Category: Semasa

  • PRU-15:PH pengkhianat, BN rasuah jadi pilih PN, kata Muhyiddin

    PRU-15:PH pengkhianat, BN rasuah jadi pilih PN, kata Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa pemimpin Pakatan Harapan (PH) adalah pengkhianat negara kerana cuba merungkai dan melakukan tindakan yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini boleh dibuktikan semasa PH memerintah negara selama 22 bulan apabila terutama cuba menyentuh hak, keistimewaan dan kepentingan orang Melayu.

    Beliau menentang dasar-dasar utama dalam PH dan amat tidak bersetuju dengan dua pemimpin utamanya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Lim Guan Eng daripada DAP serta bekas Menteri Kewangan.

    Katanya, semasa Guan Eng berada dalam kerajaan Persekutuan ditadbir PH pernah meminta supaya Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) ditutup dan dana pusingannya yang bernilai RM2.4 bilion diambil Kementerian Kewangan.

    “Saya bercakap ini bukan kerana perkauman tetapi ini fakta. Orang Melayu sudah lama tidak bersetuju dengan Lim Guan Eng dan DAP kerana tidak menghormati Perlembagaan, kedudukan agama Islam dan tidak menghormati hak-hak orang Melayu dan bahasa Melayu.

    “Ini perkara serius. Kalau nak jadi pemimpin kita kena hormat Perlembagaan negara, kedudukan agama Islam, hak Melayu dan hak kaum lain,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Perdana PN Best di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, malam ini.

    Turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Muhyiddin berkata, Guan Eng bukan sahaja mahu menarik peruntukan Ekuinas tetapi juga tidak mahu memberikan peruntukan kepada Universiti Antarabangsa UNITAR yang ditubuhkan oleh orang Cina sendiri.

    “Jadi saya bukan pengkhianat seperti yang mereka tuduh, pengkhianat adalah mereka, saya tidak khianat kepada siapa-siapa,” katanya dan meminta rakyat menolak PH dalam PRU-15.

    Calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh itu berkata, rakyat juga perlu menolak Barisan Nasional (BN) pada PRU kali ini kerana gabungan tersebut terutama UMNO sudah rosak teruk.

    Ujarnya, UMNO dan BN dikaitkan dengan rasuah yang berleluasa dan amalan tersebut kini sudah menjadi DNA parti dan gabungan tersebut sejak dahulu dan akan mengakibatkan negara binasa.

    “Negara akan rosak kalau dipilih lagi menjadi menerajui negara, jangan bagi satu undi pun kepada perasuah dan penjenayah. Perkara ini dinyatakan dan diakui sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

    Jelasnya, dalam satu program baru-baru ini Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin-pemimpin utama BN supaya berjaga-jaga dan jika gabungan itu kalah semuanya akan diheret ke mahkamah.

    Justeru kata beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PH dan BN perlu ditolak pada PRU-15 dan pilihan utama rakyat ketika ini adalah PN yang menawarkan kerajaan bersih, stabil, prihatin serta bertanggungjawab.

    Beliau berharap gelombang sokongan rakyat terhadap PN ketika ini akan terus bertambah sehingga hari mengundi pada Sabtu ini.

    “PRU ini amat penting, jadi saya mahu semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab, keluar undi beramai-ramai dan akan ubah negara kita pada 19 November ini dengan memilih PN untuk tadbir negara di Putrajaya,” katanya.

  • Tiga jajahan di Kelantan dikenal pasti miliki unsur nadir bumi

    Tiga jajahan di Kelantan dikenal pasti miliki unsur nadir bumi

    JAJAHAN Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang di negeri ini dikenal pasti berpotensi mempunyai unsur nadir bumi berjumlah 2.56 juta tan dengan nilai RM125 bilion sekali gus bakal memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata mengikut kajian awal, nadir bumi bukan radioaktif itu paling banyak ditemukan di Aring, Gua Musang dengan keluasan 100,000 hektar manakala di Stong, Batu Melintang di Jeli dan Tanah Merah masing-masing seluas 80,000 dan 25,000 hektar.

