Category: Semasa

  • Negara lebih stabil jika Pas tadbir, kata Nik Abduh

    Negara lebih stabil jika Pas tadbir, kata Nik Abduh

    PENTADBIRAN negara akan menjadi lebih stabil sekiranya Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rekod bersih dan bebas rasuah membuktikan parti itu mampu mentadbir dengan baik sebagaimana yang ditunjukkan semasa menjadi sebahagian daripada kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN).

    “Kebanyakan kes rasuah yang dilemparkan kepada Pas bersifat tohmahan semata-mata.

    “Tohmahan itu gagal dibuktikan secara jelas menerusi pendakwaan di mahkamah,” katanya semasa berceramah di Ceramah Mega Kubang Kerian Sejahtera, di Pasir Tumboh, Kota Bharu, malam tadi.

    Menurut beliau, perkara tersebut turut dibuktikan oleh Pas selama 32 tahun mentadbir Kelantan.

    Katanya lagi, rekod bersih itu meletakkan Pas menjadi parti bersih dan bebas dari rasuah.

    “Bagaimanapun Barisan Nasional (BN), PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP yang merupakan parti besar di negera ini terpalit dengan isu rasuah sehingga ada pendakwaan di mahkamah,” katanya lapor Sinar Harian.

    Ujar beliau, komponen PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) bebas daripada kes rasuah.

    “Jika rakyat Malaysia memilih PN pada PRU15 Sabtu ini, komponen itu mampu mentadbir negara dengan lebih baik,” katanya.

  • Gelombang rakyat mahu bersihkan ‘sampah sarap’ politik – Muhyiddin

    Gelombang rakyat mahu bersihkan ‘sampah sarap’ politik – Muhyiddin

    SEMANGAT dan sokongan luar biasa rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) bukti rakyat ingin menolak dan membersihkan negara daripada ‘sampah sarap’ politik yang merosakkan negara.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, anjakan besar serta gelombang kesepaduan itu merupakan cita-cita rakyat yang ingin melihat satu pembaharuan kepada negara.

    “Mereka ingin ambil kesempatan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15 ) untuk memangkah PN kerana kami menawarkan sesuatu yang lebih baik bagi mereka, menjamin keselamatan mereka.

    “Jadi ada harapan, dalam tempoh beberapa hari ini, saya fikir gelombang ini akan membesar. Dulu kita sebut tsunami, saya harap tsunami yang boleh membersihkan ‘sampah sarap’ politik yang sudah merosakkan Malaysia,” katanya dalam sesi temubual bersama Astro Awani hari ini.

    Presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, PN menawarkan sesuatu yang baharu, bertenaga yang realistik serta inklusif untuk dilaksanakan yang menjadi cita-cita sebahagian besar rakyat Malaysia.

    Katanya, jika diberi mandat untuk membentuk kerajaan, PN akan memberi fokus dalam menguruskan krisis ekonomi serta meringankan beban rakyat dengan cepat dan segera.

    “Pentingnya adalah kita berhadapan dengan krisis, kita masih berhadapan soal krisis ‘Post-Pandemic’. Sebab itu bila kita kemukakan tawaran-tawaran itu, jangan pilih parti.

    “Tetapi tengok parti itu boleh buat apa, khususnya untuk menguruskan hal-hal negara dalam tempoh yang cepat,” katanya lagi.

  • PN tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti, kata Muhyiddin

    PN tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti, kata Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) menegaskan sekali lagi tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Tiada kerjasama itu kerana berpegang pada prinsip bahawa PN ada kekuatan sendiri,” tegas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Jelas beliau: “Kenapa nak gabung dengan pihak lain. Berbaki tiga hari lagi PRU yang agak kritikal menjadi penentu.”

    “Saya mengharap atau menjangka akan ada satu bentuk gelombang kesedaran baru di kalangan pengundi terutama pengundi Melayu bahawa kita perlu bertindak sekarang,” ketika ditemubual Sinar Live ‘Cukup-Cukuplah fitnah PN’ di kediamannya di Muar, hari ini.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, jika berlaku satu peningkatan gelombang peratusan sokongan Melayu dan orang Cina meningkat sedikit, PN boleh menang pada PRU-15.

