Category: Semasa

  • ‘Zalim pilih pemimpin terbukti tidak berintegriti’, kata Hamzah

    ‘Zalim pilih pemimpin terbukti tidak berintegriti’, kata Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, integriti adalah sikap utama yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin bagi menerajui dan membawa kemajuan kepada sesebuah negara.

    Menurut beliau, sukar untuk integriti seseorang pemimpin dipertikaikan sekiranya mereka bersih daripada sebarang salah laku.

    “Sejarah Islam sendiri membuktikan jika seseorang individu yang berkeperibadian baik dipilih menjadi pemimpin, mereka mampu membawa kemajuan kepada sesebuah negara.

    “Kalau negara itu sebuah negara maju, pemilihan pemimpin yang baik akan menjadikan ia dicontohi di seluruh dunia,” katanya ketika perhimpunan bulanan Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut Hamzah berkata, adalah satu kezaliman jika pengundi masih mengangkat mana-mana pemimpin yang diketahui berbohong dan melakukan pelbagai perkara yang boleh menyebabkan negara berada dalam kemiskinan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selaras dengan firman Allah SWT dalam ayat 188 surah Al-Baqarah yang antara lain melarang perbuatan memakan harta yang diperoleh melalui cara yang salah.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, Malaysia mampu kembali menjadi Harimau Asia jika semua pihak memahami apa yang perlu dilakukan untuk memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan beramanah untuk menentukan masa depan bersama.

    Malah kata beliau, jutawan terkemuka dunia, Warren Buffet, juga pernah menyebut perkara yang perlu dilihat dalam seseorang adalah kebijaksanaan, tenaga dan integriti.

    “Warren Buffet berkata dalam menilai seseorang manusia, lihat kepada tiga perkara iaitu kebijaksanaan, tenaga dan integriti. Dan dia sambung, dia kata yang paling mustahak kalau mereka tidak mengikut perkara terakhir iaitu integriti, tidak perlulah melihat dua ciri-ciri pertama itu kerana ia tidak lagi penting.

    “Tidak ada apa yang boleh dilakukan dengan kebijaksanaan dan tenaga jika seseorang itu tidak berintegriti.

    “Saya yakin apa yang saya sampaikan ini adalah sesuatu untuk difikir-fikirkan oleh kita bersama. Saya minta maaf, saya tidak pernah bercakap sebegini rupa, tetapi pada masa-masa sebegini saya terpaksa menyampaikan ini kerana saya sayangkan negara saya,” katanya lapor Berita Harian.

  • Pelakon Syazlin Zainal maut dipercayai jatuh dari tingkat 22 pangsapuri

    Pelakon Syazlin Zainal maut dipercayai jatuh dari tingkat 22 pangsapuri

    PELAKON drama Oh My Hantaran, Syazlin Zainal maut dipercayai akibat jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat wanita berusia 26 tahun itu di bahagian bawah pangsapuri tersebut pada 12.50 tengah hari.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita yang bekerja sebagai pelakon sambilan.

    “Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Bernama.

    Beliau berkata menerusi siasatan awal, pihaknya tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Balai Polis Taman Pelangi atau Pegawai Penyiasat ASP Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

  • Calon PN anak tempatan Gerik, Asyraf Wajdi hadapi tentangan

    Calon PN anak tempatan Gerik, Asyraf Wajdi hadapi tentangan

    CALON Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Gerik, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki adalah calon luar, malah bukan berasal dari Perak, sekali gus bakal ditolak oleh pengundi tempatan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

    Malah, ketika nama Beliau diumumkan sebagai calon BN bagi Parlimen itu, kekecohan berlaku dalam kalangan ahli UMNO Bahagian Gerik, kerana mereka mahukan anak tempatan.

    Laporan mengatakan beberapa pusat daerah mengundi BN juga ditutup kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan pencalonan Asyraf Wajdi mewakili mereka kerana beliau bukan anak tempatan.

    Veteran UMNO Datuk Seri Nazri Aziz yang turut menyifatkan Ketua Pemuda UMNO itu akan berdepan masalah dan kemungkinan kalah dalam saingan tiga penjuru.