    “Setakat ini, prosedur operasi standard untuk mencari sumber nadir bumi sudah siap dan proses seterusnya akan dilaksanakan selepas perbincangan bersama kerajaan negeri selain melakukan beberapa persediaan termasuk tender dan mengeluarkan permit sebelum pengeluaran bahan mineral itu. 

    “KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) melalui Jabatan Mineral dan Geosains akan memberi khidmat nasihat bagi membolehkan kelancaran prosedur seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Stong Geopark Kebangsaan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Takiyuddin berkata Stong Geopark menerima pengiktirafan sebagai geopark kebangsaan kelapan di Malaysia kerana mempunyai 25 geotapak dengan empat daripadanya mempunyai nilai kepentingan bertaraf antarabangsa.

    “Kerajaan sasarkan setiap negeri mempunyai satu geopark yang diktiraf di peringkat kebangsaan. 

    “Geopark adalah satu konsep atau kaedah pembangunan sesebuah wilayah dan membangunkan ekonomi masyarakat melalui pelbagai produk dan perkhidmatan geopelancongan,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad berkata pengiktirafan itu mampu meningkatkan pertumbuhan sektor ekonomi pelancongan Kelantan dan memastikan Stong Geopark dapat dibangunkan secara mampan dan holistik khusus kepada masyarakat setempat. – BERNAMA

    Takiyuddin, nadir bumi, Stong Geopark,KeTSA

  • Bersatu Batu Pahat nafi 30 bekas ahli sertai UMNO

    Bersatu Batu Pahat nafi 30 bekas ahli sertai UMNO

    KETUA Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Batu Pahat, Syed Mohammad Syed Alwi menafikan dakwaan seramai 30 bekas ahli parti itu menyertai UMNO.

    Dakwaan itu dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Seri Dr. Puad Zarkashi di Facebooknya pada semalam.

    Syed Mohammad berkata, hakikatnya hanya beberapa ahli Bersatu yang keluar menyertai UMNO.

    “Taktik murahan sebegini memang telah kita jangkakan. Serangan demi serangan kepada saya dan kepimpinan Bersatu Batu Pahat terus dibuat secara berterusan menjelang hari pembuangan undi pada 19 November ini,” katanya ketika sidang akhbar hari ini.

    Semalam, Puad membuat kenyataan di Facebooknya dan mendakwa menerima borang permohonan keahlian UMNO oleh 30 bekas ahli Bersatu.

    Puad berkata, ahli Bersatu yang keluar parti itu juga menubuhkan cawangan baharu iaitu UMNO Puncak Impian.

    Sementara itu, Syed Mohammad berkata, ahli-ahli cawangan dan bahagian Bersatu di Batu Pahat akan terus berdiri kukuh dibawah kepimpinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Rashid Hasnon.

    “Saya juga ingin memaklumkan bahawa Bersatu Batu Pahat bersetuju menubuhkan cawangan penaja Banang Jaya dan melantik Mohd. Hanafi Yusof sebagai Ketua Cawangan Penaja berkuat kuasa serta-merta selain mengekalkan ahli jawatankuasa dari Kampung Rahmat sebagai Jawatankuasa Penaja.

    “Selain itu, semua ahli jawatankuasa cawangan tersebut telah menyatakan untuk memberi sokongan penuh kepada Bersatu Batu Pahat dan calon PN Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon,” katanya.

  • Skuad prihatin Bersatu sedia bantu mangsa banjir ketika hari mengundi

    Skuad prihatin Bersatu sedia bantu mangsa banjir ketika hari mengundi

    SKUAD Prihatin Bersatu sedia membantu dan membawa mangsa banjir termasuk dari pusat pemindahan sementara ke pusat pengundian bagi melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

    Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata skuad itu, yang dilancar pada Oktober lepas, ditubuhkan bagi mengatur gerak aset dan sukarelawan misi bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

    “Itu tugas jentera kita, angkut keluar mengundi, kita angkut, tak ada masalah. Dalam kita menghadapi PRU15, saya juga mengarahkan supaya jentera kita ini menguruskan soal pemindahan, bantuan makanan, keperluan lain, lampin pakai buang dan sebagainya.