    Beliau berharap sokongan Melayu akan meningkat sehingga 70 peratus kepada PN.

    “Ini kerana dalam PN ada Bersatu dan Pas. Selain Gerakan, ini dua gabungan besar parti politik Melayu dan Islam.

    “Kalau situ tarikan terbesarnya dan kita dapat menarik sekurangnya 70 peratus dan yang sekarang hampir dekat 60 peratus dalam tempoh hari ke depan, saya fikir akan berlaku kawasan yang 50-50 akan ada peningkatan dari situ kita boleh menang,” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, PN tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

    Beliau berkata tujuan PN bertanding pada PRU-15 bagi membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

    Kelmarin, Takiyuddin berkata, kenyataannya berhubung PN dan BN dapat bergabung membentuk kerajaan selepas PRU-15 diambil di luar konteks.

    Katanya, sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan tajuk laporan media juga mengelirukan pengundi.

  • PN akan beri tumpuan kepada golongan anak muda, kata Muhyiddin

    PN akan beri tumpuan kepada golongan anak muda, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin berjanji akan memberi tumpuan kepada golongan anak muda khususnya jika mereka memberi kepercayaan kepadanya untuk mengemudi kerajaan sekali lagi.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perhatian terhadap mereka sudah ada dalam manifesto PN yang diumumkan sebelum ini.

    “Memang banyak memberi penekanan kepada golongan anak muda. Anak muda kalau yakin percaya pada saya, saya berikan perhatian kepada anak muda.

    “Dalam manifesto pun (PN) tawarkan untuk anak muda seperti pekerjaan, bantuan-bantuan kemasukan pengajian tinggi dan rumah mampu milik untuk anak muda.

    “…dan ini antara perkara pertama saya fikirkan anak muda perlu mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan pendapatan yang dapat tampung keluarga mereka,” katanya ketika ditemubual Sinar Live ‘Cukup-Cukuplah fitnah PN’ di kediamannya di Muar, hari ini.

    Tambahnya lagi, anak muda kumpulan terpenting baginya dan berharap mereka dapat membuat keputusan yang tepat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga berharap anak muda tertarik untuk beri sokongan kepada PN pada PRU kali ini.

    Pada 6 November lalu, Muhyiddin melancarkan manifesto gabungannya untuk PRU-15.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, PRU-15 bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main.

    “Bukan kita cuba, tengok macam mana, dan ada juga pihak dalam senarai yang bertanding bukan tak pernah memimpin negara.

    “Semuanya ada, baik parti BN yang lama, PH yang sebelum ini itu dan PN dalam tempoh 17 bulan yang saya memimpin,” katanya.

    Beliau juga berkata, hasil kajian PN sedang melihat ke arah mana ‘trend’ sokongan anak muda pada PRU-15.

    Katanya, peranan anak muda amat penting kerana mereka merupakan satu generasi masa depan.

    “Kalau mereka tidak tunjuk hala tuju yang agak tepat, walaupun mereka ada hak untuk memilih dan hanya memangkah…sebab emosi dan sebagainya mungkin kesannya tidak baik untuk negara.

    “Anak muda jadi penentu. Kalau tidak silap saya, 3.6 juta yang terbaru lagi 18 tahun ke atas jadi pemilihnya,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, ini pertama kali PN bertanding dalam PRU dan gabungan itu telah buktikan apa yang boleh dibuat semasa memerintah negara sebelum ini.

    Katanya, PN memerintah negara dalam keadaan paling susah dan sukar iaitu ketika pandemik Covid-19.

    “Ramai orang mati dijangkiti (Covid-19)…. dan macam-macam lagi. Orang susah tak ada pekerjaan dan tidak boleh niaga.

    “Apa bantuan-bantuan kita telah berikan itu satu petanda bukti kita ada upaya boleh buat untuk nak muda,” katanya.

  • Saya bukan pengkhianat tapi penyelamat-Muhyiddin

    Saya bukan pengkhianat tapi penyelamat-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau bukan pengkhianat seperti yang digelar pemimpin PakatanHarapan (PH) sebaliknya penyelamat terutama ketika negara berdepan pandemik Coivd-19.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, gelaran tersebut diberikan selepas beliau meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan keputusan berkenaan dilakukan kerana tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang memberikan mudarat kepada orang Melayu.

