Category: Semasa

  • Sangka saya dah ‘mati’, tapi rakyat Melaka masih yakini, kata Mas Ermieyati

    Sangka saya dah ‘mati’, tapi rakyat Melaka masih yakini, kata Mas Ermieyati

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin menyangkakan perjalanan politiknya sudah terkubur selepas keluar UMNO.

    Apatah lagi katanya, Masjid Tanah dan kawasan sekitar dilihat sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Penyandang Parlimen Masjid Tanah itu menjangkakan akan kalah teruk di tangan calon UMNO apabila diarah bertanding di DUN Tanjung Bidara pada PRN Melaka lepas.

    Beliau seperti diramalkan Mas Ermieyati tumpas, namun kekalahannya membuka mata ahli politik wanita itu – UMNO terpaksa berpuas hati dengan kelebihan 364 undi, meskipun beliau ‘orang luar’.

    Mas Ermieyati yang bertanding sebagai calon Perikatan Nasional meraih 3,195 undi manakala pemenang, Ab. Rauf Yusoh, mendapat 3,559 undi. Calon Pakatan Harapan hilang deposit.

    “Tanjung Bidara bukan kampung saya. Kampung saya di Ayer Limau. Bila diletak bertanding di sana, saya jangka kalah teruk tapi Umno hanya menang tipis,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Bagi Mas Ermieyati, kekalahan sebegitu kecil petanda bahawa pengundi Melaka merasakan beliau dan PN masih berguna untuk mereka.

    Pada PRU15, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dicabar calon BN, Muda, dan Pejuang di Parlimen Masjid Tanah.

    “Saya tahu bukan mudah untuk saya mengekalkan kerusi ini.

    “Kalau rakyat rasa perlukan lagi khidmat saya sebagai wakil rakyat, mereka bolehlah beri saya peluang di Masjid Tanah.

    “Jika mereka rasa saya tidak bagus, tidak lagi layak, dan nak tukar, terpulanglah…namun saya punya komitmen untuk Masjid Tanah,” ujarnya lagi.

    Mas Ermieyati berkata, PN percaya BN itu tidak akan ‘menang besar’ di sebalik keputusan PRN Melaka.

    “Kita belajar daripada kesilapan, yang telah diperbaiki dan ditambah baik. PN bersedia penuh memasuki PRU kali ini.

    “Kalau kita rasa BN boleh menang besar tidaklah kita nak masuk bertanding,” ujar beliau lagi.

    PRU lalu, Mas Ermieyati menang Masjid Tanah sebagai calon BN dengan kelebihan 8,000 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan dan Pas.

  • Dewan Ulama Pas sokong tindakan saman terhadap Rafizi

    Dewan Ulama Pas sokong tindakan saman terhadap Rafizi

    Oleh BADLISHAH MAT

    DEWAN Ulama Pas Pusat menganggap amalan politik fitnah yang dilemparkan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pandan merangkap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai suatu tindakan yang amat memalukan.

    Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, Rafizi tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataan sehingga mengundang fitnah yang berleluasa terhadap Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara khusus.

    “Sedangkan kesemua yang disebutkan oleh Rafizi tidak tepat dan telah dinafikan oleh kementerian berkenaan sendiri.

    “Ironinya, Rafizi hanya bergantung kepada maklumat separuh masak ‘sumber dalaman’ yang tersasar daripada realiti sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

    Semalam, Tuan Ibrahim melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid memfailkan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung kenyataan fitnahnya berkaitan dakwaan kelulusan projek tebatan banjir yang dibuat selepas pembubaran Parlimen.

    Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah dan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pokok Sena turut mempersoal sama ada PH dan Rafizi sangat terdesak menggunakan jalan fitnah untuk meraih sokongan rakyat.

    “Dewan Ulama Pas mengecam budaya fitnah yang sering menjadi amalan berpolitik Rafizi. Pendedahan kes rasuah kononnya atas nama sebuah integriti, rupa-rupanya mendedahkan beliau sendiri pada akhirnya tidak ada integriti,” katanya.

