Category: Semasa

  • Kilang elektronik didenda RM30,000 buang efluen melebihi had

    Kilang elektronik didenda RM30,000 buang efluen melebihi had

    MAHKAMAH Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 terhadap sebuah kilang elektronik terkemuka kerana melakukan pembuangan efluen perindustrian melebihi had yang dibenarkan.

    Hukuman itu dijatuhi Hakim Noor Aini Yusof selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah itu.

    Kesalahan itu dilakukan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke dalam perairan pendalaman.

    Ketika pertuduhan dibacakan, syarikat itu diwakili Pengurus Fasilitinya yang hadir bersama peguam, Peter Huang dari firma guaman, Peter Huang & Richard.

    Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pelepasan efluen yang mengandungi bahan pencemar melebihi had yang ditetapkan telah mencemarkan perairan dan berpotensi menjejaskan kesihatan awam.

    Katanya, dalam kes itu, premis berkenaan didapati melepaskan pepejal terampai (suspended solid) sebanyak 200 miligram per liter (mg/L) iaitu melebihi had yang ditetapkan (100mg/L).

    Tambah beliau, premis itu turut melepaskan aluminimum sebanyak 39 mg/L berbanding had yang ditetapkan iaitu hanya sebanyak 15 mg/L.

    “Denda maksimum bagi kesalahan ini adalah tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

  • Susahkan rakyat buat PRU musim tengkujuh, tapi BN peduli apa

    Susahkan rakyat buat PRU musim tengkujuh, tapi BN peduli apa

    PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sepatutnya boleh diadakan tahun depan apabila penggal Parlimen ke-14 berakhir, bukannya antara November 2022 hingga Mac 2023 tatkala negara dilanda musim tengkujuh yang berlaku setiap tahun.

    Masakan Perdana Menteri Kerajaan Malaysia tidak tahu bahawa bencana, seperti banjir dan tanah runtuh, sentiasa berlaku secara tahunan di Malaysia?

    Malah, sebelum pengumuman pembubaran Parlimen dibuat pun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah memberi amaran berhubung perubahan angin Monsun Timur Laut yang akan melanda negara mulai bulan ini hingga Mac tahun depan, lapor AgendaDaily, hari ini.

    Tapi apakan daya, kerana desakan Barisan Nasional (BN), terutama UMNO, Naib Presiden parti itu yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, terpaksalah juga mengikutnya, sekali gus menunjukkan BN tidak prihatin kesusahan yang bakal dialami rakyat.

    Justeru, adakah layak untuk memilih BN menerajui Kerajaan Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang?

    Contoh sudah ada di depan mata, apabila beberapa kawasan di Selangor, Johor dan Kedah, mengalami banjir. Walaupun, dilaporkan hanya banjir kilat (banjir yang berlaku dengan serta-merta atau dengan tidak disangka-sangka), keadaannya tetap menyusahkan rakyat.

    Ini kerana banjir kilat itu kadang kala menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan apabila air memasuki rumah mereka walaupun hanya satu atau dua malam. Tidakkah ini menyusahkan rakyat?

    Apa jadi sekiranya pada hari pengundian nanti (19 November) yang tidak berapa hari lagi, tiba-tiba hujan lebat dan banjir berlaku? Pastinya ia menyukarkan pengundi untuk bergerak.

    Inilah rancangan yang diatur BN supaya peratusan keluar mengundi rendah sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menang. Wajarkah memilih BN menjadi kerajaan jika beginilah sikap mereka?

    Tetapi, sebab sebenar kenapa BN berkehendakkan pilihan raya diadakan segera sudah diketahui umum. Ianya melibatkan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh pemimpin tertinggi BN, khususnya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau menghadapi 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah di mahkamah, melibatkan berjuta-juta ringgit.

    Ada keputusan yang telah dibuat dan ada yang belum. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan ketika Zahid menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika BN memerintah negara.