    “Jawatankuasa di bawah pimpinan Mohd Rafiq Mohd Abdullah (Anggota Majlis Tertinggi Bersatu) akan menguruskan perkara ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Jawa di Lenga di sini hari ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung keputusan untuk menghentikan PRU15 sekiranya berlaku banjir besar. – BERNAMA 

  • Kematian calon, pilihan raya di Padang Serai ditangguh

    Kematian calon, pilihan raya di Padang Serai ditangguh

    PENGUNDIAN di Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas pegawai pengurus (RO) memulangkan writ kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti diwajibkan sekiranya pengundian di mana-mana kerusi tidak dapat diteruskan selepas penamaan calon.

    Free Malaysia Today yang memetik sumber sebagai berkata, writ pilihan raya dipulangkan hari ini, yang bermakna pengundian bagi kerusi itu perlu ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditetapkan SPR.

    SPR akan bermesyuarat esok untuk mengumumkan tarikh baharu bagi penamaan calon dan hari mengundi, susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya semalam.

    Mengikut Peraturan 11(6) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, SPR boleh mengumumkan pilihan raya kecil (PRK) pada tarikh lain, sekiranya calon meninggal dunia.

    Ini hanya boleh dilakukan selepas RO mengendors alasan pilihan raya tidak dapat diadakan, seterusnya memulangkan writ itu kepada SPR.

    Sementara itu, semakan pengundi Padang Serai di portal MySemak SPR menunjukkan pilihan raya ditangguhkan susulan kematian calon.

    FMT menghubungi beberapa pengundi yang mengesahkan menerima makluman menyatakan: “Pilihan raya umum ke-15 bagi P.017 Padang Serai ditangguhkan kerana kematian calon.”

    Dua pengundi yang sudah membuang undi pada Selasa lalu turut menerima makluman sama, ketika membuat pemeriksaan di MySemak.

    Terdahulu, Azalina Othman Said yang juga bekas menteri undang-undang berkata, pengundian tetap boleh diteruskan di Padang Serai kerana undian awal sudah diadakan pada 7 dan 15 Nov lalu bagi anggota polis, tentera serta pasangan mereka.

    Kebanyakan petugas SPR serta kakitangan kerajaan yang bakal bertugas di pusat mengundi pada Sabtu ini juga telah menyertai proses pengundian awal.

    Mengulas kenyataan Azalina, Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pandangan berkenaan “tidak munasabah dan salah dari segi prinsip undang-undang”.

    Beliau menganggap kenyataan Azalina tidak wajar kerana menafikan hak pengundi Padang Serai untuk memilih calon pilihan mereka, serta pilihan PH untuk meletakkan calon.

    Ketika dihubungi FMT, calon BN di Padang Serai, C Sivarraajh berkata, belum ada makluman rasmi dan beliau menunggu kenyataan rasmi daripada SPR.

  • PN pasti tunai janji untuk jaga nama baik hadapi PRU lima tahun lagi

    PN pasti tunai janji untuk jaga nama baik hadapi PRU lima tahun lagi

    PERIKATAN Nasional (PN) adalah gabungan baharu parti politik yang pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU), walaupun pernah memerintah negara selama 17 bulan tatkala pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020 lalu.

    Ketika krisis dalaman Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara selepas menang PRU 2018, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi parti sekutu PH menarik diri kerana tidak tahan dengan kerenah parti komponen PH, DAP.

    Bersatu membentuk Perikatan Nasional bersama Pas, SAPP dan Star sebelum turut disertai parti berbilang kaum, Gerakan, yang kemudian menubuhkan kerajaan dengan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Februari 2020.

    Untuk menghadapi PRU-15, Sabtu ini, PN seperti juga parti lain menawarkan manifesto ‘PN BEST’ merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran.

    Ia digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka termasuk isu ekonomi dan kos sara hidup.