    Menurut beliau, tindakan undang-undang yang diambil terhadap Rafizi juga turut disokong dewan berkenaan sebagai satu pengajaran supaya tidak berlagak pandai tetapi kosong di dalam.

  • Kempen calon PRU-15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir

    Kempen calon PRU-15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir

    KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 beberapa calon di Selangor terpaksa ditangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir di Meru, Klang, Kapar dan Shah Alam. 

    Pusat Operasi Smart Selangor memaklumkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 9 malam ini termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa banjir kilat.

    Bagaimanapun, jumlah mangsa di dua PPS yang baharu dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Meru dan Dewan Orang Ramai Kampung Budiman dekat sini masih dalam bancian.

    Halimah turun padang melihat penduduk Meru terjejas banjir

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Gombak dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kapar Dr Halimah Ali antara yang membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat. 

    Pihak sekretariat bagi calon PH di Gombak itu memaklumkan Amirudin membatalkan kempennya selepas solat Isyak dan akan ke kawasan terkesan serta menyelaras agensi kerajaan bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa.

    Wakil calon PN di Kapar pula memaklumkan media bahawa aktiviti Dr Halimah ditangguhkan bagi membolehkan beliau menyantuni mangsa banjir di Meru.  

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, melalui perkongsiannya di laman Twitter turun ke Taman Setia Warisan dekat sini petang tadi bagi meninjau keadaan banjir yang berlaku akibat limpahan dari sungai berdekatan.

    Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga calon PH di Parlimen Kota Raja, turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

    Semalam, calon BN di Parlimen Kota Raja D. Kajendran melawat kediaman yang terjejas akibat ribut di Taman Desawan. – BERNAMA

  • PN kerajaan prihatin rakyat, laksana perkara gagal dilakukan PH

    PN kerajaan prihatin rakyat, laksana perkara gagal dilakukan PH

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan 17 bulan Perikatan Nasional (PN) semasa pentadbiran beliau adalah sebuah kerajaan yang prihatin hingga mampu melaksanakan perkara yang gagal dilakukan oleh kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

    Perbandingan kerajaan 22 bulan PH dan kerajaan 17 bulan PN

    Pengerusi PN itu berkata, apabila kerajaan Perikatan Nasional dibentuk pada 1 Mac 2020, beliau mengarahkan Menteri Kewangan supaya mencari sumber-sumber kewangan yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk disalurkan secara langsung kepada rakyat yang sedang menanggung kesusahan akibat pandemik.

    Menurutnya, beliau kemudian diberitahu ada sumber-sumber yang boleh digunakan untuk membantu rakyat hingga menyaksikan dalam tempoh 17 bulan pemerintahan kerajaan PN, pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM530 bilion telah dilaksanakan.

    “Perkara yang tidak boleh dilaksanakan oleh Pakatan Harapan, boleh dilaksanakan oleh Perikatan Nasional. Kenapa? Kerana Perikatan Nasional prihatin.

    “Inilah komitmen kami untuk Malaysia, iaitu mewujudkan sebuah kerajaan yang prihatin rakyat, selain bersih dan stabil. Susah senang kita hadapi bersama,” katanya di Facebook.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, semasa pemerintahan kerajaan PH, beliau telah menggesa Menteri Kewangan pada ketika itu Lim Guan Eng supaya menambah bantuan-bantuan langsung kepada rakyat.

    Malah katanya, beliau ada meminta agar sebahagian bantuan yang dipotong semasa pentadbiran PH supaya dikembalikan semula.

    Beliau berkata, ini kerana rakyat pada ketika itu terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi selain kenaikan harga petrol.

    “Namun jawapan yang diterima ialah kerajaan tidak mampu kerana masalah kekangan kewangan.

    “Dalam Bajet 2020 yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, Lim Guan Eng mengumumkan pemberian e-dompet bernilai RM30. Jumlah ini terlalu kecil,” tambahnya.

