Category: Semasa

  • Covid-19: Perbelanjaan ikut dasar perolehan, peraturan

    Covid-19: Perbelanjaan ikut dasar perolehan, peraturan

    BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berani bersumpah bahawa perbelanjaan kerajaan ketika pandemik Covid-19 melanda negara diurus mengikut dasar perolehan dan peraturan.

    “Wallahi, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat dan dibuat ikut peraturan kewangan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Muar di Bukit Pasir, Muar hari ini.

    Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari bahawa PH akan menjalankan siasatan terperinci terhadapnya kerana didakwa membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, jika berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah jika ada mana-mana pihak yang ingin menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

    Saya tidak bimbang kerana semuanya diurus mengikut dasar-dasar perolehan dan cara perbelanjaan di bawah Kementerian Kewangan. Jika ada bukti pergilah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan buatlah laporan polis.

    “Bukan buat serkap jarang hingga menimbulkan keraguan, niatnya jahat, fitnah dan saya tak pernah takut sebab saya tahu saya punya pengurusan sejak zaman berzaman tadbir kerajaan,” katanya.

    Berhubung dakwaan wujud pergolakan dalam PN susulan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini, Muhyiddin berkata, tiada pergolakan berlaku dalam gabungan itu.

    “Itu apa yang dilaporkan bahawa kenyataan Takiyuddin tak dipetik secara betul dan tepat malah Takiyuddin sendiri sudah betulkan, saya sudah betulkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pun dah betulkan.

    “Pendirian kita ialah dalam masa hadapi PRU15, kita bertegas bahawa kita bertanding atas tiket PN dan atas perjuangan PN, saya tak fikir soal gabungan mana, kalau saya kata PN nak bergabung, orang akan kata apa guna sokong PN,” katanya.

    Sebelum ini, Takiyuddin dilapor menyatakan PN yakin dapat membentuk kerajaan dengan gabungan parti lain terutama BN pada PRU15 sekiranya tidak mendapat majoriti mudah, sebelum Muhyiddin berkata beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN.

    Bagaimanapun, Takiyuddin dalam satu kenyataan semalam menyifatkan kenyataan beliau berhubung kerjasama PN dan BN selepas PRU15 telah diambil di luar konteks.

  • Letupan paip gas: Seorang maut, tiga melecur

    Letupan paip gas: Seorang maut, tiga melecur

    SEORANG maut manakala tiga lagi melecur apabila paip gas Petronas di jajaran Long Ugui ke Long Sukang dekat Lawas, Sarawak meletup selepas dipercayai mengalami kebocoran.

    Mangsa yang maut merupakan pemandu jentera jengkaut warganegara Indonesia manakala tiga yang cedera adalah warga tempatan.

    Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong ketika mengesahkan kejadian berkata, insiden dipercayai berlaku sekitar pukul 2.10 petang.

    “Mangsa pertama berada di dalam jengkaut, dan jarak dia dengan tiga mangsa lain sekitar 200 meter,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

    Siasatan awal mendapati, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kebocoran paip.

    Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimanshah berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian tersebut sekitar pukul 2.49 petang.

    “Pihak kita telah mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah pacuan empat roda dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Lawas oleh kakitangan kontraktor pembinaan, di mana paip itu meletup.

    Sementara itu, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pihaknya sedih dengan tragedi yang berlaku.

    “Saya menyeru pihak Petronas supaya memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

    “Ini adalah sesuatu yang pernah berlaku dahulu, dan saya telah meminta pihak Petronas mengambil tindakan sewajarnya agar tidak berulang.

    Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahaguan Limbang, Sebi Abang berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak bomba dan Petronas untuk menyediakan laporan awal yang berlaku pada kadar segera.

    “Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan kejadian,” tambahnya lagi.

    Ketika ini katanya, insiden tersebut telah terkawal dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi.

  • PRU15: Calon PN mesti miliki watak yang baik-Muhyiddin

    PRU15: Calon PN mesti miliki watak yang baik-Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk menjadi calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon-calonnya mestilah mempunyai watak yang baik selain muda dan berpengalaman.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akui untuk menjadi calon PN pada PRU-15 sangat ketat kerana harus melalui saringan.

