Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KIRA-KIRA 100,000 akaun pengguna Ranhill SAJ di mukim Plentong mengalami gangguan bekalan air akibat kerosakan paip di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru sejak empat hari lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ketika ini pihak bertanggungjawab masih melakukan kerja-kerja pembaikan.

“Gangguan bekalan air ini berpunca akibat kerosakan serentak pada dua batang paip masing-masing bersaiz 1000mm dan 1200mm sedalam lebih kurang lapan meter.

“Bilangan akaun pengguna yang terjejas ketika ini berkurang kepada 43,000 selepas beberapa langkah ‘diversion’ diambil pihak Ranhill SAJ,” katanya ketika meninjau kerja-kerja membaik pulih paip berkenaan, petang semalam.

Menurut beliau, kerosakan itu berlaku semasa kerja-kerja pemasangan paip baharu dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, proses membaik pulih paip dilakukan selama 24 jam sejak empat hari lalu dan mengambil masa kerana berlaku tanah runtuh.

Mohamad Fazli berkata, pihak Ranhill SAJ mengagihkan bekalan air bersih ke kawasan yang terjejas dengan 17 lori tangki dan dibantu lima lori tangki milik swasta dan dua lori tangki pihak bomba.

Jelasnya, 14 lori tangki dari luar Johor turut membantu selain terdapat pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu memberikan khidmat penghantaran air percuma kepada pengguna yang terjejas.

“Bilangan lori tangki akan ditambah dari masa ke semasa sepanjang kerja-kerja pembaikan dilakukan,” katanya.

Pihaknya menjangka keadaan akan pulih seperti sediakala dalam tempoh terdekat.

“Diharapkan semua pengguna yang terjejas bersabar dan mendoakan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar serta disiapkan segera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here