    Tapi kes yang penting ialah berkaitan Yayasan Akalbudi (YAB) di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Januari telah memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana YAB.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie (pada zahirnya) bagi semua tuduhan terhadap Zahid. Logiknya apabila disebut prima facie bermakna sebelah kaki telah masuk dalam penjara.

    Tiada cara untuk melepaskan diri daripada undang-undang kecuali beliau mesti memastikan BN dapat memerintah negara. Kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, kononnya tidak campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka, hanya cakap politik untuk menyedapkan telinga pengundi menjelang 19 November ini.

    Tok Mat memberi contoh kes-kes melibatkan pemimpin UMNO seperti Datuk Harun Idris, Datuk Mokhtar Hashim, Khir Toyo, Zahid dan Datuk Seri Najib Razak.

    Tapi, rakyat terutama anak muda sekarang bukan lagi bodoh. Kes melibatkan Harun, Mokhtar dan Khir bukan ketika UMNO/BN di bawah pemimpin seperti yang ada sekarang.

    Ketika kes Harun dan Mokhtar, UMNO/BN di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memang menentang rasuah dan salah guna kuasa. Kes Khir pula, UMNO/BN di bawah Najib dan memang diketahui bahawa Khir bukan orang bekas Perdana Menteri.

    Najib dan Zahid pula dibawa ke mahkamah ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri kali kedua. Selepas Tan Sri Muhyiddin menggantikan Dr. Mahathir, Zahid dikatakan meminta bantuan supaya kesnya digugurkan.

    Cuba lihat apabila Najib dimasukkan ke penjara. UMNO mengadakan perhimpunnan khas yang dalamnya penuh dengan ucapan kebencian terhadap kerajaan campuran BN-Perikatan Nasional.

    Malah ada pemimpin UMNO yang mengutuk Perdana Menteri mereka sendiri kerana tidak campur tangan melantik ‘orang sendiri’ menjadi Peguam Negara supaya mudahlah mereka mengawal pendakwaan terhadap pemimpin UMNO dan BN. Bukankan ini cubaan campur tangan dalam undang-undang dan proses kehakiman?

    Kerana berpegang kepada prinsip keadilan, UMNO/BN kemudian menggulingkan Muhyiddin, walaupun ketika itu rakyat berada dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19. UMNO dan BN mencipta persepsi ‘kerajaan gagal’, ‘PKP separuh masak’ dan lain-lain supaya rakyat membenci Kerajaan Perikatan Nasional.

    Wajarkah pengundi memilih BN menjadi kerajaan jika sikap dan perangai pemimpin mereka sedemikian?

    Seperti kata Muhyiddin semalam pengundi mempunyai tiga pilihan parti mana yang layak memimpin negara – Perikatan Nasional; BN; dan PH. Tetapi sikap pemimpin BN menyebabkan parti itu sudah tertolak.

    Daripada memilih PH yang dalamnya terdapat parti ekstremis dan cauvinis, adalah lebih baik pengundi memilih Perikatan Nasional yang terbukti prihatin terhadap rakyat – ini dapat dilihat kepada kejayaan menangani pandemik Covid-19 dan memberi bantuan berbilion-bilion ringgit kepada rakyat.

    Rakyat, terutama anak muda, zaman sekarang bukan boleh diperbodohkan oleh UMNO dan BN. Gelombang perubahan yang mahukan Perikatan Nasional memerintah sudah semakin besar, menunggu masa menghempas bilik pembuangan undi PRU pada 19 November ini.

  • PRU-15: ‘Bodoh’ isytihar harta, kata Hadi

    PRU-15: ‘Bodoh’ isytihar harta, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, syarat PKR supaya calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengisytiharkan harta adalah satu “kebodohan”.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pendekatan itu seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.

    “Isytihar harta ini kadang-kadang satu kebodohan. Nak tunjuk-tunjuk kepada orang ramai,” katanya dalam sidang media selepas kuliah mingguan di Rusila, Marang, menurut Malaysiakini.

    Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana parti itu akan turut sama mengikuti langkah PKR dalam pengisytiharan harta.

    Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilapor berkata, setiap calon parti pada PRU-15 perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

    Langkah itu juga dikatakan akan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan institusi yang mereka berkhidmat sekiranya calon itu mula memegang jawatan.

    Semalam, Pas berkata parti itu tidak akan mengambil pendekatan meminta calon PRU-15 mengisytiharkan harta kerana ia mungkin akan memberikan implikasi negatif.

    Naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun jumlah aset itu hanya dimaklumkan kepada menteri besar.

    “Kita tidak boleh mendedahkannya (harta) kepada orang awam kerana ia ada baik dan buruknya. Bila orang tahu kita ada harta banyak, mungkin ada implikasi negatif.

    “Oleh itu kita ambil pendekatan tidak berbuat demikian (isytihar harta). Lagi pun orang PAS tak ada harta banyak dan malu juga sedangkan orang lain berjuta-juta,” katanya menurut Utusan Malaysia.

  • PRU-15: Manifesto PN Labuan tumpu tujuh perkara

    PRU-15: Manifesto PN Labuan tumpu tujuh perkara

    PERIKATAN Nasional (PN) Labuan melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 dengan mengetengahkan tujuh perkara dengan tumpuan kepada melonjakkan pembangunan ekonomi pulau ini.

    Ketua Bersatu Bahagian Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman berkata ia akan melengkapkan manifesto gabungan itu di peringkat persekutuan.

    “Kami sedang melihat untuk meningkatkan peranan Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan dan menjadikannya lebih berdaya saing,” katanya ketika melancarkan manifesto itu malam tadi.

    Beliau berkata tumpuan pertama ialah memulihkan semula Hab Halal Labuan yang terbiar lama sedangkan pada awalnya ia direka bentuk bagi menjana peluang pekerjaan dan perniagaan untuk orang tempatan.

    “Tumpuan lain ialah untuk menambah baik kemudahan telekomunikasi dan jalan raya sekitar pulau ini termasuk di kawasan kampung,” katanya.

    Suhaili berkata status Labuan sebagai sebuah pulau bebas cukai perlu diberi perhatian.

    “Penduduk mengadu mengenai kenaikan harga dan bekalan barangan yang terhad di kedai bebas cukai … kami hanya dapat harga coklat dan minuman beralkohol yang murah sementara yang lain adalah lebih tinggi daripada bandar-bandar yang bukan bebas cukai,” dakwanya.

    Bekas Ahli Parlimen Labuan itu berkata tumpuan lain manifesto itu ialah melonjakkan sektor pelancongan pulau ini dengan kemudahan dan produk pelancongan seperti taman tema air.

    Suhaili juga berkata pembangunan sukan juga tersenarai dalam manifesto itu dan menekankan keperluan untuk menambah baik kemudahan dan membina prasarana sukan yang baharu.

    Beliau berkata kebajikan nelayan di pulau ini perlu dijaga dengan pelbagai skim bantuan akan dimudah cara selain menambah baik kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

    “Masih ada lagi pesakit di pulau ini yang memerlukan rawatan terpaksa ke Kota Kinabalu dengan kos yang lebih tinggi dan isu ini perlu diselesaikan,” katanya.

    Suhaili berhadapan pertandingan enam penjuru bagi merebut kerusi Parllimen Labuan menentang penyandangnya Datuk Rozman Isli daripada Parti Warisan, Datuk Bashir Alias (Barisan Nasional), Datuk Dr Ramli Tahir (Pakatan Harapan), Dayang Rusimah @ Raynie Datuk Mohd Din (Parti Bangsa Malaysia) dan Datuk Seri Ramle Mat Daly (Parti Pejuang Tanah Air).

