Category: Semasa

  • DAP gugat keselamatan negara, tiada kredibiliti bercakap soal antikeganasan – Muhyiddin

    DAP gugat keselamatan negara, tiada kredibiliti bercakap soal antikeganasan – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP dan Pakatan Harapan (PH) tiada kredibiliti untuk bercakap mengenai antikeganasan.

    Kenyataan dibuat Kor Ming

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mendakwa, DAP menggugat keselamatan negara semasa pentadbiran 22 bulan mereka selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Katanya, semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan, ada beberapa orang anggota DAP termasuk wakil rakyatnya ditahan kerana terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas, Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

    “DAP menggesa saya sebagai Menteri Dalam Negeri supaya mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas. Alasannya kerana LTTE tidak lagi wujud setelah pemimpinnya dibunuh di Sri Lanka dan dengan itu, anggota parti yang ditahan bolehlah dibebaskan.

    “Namun saya bertegas bahawa keputusan untuk mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia perlu diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    “DAP tidak berpuas hati dengan ketegasan saya. Mereka mahu campur tangan dalam urusan keselamatan negara tanpa mengira implikasinya terhadap rakyat dan negara. Mereka tidak peduli semua itu asalkan kepentingan politik sempit mereka tercapai,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Ia sebagai reaksi kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang berkata Malaysia akan jadi negara Taliban jika Perikatan Nasional memerintah kononnya, Malaysia akan jadi negara pengganas.

    Mengulas lanjut Muhyiddin menegaskan, beliau tidak tunduk kepada desakan DAP yang mahu supaya LTTE dikeluarkan daripada senarai kumpulan pengganas.

    Namun katanya, beliau akhirnya terkejut apabila Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas menggugurkan pendakwaan ke atas mereka yang didakwa terlibat dalam kegiatan LTTE, termasuk beberapa anggota DAP.

    “Mereka telah menjejaskan keselamatan negara demi kepentingan politik sempit mereka. Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab sama sekali,” tegas beliau.

    Muhyiddin selain itu berkata, semasa 22 bulan pemerintahan PH lah Malaysia paling tidak aman dalam isu berkaitan perkauman dan agama.

    Katanya, ini kerana DAP tidak sensitif kepada perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

    “Sebaliknya, semasa PN memerintah semasa 17 bulan, negara kita aman. Tidak ada isu perkauman atau agama yang timbul.

    “Jadi, jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain dalam Bersatu keluar PH.

    “Bagi saya, DAP atau PH tidak ada kredibiliti untuk bercakap mengenai keamanan dan antikeganasan,” katanya.

  • Tiga lelaki ditahan rompak stesen minyak guna pistol mainan

    Tiga lelaki ditahan rompak stesen minyak guna pistol mainan

    POLIS menahan tiga lelaki selepas melakukan rompakan secara berkumpulan di sebuah stesen minyak di Kodiang, Kubang Pasu, pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, sebaik pihaknya menerima laporan kejadian jam 4.15 pagi, operasi khas mengesan suspek dilakukan sekitar daerah itu.

    “Dua suspek masuk ke dalam stesen minyak terbabit dan meluru ke arah jurupam lalu mengacukan senjata dipercayai pistol mainan.

    “Jurupam berusia lingkungan 20-an itu dalam ketakutan mengikut arahan suspek supaya menyerahkan wang.

    “Selepas berjaya mengambil wang berjumlah RM2,700, suspek melarikan diri dengan memecut laju kereta Proton Satria biru yang dipandu seorang lagi rakan suspek yang menunggu di dalam kereta,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

    Rodzi berkata, selepas berjaya mengesan keberadaan suspek, polis berjaya menahan ketiga-tiga mereka di sekitar Jitra dan Changlun jam 1 hingga 3 petang hari yang sama.

    Katanya, polis merampas sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit dan pakaian dipakai suspek untuk tindakan lanjut.

    Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 27 tahun itu mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

    Menurut Rodzi, hasil semakan polis juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau penyalahgunaan dadah.

