Category: Semasa

  • Dua kakitangan hospital direman tiga hari, rosakkan hiasan Deepavali

    Dua kakitangan hospital direman tiga hari, rosakkan hiasan Deepavali

    POLIS menahan dua kakitangan hospital bagi membantu siasatan berhubung tindakan merosakkan hiasan lantai tradisional atau kolam sempena Deepavali di pekarangan sebuah hospital swasta di Klang, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditahan pukul 11 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini.

    “Dua suspek itu masing-masing individu yang berjalan dengan kasut atas kolam Deepavali serta yang merakam aksi lelaki berkenaan.

    “Mereka direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

    Sebelum ini, satu rakaman tular di TikTok yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai kakitangan sebuah hospital swasta sedang berjalan dengan kasut di atas perhiasan kolam.

    Tindakan lelaki berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi serta kecaman orang ramai.

  • Ilham Centre: Rakyat utamakan isu tempatan berbanding isu nasional PRU-15

    Ilham Centre: Rakyat utamakan isu tempatan berbanding isu nasional PRU-15

    Bagi segmen pengundi Melayu, 55 peratus melihat faktor isu tempatan akan menjadi penentu bagi mereka membuat keputusan, manakala 45 peratus memilih isu nasional. 

    KAJIAN yang dilakukan Ilham Centre mendapati isu-isu tempatan menjadi pilihan utama pengundi dalam membuat keputusan di kotak undi pada 19 November nanti.

    Memetik laporan Astro Awani, sebanyak 61 peratus menganggap isu-isu tempatan perlu diutamakan berbanding 39 peratus yang menganggap isu nasional lebih penting.

    Bagi segmen pengundi Melayu, 55 peratus melihat faktor isu tempatan akan menjadi penentu bagi mereka membuat keputusan, manakala 45 peratus memilih isu nasional.

    Pengundi Cina pula, 52 peratus melihat isu tempatan manakala 59 peratus pengundi India melihat perkara yang sama dalam membuat keputusan nanti.

    Sebanyak 48 peratus pengundi Cina dan 41 peratus pengundi India menganggap isu nasional akan mempengaruhi undi mereka.

    Isu tempatan lebih dilihat oleh kelompok pengundi di Borneo, lokaliti kampung dan kawasan tanah rancangan.

    Bagi Bumiputera Muslim, 84 peratus akan membuat keputusan berdasarkan isu-isu tempatan sementara 16 peratus isu nasional.

    Sebanyak 85 peratus pengundi segmen Bumiputera Non Muslim menganggap isu tempatan lebih penting berbanding 15 peratus melihat isu nasional.

    Kaji selidik yang dilakukan oleh Ilham Centre berhubung sikap pengundi

    Di kawasan kampung, 75 peratus melihat isu tempatan perlu diutamakan manakala 25 peratus lagi akan membuat keputusan berdasarkan isu nasional.

    Di kawasan tanah rancangan, 69 peratus memilih isu tempatan, 31 peratus isu nasional manakala di pinggir bandar 56 peratus isu tempatan dan 44 peratus isu nasional.

    Di kawasan bandar juga pengundi lebih melihat isu tempatan lebih penting dengan 54 peratus sementara 46 peratus isu nasional.

    Pengundi-pengundi baru yang berumur 18-20 tahun juga melihat isu tempatan lebih penting iaitu 64 peratus dan 36 peratus lagi menganggap isu nasional lebih penting.

    Ini merupakan dapatan tinjauan awam oleh lima agensi media utama Astro AWANI, Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star & Malaysian Nanban.

    Dilaksanakan oleh tiga badan penyelidik, Ilham Centre, O2 Malaysia dan Huayan Policy Institute serta Centre for Malaysian Chinese Studies.

  • Kes bunuh CEO Cradle Fund: Pengurusan rayuan pendakwaan 12 Jan

    Kes bunuh CEO Cradle Fund: Pengurusan rayuan pendakwaan 12 Jan

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 12 Jan untuk pengurusan kes seterusnya bagi rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan.

    Peguam Rahmat Mohamed Hazlan, semasa dihubungi berkata pendengaran rayuan berkenaan belum ditetapkan kerana rekod rayuan masih belum siap.

    Pengurusan kes rayuan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

    Pada 21 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membebaskan Samirah, 47, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja berumur 19 dan 16 tahun selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Samirah dan kedua-dua remaja serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, telah didakwa membunuh Nazrin, 45, di rumahnya di Mutiara Damansara di antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.

    Pada 23 Jun lepas, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.

    Pada 30 Jun lepas pula, Samirah dan kedua-dua remaja turut memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin ‘dilakukan dengan sengaja.’

    Hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakiman lisannya, berkata mahkamah menerima keterangan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Edwin Galan Teruki serta pegawai penyiasat kes Halim Zulkefeli yang merumuskan bahawa kebakaran itu telah dilakukan dengan sengaja.

  • PRU-15:Pas tanding lebih 60 kerusi Parlimen, ada penyandang tidak dicalon semula

    PRU-15:Pas tanding lebih 60 kerusi Parlimen, ada penyandang tidak dicalon semula

    TERDAPAT penyandang kerusi Parlimen tidak dicalonkan semula untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila Pas mengumumkan calonnya untuk bertanding di lebih 60 kerusi Rabu ini, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata penyandang yang tidak dicalonkan semula itu telah diberitahu lebih awal dan mereka menerima dengan hati terbuka. 

    Pas kini menyandang 17 kerusi Parlimen.

    “Bukan mereka tak bagus, kesemua 17 Ahli Parlimen Pas berkhidmat dengan baik tapi kita mahu beri peluang kepada muka baharu, itu perkara biasa dalam parti,” kata Takiyuddin, yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, kepada pemberita selepas majlis pengumuman Program Tenaga Hijau Korporat di Putrajaya hari ini. 

    Takiyuddin yang mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu berkata beliau percaya tidak ada yang merajuk atau bertindak di luar batasan jika tidak tercalon semula.

    “Dalam Pas kita berebut, bukan berebut kerusi, tapi berebut nak berundur (dari bertanding),” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov. 

  • 4 termasuk warga emas antara ditahan curi kenderaan, pecah rumah

    4 termasuk warga emas antara ditahan curi kenderaan, pecah rumah

    EMPAT suspek berusia 24 hingga 62 tahun berjaya diberkas polis selepas terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru Selatan sejak awal September lalu.

    Semua suspek terbabit ditahan hasil serbuan di tiga lokasi berasingan di Taman Pulai Indah Kangkar Pulai, Bandar Selesa Jaya dan Skudai.

    Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin, bagi tangkapan pertama, polis menahan sepasang suami isteri di Taman Pulai Indah sebelum memberkas seorang lelaki di Bandar Selesa Jaya dan warga emas berusia 62 tahun di Skudai.

    “Hasil siasatan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau melibatkan jenayah pecah rumah, curi kenderaan, samun, memiliki barang salah selain rekod kesalahan dadah.

    “Suspek pertama (suami) memiliki 33 rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan dan isterinya (suspek kedua) memiliki satu rekod jenayah (curi kenderaan dan pecah rumah).

    “Suspek ketiga memiliki 11 rekod lampau dan tujuh kes berkaitan dadah manakala suspek keempat mempunyai sembilan rekod lampau,” katanya pada sidang media di lobi IPD Iskandar Puteri, hari ini.

    Rahmat berkata, setakat ini kesemua suspek ditahan reman sehingga Selasa dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 475 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan 379A Kanun Keseksaan (curi kereta),

    Beliau berkata, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kenderaan jenis Naza Citra dan sebuah motosikal jenis Honda Wave dianggarkan bernilai RM30,000.

    Jelas Rahmat, modus operandi yang digunakan kesemua suspek adalah dengan menekan loceng bagi memastikan ketiadaan penghuni di rumah disasarkan.

    “Polis tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan dibuat selepas ini melibatkan suspek-suspek lain,” katanya lapor Sinar Harian.

  • ‘Letupan’ mercun, kereta awam dibakar 100 ‘perusuh’ di hadapan Stadium Indera Mulia

    ‘Letupan’ mercun, kereta awam dibakar 100 ‘perusuh’ di hadapan Stadium Indera Mulia

    KIRA-KIRA 100 ‘perusuh’ bertindak agresif membakar mercun dan menterbalikkan sebuah kereta sebelum dibakar dalam kejadian di hadapan Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

    Keadaan itu bagaimanapun berjaya ‘dikawal’ sepasukan anggota dan pegawai termasuk dari bomba serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba di lokasi sekitar 15 minit kemudian.

    Bagaimanapun, pasukan keselamatan berhadapan detik cemas apabila perusuh mula menyerang anggota keselamatan dengan membaling beberapa objek sebelum menyerbu ke arah mereka.

    Namun, kehadiran puluhan anggota polis tambahan dengan menaiki jentera yang tiba di lokasi tidak lama selepas itu berjaya menyuraikan rusuhan selain beberapa individu daripada kumpulan perusuh itu ditahan polis.