    “Antara syarat yang diperlukan adalah mestilah menyerahkan nama kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memeriksa status bankrap.

    “Sebahagian besar (calon PN merupakan) anak muda berkelayakan tinggi.

    “Bukan sahaja berkelayakan, tetapi (memiliki) karaktor yang baik dan semua calon-calon yang dikemukakan kita harus menerusi satu sesi saringan yang agak ketat,” katanya ketika ditemu bual Sinar Live ‘Cukup-Cukuplah fitnah PN’ di kediamannya di Muar, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai apakah kriteria pemilihan calon-calon PN berikutan banyak yang ditampilkan pada PRU15 ini daripada muka baharu.

    Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan nama calon diserahkan kepada polis untuk memeriksa sama ada mempunyai kes jenayah atau memiliki apa-apa kes yang dianggap menghalang mereka layak untuk menjadi calon.

    Beliau berkata, keduanya nama diserahkan kepada SPRM untuk melihat sama ada mempunyai rekod rasuah.

    “Kita letak sebagai perkara utama jangan terpalit rasuah dengan nama-nama yang kita kemukakan,” katanya.

    Tambah Muhyiddin, ketiga nama calon PN mesti dihantar kepada LDHDN kerana bimbang ada yang tidak membayar cukai dan ia telah melanggar undang-undang.

    Beliau berkata seterusnya memeriksa status kebankrapan.

    “Kalau ada senarai bankrap dan belum ‘discharge’ bankrap, kita tidak ambil,” jelas beliau.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata sekiranya calon mempunyai latar belakang perkhidmatan sosial yang telah diberikan secara sukarela juga diambil kira.

    Katanya, ditambah lagi untuk menjadi calon PN melalui proses saringan ketat dan calon yang dijamin bersih.

    “Kita angkat sumpah dan ikrar dengan nama Allah, kami takkan buat sesuatu yang langgar akta pencegahan rasuah kepada satu-satu parti.

    “Ini menunjukkan kita menawarkan pimpinan yang terbaik untuk uruskan negara,” katanya.

  • 150,000 pengundi baru beri komitmen sokong PN

    150,000 pengundi baru beri komitmen sokong PN

    LEBIH 150,000 pengundi berusia 18 hingga 25 tahun memberi komitmen menyokong Perikatan Nasional (PN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

    Menurut Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Pas negeri, Dr Wan Nik Wan Yusoff, mereka merupakan mahasiswa dan perantau anak Kelantan memberi komitmen untuk balik mengundi.

    Beliau berkata, peningkatan jumlah pengundi itu berlaku selepas kerajaan mewartakan pendaftaran automatik bagi warganegara berusia 18 tahun bermula tahun lalu.

    “Senarai daftar pemilih di Kelantan sebelum ini satu juta orang lebih, tetapi sekarang meningkat kepada 1.3 juta, ini bermakna tambahan 300,000 pengundi mewakili anak muda.

    “Ini merupakan hasil pendekatan kempen all out dalam media sosial, kita dapati anak muda di IPT dan perantau memberi komitmen untuk balik mengundi nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRU15 PAS Kelantan hari ini.

    Dr Wan Nik berkata, sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu kumpulan terbabit didapati membenci politik serta menyatakan tidak akan keluar mengundi.

    Katanya, sikap terbabit didapati sudah berubah di atas komitmen kerajaan negeri termasuk calon PN untuk meneruskan lagi agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.

    Menurutnya juga selepas PRU14 PN Kelantan menghantar 11 wakil ke Dewan Rakyat yang berjaya memainkan peranan membawa suara rakyat untuk membangunkan negeri ini.

    Beliau berkata, semua wakil rakyat, sebahagiannya dalam kerajaan banyak menyumbang kepada pembangunan negeri yang bersifat material dan spiritual.

    “Kita mahu meneruskan agenda pembangunan negeri melalui komitmen ahli-ahli parlimen dari Kelantan, di mana sebahagiannya berada dalam kerajaan di Putrajaya sebelum Dewan Rakyat dibubar.

    “Hasrat mereka (anak muda) untuk memastikan Kelantan berada dalam radar Putrajaya untuk memastikan tempoh 32 tahun lalu akan mencipta peluang lebih baik pada masa depan,” katanya, lapor Harakahdaily.