  • Felda bukan lagi kubu kuat BN – Muhyiddin

    Felda bukan lagi kubu kuat BN – Muhyiddin

    PENDUDUK dan peneroka tanah rancangan Felda sudah mula berubah dan memberikan sambutan kepada parti politik lain termasuk Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, situasi itu memberikan gambaran bahawa Felda bukan lagi kubu kuat bagi Barisan Nasional (BN) seperti mana pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

    Beliau berkata, warga tanah rancangan itu ketika ini sudah bersikap lebih terbuka dan bersedia untuk mendengar sebarang perubahan yang akan dibawa.

    “Dahulu, Felda memang kubu kuat UMNO dan BN tetapi kini tak begitu lagi. Sambutan dan penerimaan masyarakat Felda terhadap parti lain memang jarang berlaku dan kini sambutannya luar biasa.

    “Kalau dulu hendak naikkan bendera pembangkang… memang susah dan tak ada yang naik di Felda,” katanya selepas program bertemu penduduk setempat Gugusan Felda Lepar Hilir di Felda Lepar Hilir 3 di Kuantan.

    Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Felda masih kubu kuat UMNO dan BN pada PRU-15 kali ini.

    Muhyiddin berkata, sikap masyarakat Felda ketika ini menunjukkan perubahan cukup besar apabila sudah terbuka dan mahukan perubahan.

    “Mereka bukan sahaja mahu perubahan malah pembaharuan. Mereka mula yakin, kita pun dah banyak umum bantuan termasuk selesaikan hutang, pembinaan infrastruktur, masalah generasi baharu dan isu rumah,” katanya.

    Beliau dalam pada itu berkata, sambutan, sokongan dan penerimaan rakyat terhadap PN terus melonjak naik pada setiap hari.

    “PN bertindak memberi tumpuan kepada isu-isu kritikal, itu mejadi antara sebab minat terhadap kita (PN) meningkat secara mendadak.

    “Saya melihat situasi (sokongan) terhadap kita agak luar biasa, ribuan daripada mereka keluar beramai-ramai. Saya kira mereka sudah ada kesedaran baru,” katanya.

  • PRU15: Polis Pulau Pinang terima 20 laporan, buka 6 kertas siasatan setakat ini

    PRU15: Polis Pulau Pinang terima 20 laporan, buka 6 kertas siasatan setakat ini

    POLIS Pulau Pinang menerima sebanyak 20 laporan dan membuka enam kertas siasatan berhubung laporan jenayah dan kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setakat ini.

    Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang berkata, seorang lelaki turut ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kes memeras ugut pengadu yang ingin memasang bendera di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam di kawasan Parlimen Bukit Bendera.

    Katanya, lelaki tempatan itu disiasat menurut di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

    “Kertas siasatan yang dibuka ialah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat); Seksyen 323 Kanun Keseksaan (cederakan); Seksyen 324 Kanun Keseksaan (serang dan mencederakan) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat).

    “Selain itu Seksyen 500 Kanun Keseksaan(fitnah)/233 Akta Akta Komunikasi Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi),” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah jurucakap itu, sebanyak 167 permit juga telah dikeluarkan polis kepada semua parti polik dan calon Bebas yang mahu mengadakan ceramah bagi PRU15.

    Daripada jumlah itu jelas beliau, satu permit ditolak oleh pihak polis kerana lambat menghantar borang.

    “Proses berkempen dan PRU15 di Pulau Pinang berjalan lancar serta masih dalam kawalan, malah tiada insiden yang serius dilaporkan setakat ini,” katanya.

    Dalam pada itu tambahnya, polis Pulau Pinang menasihatkan semua parti termasuk penyokong mereka menghormati antara satu sama lain.

    Katanya, mereka juga diingatkan tidak melakukan kerosakan seperti membakar atau mencabut poster, kain rentang dan bendera mana-mana parti politik.