  • Pemandu lori ditahan bakar bendera parti

    Pemandu lori ditahan bakar bendera parti

    PEMANDU lori berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki merosakkan bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Sejak beberapa hari lalu tular dalam aplikasi media sosial TikTok mengenai tindakan seorang lelaki dilihat sengaja membakar bendera daripada sebuah parti yang menimbulkan kemarahan ramai pihak di Dungun Terengganu.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, hasil maklumat orang awam satu tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki di rumahnya di kampung Pasir Raja.

    “Satu laporan diterima mengatakan seorang lelaki yang mungkin tidak siuman atau berada di bawah pengaruh dadah bertindak membakar bendera parti.

    “Hasil penelitian video berdurasi lebih kurang satu minit tujuh saat memaparkan seorang lelaki Melayu sedang membakar sehelai kain berwarna hijau dan putih menggunakan pemetik api.

    “Lokasi kejadian berlaku tepi jalan berhampiran simpang masuk ke Kampung Pasir Raja Kuala Jengai dan susulan itu tangkapan telah dibuat pada pukul 1.30 pagi,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek merupakan orang yang sama terlibat dalam kes pembakaran bendera Jalur Gemilang.

    “Sebelum ini kita ada menerima satu laporan membabitkan kes membakar bendera Malaysia dan suspek adalah individu yang sama.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan suspek yang dipercayai positif dadah akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Budak 9 tahun lemas ketika mandi sungai

    Budak 9 tahun lemas ketika mandi sungai

    Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di alur sungai Kampung Batu 9, Chukai, Terengganu petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Aman A. Suhimi sedang mandi bersama dua rakannya.

    “Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman menerima panggilan pada 5.37 petang daripada MERS999 memaklumkan berlaku kejadian lemas di Kampung Batu 9 lbok.

    “Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.


    Sementara itu, bapa mangsa, A. Suhimi Salleh, 58, berkata jenazah anaknya ditemukan pekebun di ladang kelapa sawit, kira-kira 100 meter dari lokasi anaknya mandi sekitar 5.15 petang.


    “Saya tidur selepas solat zohor. Kira-kira 3 petang, anak saya balik dari sekolah dan terus pergi main air (di alur sungai Kampung Batu 9) dengan kawan-kawan. Pagi itu, dia ada sukan di sekolah dan kemudian pada petang, kawannya datang (ke rumah) memberitahu Aman
    (Muhammad Aman) lemas,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Kemaman, malam tadi.


    A. Suhimi berkata anaknya sering mandi di alur sungai tersebut bersama rakan-rakannya namun semalam paras sungai tersebut meningkat kira-kira dua meter susulan hujan.


    Beliau berkata Muhammad Aman yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik juga berkelakuan agak berbeza daripada kebiasaan sejak kebelakangan ini.

    “Perangai anak saya memang berbeza sedikit, dia memang mahu saya bersama isteri pergi ke sekolah untuk melihat dia bersukan. Masa pergi ke sekolah itu (Sekolah Kebangsaan Ibok),memang dia suka, di sekolah pun hari ini (semalam), semua cikgu dia salam,” katanya.

  • Warga Felda sambut baik tawaran PN

    Warga Felda sambut baik tawaran PN

    LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah satu agensi kerajaan yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar ke kawasan-kawasan lain untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

    Nasib warga Felda ini tidak pernah dipinggirkan dan antara khabar gembira yang melegakan hati peneroka khususnya apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) melupuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

    Kerajaan PN juga menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion bagi menambahbaik model perniagaan agensi tersebut.

    Terbaharu, nasib warga Felda itu terus mendapat perhatian menerusi Tawaran PN BEST PRU15 yang diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Untuk memperkasa generasi itu, PN menawarkan beberapa inisiatif seperti Wawasan Felda Baharu bagi menjamin masa depan mereka dengan mewujudkan peluang ekonomi baharu, keusahawanan serta menambah baik infrastruktur asas termasuk capaian Internet dan rumah mampu milik.