  • Najib minta beredar selepas diberitahu Jho Low curi AS$700 juta wang 1MDB: pemilik The Edge

    Najib minta beredar selepas diberitahu Jho Low curi AS$700 juta wang 1MDB: pemilik The Edge

    PENGERUSI Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau diminta oleh Datuk Seri Najib Razak untuk beredar daripada kediamannya selepas mencadangkan ahli perniagaan dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho (Jho Low) didakwa kerana mencuri AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Kooi Ong berkata, dalam pertemuan di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta pada pukul 10.45 malam, 6 Mac 2015, beliau turut menjelaskan, daripada AS$1 bilion yang disuntik bagi perjanjian usaha sama antara 1MDB PetroSaudi International Ltd (PSI), AS$700 dilencongkan ke syarikat Good Star Ltd, milik Jho Low.

    Saksi ke-43 pendakwaan itu berkata, beliau juga menjelaskan mengenai peranan Jho Low yang membuat keputusan dalam hal ehwal perjalanan operasi 1MDB dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hanya mengambil arahan daripadanya (Jho Low).

    “Selepas saya beritahu perkara itu, dia (Najib) minta saya beredar… saya pun beredar.

    “Selepas itu saya terus menulis artikel berkaitan 1MDB, malah banyak lagi artikel saya tulis mengenainya.

    “Najib sentiasa sahabat saya… Saya tidak pernah ada dendam sama ada dahulu atau pun sekarang,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan utama.

    Terdahulu, Kooi Ong berkata, Najib yang kelihatan letih dalam pertemuan itu, memberitahunya bahawa artikel yang ditulis oleh The Edge mengenai 1MDB sejak tahun 2010 adalah salah.

    Menurut saksi itu, Najib berkata, masalah yang berlaku dalam 1MDB adalah berkaitan model perniagaan, di mana syarikat pelaburan strategik negara itu banyak membuat terlalu banyak pinjaman.

    Dalam pertemuan itu juga, saksi berkata, beliau banyak berkongsi nota dengan Najib dan menjelaskan mengenai ribuan maklumat dimilikinya melalui e-mel yang diperoleh daripada pemberi maklumat 1MDB, Xavier Justo.

    Katanya, antara kandungan daripada ribuan e-mel itu ialah maklumat berkaitan syarikat PetroSaudi sebenarnya bukan syarikat dimiliki Arab Saudi dan AS$1 bilion serta aset yang disuntik melalui usaha sama 1MDB-PSI dibuat melalui penilaian palsu.

    Terdahulu, saksi itu berkata, Ahli Parlimen, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir memperkenalkannya kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selepas beliau berkongsi kebimbangan mengenai 1MDB dengan Aziz dalam pertemuan di sebuah pusat beli belah di Bangsar.

    “Susulan itu, Abdul Azeez kemudian mencadangkan saya berjumpa Najib,” katanya.

    Ekoran kejadian itu, Kooi Ong berkata beliau disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan kes pengubahan wang haram dan mengelak cukai, dan penerbitan akhbar serta portal perniagaan itu turut digantung selama tiga bulan dan juga dihalang daripada keluar negara,

    Ditanya siapa yang difikirkan bertanggungjawab atas kejadian itu, Kooi Ong berkata, disebabkan liputan mengenai 1MDB, beliau pernah diyakinkan oleh penasihat media Najib ketika itu, Paul Stadlen untuk tidak menulis mengenai 1MDB kerana membuatkan banyak pihak dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak gembira.

    “Dalam pertemuan dalam satu majlis The Edge yang turut dihadiri Najib, Stadlen beri amaran bahawa PMO adalah berkuasa dan saya patut berhati-hati,” katanya, lapor Berita Harian.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

  • Saya ada ‘track record’ yang baik kemudi kerajaan, kata Muhyiddin

    Saya ada ‘track record’ yang baik kemudi kerajaan, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mempunyai ‘track record’ yang cemerlang semasa menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan.

    Sebelum ini kata bekas Perdana Menteri kelapan itu, pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam negara sama ada menjadi menteri, timbalan menteri dan Menteri Besar Johor.

