaman mentadbir negara ketika tempoh paling sukar semasa pandemik melanda negara dilihat mempunyai kelebihan.

    Menurut Muhyiddin yang diletakkan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PN memenangi PRU-15, negara memerlukan anjakan besar untuk keluar daripada kemelut ekonomi yang disifatkannya kritikal.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, tahun hadapan akan menjadi lebih sukar apatah lagi ramalan Bank Dunia bahawa kemelesetan ekonomi bakal berlaku.

    “Saya tidak mahu pertikai keupayaan rakan-rakan sebelah sana, siapa bakal calon Perdana Menteri.

    “Tidak adil untuk saya katakan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak layak, Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak layak, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak layak.

    “Namun bagaimana mereka mahu menyelesaikan masalah? Seberapa pantas anda selesaikan? Lima tahun? Tak mungkin. Paling lama kita ada kira-kira dua tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam temubual bersama UtusanTV, baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, proses pemulihan ekonomi perlu diberi perhatian dan dilakukan sepantas mungkin.

    Jelas beliau, Perdana Menteri selepas PRU-15 juga mesti berkeupayaan untuk menguruskan kedudukan kewangan negara yang terjejas pasca COVID-19.

    “Adakah mereka tahu kedudukan kewangan kerajaan? Bagaimana nak mengurus? Nak curi macam 1MDB? Wallahi, jangan. Berdosa besar.

    “Jadi bagaimana? Anda perlu tahu bagaimana, dasar fiskal, kewangan kerajaan, bagaimana menjana pendapatan. Ini bukan perkara kecil.

    “Saya dah melalui banyak pilihan raya, mungkin sembilan ke 10 pilihan raya. Sebelum ini bolehlah ramalkan Barisan Nasional (BN) menang.

    “Kali ini jika BN menang, maknanya negara akan merudum jatuh,” jelas beliau.