    PN BEST meliputi 12 tunjang iaitu:

    Membina Ekonomi Masa Hadapan;
    Meningkatkan Nilai dan Taraf Hidup Rakyat;
    Membersihkan Politik dan Tadbir Urus;
    Mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan Semua Kaum;
    Merapatkan Jurang Pembangunan Antara Wilayah;
    Melestarikan Alam Sekitar dan Merancakkan Pelancongan;
    Memperkasa Belia dan Mensejahterakan Keluarga Muda;
    Mengoptimumkan Potensi Wanita;
    Membina Warga Emas Yang Sejahtera;
    Memperkasa Orang Kelainan Upaya (Oku);
    Memperkasa Generasi Felda; dan
    Mentransformasi Petani, Penternak, Nelayan Dan Pekebun Kecil.

    Pengundi seramai lebih 21.17 juta sudah tentu menilai semua tawaran dan janji yang dibuat oleh parti-parti bertanding kali ini.

    Barisan Nasional (BN) yang setiap kali PRU diadakan sejak negara merdeka sentiasa menyertainya dan menawarkan pelbagai janji. Demikian juga PH di mana anggota komponennya terutama DAP dan PKR telah telah lama menyertai PRU dan menawarkan manifesto mereka.

    Memang diakui banyak juga janji yang dibuat oleh BN telah ditunaikan. Namun, skandal, rasuah dan penyelewengan wang yang melibatkan pemimpin tertingginya yang terbongkar selepas kalah PRU 2018. Oleh itu, pengundi perlu berfikir; Adakah wajar atau tidak, memilih BN yang tidak stabil dan bergelumang rasuah serta penyelewengan untuk memerintah negara?

    Manifesto ‘Kemakmuran dan Kestabilan’ hanya menjadi halwa telinga, sedang hakikatnya UMNO yang mengetuai BN sudah berpecah-belah. Jika di dalam UMNO sendiri sudah tidak stabil, bagaimana parti itu boleh menjadikan negara stabil.

    Demikian pula, tawaran PH. Selepas mengecap kemenangan pada 2018, apa yang dijanjikan tidak dilaksanakan sehingga pentadbiran parti itu dilihat lebih menekan rakyat. Pastinya rakyat Malaysia akan ingat kepada ungkapan ‘manifesto bukan kitab suci’.

    Selain itu ada juga dalam kalangan pemimpin PH yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan. Justeru, adakah pengundi akan memilih parti yang tidak menepati janji dan terlibat dengan rasuah untuk menjadi pemerintah?

    Namun, mengambil kira bahawa ini adalah kali pertama PN menyertai PRU, dan demi jangka hayat politik gabungan itu pada masa depan, sudah pasti parti berkenaan akan melaksanakan semua tawaran yang dijanjikan dalam tempoh lima tahun mentadbir.

    Semua tawaran di dalam manifesto PN BEST itu, pastinya akan dilaksanakan demi menjaga nama baik PN supaya menjelang PRU Ke-16, gabungan berkenaan akan diberi kepercayaan untuk terus memerintah.

    Justeru, PN yang menawarkan calon-calon yang bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sepatutnya menjadi pilihan pengundi pada 19 November 2022 ini.

    Buktikan, bahawa rakyat Malaysia boleh membentuk sebuah kerajaan yang paling bersih.

    Buktikan kepada dunia anda mampu melakukan perubahan dengan memilih gabungan politik yang telah terbukti mampu mentadbir negara walaupun ketika dunia berdepan krisis paling hebat – pandemik Covid-19.

    Yang penting anda bukan pendosa yang menyebabkan negara musnah di tangan perasuah dan pemimpin yang tidak amanah.

    Anda yang melakukan perubahan untuk diri anda dan masa depan anak, cucu anda sendiri. – Ketua Pengarang Agenda Daily

  • PRU-15:Calon PN umum empat tawaran baharu untuk Simpang Renggam

    PRU-15:Calon PN umum empat tawaran baharu untuk Simpang Renggam

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Simpang Renggam, Mohd. Fazrul Kamat mengumumkan empat tawaran baharu sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

    “Tawaran ini tidak diberitahu sebelum ini dan diumumkan dalam masa berbaki dua hari sebelum tamat tempoh berkempen,” katanya.

