Category: Semasa

  • Sindiket penyeludupan manusia babit pegawai Imigresen tumpas

    Sindiket penyeludupan manusia babit pegawai Imigresen tumpas

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket membawa masuk warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) semalam dengan tertangkapnya seorang pegawai Imigresen dan enam rakyat India, semalam.

    Pegawai Imigresen yang ditahan berusia 31 tahun manakala warga India itu pula berumur antara 20 hingga 42 tahun.

    Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, mereka ditahan dalam satu operasi bermula pukul 7.45 malam oleh pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai Imigresen Klia2.

    Beiau berkata, warga asing terbabit cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi.

    “Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing berkenaan untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong,” katanya melalui dalam kenyataan hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu menyediakan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang kepada warga asing terbabit bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong sebenar.

    Katanya, pegawai Imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing itu ke dalam sistem MyImms.

    “Sindiket ini disyaki telah menjalankan operasi sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu,” katanya,

    Khairul Dzaimee memberitahu, berdasarkan maklumat risikan, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap warga asing yang menyamar sebagai pelancong untuk memasuki negara ini tetapi sebenarnya untuk bekerja tanpa pas kerja sah.

    Warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

    Pegawai Imigresen berkenaan pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, setelah perintah reman diperolehi.

  • Tiga EXCO Kedah ‘naik pangkat’ bertanding kerusi Parlimen

    Tiga EXCO Kedah ‘naik pangkat’ bertanding kerusi Parlimen

    SEBANYAK tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah diumum sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Nama mereka diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengumuman Bakal Calon PN PRU-15, malam tadi.

    Mereka terdiri daripada EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail; EXCO Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasrudin.

    Turut diumum adalah EXCO Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee.

    Ku Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak bakal bertanding di Parlimen Kubang Pasu.

    Azman yang juga ADUN Lunas, akan bertanding di Parlimen Padang Serai, manakala Dr Robert adalah ADUN Sidam yang akan bertanding di Parlimen Sungai Petani.

  • Tak sampai 24 jam dicalonkan Zahid, Ustaz Kazim tarik diri bertanding

    Tak sampai 24 jam dicalonkan Zahid, Ustaz Kazim tarik diri bertanding

    PENDAKWAH bebas Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim difahamkan sudah membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding di Parlimen Larut.

    Menurut laporan, Mohd Kazim membuat keputusan menarik diri itu tidak sampai 24 jam selepas Barisan Nasional (BN) menamakan beliau sebagai calon di kerusi Parlimen tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) malam tadi.

    Untuk rekod, pencalonan Mohd Kazim itu kali pertama diterimanya selepas UMNO sebelum ini berkali-kali cuba menawarkan kerusi kepadanya untuk bertanding.

    Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan tempat Mohd Kazim akan digantikan Ketua Koordinator BN, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud di Parlimen Larut.

    Penarikan diri Mohd Kazim dilihat akan menjadi satu tamparan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sudah pun menerima tekanan daripada akar umbi ekoran pemilihan calon tidak menepati kehendak pengundi di kawasan.

  • Kembalikan mandat, PN adalah penyelamat negara

    RAKYAT perlu mendukung Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana gabungan tersebut merupakan penyelamat negara seperti pernah dipamerkan suatu ketika dahulu.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat bagaimana gabungan itu membawa negara keluar dari kemelut luar biasa pandemik COVID-19 sehingga keadaan beransur pulih.

    Malah, beliau menegaskan, ekonomi negara yang pernah berdepan kemungkinan untuk lumpuh berjaya diselamatkan atas ketegasan para pimpinan dalam membuat keputusan.

    Katanya, semua ini bertitik tolak daripada sikap prihatin yang menjadi dasar perjuangan PN dalam memastikan rakyat tidak berterusan berdepan dengan kepayahan dan kesusahan.

    “Ekonomi negara kita hari ini terselamat, tidak runtuh, apa sebabnya, tidak lain tidak bukan ketegasan kerajaan Perikatan Nasional dahulu untuk menyelamatkan ekonomi negara kita.

    “Macam mana pula orang kata kini pengkhianat. Kami adalah penyelamat kepada negara ini tetapi tugas kami masih belum selesai, kita nak minta rakyat untuk berikan mandat, tidak lama lima tahun sahaja.

