TAN Sri Muhyiddin berjanji akan memberi tumpuan kepada golongan anak muda khususnya jika mereka memberi kepercayaan kepadanya untuk mengemudi kerajaan sekali lagi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perhatian terhadap mereka sudah ada dalam manifesto PN yang diumumkan sebelum ini.

“Memang banyak memberi penekanan kepada golongan anak muda. Anak muda kalau yakin percaya pada saya, saya berikan perhatian kepada anak muda.

“Dalam manifesto pun (PN) tawarkan untuk anak muda seperti pekerjaan, bantuan-bantuan kemasukan pengajian tinggi dan rumah mampu milik untuk anak muda.

“…dan ini antara perkara pertama saya fikirkan anak muda perlu mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan pendapatan yang dapat tampung keluarga mereka,” katanya ketika ditemubual Sinar Live ‘Cukup-Cukuplah fitnah PN’ di kediamannya di Muar, hari ini.

Tambahnya lagi, anak muda kumpulan terpenting baginya dan berharap mereka dapat membuat keputusan yang tepat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga berharap anak muda tertarik untuk beri sokongan kepada PN pada PRU kali ini.

Pada 6 November lalu, Muhyiddin melancarkan manifesto gabungannya untuk PRU-15.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PRU-15 bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main.

“Bukan kita cuba, tengok macam mana, dan ada juga pihak dalam senarai yang bertanding bukan tak pernah memimpin negara.

“Semuanya ada, baik parti BN yang lama, PH yang sebelum ini itu dan PN dalam tempoh 17 bulan yang saya memimpin,” katanya.

Beliau juga berkata, hasil kajian PN sedang melihat ke arah mana ‘trend’ sokongan anak muda pada PRU-15.

Katanya, peranan anak muda amat penting kerana mereka merupakan satu generasi masa depan.

“Kalau mereka tidak tunjuk hala tuju yang agak tepat, walaupun mereka ada hak untuk memilih dan hanya memangkah…sebab emosi dan sebagainya mungkin kesannya tidak baik untuk negara.

“Anak muda jadi penentu. Kalau tidak silap saya, 3.6 juta yang terbaru lagi 18 tahun ke atas jadi pemilihnya,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, ini pertama kali PN bertanding dalam PRU dan gabungan itu telah buktikan apa yang boleh dibuat semasa memerintah negara sebelum ini.

Katanya, PN memerintah negara dalam keadaan paling susah dan sukar iaitu ketika pandemik Covid-19.

“Ramai orang mati dijangkiti (Covid-19)…. dan macam-macam lagi. Orang susah tak ada pekerjaan dan tidak boleh niaga.

“Apa bantuan-bantuan kita telah berikan itu satu petanda bukti kita ada upaya boleh buat untuk nak muda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here