    Itu merupakan antara situasi dalam simulasi latihan amal Pasukan Unit Tempur Ringan atau Light Strike Force (LSF) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang dijalankan pada Isnin sebagai persediaan menghadapi fasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Simulasi itu mengambil gambaran keadaan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku semasa proses penamaan calon di sebuah kawasan Parlimen di Perak pada 5 November nanti.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, latihan yang dimulakan sejak 21 Oktober lalu itu melibatkan 1,567 anggota IPD Ipoh yang akan diatur gerak bagi penugasan sepanjang fasa PRU-15.

    “Latihan atau simulasi ini dijalankan lanjutan daripada kesiap-siagaan PDRM Kontinjen Perak untuk menghadapi fasa PRU15 tidak lama lagi.

    “Jadi saya berharap daripada latihan yang diadakan di peringkat PDRM Kontinjen Perak dan juga seluruh IPD di negeri ini, ia dapat menambahkan lagi kesediaan anggota dan pegawai dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU nanti,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu meninjau demonstrasi latihan simulasi itu.

  • Tangani segera kekurangan pekerja asing-MPN

    Tangani segera kekurangan pekerja asing-MPN

    ISU kekurangan pekerja asing wajar diselesaikan segera berikutan jumlah kemasukan pekerja asing ke negara ini terlalu kecil berbanding 467,223 kuota diluluskan dengan jumlah levi sudah dibayar berjumlah RM713,890 sehingga 12 September lalu.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob, sehingga tempoh sama, hanya 76,000 kemasukan tenaga kerja asing dari 12 negara direkodkan.

    Justeru katanya, MPN memohon Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia mempertingkatkan proses pengambilan pekerja asing berikutan banyak sektor negara ini bergantung tinggi kepada tenaga kerja luar.

    “Dalam pada itu, kerajaan perlu menumpukan kepada peningkatan pelaburan dan perdagangan bagi memastikan pemulihan ekonomi negara terus dapat dijana.

    “Ini kerana dalam Pemulihan Negara 2.0, isu pelaburan, perdagangan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), tenaga kerja antara yang perlu diberi keutamaan,” katanya pada taklimat MPN bersama media, baru-baru ini memetik laporan Berita Harian hari ini.

    Sulaiman berkata, berdasarkan rekod, jumlah permohonan pekerja asing adalah seramai 1,152,276 orang, namun 467,223 diluluskan sekali gus memperlihatkan jurang besar atau kekurangan 685,053 tenaga kerja asing.

    “Sektor perkhidmatan paling mendapat permintaan tinggi iaitu lebih setengah juta keperluan bagi mengisi pekerjaan sektor borong dan runcit, hotel, kedai, pencucian dan pembersihan, pengendalian kargo di lapangan terbang serta pelabuhan, pulau peranginan, pusat urut kaki, spa serta restoran.

    “Sementara sektor lain seperti pembinaan, perkilangan, pertanian, perladangan serta perlombongan dan kuari menerima kemasukan jumlah kecil berbanding permintaan,” katanya.

    Warga Nepal paling ramai  

    Katanya, daripada 76,000 kemasukan itu, Nepal mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu seramai 33,873 orang, diikuti Indonesia (14,021) dan Thailand (11,106), Myanmar, India serta lain-lain.

    “Dalam konteks rantaian bekalan yang terjejas, banyak kegiatan eksport tergendala (disebabkan pandemik COVID-19).

    “Bagaiamanapun, dalam proses pemulihan negara, prestasi Pelabuhan Klang dilihat bertambah baik. Hab pelabuhan itu berupaya menarik kemasukan kargo dan sektor pelabuhan amat membantu kita meningkatkan eksport,” katanya.

    Beliau turut berharap, agensi kerajaan seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dapat melakukan kajian lebih terperinci bersama universiti bagi mencari penyelesaian seterusnya memantapkan ekonomi negara.

    Dalam perkembangan lain, Sulaiman memaklumkan, sejak penubuhan MPN pada 21 Julai 2021 hingga mesyuarat terakhir 29 Ogos lalu, sebanyak 95 keputusan dikemukakan pihaknya kepada kerajaan.

    “Daripada jumlah itu, 86 keputusan diluluskan Kabinet; 69 berkaitan isu ekonomi dan sosial serta 26 keputusan berkaitan pentadbiran, selain hanya sembilan dalam proses kelulusan,” katanya.

    “Justeru, kerajaan perlu mengambil tindakan segera supaya dapat mempercepatkan kadar pemulihan sosial dan ekonomi negara.

