PEMIMPIN yang digugurkan UMNO sebagai calon akan dimanfaatkan untuk kebangkitan gelombang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi PN, Tan Seri Abdul Hadi Awang berkata, kebangkitan itu dapat dilihat apabila gelombang kebangkitan PN sudah mula tercetus di Perlis dan Pahang.
“Dia (UMNO) cantas, kami ambil peluang. Yang dia cantas, kita ambil sebagai calon. Datuk Seri Shahidan Kassim (di Perlis), Datuk Ismail Mutallib (di Pahang). Kita turun (jelajah) di Perlis, dah ada gelombang, bila kita buat begitu.
“Nampak gelombang ini menunjukkan kemungkinan kita boleh ambil Perlis,” katanya yang juga Presiden Pas dalam pertemuan dengan calon-calon Pas untuk PRU-15 di Markas Pas Pongsu Seribu, Pulau Pinang, hari ini.
Jelasnya, di Pahang PN memerlukan lapan kerusi iaitu empat kerusi yang sudah dijangka berpihak kepada PN manakala empat kerusi lagi adalah milik BN yang dimenangi dengan majoriti tipis.
Menurutnya di Pulau Pinang, DAP menguasai 19 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan menyebabkan parti itu tidak mendapat majoriti mudah.
Katanya, tidak mustahil PN untuk menang kerusi DUN jika kena caranya dengan semua pihak bekerjasama.
“Dia (DAP) tak cukup ‘simple’ majoriti. Cuma dia berjaya kait parti Keadilan Rakay (PKR), kait orang nu, orang ni. Kalau kerjasama elok, kita boleh ambil alih. Tapi mestilah dengan cara teraturlah.
“Pilihan raya Parlimen ini berasingan, menjadi satu kayu ukur untuk kita membina kekuatan dalam masa yang sama kita ‘exercise’ untuk pilihan raya negeri. Ini sangat penting.
“Oleh sebab itu, kita mesti kerja tarik undi seberapa banyak yang boleh, pengundi Islam dan pengundi bukan Islam,” katanya.
Turut hadir tiga calon PN daripada Pas, Dr. Ustazah Siti Mastura Mohamad dan Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan termasuk calon daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Steven Koh Tien Yew.