Category: Semasa

  • Gelombang anak muda kini memihak PN – Idris Ahmad

    Gelombang anak muda kini memihak PN – Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas Datuk Idris Ahmad mendakwa golongan muda yang tidak peduli tentang politik sebelum ini sudah bangkit dan bersama Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, ia didorong kebolehan mereka kali ini untuk terlibat sama dalam proses demokrasi selepas melihat keupayaan PN mengemudi negara di waktu krisis.

    Menurut beliau, kebangkitan anak muda itu dpat dilihat selepas terbubarnya Parlimen dan mereka di negeri-negeri ditadbir Pas khususnya, tampil menunjukkan sokongan kepada PN.

    “Bila berlakunya pembubaran Parlimen, hari ini berlaku gelombang anak muda. Bukan sahaja saya tengok berlaku di Bagan Serai, malah juga di Parit Buntar dan Bukit Gantang sendiri.

    “Saya mendapat makluman daripada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) bahawa di sana pun sama. Begitu juga di Terengganu.

    “Ini satu benda yang agak ‘ajaib’. Kita pun tak sedar keadaan yang berlaku,” kata calon PN P.058 Bagan Serai itu kepada Astro AWANI semalam.

    Idris berkata, pada mulanya beliau beranggapan bahawa anak muda akan cuba membuat perubahan setelah hangatnya naratif ‘kerajaan pintu belakang’ ditohmah ke atas PN oleh pihak parti lawan.

    Namun, menurutnya, keupayaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri sewaktu negara hebat dilanda COVID-19 tempoh hari memberi keyakinan kepada anak muda bahawa PN adalah pilihan mereka.

  • SPRM ambil dokumen di pejabat Rafizi – Laporan

    SPRM ambil dokumen di pejabat Rafizi – Laporan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mengambil beberapa dokumen di pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd, milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, semalam.

    Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber sebagai berkata, ia bagi membantu siasatan terhadap dakwaan pemilikan aset yang diumumkan Rafizi, minggu lalu.

    “Tiada serbuan sebaliknya siasatan biasa,” katanya hari ini.

    Semalam Rafizi dalam ucapannya berkata syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd diserbu SPRM dan turut mendakwa kakitangan ditahan selama tujuh jam.

    BH minggu lalu melaporkan SPRM membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan calon Parlimen Pandan.

    Ini berikutan, satu laporan dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perisytiharan Rafizi.

    Pada 2 November lalu, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta dan mendakwa tidak memerlukan dana awam untuk menjadikan dirinya kaya.

    Beliau berkata pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 untuk berbuat demikian.

  • Tawaran PN Best yang terbaik untuk 5 tahun akan datang-Muhyiddin

    Tawaran PN Best yang terbaik untuk 5 tahun akan datang-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat perlu menilai manifesto gabungan itu yang bertemakan Tawaran PN Best kerana memberikan tawaran inklusif untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, rakyat perlu menilai dan membezakan menifesto PN dengan gabungan politik lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Katanya, perkara itu penting untuk mengetahui perancangan mereka terutama PN kerana semua pihak perlu sedar bukan setakat menang PRU15 dan kemudian membentuk kerajaan.

    “Rakyat tidak ada pilihan lain kerana yang terbaik adalah PN, mahu mewujudkan kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin. Prihatin yang tahu tentang masalah rakyat.

    “Kerajaan yang mesti dibentuk pada 19 November ini mesti kerajaan yang bersih dairpada segala bentuk salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kita tahu (sebelum ini) berlaku dalam negara kita (rasuah sehingga) berbilion Ringgit.

    “Sehingga Malaysia terkenal antara negara paling besar rasuahnya dan ini berlaku dalam negara kita,” katanya berucap dalam Ceramah Jelajah PN Best di Sierra Perdana, Pasir Gudang, malam ini.

