CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu secara positif akur dengan kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau yang mesra dengan panggilan Peja itu turut menegaskan akan terus berjuang dalam arena politik negara.
Penyandang kerusi Parlimen itu turut memberi bayangan akan kembali semula dengan tekad yang lebih kuat pada masa akan datang.
“Terima kasih warga Tambun yang sudah menjalankan tanggungjawab anda untuk mengundi. Semoga Tambun terus maju bersama Ahli Parlimen baharu.
“Perjuangan ini tidak akan terhenti di sini. Semoga kita bertemu kembali. We will come back stronger! (Kita akan kembali dengan lebih kuat). Insya-Allah,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini, lapor Utusan TV.
Ahmad Faizal tewas kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan 49,625 undi dalam persaingan sengit.
Ahmad Faizal selaku penyandang kerusi, memperoleh 45,889 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md. Hanafiah, mendapat 28,140 dan calon PEJUANG, Abdul Rahim Tahir meraih 1,115 undi.
AHLI Parlimen Kuala Terengganu yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Amzad Hashim, akui terkejut selain tidak menduga memperoleh majoriti lebih besar hampir menyamai majoriti Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendapat 41,729.
Penyandang kerusi Parlimen itu daripada Pas yang mendapat majoriti 40,907 juga terharu dengan sokongan padu pengundi yang disifatkan sebagai ‘tsunami’ dalam ‘pertempuran’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam.
Justeru dengan kemenangan jauh lebih besar berbanding dalam PRU14 pada 2018, bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berazam untuk menunaikan harapan yang diberikan pengundi.
“Sejujurnya saya tidak menyangka kemenangan begitu besar dalam PRU-15 ini, saya hanya menjangkakan kemenangan sekitar 20,000 sahaja menerusi tinjauan, selain dapat merasakan kemenangan dengan majoriti sekitar itu sebelum PRU15 ini.
“Tapi saya tak jangka sehingga 40,000 lebih, ini bagaikan ‘tsunami’. Faktor kemenangan besar mungkin dari segi peranan yang saya lakukan seperti gerak kerja kebajikan dan pembangunan sampai ke sasaran.
“Ini menunjukkan peranan yang berkesan, selain itu mungkin peranan saya sebelum ini sebagai timbalan menteri di peringkat Pusat selain bantuan media sosial sekarang,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Ketika ditanya faktor berjaya menumpaskan dua nama besar iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Mohd. Zubir Embong daripada Barisan Nasional (BN), beliau mengakui terkejut dengan kejayaan itu.
“Ini kejutan kali kedua saya sebenarnya, sebab pada PRU-14 sebelum ini saya berdepan dengan nama besar juga, ketika itu saya juga terkejut selepas mendapat majoriti 14,773.
“Dalam PRU-15 ini sekali lagi saya berdepan dengan nama besar dan menang lagi besar, saya berpandangan ia satu gambaran tentang harapan rakyat supaya saya lebih berperanan lagi untuk kepentingan negara, negeri serta kawasan Parlimen Kuala Terengganu ini.
“Saya akan cuba sedaya upaya menunaikan harapan yang telah diberikan oleh pengundi, terima kasih kepada semua pengundi di Parlimen Kuala Terengganu yang telah memilih saya sebagai pemimpin,” katanya lapor BH Online.
Ahmad Amzad diumumkan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016, manakala Raja Kamarul Bahri dengan 10,946 undi dan Mohd Zubir (22,109 undi), selain muka baharu calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi).
Pada PRU-14 lalu, Ahmad Amzad menang dengan majoriti 14,773 undi selepas memperoleh 42,988 undi.
“Janji insyaAllah akan ditepati,” itu jawapan ringkas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Beliau diajukan soalan mengenai janjinya untuk menyembelih 20 ekor lembu sekiranya calon Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi mendapat majoriti 20,000 undi.
Beliau menjawab soalan itu melalui aplikasi WhatsApp kepada Harakahdaily malam tadi.
Sebelum ini ketika menyampaikan ceramah memperkenalkan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tumpat, beliau antara lain menyebut akan mengorbankan 20 ekor lembu sekiranya Mumtaz memperolehi majoriti 20,000 undi.
Ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan secara spontan itu diikuti laungan takbir hadirin, ketika menyampaikan ceramah di Padang Puteri Saadong Wakaf Bharu.
Pada malam itu juga Mohd Amar mengingatkan calon UMNO tanpa menyebut nama dalam ceramahnya itu supaya tidak lagi mengakui sebagai orang Pas.
Mumtaz berjaya memperolehi majoriti sebanyak 34,793 undi setelah memperolehi undi 65,426 undi jauh meninggalkan lawannya dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Putra.
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi digesa berundur secara terhormat bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Ismail Sabri menerajui parti itu ekoran kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, gesaan itu bagi mempercepatkan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan Pusat.