    “Polis sedang mengesan seorang lagi suspek bersenjata yang masih bebas dipercayai dalang kejadian rompakan itu,” katanya.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan.

  • Peguam Najib dakwa RM46 juta duit Najib di kondo, dicuri

    Peguam Najib dakwa RM46 juta duit Najib di kondo, dicuri

    PEGUAM Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa RM46 juta milik bekas Perdana Menteri itu yang disimpan di sebuah unit kondominium Pavilion Residence di Kuala Lumpur, dicuri.

    Muhammad Shafee berkata, ia berikutan wang keseluruhan yang disimpan berjumlah RM160 juta, namun polis hanya menemui RM114 juta yang didakwa hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ketika menyerbu premis itu pada 17 Mei 2018.

    “Pihak berkuasa itu juga tidak mengira wang di lokasi serbuan, sebaliknya di tempat lain yang menimbulkan pelbagai persoalan.

    “Selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei 2018, ada serbuan dan banyak barang dirampas di premis itu. Kerajaan baharu ketika itu diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat kenyataan wang itu dicuri daripada 1MDB.

    “Najib memaklumkan wang yang ada adalah RM160 juta bukan RM114 juta. Maka, ada orang mencuri sejumlah wang itu. Polis pun tidak beritahu bagaimana wang ditemui itu dibungkus dan tidak menyerahkan senarai barang rampasan kepada penghuni premis itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini, hari ini, selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kerajaan melucut harta bernilai kira-kira RM80 juta didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

    Harta itu membabitkan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan didakwa milik Najib serta Rosmah disita di Pavilion Residence, milik Obyu Holdings Sdn Bhd.

    Pada 20 Mei 2021, kerajaan gagal dalam permohonan untuk melucut wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita, didakwa milik Najib dan UMNO.

    Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

    Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata, selain itu, dalam premis itu ada jam tangan milik Najib dan beg tangan milik isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Menurutnya, mahkamah ada membuat keputusan mengenai perkara itu antaranya RM114 juta diserahkan kembali kepada Najib dan mengesahkan ia tiada kena mengena dengan 1MDB.

    Muhammad Shafee berkata, Najib sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan wang itu.

    “Kita minta polis siasat polis (yang serbu premis itu). Ia akan mengambil masa. Kita akan ambil tindakan lain, tunggu masa yang sesuai,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ditanya permohonan Najib kepada Jabatan Penjara untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Muhammad Shafee berkata tidak tahu mengenainya.

    “Saya juga tidak pasti jabatan itu membenarkan banduan untuk keluar mengundi. Sudah tentu pengarah dan pegawai penjara dibenarkan pergi mengundi,” katanya.

  • Bosan konflik dalaman, 63 ahli UMNO sertai PN

    Bosan konflik dalaman, 63 ahli UMNO sertai PN

    KEMENANGAN bergaya UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akhir tahun lepas rupa-rupanya tidak mampu bertahan lama, apabila rakyat mulai sedar keadaan sebenar.

    Krisis dalaman UMNO tidak mampu dipertahankan lagi sehingga menimbulkan perasaan cemuh dalam kalangan ahli dan penyokong.

    Bosan terhadap perkembangan yang berlaku itu menjadi punca 63 bekas ahli dan penyokong Umno di Masjid Tanah mengumumkan keluar dari parti itu dan menyertai PAS.

    Malam tadi mereka menyerah borang kepada kepada Yang Dipertua Pas Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman sempena program ceramah kelompok Perikatan Nasional (PN) di Sungai Tuang.

    Borang permohonan menyertai Pas diserahkan wakil ahli-ahli UMNO, Saari Bakar, 75.

    Ketika ditemui Saari yang tinggal di Kampung Air Hitam Darat berkata, beliau menyertai Pas kerana bosan dengan pelbagai masalah yang melanda Umno sekarang.

    “Sekarang UMNO bergolak, pemimpin yang terbabit rasuah pun ramai. Itu yang menyebabkan saya mengambil keputusan keluar UMNO. Kita tak nak subahat.