    “Sebab itu saya keluar PH dan dia (pemimpin PH) kata saya pengkhianat, saya bukan pengkhianat tetapi penyelamat negara,” katanya sambil disambut sorakan orang ramai yang hadir dalam Ceramah Kelompok Parlimen Ledang di Tanjung Gading, Tangkak, malam ini.

    Muhyiddin menjelaskan, keputusan meninggalkan PH adalah bagi menyelamatkan hak dan kepentingan orang Melayu, bumiputera serta Islam.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Malaysia bernasib baik kerana diperintah PH selama 22 bulan dan tidak dapat membayangkan apa akan berlaku jika gabungan itu memerintah sehingga 60 bulan.

    Selain ancaman PH terhadap hak dan kepentingan orang Melayu, Muhyiddin juga tidak setuju dengan percubaan DAP menerusi Lim Guan Eng untuk menghapuskan Akta Hasutan semasa beliau berada dalam Kabinet sebagai Menteri dalam Negeri.

    Kata calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh itu, akta tersebut melindungi antaranya raja dan agama supaya tiada pihak akan melakukan sesuka hati seperti mencerca raja atau Islam atau mana-mana agama.

    Dalam pada itu, beliau tidak kisah apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelarkan dirinya sebagai
    ‘Bapa PKP (perintah kawalan pergerakan)’.

    “Dia fikir tindakan saya zalim dan tidak bertanggungjawab (kerana adakan PKP), cuba dia tahu keadaan dan situasi (masa itu). Sebagai Perdana Menteri masa itu, saya berdepan situasi cukup genting, banyak negara kalau tiada tindakan pantas lebih ramai akan alami musibah, (mereka yang dijangkiti Covid-19) akan mati di hospital,” katanya.

    Namun katanya, tindakan itu terbukti tepat termasuk menguatkuasakan PKP lebih-lebih lagi semasa waktu kemuncak pandemik tersebut kira-kira empat juta rakyat Malaysia dijangkiti wabak berkenaan.

    Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, sekiranya PKP tidak dilaksanakan, lebih ramai rakyat yang akan terkorban.

    Sementara itu, beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) amat penting untuk rakyat tentukan nasib mereka dan masa depan negara.

    Justeru beliau menyeru semua pihak terutama anak muda untuk beramai-ramai keluar mengundi pada Sabtu ini dan memilih PN untuk menentukan kerajaan yang akan memerintah untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Muhyiddin juga meminta pengundi membandingkan manifesto PN, PH dan Barisan Nasional (BN) untuk menilai tawaran yang terbaik.

    “Undilah PN bukan BN. Orang Cina jangan takut untuk undi PN. Sebelum ini ada orang Cina yang jumpa saya kata takut nak undi PN kerana dalam PN ada Pas, takut kena potong (Pas laksanakan hukum hudud) tetapi saya sudah jelaskan kepada mereka,” ujarnya.

  • PRU-15: Muhyiddin ulang penegasan PN tidak akan kerjasama mana-mana parti

    PRU-15: Muhyiddin ulang penegasan PN tidak akan kerjasama mana-mana parti

    TAN Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga pengerusi gabunagn itu berkata, tiada kerjasama itu kerana berpegang pada prinsip bahawa PN ada kekuatan sendiri.

    “Kenapa nak gabung dengan pihak lain. Berbaki tiga hari lagi PRU yang agak kritikal menjadi penentu.

    “Saya mengharap atau menjangka akan ada satu bentuk gelombang kesedaran baru di kalangan pengundi terutama pengundi Melayu bahawa kita perlu bertindak sekarang,” katanya ketika ditemubual Sinar Live ‘Cukup-Cukuplah fitnah PN’ hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, jika berlaku satu peningkatan gelombang peratusan sokongan Melayu dan orang Cina meningkat sedikit, PN boleh menang pada PRU-15.

    Beliau berharap sokongan Melayu akan meningkat sehingga 70 peratus kepada PN.

    Ini kerana dalam PN ada Bersatu dan Pas. Selain Gerakan, ini dua gabungan besar parti politik Melayu dan Islam.

