Category: Semasa

  • PRU-15: Nama MB Perlis akan diputuskan Pas Pusat – Mohd Shukri

    PRU-15: Nama MB Perlis akan diputuskan Pas Pusat – Mohd Shukri

    PESURUHJAYA Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, keputusan nama atau senarai akhir calon Menteri Besar Perlis sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas pentadbiran kerajaan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini hanya akan diputuskan Pas Pusat.

    Jelas beliau, segala keputusan mengenai jawatan tersebut tidak boleh dilakukan sekarang dan hanya boleh diputuskan selepas Pas menerusi gabungan PN menang di negeri itu.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PN Perlis menjelaskan bahawa semua calon Pas yang dipertaruhkan di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) layak untuk diangkat sebagai Menteri Besar.

    “Kepimpinan Pas di peringkat negeri juga turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi PN atas kepercayaan yang diberikan kepada kepimpinan Pas di Perlis.

    “Terima kasih sebab beri kepercayaan kepada Pas, dan kita harap ada calon yang bertanding akan dilantik sebagai MB selepas pilihan raya jika dianugerah kemenangan.

    “(Sekarang ini) tidak bincang langsung (mengenai calon Menteri Besar dalam kalangan pimpinan Pas di Perlis), selalunya kalau daripada Pas ini, (pihak) Pusat yang akan menentukan, dan mungkin saya akan bawa bincang dengan Pusat untuk bincang siapa calon nanti sekiranya kita dapat kuasai negeri ini.

    “(Dan saya nak tegaskan sesiapa pun) boleh (dan) layak jadi MB, kalau tidak Pas, boleh siapa-siapa pun, janji dapat bawa kerajaan dengan baik,” katanya ketika temu bual bersama Astro Awani di Seriab, di Kangar, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa fokus utama kerajaan baharu PN sekiranya dipilih kelak, akan diberikan kepada pembangunan ekonomi selain memperkukuhkan sektor pertanian sedia ada.

    Tumpuan juga jelasnya, akan diberikan kepada penambahan nilai di dalam sektor pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri Perlis dan tidak hanya bertumpu kepada Pulau Langkawi serta Thailand.

    Terdahulu, Pas mengakui PN bersetuju menamakan Menteri Besar dari Pas di Perlis dan Pahang sekiranya menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri tersebut.

    Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia merupakan perancangan awal pimpinan PN pada PRU-15 ini.

  • Calon PN Kuala Krai disenangi Melayu, rapat dengan Cina dan India

    Calon PN Kuala Krai disenangi Melayu, rapat dengan Cina dan India

    YANG Dipertua Pas Kuala Krai Abdul Latiff Ab. Rahman bukan sahaja disenangi masyarakat Melayu, sebaliknya mempunyai hubungan rapat dengan kaum Cina dan India.

    Beliau juga ada pengalaman dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 14. Dan pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Sepanjang berkhidmat sebagai ahli parlimen beliau acap kali membawa suara rakyat di Dewan Rakyat termasuk kemudahan infrastruktur yang masih ketinggalan.

    Malah beliau acap kali mendesak Kerajaan Persekutuan membina jalan dan jambatan bagi kemudahan rakyat.

    Perjuangan beliau akhirnya menjadi kenyataan apabila projek pembinaan jambatan Kuala Nal-Pasir Kelang yang merentangi Sungai Kelantan dilulus kerajaan Pusat.

    Projek jambatan tersebut melibatkan kos kira-kira RM25 juta sepanjang 100 meter sedang giat dibina sekarang.

    Mengambil kira jasa dan keringatnya kepada rakyat di Kuala Krai, orang ramai melihat Abdul Latiff tidak menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan parlimen Kuala Krai.

    Seorang penduduk Wee Eng Hoe, 56 dari Batu Jong berkata, Ustaz Latiff seorang pemimpin yang prihatin dan cakna kepada rakyat.

    “Ustaz cukup cakna dan menambat hati orang ramai. Itu merupakan kelebihan berbanding calon-calon lain yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Krai.

    “Beliau seorang yang peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa atau keturunan. Ustaz juga cepat mengambil tindakan menangani masalah rakyat,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Lo Goik Chin, 38 dari di Guchil pula berkata, Ustaz Latiff kerap turun padang dan sentiasa hadir dalam setiap program anjuran kerajaan atau aktiviti masyarakat.