    Jelas beliau, empat tawaran baharu itu segaja dilewatkan untuk dimaklumkan sebagai usaha terakhir memikat pengundi selepas melihat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.

    “Perkara utama yang menjadi taruhan adalah ingin membawa suara Simpang Renggam dan peranan di Dewan Rakyat dengan menubuhkan jawatankuasa khas mengumpulkan kepakaran tempatan, pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan untuk membincangkan dan membawa isu setempat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen di pekan Simpang Renggam di Kluang, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada PRU-15, Mohd Fazrul akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik, calon BN, Datuk Seri Hasni Mohammad dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Kamal Kusmin.

    Katanya, tawaran itu bertujuan membawa isu setempat ke Dewan Rakyat untuk perhatian segera selain membincangkan polisi dan dasar nasional di peringkat kebangsaan yang terkait secara langsung dengan kehidupan orang-orang Simpang Renggam.

    “Tawaran kedua adalah membangun dan memperkasakan ekonomi penduduk setempat dengan menjadikan Simpang Renggam sebagai hab ekonomi digital luar bandar yang memfokuskan produk asas tani, buatan sendiri dan produk makanan,” ujarnya.

    Anak jati Kampung Perak di Machap, Kluang itu juga menawarkan Simpang Renggam sebagai Parlimen yang prihatin, berkebajikan dan membela.

    Ujarnya, melalui tawaran itu juga akan memperkenalkan kupon barangan asas makanan sebagai strategi serampang dua mata iaitu memperkasakan perniagaan runcit tempatan dan membantu golongan kurang berkemampuan.

    Sementara tawaran terakhir katanya, adalah kebajikan untuk anak muda tempatan dengan menyediakan hab premis perniagaan dengan konsep gerai pihak berkuasa tempatan dan memfokuskan bidang kemahiran melalui kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

    “Saya tidak akan menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan kerana tidak mahu masyarakat setempat terjerat dengan janji yang tidak tertunai yang secara tidak langsung memberikan kesan pada perkhidmatan saya nanti,” katanya.

    Beliau amat berharap, lebih ramai lagi masyarakat setempat memberikan sokongan kepadanya agar dapat menjadi anak tempatan pertama berkhidmat sebagai wakil suara rakyat di Simpang Renggam.

  • PRU-15: Trafik lebuh raya utama negara mulai perlahan, sesak

    PRU-15: Trafik lebuh raya utama negara mulai perlahan, sesak

    ALIRAN trafik di lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan ekoran pertambahan bilangan kenderaan yang bergerak menuju ke destinasi pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

    Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan ketara petang tadi dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) hala utara iaitu dari Sungai Buloh ke Rawang iaitu sepanjang 10 kilometer (km), Tanjung Malim ke Behrang, Sungkai ke Bidor, Tapah ke Gopeng dan Juru Auto City ke Perai.

    Laluan menghala ke Pantai Timur pula dilaporkan sesak bermula dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah sejauh 19 km, Bukit Tinggi ke Lentang, dan keadaan trafik sama turut dilaporkan berlaku selepas Bentong Timur ke Karak.

    Laluan menghala ke selatan iaitu dari Nilai ke Bandar Ainsdale pula trafik dilaporkan perlahan kerana berlakunya kemalangan di KM 269.0, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak, Jalan Duta dan Sungai Besi menghala keluar dari ibu negara mendapati jumlah kenderaan semakin meningkat menyebabkan trafik bergerak perlahan.

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter melalui www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1800-88-7752 serta laman Twitter www.twitter.com/llminfotrafik.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 Nov bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15. – BERNAMA

    aliran trafik, sesak, perlahan, PRU15, lebuh raya

  • Ulama ajak sokong PN elak kumpulan ancam Islam

    Ulama ajak sokong PN elak kumpulan ancam Islam

    ULAMA dari Pusat Pengajian Pondok terkenal di Kelantan berharap pengundi membuat pilihan terbaik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini bagi mengelakkan peristiwa 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) berulang.