    “Sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

  • SPRM siasat perisytiharan aset Rafizi

    SPRM siasat perisytiharan aset Rafizi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

    Ia berikutan satu laporan dibuat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung pengisytiharan calon Parlimen Pandan itu.

    Lapor Berita Harian yang memetik sumber mengesahkan, SPRM akan mengkaji perkara itu dan siasatan akan dijalankan mengikut aspek-aspek tertentu yang masih dalam penelitian.

    Sebelum itu, Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz menggesa SPRM menyiasat harta sebanyak RM18.85 juta yang diisytihar Rafizi.

    Menurutnya, tersebar di media sosial yang mengaitkan penerimaan duit melalui syarikat, Invoke Solutions Sdn Bhd.

    “Invoke ditubuhkan pada 2016 dan dilaporkan mengalami kerugian sebanyak tiga kali dan untung hanya dua kali. Dari mana datang duit dan dana itu?.

    “Kita meminta SPRM menyiasat dan sekiranya benar Rafizi terlibat pengubahan wang haram, dia tidak layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu lihat dari segi undang-undang apakah Rafizi layak berganding di Parlimen Pandan,” katanya 

    Rafizi dalam sidang media semalam dilaporkan berkata beliau tidak akan membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaannya mengenai projek tebatan banjir di Melaka kerana mendakwa hampir semua skandal penyelewengan dan pendedahan yang dilaporkannya kepada polis dan SPRM tidak diambil tindakan.

    “Saya sebelum ini membuat banyak laporan kepada polis dan SPRM tetapi semuanya tiada tindakan. Saya berpengalaman lebih 10 tahun dan mendedahkan pelbagai skandal dan akhirnya ia dibawa ke muka pengadilan.

    “Tetapi ia (tindakan undang-undang) bukan datang dari polis atau SPRM tetapi pendedahan yang menyebabkan kemarahan rakyat. Contohnya kes kapal tempur pesisir (LCS), tidak diambil tindakan walaupun ada laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tetapi disebabkan tidak mahu kehilangan undi, seseorang akhirnya di bawa ke muka pengadilan,” katanya.

  • Zamani Slam dibenarkan keluar hospital

    Zamani Slam dibenarkan keluar hospital

    PENYANYI Zamani Slam dibenarkan keluar hospital petang ini selepas tiga hari menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada Isnin lalu.

    Perkembangan itu dimaklumkan isterinya, Nur Juliana Abd Rani menerusi catatan di akaun Instagram miliknya.

    “Assalamualaikum semua. Alhamdulillah Zamani dibenarkan keluar hospital petang ini.

    “Saya dan Zamani ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor, team operation (pasukan pembedahan) dan semua kakitangan Sunway Medical Centre Velocity serta kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan Zamani sepanjang beliau menjalani pembedahan sehingga ke hari ini.

    “Kami juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi), semua peminat-peminat, pihak media dan para penyumbang dana untuk Zamani. Segala budi baik dan doa anda semua amat kami hargai sehingga akhir hayat,” katanya.

    Semalam, Juliana memaklumkan suaminya sudah sedarkan diri selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang badan yang melengkung akibat penyakit scoliosis.

    i dia dan keluarga enggan menerima sebarang kunjungan daripada pihak luar kerana ingin memberi waktu kepada pelantun lagu Gerimis Mengundang itu mendapatkan rehat yang cukup. Malah, dia juga berharap semua pihak dapat memahami keadaan tersebut.

    “Kami sekeluarga sangat menghargai keprihatinan semua yang mengambil berat dan bertanya khabar.

    “Walau bagaimanapun kami memohon kerjasama dari semua pihak untuk memberi ruang kepada beliau dan keluarga diwaktu ini kerana Zamani masih berada di dalam keadaan lemah dan perlukan banyak rehat.

    “Seperti mana yang semua sedia maklum pembedahan yang dijalankan adalah satu pembedahan yang besar maka untuk pulih dan kembali sihat pasti mengambil sedikit masa.