    Asyraf Wajdi akan berdepan calon Perikatan Nasional _(PN), Fathul Huzir Ayob dan Ahmad Tarmizi Mohd Jam daripada Pakatan Harapan (PH).

    Pada PRU-14, BN menang dengan majoriti 5,528 undi mengalahkan calon Pas yang memperoleh 7,715 undi dan PH (6,353 undi).

    Namun, berdasarkan gelombang rakyat yang mahukan perubahan selain menolak BN – susulan kemelut politik yang dicetuskan parti gabungan UMNO itu khususnya sejak 2020 hingga pemilihan calon PRU – BN dilihat akan tumbang.

    Cabaran sengit datangnya daripada Perikatan Nasional – Fathul Huzir adalah anak tempatan Gerik yang berasal dari Felda Nenering – setelah gelombang kebangkitan rakyat mahukan sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, dan dapat memajukan kawasan Parlimen Gerik.

    “Pertama Gerik, ini kerana calonnya bukan daripada kawasannya, malah bukan daripada negeri (Perak). Dah tentu dia akan bermasalah kerana biasalah kita mahu calon tempatan,” kata Nazri yang tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas, kali ini.

    Beliau berkata walaupun pengundi luar bandar biasanya berpegang kepada lambang, kerusi Parlimen Gerik bagi PRU-15 adalah kawasan ‘kelabu’ buat BN setelah beberapa penggal menguasai kawasan itu.

    Kerusi kelabu bermakna kawasan parlimen yang mempunyai peluang 50-50. Sementara kerusi putih merupakan kawasan yang selamat dan kerusi ‘hitam’ membawa maksud peluang kemenangan yang tipis.

    Selain itu, Nazri juga berpendapat BN hanya akan menang lapan kerusi daripada 24 kerusi Parlimen di Perak.

    Menurut laporan Agenda Daily, Fathul Huzir mengajak pengundi, terutama anak muda, memberi sokongan kepada Perikatan Nasional pada PRU kali ini supaya dapat membentuk sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.

    Beliau turut mengingatkan pengundi termasuk, yang berada di luar kawasan, untuk pulang dan keluar beramai-ramai memberi mandat kepada Perikatan Nasional memerintah negara.

    “Kepada penduduk Gerik, saya mengingatkan bahawa Perikatan Nasional walaupun hanya memimpin Kerajaan Pusat selama 17 tahun, tetapi berjaya menangani krisis terbesar dunia, sekali gus menunjukkan kemampuan Perikatan Nasional untuk mentadbir negara.

    “Jika krisis besar seperti pandemik Covid-19 boleh ditangani oleh kerajaan Perikatan Nasional, apa lagi jika ketika krisis. Maka, usaha boleh ditumpukan untuk memulihkan semula ekonomi rakyat dan negara.

    “Beri peluang kepada Perikatan Nasional untuk memerintah negara demi generasi masa depan negara yang lebih cemerlang,” katanya sambil menyifatkan sebagai anak tempatan, beliau memahami kehendak penduduk Gerik.

  • Cara saya urus pandemik akan bantu PN menang – Muhyiddin

    Cara saya urus pandemik akan bantu PN menang – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya caranya mengendalikan pandemik Covid-19 akan membantu memberi kemenangan untuk Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) 19 Nov ini.

    Dalam wawancara bersama Nikkei Asia, Muhyiddin yang menerajui pentadbiran negara dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 berkata, beliau menangani krisis kesihatan yang tidak pernah berlaku itu dengan baik, biarpun terdapat kritikan terhadap sekatan berterusan yang dipersalahkan oleh sesetengah pihak sebagai punca peningkatan kadar pengangguran dan kemiskinan.

    “Apa yang saya lakukan sejak dua tahun lalu dalam menguruskan bukan hanya pandemik Covid-19, tetapi ekonomi, telah memberi kesan positif terhadap rakyat,” kata Muhyiddin, 75, yang juga pengerusi PN.

    Gabungan politik itu mempunyai 47 daripada 222 kerusi di Parlimen sebelum ia dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata, beliau tidak menyesal dengan keputusan yang diambil berhubung penutupan penuh.