    “Saya sudah mulakan kerja sewaktu terpilih menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan.

    “Latar belakang saya, rekod pencapaian saya di kementerian yang saya terajui dan jawatan-jawatan penting baik menteri besar serta kementerian dan timbalan menteri.

    “Saya bukan nak dabik dada angkat bakul sendiri, tetapi itu rekod prestasi saya,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di kediamannya di Muar, hari ini.

    Muhyiddin berkata sekiranya diberi peluang menjadi Perdana Menteri sekali lagi, beliau masih mampu berfikir dan bertindak cepat.

    Katanya, ini bukti khusus yang boleh jadi sandaran keupayaan PN untuk terajui negara.

    “Jadi profil saya, orang kata ‘resume’ di hadapan saya itu saya fikir lebih daripada layak kalau diberi peluang,” katanya.

    Pada 10 Oktober lalu, PN dilaporkan mengesahkan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika gabungan itu memenangi PRU-15.

    Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dilaporkan berkata, tiga parti komponen termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sepakat terhadap ketetapan memilih Pengerusi PN itu sebagai Perdana Menteri.

  • Polis siasat pengundi buat ‘live’ ketika undi pos

    Polis siasat pengundi buat ‘live’ ketika undi pos

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat tindakan dua individu dipercayai bersiaran secara langsung di media sosial dan mendedahkan kertas undi pos, semalam.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, laporan polis dibuat seorang pegawai polis selepas melihat satu hantaran berkaitan perkara itu di Twitter.

    “Pengadu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melayari internet dan melihat gambar tangkap layar video seorang pengguna TikTok menggunakan nama ‘sifulife’.

    “Gambar tangkap layar itu memaparkan seorang individu disyaki menjalankan proses undi pos sambil bersiaran di TikTok dan gambar itu kemudian dikongsikan di Twitter atas nama @injang_nation,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

    Beliau berkata pengadu turut mengesan satu lagi perbuatan sama oleh seorang individu lain yang mendedahkan kandungan kertas undi pos melalui akaun Tiktok ‘arielprimepicture_2nd’ termasuk nombor kertas undi.

    Katanya, kedua-dua kes disiasat oleh Polis Daerah Wangsa Maju mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 serta Seksyen 5(6) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Dalam pada itu, katanya statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam menunjukkan sebanyak 30 kertas siasatan berkaitan pelbagai kesalahan kempen Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) dibuka di seluruh negara sehingga semalam.

    “Sebanyak lima kertas siasatan dibuka di Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan, Kedah, Selangor (empat), Pahang dan Sarawak (tiga), Kuala Lumpur (dua), manakala Melaka, Terengganu dan Sabah, masing-masing satu kertas siasatan.

    “Antara kes dilaporkan termasuk perbuatan khianat bahan kempen milik calon dan parti, berita dan maklumat palsu, kenyataan berunsur fitnah serta kes gaduh dan pukul,” katanya.

    Hazani yang juga Pengarah Operasi PRU15 PDRM, berkata polis turut menahan tujuh individu bagi membantu siasatan dengan tiga tangkapan di Perak, Pahang (dua) dan masing-masing satu tangkapan di Kelantan dan Sarawak.

    Mengenai ceramah kempen PRU-15, Hazani berkata sebanyak 1,522 ceramah dengan permit sah berlangsung di seluruh negara, semalam dengan jumlah ceramah tertinggi di Sabah dan Sarawak, masing-masing 256 ceramah, manakala satu ceramah kempen di Sabah dikesan tiada permit.

  • Ibu terkejut anak berusia 14 tahun lahirkan anak

    Ibu terkejut anak berusia 14 tahun lahirkan anak

    SEORANG ibu terkejut apabila mendapati anaknya yang berusia 14 tahun sarat mengandung selepas dibawa ke hospital selepas remaja berkenaan mengadu sukar membuang air besar, semalam.

    Dalam kejadian 4.30 petang itu, remaja terbabit yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah dibawa ibunya ke Hospital Baling namun wanita berusia 40-an itu terkejut apabila doktor memberitahu anaknya mengandung dan bakal melahirkan anak.