    Mohd. Zaki Ibrahim, 45, dari Manek Urai pula memberitahu calon Perikatan Nasional (PN) itu mudah ditemui sekiranya tiada sidang di Dewan Rakyat.

    Pada PRU kali ini Abdul Latiff dicabar Mohamed Zulkepli Omar (BN), Mohd. Hisyamuddin Ghazali (PH) dan Norashikin Che Omar (Pejuang)

  • Banjir: 2,491 penduduk terjejas, Kelantan dan Johor paling ramai dipindahkan

    Banjir: 2,491 penduduk terjejas, Kelantan dan Johor paling ramai dipindahkan

    JUMLAH mangsa banjir di Kelantan dan Johor merekodkan peningkatan petang ini berbanding pagi tadi menjadikan jumlah terkini mangsa seramai 2,491 berbanding 1,892 mangsa.

    Selangor dan Pulau Pinang pula menunjukkan penurunan bilangan mangsa manakala mangsa banjir di Melaka kekal 44 orang.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,520 mangsa membabitkan 494 keluarga setakat 3 petang ini berbanding 1,338 orang daripada 441 keluarga, pagi tadi.

    Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Pasir Mas.

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit peningkatan kepada 296 orang setakat 4 petang ini berbanding 276 mangsa, pagi tadi.

    Kesemua mangsa terdiri daripada 68 keluarga itu ditempatkan di enam PPS yang masih beroperasi di tiga daerah iaitu Segamat, Kulai dan Kluang. 

    “Di Daerah Kulai, PPS Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang menempatkan 139 mangsa dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya pula mempunyai 73 mangsa manakala di Kluang, PPS Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof menempatkan 27 mangsa. 

    Di Segamat, tiga PPS menempatkan 57 mangsa iaitu masing-masing 39 mangsa di Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya (empat mangsa) manakala Dewan Komuniti Tasek (14 mangsa),” menurut kenyataan itu.

    Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa banjir di negeri ini kekal 44 orang daripada 15 keluarga petang ini, sama seperti yang direkodkan pagi tadi.

    Seramai 11 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Gadek manakala 33 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal. 

    Di SELANGOR, menerusi laman web InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus mencatatkan penurunan daripada 693 mangsa membabitkan 171 keluarga pagi tadi kepada 538 mangsa melibatkan 133 keluarga setakat 2.35 petang.

    Terdapat lapan PPS yang dibuka di negeri itu melibatkan empat buah di Kuala Selangor iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chih Batang Berjuntai dan Dewan Orang Ramai Seri Harmoni.

    Empat lagi PPS di Klang iaitu di SK Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai, Sekolah Rendah Agama Pekan Meru dan Dewan Masjid Kampung Johan Setia.

    Di Pulau Pinang, Penolong Pengarah Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Mej (PA) Kamal Jakarinah berkata jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 93 mangsa petang ini berbanding 234 pagi tadi selepas satu daripada tiga PPS ditutup berikutan banjir di beberapa kawasan telah surut.

    PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina True Light di Perkampungan Juru yang dibuka sejak Jumaat lepas, ditutup pada 1.30 tengah hari tadi manakala dua lagi PPS di Tasek Gelugor masih dibuka iaitu SK Lahar Yooi yang menempatkan 54 mangsa daripada 12 keluarga manakala Dewan Banjir Desa Puri kekal menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga. – BERNAMA

  • Pemimpin digugur UMNO, bangkitkan gelombang sokong PN-Hadi Awang

    Pemimpin digugur UMNO, bangkitkan gelombang sokong PN-Hadi Awang

    PEMIMPIN yang digugurkan UMNO sebagai calon akan dimanfaatkan untuk kebangkitan gelombang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

    Timbalan Pengerusi PN, Tan Seri Abdul Hadi Awang berkata, kebangkitan itu dapat dilihat apabila gelombang kebangkitan PN sudah mula tercetus di Perlis dan Pahang.

    “Dia (UMNO) cantas, kami ambil peluang. Yang dia cantas, kita ambil sebagai calon. Datuk Seri Shahidan Kassim (di Perlis), Datuk Ismail Mutallib (di Pahang). Kita turun (jelajah) di Perlis, dah ada gelombang, bila kita buat begitu.