    “Orang ramai tidak berpuas hati apabila mereka tidak dibenarkan bergerak sepanjang masa, tetapi apabila (Covid-19) berlaku, ini adalah penyelesaian terbaik yang kita ada.

    “Bukan hanya Malaysia mengamalkannya, tetapi seluruh dunia, malah China masih melaksanakannya,” katanya.

    PN terdiri daripada lima parti, iaitu Bersatu pimpinan Muhyiddin, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang berpangkalan di Borneo dan Parti Progresif Sabah (SAPP). Gabungan itu bertanding di 171 kerusi Parlimen kali ini.

    Hampir keseluruhan tempoh Muhyiddin sebagai perdana menteri tertumpu kepada memerangi Covid-19. Beliau mengumumkan sekatan penuh dan penutupan sempadan pertama negara pada Mac 2020, hampir dua minggu selepas dinamakan untuk jawatan tertinggi.

    Sejak itu hingga Ogos 2021, beliau mengenakan pelbagai bentuk sekatan pergerakan, dan hanya membenarkan sebahagian aktiviti ekonomi disambung semula, melumpuhkan industri kecil dan sederhana serta menjejaskan pertumbuhan.

    Bagaimanapun, keputusannya kemudian dijelaskan dengan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di negara ini dalam tempoh itu sehingga 30,000 kes baharu setiap hari dengan penjagaan kesihatan awam berada pada kapasiti penuh.

    Beliau juga memohon pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan beberapa ordinan undang-undang baharu tanpa melalui Parlimen.

    Bagaimanapun, pengkritik mendakwa beliau melaksanakan perubahan itu untuk melindungi kerajaannya daripada tumbang di tengah-tengah ancaman UMNO untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan

    UMNO, parti terbesar dan tertua di negara ini, akhirnya menarik sokongannya dan memaksa Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021.

    Beliau digantikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob .

    Biarpun dengan rekod buruknya, Muhyiddin tetap yakin mengenai sokongan orang ramai terhadap gabungannya, kerana “orang ramai telah menyedari bahawa apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan mereka.”

    Muhyiddin adalah ahli politik berpengalaman lebih empat dekad menjalani kehidupan di mata umum, di mana dua pertiga ketika beliau bersama UMNO.

    Muhyiddin kali terakhir berkhidmat sebagai timbalan presiden dan timbalan perdana menteri parti itu pada 2015 di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, sebelum dipecat kerana menyuarakan kebimbangan mengenai masalah dana kekayaan negara 1MDB.

    “Ada kemungkinan kita mempunyai jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan,” kata Muhyiddin.

    Barisan Nasional yang memerintah, di mana UMNO merupakan rakan gabungan, berdepan beberapa penolakan daripada pengundi yang bimbang tentang kaitannya dengan individu yang korup, dakwa Muhyiddin.

    Najib disabitkan dan dipenjara kerana rasuah berkaitan 1MDB dalam salah satu skandal terbesar yang melanda negara, tetapi tetap popular dalam kalangan segelintir penyokong Umno.

    Terdapat juga rasa kurang senang di kalangan pengkritik bahawa Umno mendesak pilihan raya umum awal walaupun diberi amaran bahawa negara akan dilanda hujan monsun lebat yang boleh menyebabkan banjir dan menjejaskan keupayaan berjuta-juta rakyat Malaysia untuk mengundi.

    “Gelombang menentang (BN) boleh menjadi lebih kuat sebelum hari (pengundi) dan jika ia berlaku, ada kemungkinan kita mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” kata Muhyiddin. Sebuah parti atau gabungan mesti memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk majoriti mudah.

    Muhyiddin berkata, PN menolak politik dan tadbir urus yang korup. “Saya berada di barisan hadapan dalam semua ini… saya adalah orang pertama yang bersuara mengenai 1MDB semasa dalam Kabinet, yang mana Najib kemudiannya memecat saya,” dakwanya.

    Hari pengundian 19 Nov akan menentukan parti mana yang akan memerintah negara untuk lima tahun akan datang dan memberikan sedikit kestabilan politik. Malaysia digemparkan dengan kemelut politik dan mempunyai tiga perdana menteri sejak pilihan raya lalu pada 2018. UMNO berada di belakang kejatuhan dua kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin.