    “Saya bersama kawan-kawan termasuk dari kampung-kampung lain semuanya 63 orang yang serah borang menyertai PAS,” katanya lapor Harakahdaily.

    Menurutnya juga beliau melihat kredibiliti calon PN yang bertanding dan bukan sekadar taksub kepada parti.

    Seorang lagi ahli UMNO Yusuf Tan, 65 berkata beliau tertarik menyertai Pas kerana perjuangan Islam yang dibawa parti itu.

    “Islam ni agama kita dan agama rasmi negara. Dan Pas sebuah parti yang memperjuangkan Islam,” kata beliau yang merupakan bekas ahli jawatankuasa UMNO Masjid Tanah.

    Menurutnya juga sudah lama hasratnya mahu menyertai Pas, namun terpengaruh dengan hasutan pemimpin UMNO yang menghodohkan imej Pas.

    Sementara itu, Imran berkata, tindakan ahli-ahli UMNO keluar parti dan menyertai Pas membuktikan perjuangan Pas semakin mendapat tempat di hati rakyat.

    Katanya perkembangan yang berlaku itu agak luar biasa kerana jarang berlaku sebelum ini kerana Umno mempunyai kemampuan material yang hebat.

    “Ini menunjukkan keberanian dan keikhlasan mereka untuk menyertai PAS. Saya percaya ini petanda kemenangan Pas dan PN semakin hampir,” ujarnya.

    Hadir sama pada program ceramah itu calon PN Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Naib Yang Dipertua, Azmi Sambul.

    Pada PRU kali ini Parlimen Masjid Tanah menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Mas Ermieyati ditentang calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar, Abdul Hakim (BN) dan Mutalib Uthman (PH).

  • Pengundi positif COVID wajib pakai pelitup muka, dilarang naik kenderaan awam 

    Pengundi positif COVID wajib pakai pelitup muka, dilarang naik kenderaan awam 

    INDIVIDU positif COVID-19 yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengundi positif COVID-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing.

    “(Pengundi positif COVID-19 tidak dibenarkan) singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, dan perlu pulang segera selepas selesai mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan selamat terutamanya bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, Dr Noor Hisham berkata pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat, manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan.

    Katanya pengundi juga perlu menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi, selain disyorkan membawa pensanitasi tangan sendiri.

    Dr Noor Hisham berkata individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang sekeliling.

    “Marilah kita bersama-sama mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada pengundi dan petugas di pusat mengundi sepanjang PRU15,” katanya.

    Dr Noor Hisham turut berkongsi infografik mengenai nasihat am kepada pengundi PRU15 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 di laman Facebooknya semalam.

    Beliau berkata petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat pengundian bagi membantu melicinkan urusan pengundi positif COVID-19 dan menasihatkan mereka untuk mematuhi nasihat petugas kesihatan berkenaan.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari mengundi awal manakala 19 Nov bagi hari pengundian PRU15.

  • Selamatkan hutan simpan, kawasan sensitif alam sekitar daripada aktiviti perlombongan

    Selamatkan hutan simpan, kawasan sensitif alam sekitar daripada aktiviti perlombongan

    BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar dan persatuan pengguna menggesa supaya aktiviti perlombongan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) dihentikan segera.

    Presiden Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa negeri terutama di Perak, Kedah, Kelantan dan Pahang perlu mempertimbangkan semula dan membatalkan kelulusan operasi perlombongan di kawasan-kawasan tersebut di negeri masing-masing.

    Menurut beliau, gesaan dan pertimbangan itu selari dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 pada 18 November 2014 yang memutuskan supaya semua negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau mengelakkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan kuari di kawasan HSK dan KSAS.

    “Kewajaran MTN melaksanakan ketetapan tersebut adalah kerana aktiviti perlombongan dan kuari di kawasan HSK secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat CAP, di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

    Antara yang hadir pada sidang akhbar itu ialah Pegawai Penyelidik Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman dan Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd. Sobri Ramlee.

    Mohideen mengambil contoh lokasi cadangan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah yang mana terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang).