    “Nampak gelombang ini menunjukkan kemungkinan kita boleh ambil Perlis,” katanya yang juga Presiden Pas dalam pertemuan dengan calon-calon Pas untuk PRU-15 di Markas Pas Pongsu Seribu, Pulau Pinang, hari ini.

    Jelasnya, di Pahang PN memerlukan lapan kerusi iaitu empat kerusi yang sudah dijangka berpihak kepada PN manakala empat kerusi lagi adalah milik BN yang dimenangi dengan majoriti tipis.

    Menurutnya di Pulau Pinang, DAP menguasai 19 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan menyebabkan parti itu tidak mendapat majoriti mudah.

    Katanya, tidak mustahil PN untuk menang kerusi DUN jika kena caranya dengan semua pihak bekerjasama.

    “Dia (DAP) tak cukup ‘simple’ majoriti. Cuma dia berjaya kait parti Keadilan Rakay (PKR), kait orang nu, orang ni. Kalau kerjasama elok, kita boleh ambil alih. Tapi mestilah dengan cara teraturlah.

    “Pilihan raya Parlimen ini berasingan, menjadi satu kayu ukur untuk kita membina kekuatan dalam masa yang sama kita ‘exercise’ untuk pilihan raya negeri. Ini sangat penting.

    “Oleh sebab itu, kita mesti kerja tarik undi seberapa banyak yang boleh, pengundi Islam dan pengundi bukan Islam,” katanya.

    Turut hadir tiga calon PN daripada Pas, Dr. Ustazah Siti Mastura Mohamad dan Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan termasuk calon daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Steven Koh Tien Yew.

  • PRU-15:Azmin yakin PN menang dua pertiga kerusi

    PRU-15:Azmin yakin PN menang dua pertiga kerusi

    PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd. Azmin Ali yakin parti itu akan memperoleh dua pertiga kerusi Parlimen.

    Jelasnya, ini berikutan sambutan dan sokongan yang semakin meningkat dalam kalangan pengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    PN menyasarkan 112 kerusi bagi membentuk kerajaan Persekutuan, namun sambutan yang semakin menggalakan daripada rakyat, khususnya pengundi, beliau yakin jumlah itu mencapai dua pertiga majoriti.

    “Tidak ada yang mustahil untuk PN memperoleh 112 kerusi, malah mungkin lebih bagi membentuk sebuah kerajaan Persekutuan yang mutlak pada 20 November.

    “Sudah tentulah PN nak lebih daripada 112 kerusi tetapi (buat masa ini) kami yakin dapat minumum 112, Pengundi sekarang sudah cukup matang untuk memilih parti mana yang lebih prihatin dan bersih.

    “Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang dapat memberi khidmat dan bakti kepada mereka. Kerajaan Perikatan Nasional telah membuktikan bahawa kami lebih prihatin.

    “Rakyat dapat menilai ketika seluruh negara berdepan pandemik Covid-19 di mana kerajaan Perikatan Nasional lah yang menyelamatkan mereka. Oleh itu, kami yakin mendapat sokongan rakyat dan memenangi sejumlah besar kerusi,” katanya.

    Terdahulu beliau menyantuni ribuan pasangan keluarga muda sempena Program PASTI Gombak Fun Run 2022 di Taman Melawati, Hulu Kelang, hari ini, lapor Agenda Daily.

    Mengulas lanjut, Azmin yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dimenanginya pada 2018 lalu berkata, jentera pilihan raya PN perlu bergerak lebih gigih menjelang hari pengundian Sabtu ini.

    Mengenai pengundi Cina dan India, Azmin yakin mereka turut memberi sokongan kepada PN berdasarkan rekod prestasi sebagai kerajaan sebelum ini.

    Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri melihat masyarakat Cina dan India yang kebanyakannya ahli perniagaan menyokong PN.

    “Mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil yang membuka lebih banyak peluang perniagaan,” katanya.

  • 4 sekeluarga maut dalam perjalanan sambut hari jadi atuk

    4 sekeluarga maut dalam perjalanan sambut hari jadi atuk

    EMPAT Sekeluarga maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Simpang Tiga, Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah, pukul 7.45 pagi tadi.