    “Atas nasihat doktor Zamani perlu banyak berehat supaya rawatan dan pemulihan terhadap beliau berjalan dengan lancar.

    “Kami memohon maaf kerana tidak dapat menerima sebarang tetamu untuk melawat Zamani buat masa ini. Diharap semua dapat memahami keadaan Zamani dan keluarga ketika ini,” tambahnya.

    Terdahulu, Zamani telah dibawa masuk ke dewan bedah sekitar jam 8 pagi Isnin dan prosedur pembedahan itu memakan masa hampir tujuh jam seperti yang dimaklumkan pakar perubatan.

    Difahamkan juga, tempoh pemulihan Zamani akan mengambil masa antara dua hingga enam minggu. Malah, dia turut memerlukan tempoh selama tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum boleh aktif menyanyi semula.

  • Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    WARGA emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya.

    Tertuduh yang berusia 67 tahun dan bekerja sebagai kontraktor membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara jam 2 petang hingga 7 malam pada Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan disebat tidak kurang 10 sebatan.

    Berita Harian melaporkan, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

    Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adik perempuannya yang berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala diwakili tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Kerjasama GRS-BN akan diteruskan pasaca PRU-15 – Hajiji

    Kerjasama GRS-BN akan diteruskan pasaca PRU-15 – Hajiji

    KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkeyakinan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan berterusan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

    Pengerusi GRS itu berkata formula GRS-BN telah terbukti di peringkat negeri dengan kerjasama erat untuk mentadbir dan membawa banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat.  

    “Sudah tentu…ia adalah suatu kesinambungan mandat yang diberikan rakyat semasa Pilihan Raya Negeri lepas. Jadi, kami perlu ada kerjasama kukuh bagi memastikan kami mendukung mandat ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT) di sini hari ini.

    Ditanya sama ada Kerajaan Negeri Sabah akan mengisytiharkan Nov 18 sebagai cuti umum, beliau berkata perkara itu harus diteliti terlebih dahulu.  

    Menyentuh mengenai pendidikan, beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3.38 juta kepada badan agama bukan Islam, sekolah Cina dan mubaligh di Tuaran tahun ini.  

    Daripada angka itu RM1.078 juta untuk badan agama bukan Islam dan selebihnya untuk sekolah Cina dan mubaligh di Daerah Tuaran.

    Beliau menegaskan kerajaan negeri telah bersetuju untuk meningkatkan peruntukan keseluruhan untuk badan agama bukan Islam,  sekolah Cina dan mubaligh sebanyak RM7 juta kepada RM54 juta tahun depan.

    Dalam ucapan perasmian bangunan baharu SMAT yang boleh menampung 500 pelajar pada satu-satu masa,  Hajiji memuji sekolah itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Seventh-Day Adventist kerana menghasilkan ramai pelajar berjaya sepanjang lebih dari 80 tahun kewujudannya.

    “Saya yakin SMAT akan meneruskan kecemerlangannya dalam pendidikan dengan menyediakan peluang kepada pelajar untuk cemerlang terutamanya mereka dari kawasan luar bandar,” katanya.

    Sebagai menghargai tenaga pengajar SMAT, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk membantu pengurusan sekolah dalam meningkatkan program akademik dan pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan permintaan SMAT untuk kemudahan lain  termasuk gelanggang bola keranjang berbumbung.

    Terdahulu, Hajiji berkata pendidikan merupakan aganda utama Kerajaan Negeri GRS-BN, maka pembangunan modal insan adalah antara teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kerana itu kerajaan negeri tidak teragak-agak meluluskan permohonan tanah seluas 0.1 hektar  daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Chung Hwa untuk projek “Green and Nature Park”.

    Hajiji juga mengejutkan guru dan murid SJK Cina Chung Hwa dengan meluluskan sumbangan untuk papan tanda pintar “Green and Nature Park” dan pancaragam sekolah itu berjumlah RM150,000 seperti yang dipohon Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah itu   Chong Hong Kong dalam ucapannya terdahulu. – BERNAMA