  • Aset Rafizi: KDN hanya siasat jika terdapat keperluan – Hamzah

    Aset Rafizi: KDN hanya siasat jika terdapat keperluan – Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri hanya akan melakukan siasatan jika terdapat keperluan berhubung aset milik Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

    Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata siasatan berhubung perkara itu setakat ini akan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Kalau satu agensi ambil tindakan maka biar satu agensi dahulu yang ambil tindakan. Bila diperlukan baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditanya pemberita adakah polis akan melakukan siasatan terhadap Rafizi berhubung perisytiharan hartanya.

    Semalam, media melaporkan SPRM akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta dilakukan Rafizi.

    Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara sebelum itu menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Pandan.

    Presidennya, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz mempersoal deklarasi aset Rafizi dengan RM16 juta diperoleh melalui pegangan saham dalam syarikat yang diasaskannya sendiri.

    Sementara itu, Hamzah berkata sebanyak 92 kes dilaporkan di seluruh negara berkaitan kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat semalam, merangkumi pelbagai kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan penyalahgunaan media sosial.

    “Kita sedang buat siasatan dan kesalahan dalam akta lain akan kita teliti. Kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku seperti rusuhan,” katanya.

    Terdahulu, Hamzah melancarkan pas digital (ePASS) pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini hari ini.

    ePASS ialah perkhidmatan dalam talian dan digital terbaharu Jabatan Imigresen yang membolehkan majikan mencetak sendiri pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja mereka.

  • Calon PRU15 di Pulau Pinang digalakkan mohon permit program ‘walkabout’

    Calon PRU15 di Pulau Pinang digalakkan mohon permit program ‘walkabout’

    POLIS Pulau Pinang menggalakkan semua calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri itu memohon permit termasuk ketika melakukan kempen secara ‘walkabout’ (turun padang).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, perkara itu bertujuan mengelakkan tohmahan oleh mana-mana pihak kepada pihak lain sepanjang kempen PRU-15 berlangsung.

    Jelas beliau, secara khususnya program ‘walkabout’ tidak memerlukan permit, namun sekiranya calon berhenti untuk berucap, ia boleh dianggap seperti menyampaikan ceramah.

    “Jadi kita menggalakkan adalah lebih baik semua calon bertanding memohon permit supaya tidak berlaku tohmahan, lagipun sekarang orang merakam (menggunakan kamera), kalau apa-apa berlaku mereka boleh memakluman sudah ada permit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Sebelum ini, Polis Perak menetapkan calon atau ejen untuk mendapatkan permit daripada Ketua Polis Daerah sebelum program ‘walkabout’ dijalankan di negeri itu.

    Ekoran keputusan itu, DAP meminta polis Perak menilai semula peraturan tersebut memandangkan tidak pernah dikenakan dalam PRU sebelum ini selain tidak ada di bawah mana-mana peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily menambah, kempen PRU-15 di Pulau Pinang setakat ini berjalan lancar dan pihaknya sudah mengeluarkan sebanyak 210 permit kepada semua parti politik yang bertanding setakat semalam.

    Dalam masa sama, ujar beliau, polis turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun kerana disyaki memukul seorang lelaki serta merosakkan bendera parti politik di Kampung Main Road, Perai, Rabu lalu.

    “Laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penghantar gas yang mana mangsa memaklumkan diserang tiga lelaki serta dipukul menggunakan topi kaledar.

    “Mangsa memaklumkan suspek yang dikenalinya datang ke rumahnya di Kampung Main Road, pukul 4 pagi kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya memasang bendera di kawasan berkenaan,” katanya.

    Tambah beliau, lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan dua lagi suspek berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes tersebut.

  • Anwar ‘bapa pengkhianat’ – Azmin ungkit Langkah Kajang, Langkah Port Dickson

    Anwar ‘bapa pengkhianat’ – Azmin ungkit Langkah Kajang, Langkah Port Dickson

    BEKAS timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, yang digelar ‘pengkhianat’ berikutan pembabitannya dalam Langkah Sheraton menyifatkan bekas mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘bapa pengkhianat’.