    “Kalau situ tarikan terbesarnya dan kita dapat menarik sekurangnya 70 peratus dan yang sekarang hampir dekat 60 peratus dalam tempoh hari ke depan, saya fikir akan berlaku kawasan yang 50-50 akan ada peningkatan dari situ kita boleh menang,” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, PN tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

    Beliau berkata, tujuan PN bertanding pada PRU15 bagi membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

    Pada Selasa, Takiyuddin berkata, kenyataannya berhubung PN dan BN dapat bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15 diambil di luar konteks.

    Katanya, sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan tajuk laporan media juga mengelirukan pengundi.

  • Kembali contohi akhlak, sirah nabi untuk kehidupan sejahtera:Muhyiddin

    Kembali contohi akhlak, sirah nabi untuk kehidupan sejahtera:Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMAT Islam disaran kembali mencontohi peribadi dan akhlak serta menghayati sirah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan mengharungi kehidupan dunia yang semakin mencabar ketika ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini akan menjadikan kehidupan umat Islam lebih sejahtera, bahagia dan tenang.

    “Hari ini banyak masalah dan cabaran umat Islam di negeri kita, bukan sahaja berdepan soal pembangunan insaniah tetapi juga dalam bidang-bidang lain.

    “Apa yang penting untuk kita kembali semula kepada sirah dan perjalanan yang ditunjukkan Rasullullah SAW supaya hidup kita lebih aman, sejahtera dalam keadaan perpaduan yang ditekankan Islam.

    “Ini bagi menentukan umat Islam di negara kita dan juga di seluruh dunia berada dalam satu saf yang kuat dan kukuh, jadi contoh dan teladan kepada bangsa lain di dunia,” katanya.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata demikian ketika berucap dalam Program Pagoh Selawat Malam Cinta Rasul di Kompleks Sukan Pagoh, pekan Pagoh, Muar, malam ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besar Johor.

    Muhyiddin berkata, umat Islam pada masa ini amat dituntut untuk menitikberatkan soal pembentukan akhlak dan budi pekerti.

    Jelasnya, pendidikan di sekolah dan pembangunan akhlak serta sahsiah oleh keluarga terutama ibu bapa akan menjamin masa depan umat Islam yang lebih selamat.

    Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengingatkan mereka yang sudah boleh mengundi supaya menunaikan tanggungjawab tersebut pada Sabtu ini.

    Katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh, pilihan raya umum (PRU) akan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

  • 3 lelaki ditahan bergaduh ketika mabuk

    3 lelaki ditahan bergaduh ketika mabuk

    TIGA lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah premis hiburan di Love Lane, Pulau Pinang Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden pergaduhan itu daripada orang awam kira-kira pukul 3.05 pagi.

    Sebaik sahaja menerima maklumat itu katanya, sekumpulan anggota dari Balai Polis Central bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati berlaku pergaduhan di situ.

    “Polis kemudian menahan tiga lelaki warga tempatan di lokasi kejadian dan suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan semasa tangkapan dilakukan.

    “Kesemua suspek juga disyaki berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial video kejadian pergaduhan membabitkan suspek-suspek tersebut di premis hiburan berkenaan.

    Menurut Soffian, suspek yang ditahan berusia 29 hingga 31 tahun dan semakan mendapati kesemua tangkapan tiada rekod jenayah lampau, namun salah seorang daripada mereka positif dadah.

    Ujarnya, mereka yang berasal dari Pulau Pinang dan Selangor direman tiga hari sehingga semalam dan telah diberi jaminan polis.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

    “Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pertuduhan terhadap kesemua suspek,” katanya.

  • Pelancaran Handbook ‘Valimai’ mendekatkan PN dengan masyarakat India

    Pelancaran Handbook ‘Valimai’ mendekatkan PN dengan masyarakat India

    PERIKATAN Nasional (PN) telah melancarkan satu buku untuk masyarakat India yang berjudul ‘Valimai’ (The Strength) yang menterjemahkan usaha murni bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Penulis buku berkenaan, Puvaniten M. Helan Govan yang juga Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan berkata, konsep ‘Valimai’ ini sebenarnya bermaksud ‘kekuatan dalaman’ dan menterjemahkan usaha yang telah dilaksanakan ketika Muhyiddin memikul tanggungjawab sewaktu Malaysia sedang dilanda pandemik Covid-19. 