    “Saya percaya kita lebih tahu daripada mereka tentang apa masalah negara, kita boleh mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat lebih awal daripada mereka yang mungkin tidak tahu apa yang berlaku pada ketika itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional PRU-15, malam tadi.

    Muhyiddin berkata, negara kini berada dalam krisis dan pilihan raya kali ini sangat penting dalam memilih kerajaan yang betul-betul mampu memimpin negara.

    Katanya, PN telah membuktikan bahawa ia berkemampuan berdasarkan rekod prestasi terdahulu terutama ketika memimpin negara pada saat sukar COVID-19 sehingga rakyat boleh mengukirkan senyuman.

    Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali menyerahkan negara ini kepada pemerintahan yang tamakkan kuasa, tidak beramanah dan melakukan banyak kemungkaran serta kerosakan.

    “Untuk ingatkan rakyat bahawa negara kita berada dalam krisis, sama ada kita sedar atau tidak sedar, sebenarnya kita berada dalam situasi yang tidak lagi baik.

    “Maknanya pilihan raya yang akan kita hadapi ini pilihan raya untuk menentukan masa depan negara kita.

    “Soalannya siapakah antara parti-parti yang bertanding ini mampu untuk memikul amanah itu, jawapannya tidak lagi tidak bukan berdasarkan pengalaman kita pada masa lepas, tidak lain Perikatan Nasional,” katanya lagi.

  • PRU-15: Pemilihan calon PN tanpa hentak meja, jauh sekali bertengkar – Muhyiddin

    PRU-15: Pemilihan calon PN tanpa hentak meja, jauh sekali bertengkar – Muhyiddin

    PROSES pemilihan calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlangsung lancar dan hormat-menghormati tanpa berlakunya hentak meja jauh sekali bertengkar dan bergaduh.

    Itu pendedahan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon gabungan parti politik itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Presiden Bersatu itu berkata, proses pemilihan calon cukup sukar memandangkan ramai tokoh dalam PN namun jumlah kerusi dipertandingkan tidak banyak iaitu 222 kerusi.

    Namun katanya, pucuk pimpinan parti menentukan jumlah kerusi yang dipilih untuk ditandingi.

    “Saya nak maklumkan di sini, rundingan kerusi antara parti dalam PN sudah selesai.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama sebahagian calon-calon melafazkan ikrar anti rasuah pada Majlis Pengumuman Bakal Calon PRU-15 Perikatan Nasional di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Alhamdulillah tidak ada yang berhentak meja jauh sekali daripada bertengkar dan bergaduh, molek sahaja, comel loteh sahaja, berjalan dengan lancar sahaja dengan hormat menghormati.

    “Bagaimana saudara boleh fikir Pas dengan Bersatu boleh duduk semeja tetapi sekarang kita sudah menjadi sahabat yang cukup karib dan rapat,” katanya semasa berucap dalam majlis itu malam tadi.

    Mengulas lanjut, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu mengingatkan jentera PN agar terus bersemangat tinggi untuk menghadapi PRU-15 dalam perjuangan untuk negara.

    Beliau berkata, mereka bertanggungjawab sebagai bentuk jihad untuk memastikan negara tidak jatuh kepada tangan-tangan kleptokrat, perasuah, kluster mahkamah dan kumpulan yang tidak mendukung semangat juang bangsa Melayu dan rakyat Malaysia serta pengkhianat negara.

    “Ini tugas kita, ini tanggungjawab kita, kita jangan benarkan mana-mana kumpulan sebegini mengambil teraju negara kita dan terus merosakkan negara kita.

    “Jadi anda ada tanggungjawab ini. Ia suatu amanah, jangan saudara fikir kita bekerja hanya untuk parti sahaja kerana kita perlu bangkit bekerja untuk jaga negara daripada jatuh kepada tangan-tangan puak tidak beramanah yang membuat kerosakan kepada negara kita.

    “Ia tanggungjawab besar bukan perkara kecil. Di hadapan kita ialah pejuang yang mesti tidak takut mati. Jangan tidur atau leka sentiasa ada di mana-mana sahaja untuk sampaikan risalah kita agar rakyat terima dan faham bahawa ini adalah perjuangan Perikatan Nasional,” katanya.