    Azmin, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperincikan dua ‘langkah’ oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepanjang kerjaya politiknya yang didakwanya sebagai ‘gila kuasa’.

    Bercakap kepada pemberita di Tambun, Perak, petang semalam, Azmin mengungkit ‘Langkah Kajang’ yang didakwa bertujuan mencatur Anwar sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014 dan ‘Langkah Port Dickson’ untuk mencapai cita-cita presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri.

    “Bukankah itu pengkhianat? Beritahu saya. (Tan Sri) Abdul Khalid Ibrahim berada di pejabat (menteri besar) tetapi beliau telah dipecat dengan cara yang tidak demokratik.

    “Dia (Anwar) adalah bapa pengkhianat sebenar,” kata Azmin kepada pemberita selepas memberi ucapan kepada penduduk Tambun, lapor FMT.

    Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berada di Klebang Jaya untuk menawarkan sokongan kepada rakan gabungannya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bertanding di kerusi Parlimen Tambun menentang Anwar.

    “Kemudian dia melancarkan satu lagi langkah, Langkah Port Dickson. Tiada seorang pun daripada anda membincangkan Langkah Port Dickson. Sudah ada wakil rakyat yang memenangi pilihan raya dan beliau masih hidup sehingga kini.

    “Tetapi kerana dia (Anwar) begitu bercita-cita tinggi untuk menjadi Perdana Menteri, dia memaksa ahli parlimen itu meletakkan jawatan. Tetapi dia tidak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

    Pada 2014, peletakan jawatan secara mengejut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh untuk mengosongkan kerusinya dilihat sebagai permulaan kontroversi ‘Langkah Kajang’.

    Ia digembar-gemburkan secara meluas sebagai rancangan PKR untuk menggantikan Khalid iaitu Menteri Besar Selangor ketika itu dengan Anwar, yang sepatutnya diletakkan di kerusi DUN itu.

    Bagaimanapun, Anwar hilang kelayakan bertanding kerana disabitkan kesalahan liwat. Beliau kemudiannya digantikan oleh isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

    Sementara itu, Langkah Port Dickson berlaku kurang setahun selepas pilihan raya umum 2018. Ia berlaku selepas Anwar dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

    Ahli Parlimen Port Dickson ketika itu, Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusinya yang mencetuskan pilihan raya kecil yang kemudian dimenangi Anwar, membuka jalannya kembali ke Parlimen.

    .Azmin berkata semasa Langkah Sheraton yang meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak didesak untuk meletakkan jawatan.

    “Sebab dia (Mahathir) bertengkar dengan Anwar, dia letak jawatan. Mengapa anda menyalahkan saya pasal perkara itu? Apabila Dr. Mahathir meletak jawatan, sudah tentu, mengikut Perlembagaan, Agong perlu memilih seseorang yang mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

    “Dan sokongan itu doberikan kepada Muhyiddin (Yassin), ia sangat lancar.

    “Mengikut Perlembagaan, tidak ada pengkhianatan. Tanya dia (Anwar) siapa pengkhianat di Port Dickson dan Kajang,” tegasnya.

  • Ada tugas khas, Hadi jelaskan jarang hadir ke Parlimen

    Ada tugas khas, Hadi jelaskan jarang hadir ke Parlimen

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beliau jarang hadir pada persidangan Dewan Rakyat kerana mempunyai tugas-tugas khas selain sebagai Ahli Parlimen.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau juga memberi peluang kepada golongan muda daripada partinya untuk terlibat dalam sesi perbahasan kerana setiap parti mempunyai kuota kehadirannya tersendiri.

    “Saya ditugaskan bukan sahaja di Parlimen, tapi ada tugas-tugas khas. Datang ke Parlimen ini bukan macam hadir ke sekolah, Menteri-Menteri pun lepas habis jawab soalan kembali menjalankan tugas.