    Muhyiddin semasa berucap, mahu pengundi membaca manifesto PN untuk mengetahui perancangan dan tawaran penting yang diberikan kepada rakyat

    Muhyiddin berkata, pengundi perlu membaca manifesto PN untuk mengetahui perancangan dan tawaran penting yang diberikan kepada rakyat.

    Beliau yang menyandang kerusi Parlimen Pagoh berkata, pengundi boleh mendapatkan manifesto itu termasuk dengan memuat turunya menerusi laman web untuk meneliti perancangan PN dalam membangunkan negara.

    Bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata, ekonomi dunia diramalkan terjejak teruk pada tahun hadapan dan Malaysia tidak terkecuali.

    Katanya, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan mampu menguruskan kemelesetan ekonomi tersebut dengan perancangan terbaik.

    Muhyiddin secara sinis mempersoalkan, sama ada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi jika dipilih menjadi Perdana Menteri akan memikir dan menyelesaikan masalah tersebut.

    “Dia tidak akan memikirkan masalah orang Pasir Gudang, Muar, Pagoh dan orang Felda, dia mana peduli,” dakwa beliau dan menyatakan Ahmad Zahid hanya memikirkan tentang kes mahkamah dihadapinya yang masih belum selesai.

    Menurutnya, jika dahulu rakyat tidak mempunyai pilihan hingga terpaksa memilih UMNO dan BN tetapi sekarang keadaan sudah berubah dan mereka perlu menolak parti yang ‘mencuri’ serta melakukan rompakan.

    Tambah beliau, orang Melayu perlu memilih Bersatu dan Pas yang merupakan dua parti Melayu serta Islam terbesar dalam gabungan PN.

  • Peluang PN menang di DUN Kuala Sentul cerah – Jasri

    Peluang PN menang di DUN Kuala Sentul cerah – Jasri

    PELUANG Perikatan Nasional (PN) untuk menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul cerah apabila gelombang penerimaan rakyat menyokong dan memilih parti itu semakin terasa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Calon PN bagi DUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, dalam setiap siri jelajah sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU) ini, sambutan rakyat kepada PN di Kuala Sentul cukup baik, memberangsangkan dan boleh dikatakan di luar jangkaan.

    “Apabila kita bertemu pengundi, mereka menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada PN.

    “Jika perkara berterusan sehingga hari pengundian, 19 November ini, insya-Allah kita boleh menang di DUN Kuala Sentul,” katanya ketika ditemui di Kuala Sentul, Maran.

    Jasri berkata, ketika bertemu penduduk, pelbagai rungutan dinyatakan antaranya padang di Felda Jengka 3 yang terabai seperti langsung tidak dijaga.

    Katanya, terdapat juga isu membabitkan perumahan generasi kedua Felda yang terbengkalai di Felda Jengka 1 sejak PRU-13 lalu.

    “Masalah penduduk khususnya generasi kedua Felda adalah perumahan, insya-Allah saya akan fokus kepada isu ini apabila dipilih mewakili rakyat di Kuala Sentul selepas PRU-15 ini,” katanya.

    Menurutnya, beliau akan meneruskan siri jelajah ke pusat daerah mengundi (PDM) dan ziarah dari rumah ke rumah pada minggu akhir kempen.

    “Apa yang penting pada minggu akhir ini mendekati seramai mungkin pengundi di kawasan tumpuan.

    “Sasaran saya untuk bertemu dan bersua muka dengan lebih 80 pengundi dalam kawasan DUN Kuala Sentul ini,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan pengundi terutama di DUN Kuala Sentul bahawa, 19 November ini adalah penentuan buat mereka memilih masa depan diri, anak cucu dan generasi muda masa depan.

    “Pilihlah guna akal fikiran yang bijak supaya sebuah kerajaan yang bersih dan mementingkan rakyat dapat dibentuk,” katanya.