  • 12 negeri diramal ribut petir hari penamaan calon

    12 negeri diramal ribut petir hari penamaan calon

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir di semua kawasan Parlimen 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada sebelah petang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

    Menurut paparan laman web MetMalaysia hari ini, negeri-negeri tersebut ialah Pahang, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

    Di Selangor, situasi itu melibatkan beberapa kawasan antaranya Sabak Bernam, Hulu Langat, Gombak, Pandan dan Sungai Besar.

    Bagi kawasan Sabah pula, hanya lapan Parlimen sahaja yang mengalami ribut petir termasuk Kimanis, Sipitang, Keningau, Silam dan Tawau.

    Bagaimanapun lapor Sinar Harian, pada sebelah pagi di kawasan berkenaan diramalkan cuaca cerah selain di beberapa Parlimen di negeri Pantai Timur, Utara dan Sabah.

    Kebanyakan kawasan di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak pula diramalkan hujan pada waktu pagi.

    Selain itu, cuaca di Parlimen Putrajaya cerah pada waktu petang pada hari sama.

  • ‘’Muhasabahlah…tak akan ke mana politik Datuk ni…’’- Ahmad Fadhli

    ‘’Muhasabahlah…tak akan ke mana politik Datuk ni…’’- Ahmad Fadhli

    KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini menasihatkan ‘Datuk yang baru berhenti menjadi ahli Pas’, gunalah kekuatan sendiri kekuatan sendiri untuk jadi calon BN.’’

    Walaupun tidak menyebut nama Datuk berkenaan namun Ahmad Fadhli dipercayai merujuk kepada bekas Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali, yang meninggalkan Pas pada Mac lalu..

    ‘’…Tak perlu lagi menggunakan nama ‘bekas ahli majlis syura’. Malulah kepada diri sendiri, banyak mana kelebihan yang Datuk dapat sebagai menteri ketika berada dalam Pas.Muhasabahlah, tidak akan ke mana politik Datuk ni,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau juga menegur tindakan Khairuddin yang meminta ahli Pas mengundi BN.

    “Nak halang Pakatan Harapan (PH) berkuasa, undi BN. Terbalik tu Datuk. Sepatutnya jika semua undi Pas dan PN sehingga Pas dan PN menang besar, itulah yang benar-benar dapat halang PH berkuasa. Apapun, selamat berjayalah Datuk,” katanya.

    Terdahulu, Mohd Khairuddin dilapor menyarankan ahli dan penyokong Pas mengundi BN pada PRU15 bagi mengelak kemenangan PH yang didakwa akan membawa mudarat lebih besar kepada negara.

  • Razali Ibrahim dijangka jadi taruhan UMNO lawan Muhyiddin – Sumber

    Razali Ibrahim dijangka jadi taruhan UMNO lawan Muhyiddin – Sumber

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim dijangka bertanding di kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), kata sumber rapat dengan parti itu.

    Beliau dijangka berentap dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga penyandang kerusi Parlimen itu.

    Selain Muhyiddin, Razali juga akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Iskandar Shah.

    Jumaat lalu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Iskandar daripada PKR sebagai calon gabungan itu di Pagoh.

    Menurut sumber itu, Razali akan diumumkan secara rasmi bertanding di Pagoh dalam minggu ini.

    “Watikah minggu ini. Razali dipilih bertanding di Pagoh untuk PRU15,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, menang tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13, namun tewas pada PRU14 selepas dikalahkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan majoriti 6,953 atas tiket PKR.

    Kerusi Parlimen Pagoh kini disandang Muhyiddin yang menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi menewaskan calon Pas dan UMNO.

  • Kos sara hidup: Rakyat terpaksa kerja kuat, susah urus kehidupan

    Kos sara hidup: Rakyat terpaksa kerja kuat, susah urus kehidupan

    Kamarudin Ibrahim (kiri), Ruzdin Muhd (tengah) dan Rusli Mohamed (kanan) ketika ditemu bual Astro AWANI di Kota Bharu, Kelantan menyuarakan harapan agar kerajaan cakna akan isu kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi – Foto Astro AWANI

    ISU kenaikan harga barang yang melambung sejak kebelakangan ini semakin meresahkan rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup pada ketika ini.