    Katanya, berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), sumber mineral berasaskan nadir bumi tidak ditakrifkan sebagai hasil hutan sekali gus tidak boleh dikeluarkan dari kawasan HSK.

    Sehubungan itu, pihaknya tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa negeri iaitu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (agensi yang mengurus dan mempunyai bidang kuasa terhadap HSK) dan Menteri Besar Inc. (anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah) yang diberi permit penggunaan bagi menjalankan aktiviti dalam HS Bukit Enggang tidak mempersoalkan dua agensi berkaitan.

    “Adalah mustahil kedua-dua agensi itu langsung tidak mengetahui apa yang berlaku sedangkan ia merupakan kawasan larangan bagi yang tidak berkenaan.

    “Malah, perkara ini diketahui umum hanya selepas pihak media mendedahkan isu kecurian REE di HS Bukit Enggang,” katanya.

    Sehubungan itu tambah Mohideen, pihaknya menggesa semua pihak berkuasa negeri mengambil tindakan menghentikan dan tidak membenarkan sebarang kegiatan yang berisiko seperti aktiviti perlombongan di kawasan HSK dan KSAS.

    Tegas beliau, kerajaan negeri tidak seharusnya mengutamakan keuntungan semata-mata dan tidak mengendahkan kesejahteraan rakyat serta alam sekitar.

  • Rasuah projek solar: Pengurusan kes rayuan Rosmah pada 19 Disember

    Rasuah projek solar: Pengurusan kes rayuan Rosmah pada 19 Disember

    TARIKH akhir pengurusan kes rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditetapkan pada 19 Disember ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu pemberita, tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz ketika pengurusan kes, hari ini.

    Menurut Yih Tinn, pihak pendakwaan akan memohon supaya rayuan Rosmah terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes dan membuat keputusan mengenai kes solar tersebut didengar bersama dengan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim berkenaan.

    Prosiding yang berlangsung secara dalam talian itu turut disertai peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader, mewakili Rosmah.

    Rosmah, 70, yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu telah mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menjatuhkan hukuman terhadapnya adalah berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan yang betul.

    Pada 1 September lalu, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

    Mahkamah juga memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

  • Sanusi selar pelakon susulan kenyataan didakwa guris ‘musuh Islam’

    Sanusi selar pelakon susulan kenyataan didakwa guris ‘musuh Islam’

    PENGARAH pilihan raya Pas, Datuk Seri Sanusi Md Nor mengecam seorang pelakon tempatan yang dikatakan mengeluarkan kenyataan terhadap ‘musuh Islam’ atau ‘kafir harbi’.

    Pelakon itu, yang namanya dirahsiakan sementara menunggu komen, didakwa membuat kenyataan itu ketika berucap pada satu majlis di Terengganu awal bulan ini.

    Sebuah video kenyataan pelakon itu telah menjadi viral, dan pengguna media sosial telah mempersoalkan Pas berhubung perkara itu kerana pelakon itu dilihat berkempen untuk parti itu.

    Bercakap kepada pemberita selepas satu majlis di Ipoh malam tadi, Sanusi berkata pelakon itu tidak mewakili Pas.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berucap pada Jelajah PN Best Tambun di Ipoh, malam tadi. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Beliau berkata, hanya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan boleh bercakap bagi pihak parti, sambil menambah beliau sendiri tidak berani berbuat demikian.

    “Berbahaya bercakap seperti itu, anda boleh ditangkap,” kata Sanusi ketika diminta mengulas kenyataan pelakon itu, lapor FMT.

    Sanusi menegaskan Pas tidak pernah menyuruh melakukan keganasan terhadap sesiapa sepanjang 32 tahun memerintah Kelantan, sambil menambah, rakyatnya dari semua lapisan masyarakat hidup aman dan harmoni.

  • PRU-15: ‘PN perlu menang di Pulau Pinang untuk bentuk kerajaan’

    PRU-15: ‘PN perlu menang di Pulau Pinang untuk bentuk kerajaan’

    SEMUA calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Pulau Pinang perlu menang bagi menyumbang dua pertiga majoriti untuk membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meletakkan harapan semua calon yang bertanding dapat menang berikutan gelombang dan kebangkitan rakyat terhadap PN semakin jelas ditunjukkan ketika ini.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, dalam usaha memperoleh majoriti dua pertiga, PN perlu menang di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Balik Pulau.