  • Isu peluang kerja generasi muda jadi fokus calon PN Setiawangsa

    Isu peluang kerja generasi muda jadi fokus calon PN Setiawangsa

    ISU peluang pekerjaan bagi generasi muda di Parlimen Setiawangsa antara yang bakal diberi perhatian oleh calon Perikatan Nasional (PN), Nurul Fadzilah Kamaluddin sekiranya memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut beliau, perkara itu diambil maklum memandangkan ramai generasi berkenaan yang sering tampil kepadanya menyuarakan masalah berkenaan.

    Ujarnya, masalah itu sangat difahami disebabkan beliau sendiri merupakan salah satu daripada generasi muda.

    “Saya telah menyediakan 10 tawaran kepada penduduk di Setiawangsa yang mana salah satunya adalah mewujudkan yang mana salah satunya menganjurkan Program Karnival Setiawangsa: Sihat dan Sukses.

    “Menerusi program tersebut, kita akan memfokuskan kepada anak muda dari sudut penawaran pekerjaan terhadap mereka oleh syarikat-syarikat yang menyertainya.

    “Jadi saya kira, ia sedikit sebanyak dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada mereka,” kata beliau, lapor Sinar Harian.

    Nurul Fadzilah pada masa yang sama mengingatkan seluruh generasi muda untuk keluar mengundi semasa pilihan raya itu.

    Jelasnya, setiap undi yang diberikan generasi itu adalah sangat bermakna bagi masa hadapan negara.

    “Jangan rasa takut dan gentar kerana ini adalah penentuan kepada sebuah kerajaan yang bakal dibentuk,” tegas beliau.

  • Lebuh raya baharu pesisir pantai Johor-Selangor dibina jika PN menang

    Lebuh raya baharu pesisir pantai Johor-Selangor dibina jika PN menang

    SATU jajaran lebuh raya merentasi kawasan pantai dari Selangor ke Johor Bahru bakal dibina sekiranya Perikatan Nasional diberi mandat menubuhkan kerajaan pada 19 November ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jajaran lebuh raya itu akan memudahkan pergerakan orang ramai, khususnya pelancong untuk datang ke Johor, sekali gus akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

    Berucap pada majlis sembang santai bersama penduduk di Stulang Laut, Johor Bahru hari ini , bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata agenda pembangunan itu boleh dilaksanakan jika Perikatan Nasional memerintah.

    Muhyiddin yang mempunyai berpuluh tahun pengalaman dalam politik negara berkata beliau melihat sendiri sekarang ini satu gelombang sokongan terhadap Perikatan Nasional yang menggegarkan bermula di Perlis dan semakin menghampiri Johor Bahru.

    “Jika Perikatan Nasional memerintah Kerajaan Pusat dengan sokongan pengundi dan saya dilantik menjadi Perdana Menteri, mudahlah pembangunan dilaksanakan.

    “Menteri Besar Johor sekarang daripada UMNO akan berjumpa saya dan memohon pelaksanaan projek pembinaan jalan. Tapi, kita (Perikatan Nasional) akan buat lebuh raya pesisir pantai dari Lembah Klang ke Johor jika menang,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Sehubungan itu, Muhyiddin yang menyandang kerusi Parlimen Pagoh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, menasihatkan pengundi Johor supaya tidak melakukan kesilapan ketika Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

    Beliau juga berjanji untuk menyelesaikan isu yang dihadapi antara rakyat dengan kerajaan Johor pimpinan UMNO sekarang ini sekiranya, dengan sokongan pengundi, dapat membentuk Kerajaan Pusat.

    Muhyiddin turut mengingatkan pengundi supaya membandingkan manifesto yang ditawarkan Perikatan Nasional dengan manifesto parti lain.

    “Tawaran Perikatan Nasional lebih baik daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada majlis yang turut dihadiri kaum Cina, termasuk peniaga.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata tawaran Perikatan Nasional, termasuk memberi bantuan kepada peniaga seperti moratorium untuk tidak membayar hutang pinjaman bank.