    “Saya sudah lama di Parlimen, banyak sesi saya terlibat… berhujah… dan kini saya beri peluang kepada Ahli Parlimen generasi baharu untuk terlibat dalam perbahasan,” kata Abdul Hadi lapor Astro Awani, hari ini.

    Abdul Hadi yang juga calon PN bagi Parlimen Marang berkata, isu kehadiran ke sidang Dewan Rakyat yang dimainkan oleh pihak lawan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU-15) ini tidak langsung menjejaskan nama beliau.

    Beliau sebelum ini menang di Parlimen Marang selama tiga penggal berturut-turut dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau memenangi majoriti 21,954.

    Abdul Hadi yang juga Penyandang Parlimen Marang dilantik memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah semasa pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 April 2020.

  • PN tumpu kebajikan rakyat Hulu Terengganu

    PN tumpu kebajikan rakyat Hulu Terengganu

    FOKUS Perikatan Nasional (PN) di Hulu Terengganu melibatkan tiga perkara iaitu kebajikan, pendidikan dan pembangunan.

    Calon PN Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, fokus utamanya lebih kepada kebajikan rakyat.

    “Fokus kebajikan ini saya akan melihat rumah-rumah yang belum ada bekalan elektrik, masalah banjir kilat, perumahan dan sebagainya.

    “Kedua, pendidikan. Kita tahu pendidikan perkara penting untuk tingkatkan taraf hidup. Maka saya dari dulu lagi tekankan kepada pendidikan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Rosol tidak mahu mendengar anak-anak di Hulu Terengganu tercicir dalam pelajaran kerana masalah kemiskinan.

    “Kita akan bantu sedaya mungkin untuk pastikan setiap mereka yang layak belajar, teruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

    Tambah beliau lagi, soal pembangunan juga menjadi keutamaannya yang akan dibawa di Parlimen jika diberi mandat kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November nanti.

    Rosol yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu akan bertanding menggunakan logo Pas pada PRU-15 menentang tiga lagi calon parti lain di kerusi Parlimen Hulu Terengganu iaitu Datuk Rozi Mamat dari BN, Alias Ismail, Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Khadri Abdullah dari Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

  • Tukang tilik warga India diculik diselamatkan dalam keadaan kaki dirantai

    Tukang tilik warga India diculik diselamatkan dalam keadaan kaki dirantai

    SEORANG tukang tilik warga India berusia 24 tahun berjaya diselamatkan polis selepas diculik sekumpulan individu dalam kejadian di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Selasa lalu.

    Mangsa berjaya diselamatkan polis Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim, Kedah semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi itu seramai 20 suspek termasuk empat sekeluarga iaitu pasangan suami isteri, adik perempuan dan anak lelaki mereka turut ditahan dalam operasi di Bukit Mertajam dan Kulim, Kedah.

    Ujar beliau, seramai 11 suspek yang ditahan merupakan lelaki warga India yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan siasatan mendapati mereka bekerja sebagai peniaga dan di restoran.

    “Polis menerima laporan berhubung kes culik ini daripada seorang lelaki warga tempatan di Bukit Mertajam yang memaklumkan melibatkan anak rakannya.

    “Suspek juga telah menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang berjumlah RM700,000 sekiranya tidak mahu mangsa dibunuh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, bertindak daripada laporan diterima, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang yang dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menjalankan operasi dan mangsa culik tersebut ditemui di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim.

    Katanya, ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan dirantai di bahagian kaki selain mengalami luka-luka ringan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

    Jelasnya, keluarga mangsa yang tinggal di luar negara juga telah membayar sejumlah wang tebusan kepada suspek namun tidak didedahkan jumlah tersebut.

    Ujar beliau, kejadian itu tidak melibatkan sindiket penculikan tetapi dipercayai melibatkan isu penipuan memandangkan mangsa mengenali suspek.

    “Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 10 hingga 13 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun,” katanya.

    Ujar beliau, dalam operasi sama polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya 17 buah telefon bimbit pelbagai jenama; lima buku bank; cota; dua batang besi dan segulung tali berwarna oren.

    “Selain itu, kita turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi; kereta jenis Toyata Vios; wang tunai berjumlah RM2,085 dan 460 Bath serta rantai besi,” katanya.