    Mereka yang terkorban ialah Ibrahim Daud, 71, isterinya, Latipah Dorahim, 66, menantu, Syazana Tharin, 30, serta cucu, Yusuf Daniel Muhammad Izwan, 5, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

    Difahamkan, kesemua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dalam perjalanan ke Langkawi bagi meraikan Ibrahim Daud yang menyambut tarikh kelahirannya hari ini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah lagi kereta terlibat jenis Toyota Land Cruiser cuba keluar daripada simpang untuk membelok ke kanan sebelum hampir melanggar Toyota Estima yang sedang meneruskan perjalanan.

    “Pemandu MPV, Muhammad Izwan Ibrahim, 30, yang sedang meneruskan perjalanan cuba mengelak ke arah kanan dan membrek sejauh lima meter tetapi melanggar juga Land Cruiser di bahagian kiri hadapan.

    “Kejadian itu menyebabkan mangsa lelaki warga emas meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan Ismail meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri, menantu dan seorang cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

    “Pemandu Land Cruiser turut ditahan jam 11 pagi tadi semasa memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah dan hasil ujian saringan air kencing didapati negatif dadah,” katanya lapor Astro Awani.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    PROSES membuang undi bagi anggota tentera (ATM) yang didaftarkan sebagai pengundi pos telah bermula 7 November lalu.

    Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Affendi Buang selain itu berkata, bagi pengundian awal Selasa ini pula, seramai 146,737 anggota dan pasangan akan mengundi di 153 pusat mengundi yang telah diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurutnya, adalah menjadi harapan ATM agar proses pengundian berkenaan berjalan dengan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah sepertimana rakyat Malaysia yang lain.

    “ATM juga sentiasa menyokong proses dan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

    “Atas kesetiaan kepada Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kenyataan itu menyusul selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk SeriAnwar Ibrahim mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mempertikai dakwaan Anwar dan menyifatkan dawaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat terhadap anggota pasukan keselamatan.

    Mengulas lanjut Affendi berkata, apa yang penting pihaknya akan terus memfokuskan keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

    “Apatah lagi, ketika negara kini telah mula memasuki musim tengkujuh yang bermula sejak 7 Nov dan akan berlarutan sehingga Mac 2023. ATM kini telahpun bersiap siaga dan bersedia untuk mengatur gerakan aset sekiranya berlakunya banjir terutama di negeri-negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut.

    “Dalam pelaksanaan PRU-15 terutama pada 19 November nanti, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan perjalanan proses pengundian di seluruh negara berjalan dengan lancar,” katanya.

    Tambahnya, ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini sepanjang proses pengundian serta ketika keputusan pilihan raya diumumkan nanti.

  • Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    PEMILIH yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan positif COVID-19 tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam termasuk e-hailing pada hari pengundian 19 November ini.

    Ia antara beberapa langkah am proses pengundian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses berjalan dengan selamat dan mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain serta petugas di pusat pengundi.

    KKM menerusi hantaran di Facebook berkata, pengundi positif COVID-19 juga disaran untuk tidak singgah di mana-mana tempat sama ada sebelum atau selepas mengundi dengan segera pulang selepas selesai membuang undi.

    “Pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi semua kes positif COVID-19 dan amat digalakkan bagi pengundi lain.

    “Pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan,” katanya hari ini.

    Berdasarkan nasihat am kepada pengundi PRU yang dikongsikan itu juga, pengundi dinasihatkan memastikan tangan dibersihkan dengan pensanitasi tangan di tempat yang dikenal pasti mengundi dan turut disyorkan agar membawa pensanitasi tangan sendiri.

    “Petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi positif Covid-19,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilapor KKM akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15 tidak lama lagi.

    Beliau berkata, kebenaran itu akan dimuktamadkan dan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, dengan pematuhan SOP yang ketat

  • Wan Fayhsal mahu jadikan Machang hub logistik perdagangan, Bandar Ilmu

    Wan Fayhsal mahu jadikan Machang hub logistik perdagangan, Bandar Ilmu

    CALON Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu menjadikan Machang sebagai hub logistik perdagangan serta memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

    Menurut beliau, fokus utama itu akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat untuk menjadi Ahli Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

    Wan Ahmad Fayhsal berkata, kedudukan Machang yang strategik dan berada di laluan perhubungan utama antara jajahan-jajahan di negeri ini dilihat amat sesuai untuk dijadikan sebagai hub logistik untuk perdagangan di Kelantan.