    “Selain itu, kerajaan memudahkan kaedah permohonan pinjaman dan pelaksanaan semula moratorium kepada PMKS; memperkasakan sekuriti makanan; mengatasi permasalahan keciciran pembelajaran dan menaik taraf infrastruktur dan pelabuhan demi merancakkan lagi pemulihan ekonomi negara,” katanya.

  • Polis siasat insiden peniaga ‘bundle’ mengamuk dekat Serdang

    Polis siasat insiden peniaga ‘bundle’ mengamuk dekat Serdang

    POLIS mengesahkan telah menerima laporan berhubung insiden peniaga barangan terpakai mengamuk akibat ditipu penganjur sehingga mengalami kerugian mencecah RM36,000.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian daripada pengurus acara barangan terpakai terbabit pada Jumaat lalu.

    Beliau berkata, kejadian terbabit berlaku di kawasan Serdang dan penyewa dipercayai mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan pengadu dan meminta memulangkan kembali duit sewa.

    “Siasatan telah dijalankan dan kedua-dua pihak telah membuat laporan polis berkaitan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, pengadu membuat laporan bagi tujuan rujukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

    Malah, penyewa juga mengesahkan akan memulangkan kembali barangan yang diambil bagi tujuan cagaran.

    Sebelum itu, tular klip video kejadian memaparkan beberapa penyewa menengking dan mencerca seorang wanita dipercayai wakil penganjur.

    Difahamkan, penyewa bertindak demikian apabila tapak perniagaan mereka diarahkan tutup kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

    Penganjur dipercayai tidak membuat permohonan permit niaga sedangkan pihak penyewa telah membayar sejumlah wang kepada penganjur untuk berniaga di tapak jualan tersebut.

  • PRU15: Takiyuddin pertahan kerusi Parlimen Kota Bharu

    PRU15: Takiyuddin pertahan kerusi Parlimen Kota Bharu

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Perkara itu disahkannya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Program Tenaga Hijau Korporat, di Suruhanjaya Tenaga, Putrajaya, hari ini.

    “Nampaknya begitu (kekal di Kota Bharu),” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Parlimen dan Undang-undang) merangkap Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

    Anak kelahiran Sik, Kedah itu dilahirkan pada 25 November 1961 merupakan Setiausaha Agung Pas sejak 2015.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), beliau menang kerusi Parlimen Kota Bharu dan terus menyandangnya selama dua penggal.

    Pada PRU-14, Takiyuddin menang dengan mendapat 28,291 undian ketika menentang Husam Musa daripada parti Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 22,422 undi dengan majoriti undi sebanyak 5,869.

  • PN Klang sepakat calonkan ‘doktor rakyat’

    PN Klang sepakat calonkan ‘doktor rakyat’

    PERIKATAN Nasional (PN) Klang telah sebulat suara mencalonkan Dr. Jaya Chandran Perumal sebagai untuk bertanding kerusi parlimen Klang.

    Pencalonan Jaya Chandran disokong oleh parti tempatan Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Timbalan Ketua PN Klang Khalid Nayan menyifatkan Jaya Chandran sebagai ‘doktor rakyat’.

    “Walaupun belum menerima watikah pelantikan, tetapi nama Dr. Jaya Chandran ini telah dihantar ke peringkat PN negeri dan pusat serta mendapat persetujuan daripada pimpinan tertinggi parti,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Jaya Chandran, 47, kini merupakan ketua sayap bersekutu Bersatu Klang.

    Katanya, jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beliau akan menyediakan perkhidmatan perubatan percuma untuk golongan miskin.

    “Saya sebelum ini bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan berhenti kerana menumpukan tugasan di klinik sendiri.

    “Klinik yang saya akan buka di sini tidak lama lagi ini merupakan klinik kelima saya.

    “Saya akan pastikan rakyat Klang akan mendapat rawatan dan menjalani kehidupan yang sihat,” katanya.

    Beliau berkata ketika kerusi Klang disandang DAP selama tiga penggal, banyak masalah tidak diselesaikan seperti banjir, saliran dan kebajikan.

    Katanya, dia akan menamatkan penderitaan pengundi Klang sekiranya beliau dipilih.

    “Saya juga akan bawa setiap permasalahan rakyat ke Parlimen untuk mendapat perhatian dan pembelaan,” katanya.

    Klang mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini kerana DAP telah menggugurkan penyandang kerusi parlimen itu selama tiga penggal Charles Santiago.

    Dia akan digantikan oleh V. Ganabatirau, Adun dua penggal bagi Kota Alam Shah dan Kota Kemuning.

    Seorang lagi calon berpotensi untuk Klang ialah Dr Loo Cheng Wee dari Warisan. PN dijangka hanya mendedahkan senarai calon mereka malam esok.