    Selepas dua jam dimasukkan ke hospital, doktor memaklumkan kepada ibunya yang remaja perempuan terbabit disahkan selamat melahirkan bayi perempuan cukup sifat.

    Menurut sumber, ibu pelajar berkenaan yang masih terkejut dengan keadaan itu kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki yang anaknya menjadi mangsa rogol sehingga hamil dan melahirkan anak.

    “Hasil keterangan yang diambil, wanita terbabit memberitahu anaknya mengadu tidak boleh membuang air besar sebelum dia melihat darah turun di kaki remaja terbabit ketika berada di rumah mereka.

    “Wanita itu juga mendakwa dia sebelum ini menyedari perubahan bentuk fizikal badan anaknya itu sejak tiga bulan lalu namun remaja berkenaan menafikan dia hamil dan hanya memberitahu berat badannya naik,” katanya lapor BH.

    Sumber berkata, ketika kejadian wanita terbabit juga ada mendakwa yang dia melihat cecair jernih atas tilam di ruang tamu tempat tidur anaknya namun remaja itu memberitahu yang dia terkencing.

    “Bagaimanapun, wanita terbabit yang bimbang selepas melihat darah yang meleleh di paha anaknya terus membawa remaja berkenaan ke hospital.

    “Ketika tiba di hospital ibu pelajar itu baru mengetahui yang anaknya sudah sarat dan selamat melahirkan bayi perempuan,” katanya.

    Menurut sumber, susulan daripada laporan polis itu polis mengambil keterangan daripada pelajar berkenaan dan dia mendakwa ada melakukan hubungan seks dengan dua lelaki berusia 20-an yang juga tinggal di kampung sama dengannya.

    “Mangsa mendakwa dia ada melakukan hubungan seks dengan rela sebanyak tiga kali bersama dua lelaki terbabit sejak Februari lalu selepas mengenali mereka melalui rakan perempuan di sekolahnya.

    “Remaja itu bagaimanapun mendakwa dia mengesyaki anak yang dilahirkan itu adalah hasil hubungan seorang daripada lelaki terbabit kerana mendakwa mereka kerap melakukan hubungan seks selepas itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.

    “Setakat ini, kita masih mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit,” katanya.

  • Beri mandat kepada PN untuk meneruskan perjuangan belum selesai-Muhyiddin

    Beri mandat kepada PN untuk meneruskan perjuangan belum selesai-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat terutama pengundi supaya memberikan mandat kepada PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, PN semasa menerajui kerajaan terbukti berjaya mengurus negara terutama semasa Covid-19 melanda negara.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sekiranya PN kembali menjadi kerajaan banyak perkara yang akan dilakukan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat.

    “Khidmat terbaik yang akan kita sediakan termasuk tawaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) dan moratorium bersasar.

    “Sumbangan RM1,000 untuk belia melanjutkan pelajaran ke universiti dan diskaun 25 peratus bayaran balik wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau berkata, ini termasuk tawaran satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan melancarkan MyPrihatin yang memberi bantuan segera kepada rakyat miskin.

    Semua janji tersebut kata penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu, antara yang termaktub dalam Tawaran PN Best adalah bersifat realistik.

    “Saudara-saudari sekalian, bulatkan tekad anda terus menyokong PN, parti terbaik, stabil, telus dan amanah serta menjaga kemakmuran rakyat berbilang kaum dan keturunan.

    “Pastikan anda mengundi Perikatan Nasional, PN Best,” katanya selain melahirkan rasa puas hati terhadap program PN di seluruh negara termasuk di Johor yang melihatkan kebangkitan dan sokongan luar biasa rakyat.

    “Semalam saya berada di selatan tanah air bersama Bangsa Johor. Program pertama saya ialah menghadiri majlis ramah mesra dengan penduduk setempat di Restoran Kemangi, Pontian.

    “Saya meneruskan ‘campaign trail’ saya ke Medan Selera Taman Sri Stulang, Johor Bahru untuk bersama penduduk di sekitar kawasan tersebut dalam program sembang santai. Turut bersama saya ialah calon PN kerusi Parlimen Tebrau, Mohamad Isa Mohamad Basir.