    Rakyat di Kelantan turut terkena tempias dengan isu kenaikan harga itu ketika sumber pendapatan yang tidak meningkat, pastinya ia membataskan pembelian serta sedikit sebanyak menjejaskan kualiti hidup seharian mereka.

    Menurut penghantar barangan, Kamarudin Ibrahim, dia tidak mampu untuk membuat simpanan kerana pendapatan yang tidak seberapa di samping harga barangan pula semakin meningkat.

    “Saya terpaksa kerja lebih kuat untuk tanggung keluarga. Anak-anak nak membesar ini perlu duit banyak. Harga susu anak naik, dulu RM22, kini RM27.

    “Gaji saya pun RM1,500, sewa rumah lagi, isteri pula tidak bekerja. Nak buat simpanan pun tidak boleh,” katanya kepada Astro AWANI.

    Kesan kenaikan harga turut dirasai oleh golongan pesara walaupun mereka mendapat manfaat persaraan, namun turut merasai keperitan susulan harga barangan dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

    “Memang kos sara hidup semakin tinggi, kita sebagai pesara yang dapat pendapatan separuh daripada sebelum ini sangat terasa.

    “Barang mahal, ikan ayam mahal, jadi susah untuk kita urus kehidupan seharian kerana banyak duit kena guna. Kiranya celik mata dah kena keluar duit,” jelas pesara kerajaan, Ruzdin Mohd.

    Susulan harga barangan yang semakin meningkat, peniaga juga terpaksa menaikkan harga produk, lantas situasi ini akan menyebabkan pelanggan merungut atas kenaikan harga itu.

    “Kos sara hidup melambung tinggi, rakyat sekarang tak faham kenapa harga bahan mentah selepas COVID-19 ini melambung tinggi.

    “Boleh dikatakan harga baik setiap minggu atau bulan. Kita sebagai peniaga juga terpaksa naikkan juga harga produk, lepas itu orang ramai pula merungut pada kami,” jelas peniaga gerai makanan, Rusli Mohamed.

    Besar harapan mereka supaya kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak, dapat cakna akan masalah akar umbi dan berusaha mencari solusi untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

  • Rina Harun pastikan Sepang sumbang satu kerusi bentuk kerajaan PN

    Rina Harun pastikan Sepang sumbang satu kerusi bentuk kerajaan PN

    KETUA Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti Perikatan Nasional (PN) selepas beliau dipilih sebagai calon bagi Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau mahu memastikan Sepang mampu menyumbangkan satu kerusi bagi membentuk kerajaan PN.

    “Saya mahu ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memikul amanat dan tanggungjawab ini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan dan sahabat daripada pemuda PN, Bersatu dan Pas kerana sama sama menyokong.

    “Ini bukanlah untuk Rina Harun tapi untuk rakyat Sepang agar kita dapat bergerak dan mara untuk yang lebih baik lagi,” katanya lapor portal BeritaBersatu.

    Beliau berkata demikian dalam Program Jelajah Prihatin Parlimen Sepang di Dataran Sadiman, Bukit Changgang di Sepang, malam tadi.

    Mengulas lanjut Rina berkata, beliau mahukan persaingan sihat selepas kerusi Parlimen Sepang dilihat menjadi tumpuan ketua-ketua wanita di peringkat pusat dan berharap lebih ramai lagi calon wanita peroleh kejayaan.

    “Nampaknya Sepang ini menjadi tumpuan ketua-ketua wanita di peringkat pusat dan kita telah dimaklumkan Ketua Wanita daripada Amanah sendiri, Ketua Wanita daripada Pejuang dan kita harap pesaingan ini adalah pesaingan yang sihat.

    “Tapi sebenarnya saya harapkan wanita untuk bertanding di kawasan lain supaya kita tahu bila ada wanita yang bertanding mesti ada yang menang dan kalah dan kita nak lebih ramai lagi calon wanita untuk peroleh kejayaan,” ujarnya lagi.

    Terdahulu, Rina diumumkan secara rasmi sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Sepang oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.