    “Ini pernah dilakukan ketika Kerajaan Perikatan Nasional memerintah sebelum ini ketika pandemik melanda. Malah, kerajaan juga memberi wang kepada syarikat untuk membayar gaji pekerja yang tidak dapat bekerja kerana sekatan Covid-19,” katanya.

  • 2 juta dijangka pulang mengundi, PLUS keluar jadual perjalanan

    2 juta dijangka pulang mengundi, PLUS keluar jadual perjalanan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, bagi tempoh dari 17 hingga 21 Nov ini.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata TTA itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku akibat peningkatan sehingga 1.9 juta kenderaan di lebuh raya itu, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

    Beliau berkata pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memasuki lebuh raya bermula 16 hingga 18 Nov sebelum 10 pagi manakala pengguna yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya antara 1 tengah hari hingga 4 petang.

    Menurut Zakaria, bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur bermula 20 hingga 21 Nov pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

    “Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.

    “Pengguna juga perlu menjangka menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa. Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zakaria berkata persediaan itu merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

    Beliau berkata PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 hingga 21 Nov kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.

    “PLUS juga menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik bagi mempercepat kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya,” katanya.

    Menurut Zakaria, PLUS akan menugaskan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam setiap hari di lebuh raya serta 1,500 kakitangan di plaza-plaza tol untuk melancarkan transaksi di plaza tol serta 30 petugas di Pusat Pemantauan Trafik bagi memantau pergerakan trafik serta membantu mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya.

    “Pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu berikutan cuaca hujan dan PLUS mengucapkan semua pengguna lebuh raya selamat sampai ke destinasi untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

    Jadual TTA boleh didapati menerusi aplikasi PLUS Mobile App di Google Play Store atau App Store selain di laman web www.plus.com.my serta Twitter PLUSTrafik. – BERNAMA

  • Muhyiddin selar dakwaan Mahdzir Bersatu dan Pas kahwin mutaah

    Muhyiddin selar dakwaan Mahdzir Bersatu dan Pas kahwin mutaah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas adalah perkahwinan mutaah atau perkahwinan sementara.

    Menurut Presiden Bersatu itu, Barisan Nasional (BN) kini sudah melalui proses ‘mufarakah’ (berpisah) sejak kekalahan mereka pada 2018.

    “BN pun kahwin kontrak jugak, tapi selepas dia kalah dia sudah berpisah. Jangan main-main, kita punya jalinan kerjasama cukup rapat sebab Pas dan Bersatu adalah pengasas PN, Gerakan dan lain-lain sertai kemudian.

    “Tetapi Pas dan Bersatu merupakan pengasas, ini bukan mutaah. Daripada segi politik hubungan kami cukup baik, mereka (UMNO) kata begitu mungkin kerana bimbang sokongan kita cukup kuat.

    “Tiada begitu, sebaliknya BN yang mutaah kemudian sudah mufarakah (berpisah) pula, dahulu 14 (parti komponen) kini hanya tinggal tiga sahaja (UMNO, MCA, MIC),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang, Johor Bahru hari ini.

    Yang turut hadir calon PN bagi kerusi Parlimen Johor Bahru, Mohd. Mohtah Yacob.

    Terdahulu, Mahdzir yang juga merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar mendakwa gabungan Pas dan Bersatu sebagai perkahwinan mutaah kerana kepimpinan kedua-dua parti itu mengeluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain.

    Sementara itu, Muhyiddin mencabar Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti berkenaan dakwaan PN merupakan gabungan politik yang paling kaya ketika ini.

    “Dia kata PN parti paling kaya, tetapi apa buktinya, kalau hendak buktikan, tunjuk akaun bank antara pemimpin PN dan PH. Anwar Ibrahim

    boleh tunjukkan tak, kalau dia ada bukti tunjukkan, jika tiada bermakna dia pembohong dan pengundi jangan percaya.