    “Mereka ini adalah penghuni asal rumah pangsa Bukit Chagar. Alhamdulillah kehidupan mereka di sini lebih selesa dan dapat berniaga serta bekerja dengan sempurna. Saya bersama mereka ketika menjadi Menteri Besar Johor lebih 20 tahun lalu,” katanya.

    Muhyiddin yang pernah menjadi Menteri Besar Johor dengan rekod bersih berkata, Program Jelajah PN Best yang berlangsung di Taman Sierra Perdana, Masai, Pasir Gudang pula menyaksikan ribuan penduduk setempat hadir.

    Katanya, himpunan masyarakat pelbagai usia dan keturunan terutama anak muda dilihat sebagai indikator PN sudah diterima.

    “Saya juga sempat memenuhi permintaan hadirin agar saya membaca doa selamat selepas majlis selesai. Katanya mereka rindu bacaan doa Abah ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 dulu,” katanya.

    Sementara itu, beliau membidas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PN sebagai parti paling kaya.

    “Jika betul apa yang didakwa mana buktinya? Saya cabar Anwar kemukakan bukti dan penyata. Jangan cakap sahaja. Jika tak ada bukti maknanya hal itu tidak betul. Anwar menipu dan tidak boleh dipercayai,” katanya.

    Terkini katanya, Anwar juga ada mendakwa wujud rundingan antara PN dan BN tanpa mengemukakan bukti.

    “Sekali lagi saya tegaskan mana buktinya? Ternyata segala dakwaan Anwar ini hanyalah tuduhan semata mata tanpa bukti kukuh.

    “Dia kehilangan hujah untuk meneruskan kempen. Pemimpin sebegini tiada integriti dan tidak layak mewakili rakyat,” ujar beliau.

  • PRU15: Gelombang sokongan rakyat kepada PN makin kuat-Muhyiddin

    PRU15: Gelombang sokongan rakyat kepada PN makin kuat-Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) kini menjadi pilihan rakyat untuk menjadi kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua itu adalah hasil semangat kesepakatan jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Pas yang berjaya melonjakkan sokongan daripada rakyat.

    Presiden Bersatu itu berkata, pengundi Melayu dilihat memberikan sokongan luar biasa dan cukup berminat dengan kepimpinan PN yang mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran negara.

    “Saya menyaksikan sendiri di mana-mana sahaja saya pergi dari utara ke selatan, malah semalam saya di Johor Bahru, gelombang itu jelas dan nyata. Sokongan luar biasa dalam kalangan pengundi- pengundi Melayu jelas dapat dilihat dan mereka kelihatan bersedia hadapi PRU-15.

    “Malah pengundi Melayu ini berminat untuk menyokong PN kerana mereka melihat kepimpinan mampu uruskan negara ketika Covid-19, menyediakan banyak bantuan dan pelbagai rekod cemerlang sebelum ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi temu bual Sinar Live ‘Cukup- cukup Fitnah PN’ di kediamannya di Muar, hari ini.

    Tegas Muhyiddin, kempen dijalankan PN bukan semata-mata bercakap tentang politik, tetapi lebih menyentuh tentang manifesto yang ditawarkan kepada rakyat.

    “Sewaktu berkempen, bukan bercakap soal politik, tetapi soal apa yang PN tawarkan, supaya pengundi tahu bukan soal memangkah sahaja untuk PRU-15 ini, tetapi apa yang mereka akan dapat dan peroleh.

    “PN cukup komited untuk laksanakan manifesto dalam tempoh masa yang cepat dam segera seandainya dipilih sebagai kerajaan pada PRU-15. Ini salah satu yang akan kita laksanakan,” katanya.

    Beliau menambah, jentera Bersatu, Pas dan Gerakan yang bergerak senada di bawah satu bumbung bergerak ke seluruh pelosok negara untuk memperjelaskan perjuangan PN.

    “Tidak kira siapa calon, kalau di situ calon Bersatu, Pas dan Gerakan akan dukung, begitu juga sebaliknya. Itulah kesepakatan dan kesepaduan yang dilakukan di dalam PN.

    “Kami pergi seluruh negara, pusat-pusat daerah mengundi, jelaskan kepada pengundi perjuangan PN dan matlamat serta apa yang dapat kami bantu rakyat supaya dapat menerajui negara dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.