    Pengerusi Madrasah Diniah Bakriah Pasir Tumboh, Abdul Halim Derani berkata, PH mengamalkan pemerintahan lebih liberal yang menjadi ancaman besar kepada umat Islam.

    Oleh itu kata beliau, umat Islam yang layak mengundi dinasihat memilih Perikatan Nasional (PN) yang lebih ‘ringan’ kemaslahatan berbanding PH dan Barisan Nasional (BN).

    “Parti mana-mana pun ada salahnya dan silapnya cuma hendaklah kita pilih mana-mana yang lebih baik daripada yang baik, kurang mudarat kepada Islam.

    “Keburukan itu ada sedikit sebanyak dan kita cari keburukan sikit dan kebaikan itu lebih banyak dari sudut Islam,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Abdul Halim yang juga Pengerusi Jemaah Tadbir Pondok Pasir Tumboh berkata, proses pemilihan pemimpin melalui pilihan raya perlu diikuti oleh semua warga negara yang layak.

    Menurutnya, buat masa sekarang hanya satu gabungan sahaja yang dilihat mampu mengemudi pentadbiran negara selepas 19 November ini iaitu PN.

    Kata beliau juga PAS pula berjaya mentadbir Kelantan sejak 32 tahun lalu kemudian melebarkan kekuatan ke Kedah dan Terengganu, membuktikan kerajaan negeri terbabit bebas daripada sebarang rasuah.

    Jelas beliau juga mengundi bukan hanya memberi manfaat di atas dunia sahaja, malah ia akan dipertanggungjawab di akhirat kelak jika tidak ditunai dengan sempurna.

    “Oleh itu saya harap semua umat Islam memberi sokongan penuh kepada PN supaya negara kita selamat daripada anasir yang mengancam agama Islam dan penganutnya.

    “Setiap kita hendaklah mengundi jika layak, ingat kita bukan sekadar buang undi selesai dunia sahaja, bahkan apa yang kita undi ada kaitan di akhirat,” katanya

  • JKM giat kenal pasti PPS tambahan-Rina

    JKM giat kenal pasti PPS tambahan-Rina

    JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) giat mencari inisiatif untuk mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) tambahan bagi menempatkan mangsa banjir di seluruh negara.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, setakat ini terdapat 6,010 PPS dikenal pasti dan daripada jumlah itu kira-kira 2,100 adalah pusat pembuangan undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata, selain Selangor, enam negeri lain terjejas banjir iaitu Pulau Pinang, Kedah, Johor, Melaka, Perak dan Kelantan.

    “Dianggarkan kira-kira 3,000 pegawai dan anggota JKM akan ditempatkan di lapangan (lokasi banjir).

    “Terdapat empat PPS di Sepang telah dibuka yang kini menempatkan 120 keluarga dan ini tidak termasuk penduduk kampung Orang Asli.

    “Pihak JKM terus buat persiapan untuk kemungkinan mangsa banjir lain terlibat.

    “Setakat ini khemah adalah mencukupi namun berdepan kekangan akibat tempat (PPS) dan usaha mengesan PPS lain terus dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Komuniti Pekan Dengkil di Sepang, hari ini.

    Beliau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Sepang sebelum itu hadir ke dewan terbabit yang dijadikan sebagai PPS bagi menyantuni mangsa banjir di Dengkil.

    Sementara itu, Rina yakin dengan sambutan pengundi yang positif dan harap ia dapat diterjemahkan pada hari mengundi Sabtu ini.

    “Saya serahkan kepada rakyat Sepang untuk teruskan usaha yang telah kita mulakan dan laksanakan. Saya perlukan mandat ini untuk meningkatkan tahap pendidikan, ekonomi dan pembangunan infrastruktur,” jelasnya, lapor Sinar Harian.