    “Sebaliknya kita merupakan sebuah parti baharu, kita tidak mempunyai sumber yang besar, kami bergantung kepada orang-orang yang mahu membantu perjuangan kami, itu sahaja,” katanya.

    Hari ini, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini ekoran banyak memperolehi projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik Covid-19.

  • PN akan bentuk kerajaan jika 90 peratus keluar mengundi pada PRU-15

    PN akan bentuk kerajaan jika 90 peratus keluar mengundi pada PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan berjaya menubuhkan kerajaan baharu di peringkat Persekutuan sekiranya 90 peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Justeru Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru orang ramai khususnya anak muda keluar mengundi beramai-ramai pada 19 November ini dan memastikan memilih calon-calon gabungan tersebut.

    Bekas Perdana Menteri kelapan itu mengingatkan pengundi supaya tidak salah memilih calon kerana akan memudaratkan negara dan mereka perlu menolak calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

    “BN sudah banyak masalah, Presiden UMNO, (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi jadi ketua kluster mahkamah, dia ada banyak kes, ada 87 pertuduhan, jadi kita kena ingat betul-betul…tapi dia nak jadi Perdana Menteri.

    “Dia fikir kalau dia jadi Perdana Menteri mungkin segala pertuduhan yang dihadapinya akan digugurkan kerana akan menggunakan pengaruh dia yang cukup kuat (jika menjadi Perdana Menteri), jadi dia fikir begitu.

    “Tapi dia kata pula sekarang, kalau BN tidak dapat jumlah kerusi yang besar untuk bentuk kerajaan, 112 kerusi, UMNO (kini) dah rasa tak boleh menang, jadi Zahid kata sanggup kerjasama dengan mana-mana parti (untuk bentuk kerajaan),” katanya.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap di Gerai Makan Taman Sri Stulang di sini pada Selasa.

    Muhyiddin berkata, Ahmad Zahid mahu bekersama dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya BN tidak mendapat jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan tidak mahu bergaung dengan PN.

    Tegas beliau, maklumat berkenaan perkara itu diperolehnya daripada sumber yang sahih dan Ahmad Zahid serta Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah merancangnya dan bukan cerita yang direka-rekanya.

    Calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh itu mendakwa, kerjasama tersebut bagi membolehkan Anwar menggugurkan kes mahkamah Ahmad Zahid.

  • Malaysia perlu calon PM bukan ‘boneka’, tak mudah tunduk tekanan – Ku Li

    Malaysia perlu calon PM bukan ‘boneka’, tak mudah tunduk tekanan – Ku Li

    NEGARA memerlukan calon perdana menteri kuat dan bukan “boneka” yang lemah, selain mudah tunduk kepada tekanan, kata calon Barisan Nasional (BN) di Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Katanya, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), rakyat perlu memilih parti menampilkan calon berkebolehan untuk bekerja selepas diberi mandat menjadi pemimpin dalam memulihkan semula negara selepas serangan Covid-19.

    “Calon PM perlu memiliki kekuatannya tersendiri dan bukan seorang boneka yang begitu lemah, tidak memiliki kekuatan jati diri dan mudah tunduk kepada tekanan.

    “Jadi, kita nak kepada orang bukan nak isi jawatan tetapi mestilah berkelayakan dan boleh bekerja. Kena kerja, kalaulah kerja satu hari 12 jam, jadi sekarang kita nak orang yang bekerja 20 jam,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, untuk menubuhkan sebuah kerajaan cekap dan stabil, pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan memilih calon terbaik.

    Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berulang kali menyebut calon perdana menteri daripada BN adalah naib presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) dalam kempen politiknya mendakwa Ismail bukan calon sebenar, bahkan jawatan itu turut diintai Zahid.

    Menamakan seorang naib presiden dalam tradisi Umno sebagai perdana menteri tidak pernah dilakukan sebelum ini kerana jawatan itu sentiasa diisi presiden Umno selaku pengerusi BN, ketika gabungan itu memerintah kerajaan.