    Inisiatif lain ialah menyelamatkan projek perumahan generasi baharu Felda terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih, di samping memperkenalkan skim keusahawanan Felda bagi menggalakkan penglibatan usahawan muda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi terkini dan automasi.

    Turut menjadi tumpuan juga untuk memulihkan Felda supaya prestasinya setanding dengan syarikat perladangan kelapa sawit berprestasi tinggi bagi menjamin kesejahteraan peneroka.

    Tawaran PN memperkasakan Felda mendapat reaksi yang baik dari warga Felda di sekitar Bentong, Pahang.

    “Sudah pasti sebagai generasi kedua Felda, saya sambut baik usaha PN untuk bantu generasi kami kerana masih ada yang menumpang rumah keluarga. Cuma prosesnya diperhalusi dan dipermudahkan untuk memiliki rumah,” kata Anuar A.Latif, 49, yang menetap di Felda Sungai Nerek

    Selain itu, Wan Puspawati Wan Anuar berharap ekonomi lebih stabil bagi memberi laluan kepada kesungguhan PN dalam membantuk rakyat dan memulihkan keadaan.

    Buat Izhar Ahmad,73 beliau menghargai tindakan Muhyiddin melupuskan hutang peneroka memang dihargai dan berhadap lebih banyak infrastruktur dapat disediakan seperti bank.

    Menurut Shamsudin Abdullah, 61, belia berharap PN mampu mendapat mandat rakyat agar masalah rumah generasi kedua Felda mampu ditangani.

    “Syukur kerana pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin membantu peneroka. Saya harap jika PN menerajui negara, masalah rumah generasi kedua diselesaikan. Kalau bukan 100 peratus pun, sekurang-kurangnya lebih ramai generasi ini dapat,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Wujud persefahaman Ahmad Zahid-Anwar bentuk kerajaan selepas PRU-15 – Muhyiddin

    Wujud persefahaman Ahmad Zahid-Anwar bentuk kerajaan selepas PRU-15 – Muhyiddin

    WUJUD persefahaman antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggabungan bakal dilakukan dengan PH yang diterajui Presiden PKR itu jika UMNO tidak mendapat kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan pada PRU15 ini.

    “Memang ada persefahaman antara Ahmad Zahid dan Anwar supaya lepas pilihan raya ini, kalau UMNO tak dapat sejumlah kerusi yang mencukupi untuk bentuk kerajaan, maka dia akan bergabung dengan parti PH dipimpin Anwar.

    “Siapa di belakang Pakatan Harapan? Anwar Ibrahim? Bukan? DAP? DAP ini saudara pun tahu bagaimana ideologi DAP yang terbentuk sekian lama, dia menolak hak istimewa orang Melayu, tidak mendokong perjuangan Islam sebagai agama Persekutuan, banyak perkara bercanggah dengan kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu,” katanya ketika berucap pada siri jelajah PN Best di Balok, Kuantan.

    Pada 14 Oktober lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, UMNO dan PKR sedang mengadakan rundingan sulit untuk bekerjasama bagi menghadapi PRU-15. 

    Wan Saiful mendakwa, agenda untuk bekerjasama itu adalah bagi meminimumkan pertembungan dalam pilihan raya umum nanti seterusnya mengusahakan pembentukan kerajaan secara bersama antara kedua-dua parti itu.

    Muhyiddin berkata, nasib rakyat akan menjadi pertaruhan jika kerjasama antara UMNO dan PH menjadi kenyataan selepas PRU15 ini.

    Beliau turut mempersoalkan parti mana yang akan menguasai kerajaan jika UMNO dan PH bergabung membentuk jajaran baru.

    “UMNO atau PH? Saya bimbang kalau ini berlaku, maka apakah nasib kita semua pada masa akan datang,” kata penyandang dan juga calon PN kerusi Parlimen Pagoh, Johor.