    “Pemain-pemain ekonomi yang mahu bertolak dari Kota Bahru ke Kuala Lumpur dan sebaliknua perlu melalui Machang. Pada masa sama, Machang menjadi penyambung dengan bandar-bandar utama di negeri sini seperti Tanah Merah, Pasir Puteh dan lain-lain.

    “Secara tidak langsung ia cukup strategik untuk dibangunkan sebagai pusat perkembangan ekonomi di luar Kota Bharu.

    “Sebaik sahaja ekonomi berkembang, secara tidak langsung Machang boleh dijadikan sebagai Bandar Ilmu dengan mewujudkan kampus universiti yang baharu, politeknik serta TVET,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Ujar beliau, bagaimanapun TVET merupakan keutamaanya dengan membawa masuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) ke Machang sebagaimana yang diwujudkan di Tanah Merah.

    “Hal ini kerana anak-anak Kelantan mempunyai bakat dalam bidang teknikal serta vokasional dan usaha ini sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Machang sebagai Bandar Ilmu,” katanya.

    Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, selain dua agenda itu, isu melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya, air, infrastruktur belia dan sukan turut akan diperjuangkan olehnya.

    “Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan penghijrahan keluar secara beramai-ramai anak muda di Machang bagi mencari rezeki di tempat lain nanti,” katanya.

    Pada PRU-15, Wan Ahmad Fayhsal akan ditentang oleh tiga lagi calon iaitu penyadang kerusi Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN); Dr. Rosli Allani S Abdull Khadir (Pakatan Harapan) dan Mejar (B) Muhamad Seman (Gerakan Tanah Air).

  • PRU-15:Calon PN yakin menang di Simpang Renggam

    PRU-15:Calon PN yakin menang di Simpang Renggam

    CALON Perikatan Nasional (PN), Mohd. Fazrul Kamat meletakkan keyakinan 80 peratus akan menang di kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, keyakinan itu dilihat selepas lapan hari berkempen susulan maklum balas yang diperoleh berdasarkan kempennya bertemu pengundi.

    “Rata-rata pengundi Simpang Renggam meluahkan rasa mahukan pemimpin dalam kalangan anak tempatan kerana lebih tahu apa yang mereka mahukan.

    “Hanya saya seorang sahaja anak tempatan yang menjadi calon di Simpang Renggam. Pengundi Simpang Renggam selesa dengan calon PN.

    “Mereka mendambakan seorang pemimpin yang boleh mewakili mereka di Simpang Renggam,” katanya ditemui pemberita dalam program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Mohd. Fazrul berkata, beliau turut yakin dapat menandingi calon-calon yang lain berdasarkan perkara itu dan ia merupakam kelebihan yang ada pada dirinya.

    Ditanya mengenai agenda yang difokuskan dalam kempennya, Mohd. Fazrul berkata, beliau lebih mementingkan kepada isu pendidikan kemahiran khususnya kepada anak muda kerana ia lebih penting.

    Katanya, menerusi kemahiran yang dimiliki anak-anak muda boleh menggunakan ilmu itu untuk menjana pendapatan dalam usaha memperbaiki taraf hidup dan ekonomi keluarga mahupun diri mereka sendiri.

    “Anak muda banyak yang terkesan sebab ada yang tidak memiliki pekerjaan dan itu sudah pasti menjejaskan keharmonian hidup mereka,” ujarnya.

    Sementara itu, Mohd. Fazrul mendakwa, kempen yang dilakukan oleh penyandang kerusi Parlimen berkenaan dan dicalonkan semula untuk bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik, tidak mendapat sambutan warga Simpang Renggam.

    Katanya, meskipun dilihat ramai yang hadir ketika Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan ceramah pada siri jelajahnya di Simpang Renggam baru-baru ini, namun apabila kempen Maszlee tidak dibantu oleh pemimpin-pemimpin utama partinya ia menjadi hambar.

    “Adalah sumber-sumber yang kata, bila mana Dr. Maszlee berucap tiga suku di dalam dewan keluar, tapi kalau Anwar Ibrahim penuh (dewan).

    “Tapi saya tak taulah content ceramah dia itu apa,” kata beliau yang berdepan saingan empat penjuru dengan dua lagi calon adalah dari parti BN dan seorang lagi calon dari parti Pejuang.