    Pengambilan alih pucuk pimpinan tertinggi adalah bukan perkara mudah malah telah ditentukan untuk terus bertahan dan bersabar dengan pelbagai cabaran ketika itu.

    Puvaniten berkata konsep ‘Valimai’ ini bukan sekadar mengumpulkan segala usaha murni pemulihan ekonomi ketika memegang jawatan sebagai Perdana Menteri malah turut mengnengahkan pakej-pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM530 Bilion yang telah diketengahkan sewaktu pandemik Covid-19.

    “Sebenarnya, ‘Valimai’ adalah lebih daripada itu iaitu kekuatan dan keupayaan di dalam tahap penjagaan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di waktu penularan Krisis Wabak Pandemik Covid-19 yang hampir mencecah 2 tahun setengah. 

    “Krisis kesihatan berskala besar seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia apatah lagi untuk kita membandingkan kepimpinan mana-mana Perdana Menteri atau mana-mana ahli politik yang mungkin berkeupayaan untuk mengharungi cabaran ini,” katanya.

    Dalam pada itu menurut Puvaniten, dengan pelancaran Valimai ini, ia juga memberikan sokongan kuat PN terhadap kaum India yang bakal membuka tirai parti itu turut mengambil berat terhadap soal kebajikan kaum India di Malaysia. 

    “Valimai adalah satu penghubung untuk mendekati pemimpin-pemimpin kaum India menerusi ketua-ketua komuniti kaum India. 

    “Slogan ‘Valimai’ adalah fokus utama kerajaan PN untuk mendekati kaum India dengan menekankan usaha-usaha murni beliau terhadap masalah-masalah pembangunan sosio-ekonomi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya, lapor SatuBerita.

    Nescaya, sekiranya PN menang di dalam PRU-15 ini kerajaan pimpinan PN akan sentiasa menjaga kebajikan, kepentingan dan keperluan kaum India. 

    Katanya, PN akan mempertambahbaik Bajet 2023 dengan pelbagai inisiatif khusus untuk masyarakat India seperti yang dibentangkan iaitu peruntukan RM100 juta bagi pembangunan usahawan kaum India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) yang kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan RM25 juta bagi program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi disediakan.

  • Tinjauan badan global dapati Muhyiddin calon PM paling popular

    Tinjauan badan global dapati Muhyiddin calon PM paling popular

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengatasi di kedudukan pertama dalam tinjauan pendapat ketika Datuk Sri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH) berusaha mendapatkan sokongan bagi jawatan nombor satu itu.

    Firma pendapat awam global YouGov meletakkan pengerusi PN itu sebagai calon perdana menteri paling popular dalam kalangan calon gabungan lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beberapa hari sebelum bilangan pengundi terbesar dalam sejarah Malaysia keluar mengundi pada 19 November.

    Tinjauan terbaru YouGov itu berkata, Muhyiddin, yang mengetuai kerajaan Malaysia ketika kemuncak pandemik Covid-19 menerima ‘penerimaan terbaik’ dalam kalangan satu pertiga (33%) pengundi, berbanding tiga pemimpin gabungan lain yang bersaing untuk jawatan tertinggi dalam negara itu.

    Sementara itu, Anwar berada di tempat kedua, dengan 29% penerimaan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pula berada di tempat ketiga dengan 22% responden memberikan pandangan positif terhadap beliau menurut Malaysia Now.

    Sementara itu, pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak menolak mungkin kembali menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, menduduki tempat terakhir dengan 14%.

    Populariti ahli politik veteran itu didapati lebih rendah berbanding Abdul Hadi Awang, walaupun presiden Pas yang bersekutu dengan Muhyiddin tidak menyatakan minat untuk menduduki jawatan tersebut.

    Dapatan YouGov itu dilihat senada dengan tinjaun serupa dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), di mana ia mendapati Muhyiddin adalah tokoh paling dipercayai, diikuti Anwar di tempat kedua.

    Muhyiddin berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama kira-kira 17 bulan, sebelum beliau terpaksa berundur pada Ogos 2021 selepas mendapat tekanan daripada sekumpulan pemimpin UMNO yang bersekutu dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.