POLIS Pulau Pinang menggalakkan semua calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri itu memohon permit termasuk ketika melakukan kempen secara ‘walkabout’ (turun padang).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, perkara itu bertujuan mengelakkan tohmahan oleh mana-mana pihak kepada pihak lain sepanjang kempen PRU-15 berlangsung.
Jelas beliau, secara khususnya program ‘walkabout’ tidak memerlukan permit, namun sekiranya calon berhenti untuk berucap, ia boleh dianggap seperti menyampaikan ceramah.
“Jadi kita menggalakkan adalah lebih baik semua calon bertanding memohon permit supaya tidak berlaku tohmahan, lagipun sekarang orang merakam (menggunakan kamera), kalau apa-apa berlaku mereka boleh memakluman sudah ada permit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Sebelum ini, Polis Perak menetapkan calon atau ejen untuk mendapatkan permit daripada Ketua Polis Daerah sebelum program ‘walkabout’ dijalankan di negeri itu.
Ekoran keputusan itu, DAP meminta polis Perak menilai semula peraturan tersebut memandangkan tidak pernah dikenakan dalam PRU sebelum ini selain tidak ada di bawah mana-mana peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily menambah, kempen PRU-15 di Pulau Pinang setakat ini berjalan lancar dan pihaknya sudah mengeluarkan sebanyak 210 permit kepada semua parti politik yang bertanding setakat semalam.
Dalam masa sama, ujar beliau, polis turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun kerana disyaki memukul seorang lelaki serta merosakkan bendera parti politik di Kampung Main Road, Perai, Rabu lalu.
“Laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penghantar gas yang mana mangsa memaklumkan diserang tiga lelaki serta dipukul menggunakan topi kaledar.
“Mangsa memaklumkan suspek yang dikenalinya datang ke rumahnya di Kampung Main Road, pukul 4 pagi kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya memasang bendera di kawasan berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan dua lagi suspek berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes tersebut.