  • Muhyiddin ingatkan bahaya kerjasama UMNO-PH

    Muhyiddin ingatkan bahaya kerjasama UMNO-PH

    DAP didakwa pernah mendesak supaya memansuhkan Akta Hasutan semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat selama 22 bulan, dedah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa desakan DAP untuk memansuhkan akta tersebut dibuat semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri ketika PH memerintah, namun bertegas dengan pendiriannya untuk tidak tunduk dengan tekanan diberikan tersebut.

    “Saya duduk di Kemeterian Dalam Negeri (KDN), dalam mesyuarat, banyak perbincangan ditekan oleh DAP. Satu contoh yang saya masih ingat ialah supaya mengambil langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan.

    “Akta Hasutan ni sudah lama ada iaitu untuk mengekang segala bentuk salah laku perbuatan yang menyentuh soal-soal induk dalam negara kita. Soal institusi Raja-raja dan Sultan, jangan sentuh tak tentu arah.

    “DAP didakwa pernah mendesak supaya memansuhkan Akta Hasutan semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat selama 22 bulan,” dedah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa desakan DAP untuk memansuhkan akta tersebut dibuat semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri ketika PH memerintah, namun bertegas dengan pendiriannya untuk tidak tunduk dengan tekanan diberikan tersebut.

    “Saya duduk di Kemeterian Dalam Negeri (KDN), dalam mesyuarat, banyak perbincangan ditekan oleh DAP. Satu contoh yang saya masih ingat ialah supaya mengambil langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan.

    “Akta Hasutan ni sudah lama ada iaitu untuk mengekang segala bentuk salah laku perbuatan yang menyentuh soal-soal induk dalam negara kita. Soal institusi Raja-raja dan Sultan, jangan sentuh tak tentu arah.

    “Diadakan peruntukan itu untuk tindakan tertentu boleh diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu, atau meminta hak istimewa orang Melayu ataupun agama Islam ataupun bahasa Melayu dan perkara-perkara lain yang sensitif. Dia (DAP) minta supaya saya ambil langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan, saya tidak buat,” katanya semasa ceramah PNBest di Indera Mahkota malam tadi lapor Berita Bersatu.

    Menurut Muhyiddin, terdapat spekulasi yang sahih berkemungkinan wujud kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) khususnya antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk membentuk kerajaan bersama.

    “Saya dah dapat satu cerita yang sahih. Saya tak payah perlu beritahu sumber ini, cerita sahih ini mengatakan memang ada persefahaman yang sudah terjalin antara Zahid Hamidi dengan Anwar Ibrahim.

    “Supaya lepas pilihan raya ini kalau UMNO dan dia tak akan dapat sejumlah kerusi yang mencukupi untuk bentuk kerajaan sendiri, macam masa-masa yang lampau maka dia akan ambil langkah untuk bergabung dengan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

    “Saudara tahu siapa di sebalik Pakatan Harapan Anwar Ibrahim? Siapa dia? DAP,” katanya lagi.

    Untuk rekod, Anwar dan Zahid diketahui umum mempunyai hubungan istimewa cikgu dan anak murid, malah sebelum ini berkomplot dalam menjatuhkan kerajaan PN sebelum ini.

    Jika kerjasama antara UMNO dengan PH itu terjalin, Muhyiddin berkata, DAP akan menjadi dominan dan tidak mustahil ia bakal menggugat kepentingan orang Melayu khususnya.

    “Banyak perkara yang dilakukan (DAP) bercanggah dengan kepentingan rakyat kita khususnya orang-orang Melayu,” katanya lagi.

    Muhyiddin menggesa kepada orang ramai supaya membuat pertimbangan yang sewajarnya semasa PRU-15 dan tidak membuat keputusan yang akan merugikan masa depan mereka.