    Katanya, Pas memilih berada dalam PN demi penyatuan ummah dan berharap dapat bersatu padu dalam membentuk kerajaan.

    “Seboleh-bolehnya kita (PN) kena dapat majoriti dua pertiga, maka semua kawasan yang kita bertanding di Pulau Pinang (Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau) mesti dimenangkan.

    “Pada 20 November ini, kita tubuh kerajaan, dengan izin Allah SWT,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Perdana di Kubang Semang, Penanti, Bukit Mertajam, malam tadi.

    Sementara itu, Abdul Hadi mengulangi kenyataan PN dalam usaha menawan Perlis dan Pahang yang mana gelombang baharu sokongan rakyat di kedua-dua negeri itu amat tinggi selepas meletakkan bekas pemimpin UMNO yang digugurkan daripada bertanding pada PRU-15.

    Menurutnya, PN memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin itu selepas mereka dicantas parti seterusnya membangkitkan gelombang PN di Perlis dan Pahang.

    “Kita dapati apabila kita buat begini (ambil dua bekas pemimpin UMNO) ada gelombang di Perlis dan Pahang.

    “Jadi, kita harap dapat tawan kedua-dua negeri itu dalam PRU-15 kali ini,” katanya lapor BH Online.

  • Muhyiddin umum benar KWSP bersasar jika PN Kerajaan Pusat

    Muhyiddin umum benar KWSP bersasar jika PN Kerajaan Pusat

    PERIKATAN Nasional (PN) memberi jaminan akan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) secara bersasar sekiranya dipilih membentuk Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan itu – walaupun ianya tiada dalam manifesto – ketika berucap pada Jelajah PN BEST Parlimen Tambun di Ipoh, Perak, malam tadi.

    Sebelum ini, pada 6 November lalu, ketika majlis menjawab soalan peserta pada dialog sempena pelancaran manifesto PN di Shah Alam, Muhyiddin hanya berkata Perikatan Nasional akan mempertimbangkan pemberian KWSP bersasar itu jika menang PRU-15 ini.

    “Antara perkara yang berbangkit ialah minta supaya abah ni benarkan lagi sekali pengeluaran KWSP.

    “Tak ada dalam manifesto… tapi dulu pun kita buat pun tak ada dalam manifesto insya-Allah bila mana kita menang antara perkara yang kita akan lihat balik semula ialah tentang KWSP bersasar.

    “Kalau kita lihat yang dahulu, kita dah benarkan berapa kali… I-Sinar, I-Lestari… walaupun awalnya agak sukar tapi lepas itu dipersetujukan,” katanya pada majlis dialog itu.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Calon Perikatan Nasional Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika hadir pada Jelajah PN Best Tambun di Ipoh, malam tadi. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Bagaimanapun, malam tadi, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan pengeluaran KWSP bersasar akan dibenarkan jika PN menang dan membentuk kerajaan Pusat.

    “Kami (Perikatan Nasional) akan melaksanakan KWSP bersasar… maknanya kalau mereka memerlukan… ada lagi dana dalam KWSP… boleh dikeluarkan sebahagiannya kita akan benarkan ia dikeluarkan.

    “Arahan daripada pihak kerajaan, Kabinet, maka KWSP perlu mengeluarkan. Insya-Allah mungkin dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama jika Perikatan Nasional menang dan menubuhkan Kerajaan Pusat isu KWSP dibenarkan,” katanya lapor Agendadaily.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan berkata, rakyat sudah tidak mahu menunggu lagi sekarang untuk membuat perubahan kehidupan mereka setelah melalui zaman gelap pandemik Covid-19.

    Sehubungan itu, Muhyiddin meminta pengundi, khususnya anak muda, keluar beramai-ramai mengundi PN bagi menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, pada 19 November ini.