    “Saya cukup bimbang kalau lah ini berlaku maka apakah nasib kita semua di masa akan datang. Tetapi nasib baik ini boleh jadi peringatan, sebelum berlaku.

    “Tetapi boleh berlaku, khususnya kalau pengundi Melayu salah pertimbangan termasuklah pengundi yang sekarang ini menjadi ahli UMNO,” ujarnya lagi.

  • Kazim tarik diri kerana mahu terus berdakwah, jelas abang

    Kazim tarik diri kerana mahu terus berdakwah, jelas abang

    ABANG kepada Datuk Kazim Elias mendedahkan beliau bukan punca utama adiknya itu menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Najmuddin Elias yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Batu Kurau menjelaskan, keputusan itu lebih kepada kesedaran adiknya meneruskan kerja-kerja dakwah dan tidak mahu dilabel bias atau berat sebelah atau memberi kesan negatif sebagai seorang pendakwah.

    “Sebenarnya ustaz Kazim dah tahu dari awal saya dicalonkan awal oleh Bersatu, sebelum dia ditawarkan oleh UMNO/BN. Masa BN tawarkan ustaz Kazim bertanding, ustaz Kazim dah tahu saya akan bertanding.

    “Jadi tidak timbul saat-saat akhir dia tarik diri tu kerana abangnya bertanding sebab dia dah tahu awal.

    “Adik (ustaz Kazim) mengatakan dia menarik diri itu kerana kelangsungan dakwahnya, tidak mahu menjadi satu ‘biased’ (berat sebelah) atau kesan negatif kalau dia terus menceburi 100% bidang politi,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Najmuddin mendedahkan sejam sebelum parti masing-masing mengumkan senarai calon pada jam 8.30 malam 1 November lalu, Kazim ada menelefonnya untuk mendapatkan pandangan beliau.

    “Saat terakhir dia tanya pendapat saya masa tu lebih kurang sejam sebelum diumumkan oleh pihak parti masing-masing, saya tak boleh nak tarik diri sebab saya sudah tandatangan semua sekali… Aku Janji dan sebagainya dan sebab itu sukar untuk saya menarik diri saat akhir.

    “Bagaimanapun, akhirnya beliau menarik diri pada esoknya walaupun telah diumumkan sebagai calon BN di Larut,” kata Najmudin yang menang di DUN Batu Kurau selama dua penggal menerusi tiket BN.

    Keakraban silaturahim adik-beradik tidak pernah terputus walau berbeza fahaman politik
    Najmuddin berkata walaupun berbeza parti politik, Kazim dan beliau mempunyai satu tekad yang sama iaitu menyatukan Islam dan Melayu demi pembangunan ummah.

    “Keakraban hubungan adik-beradik takkan terputus walaupun kami berbeza fahaman politik. Yang penting dia cakap dekat saya, Islam itu kena bersatu, Melayu kena bersatu walaupun berbeza parti. Itu matlamat kami,” katanya.

    Beliau juga berpendapat Kazim perlu membina kekuatan politiknya dahulu sebelum nekad terjun ke bidang politik sepenuh masa.

    “Bagi saya, mungkin saya dah dua penggal jadi wakil rakyat dah tahu sedikit sebanyak selok belok sepak terajang politik tapi bagi beliau yang baru nak mulakan dengan politik, bagi saya bukan masa sekarang.

    “Mungkin dia kena bina dulu kekuatan politiknya baru dia ada kekuatan untuk menerima mana-mana politik pada masa akan datang,” katanya.

    Pada 2 November lalu, Kazim menarik diri bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada PRU-15 dan digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda Umno Larut, Shafiq Fhadly Mahmud, yang akan bertemu Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang-Berjasa), Zolkharnain Abidin (PH-Amanah) dan Hamzah Zainudin (PN-Bersatu).

    Kemudian, pada satu sidang media, beliau menjelaskan tujuannya menarik diri adalah demi kepentingan keluarga.