Menurutnya, gabungan berasaskan pembentukan politik lebih stabil itu perlu berlaku serta-merta.
“Esok (Ahad) ada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Biro Politik, jadi saya rasa mereka patut meminta Ahmad Zahid berhenti secara terhormat.
“Dulu pada 2018, beliau telah meminta Datuk Seri Najib Razak (ketika itu Presiden UMNO) undur diri sewaktu BN kalah.
“Najib undur diri. Dan pada kali ini, MKT patut minta Ahmad Zahid undur diri. Dia masih ahli Parlimen dan teruskanlah menyokong parti,” katanya di Kompleks Pas Perlis, awal pagi ini.
Pada PRU15, Shahidan memperoleh kemenangan yang membanggakan apabila menewaskan calon BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie dengan majoriti sebanyak 23,216 undi.
Shahidan memberitahu, UMNO di bawah kepimpinan Ismail Sabri dilihat akan membawa kepada hasil perbincangan yang lebih baik antara PN, BN dan GPS.
“Saya tidak mahu kata lebih-lebih kepada Ahmad Zahid, cuma minta beliau bagi peluang kepada Ismail Sabri untuk memangku kepimpinan UMNO bagi mendapatkan hasil perbincangan lebih baik.
“Wadah perjuangan UMNO untuk orang Melayu sama dengan PN. Yang lain-lain itu, tunggulah. Kita nak berkawan balik (dengan BN), kalau tidak kita susah nak tubuh kerajaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Shahidan menyifatkan kemenangan PN di Perlis adalah satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul gabungan tersebut.
“Bagaimanapun saya yakin PN akan menjadi kerajaan (negeri) yang baik. Muka-muka segar dalam PN akan membawa pembaharuan kepada pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya lapor Sinar Harian.
ASTRO Awani menafikan penularan mesej yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri baharu susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Mesej yang ditularkan itu merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan tiada sebarang kaitan dengan pungutan suara yang dibuat oleh Astro Awani menerusi capaian undi.astroawani.com sempena PRU15.
Sehubungan itu, semua pihak diminta agar tidak terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej palsu yang disebarkan golongan tidak bertanggungjawab.
Pungutan suara #SuaraMalaysia itu mula dilancarkan Astro Awani pada 17 Oktober lalu.
Soalan-soalan yang dikemukakan diakses melalui imbasan kod di Saluran 501, platform digital dan media sosial Astro Awani.
ISTANA Negara telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung semalam, daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 1.15 petang, hari ini.
Istana Negara menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan memaklumkan, dokumen yang dikemukakan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
“Sehubungan dengan itu, menjunjung titah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti antara parti-parti politik/gabungan parti-parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.
“Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum pukul 2 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.
“Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.
Menurut Datuk Fadil lagi, baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.
“Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.
“Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” ujarnya, lapor Astro Awani.
BEKAS Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti melanggar janji mengenai kuota calon daripada Wanita UMNO untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) dan Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita UMNO itu berkata, hati sayap berkenaan dan Barisan Nasional (BN) yang setia dan kuat bekerja, hancur dengan pelanggaran janji itu.
“Presiden dan MKT berjanji 30 peratus calon wanita untuk PRU15, tetapi janji dilanggari. Hancur hati Wanita UMNO/ BN yang setia dan kuat bekerja. #maruahWanitaUMNO? #JAWAB!!,” tulisnya melalui hantaran di Facebook, hari ini, lapor BH Online.
Sebelum hari penamaan calon pada 5 November lalu, Mastura turut mengemukakan isu yang sama di Facebook beliau selepas namanya tidak dicalonkan bertanding mana-mana kerusi pada PRU-15.
Menerusi hantaran terdahulu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu menulis: “Janji 30 peratus calon Wanita?? (Namun) Tak seorang pun Wanita UMNO dicalonkan untuk kerusi Parlimen di negeri Perak dan Negeri Sembilan.”
Bagaimanapun semakan mendapati hantaran sebelum ini sudah dipadamkan dari Facebook yang dikendalikan oleh Mastura.
Beliau juga sebelum ini dilihat berkongsi kenyataan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menyambut baik keputusan MKT UMNO bersetuju meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada PRU-15.
Mastura, 61, antara beberapa nama dalam Kabinet sebelum ini yang digugurkan sebagai calon PRU15 dengan tempatnya di Kuala Kangsar digantikan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Maslin Sham Razman, yang tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15, semalam.
PRU15 semalam menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
Daripada 220 kerusi dipertandingkan pada PRU semalam, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi,
PN juga membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Barisan Nasional (BN) pula mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya menang 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.
GPS menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lalu; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi.
Kerusi Parlimen Kota Marudu di Sabah dimenangi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) melalui Datuk Wetrom Bahanda dengan majoriti 8,174 undi, manakala Gerakan Tanah Air (GTA) gagal memenangi sebarang kerusi.
Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan kepada 7 Disember selepas calon PH, yang juga penyandang kerusi, M. Karupaiya meninggal dunia pada 16 November.
Pengundian di 11 pusat pengundian di kawasan Parlimen Baram di Sarawak digantung berikutan cuaca buruk menyebabkan petugasnya tidak dapat ke pusat berkenaan.
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur secara terhormat susulan kegagalan parti itu meraih kemenangan di banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata, biar kepemimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti, termasuk bergabung dengan parti lain bagi membentuk kerajaan.
Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu memutuskan gabungan mana yang mahu disertai untuk membentuk kerajaan, bukannya bersandar keputusan individu atau kelompok saja.
“Benar, ada konsep ‘collective responsibility’ dalam sesuatu kegagalan. Benar, UMNO perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 (kerusi Parlimen) di PRU15. Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh MKT, bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja.
“Tetapi, sebelum parti hendak bincang atau buat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu. Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi).
“Iaitu, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan pemimpin nombor satu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini, berundur secara terhormat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO.
“Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar. Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. ‘This is not the end’,” katanya.
Shahril yang juga calon di kerusi Parlimen Alor Gajah tewas pada PRU15 dalam persaingan empat penjuru apabila memperoleh 27,288 undi, di belakang Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari yang meraih 28,178 undi.
Dua lagi pencabar Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dari Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17,211 undi dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (PEJUANG) 323 undi.
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta berundur secara bermaruah berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam.
EXCO Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris, berkata kekalahan BN lebih teruk berbanding PRU14.
Katanya, Ahmad Zahid yang turut mengekalkan kemenangan di Parlimen Bagan Datuk pada PRU semalam perlu bertanggungjawab atas kekalahan itu.
“Baik-baik jadi kerajaan, dia (Ahmad Zahid) sibuk desak agar PRU-15 diadakan segera dan ditambah dengan strategi yang menjahanamkan kawasan putih BN.
“Pengerusi BN itu perlu terima hakikat bahawa kekalahan teruk dialami parti membuktikan bahawa rakyat tidak suka kepada Ahmad Zahid, tetapi pentaksub kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih tidak mahu menerima kenyataan,” katanya melalui kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.
Pada PRU15 BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi Parlimen, manakala PN menerusi tiket Pas menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan.
Najmil Faiz berkata, kekalahan teruk BN itu membuktikan UMNO menjadi korban disebabkan tindakan pemimpin yang menjadikan parti sebagai tebusan.
“Kita kecewa dan sedih kerana segala kebaikan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah tidak bermakna di mata rakyat.
“Kekalahan teruk itu membuktikan rakyat tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pemimpin yang rakus dan ego,” katanya lapor BH Online.
Najmil Faiz berkata, pemimpin parti yang mengeluarkan kenyataan untuk memberi pandangan dituduh sebagai pengkhianat.
“Ke manakah hala tuju BN selepas ini dan adakah akan menyertai Jajaran Baharu bersama PN dan PH…?
“Berundurlah wahai Ahmad Zahid dengan bermaruah supaya tiada ruang untuk kerjasama UMNO dan PH,” katanya.
TSUNAMI politik golongan muda mencetuskan gelombang perubahan di Terengganu sehingga membolehkan kesemua calon Perikatan Nasional (PN) memenangi lapan kerusi Parlimen yang ditandingi dengan jumlah majoriti besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, golongan itu membawa mesej mahukan perubahan pentadbiran ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang stabil dan bersih.
“Kemenangan besar PN di Terengganu disebabkan tsunami orang muda yang terkesan dengan salah guna kuasa diamalkan kepimpinan UMNO dan BN di samping mahukan beberapa perubahan yang perlu diambil tindakan oleh parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya.
“Itu kehendak anak-anak muda. Mereka membawa mesej mahukan kerajaan yang bersih dan stabil malah itu juga merupakan apa yang dikehendaki oleh rakyat sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melihat keputusan penuh PRU-15, malam tadi.
Dalam pada itu, Husain memberitahu, kemenangan di peringkat Parlimen menjadi pengukur supaya Pas terus bekerja keras untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini.
Bagaimanapun, katanya, apa yang dicapai tidak dijadikan ukuran sepenuhnya untuk mencapai kemenangan mudah dalam PRN nanti.
“Yakin menang itu tidak, tetapi ia (kemenangan) memberi satu motivasi untuk meyakinkan kita. Setakat ini. ia satu motivasi ke arah kita bekerja lebih kuat dan lebih berhati-hati dan waspada terhadap keyakinan yang ditunjukkan oleh anak-anak muda.
“Anak muda mahukan perubahan pada iklim politik negara yang semakin hari semakin berkembang, semakin berubah dalam suasana politik sekarang,” kata beliau lapor Sinar Harian.
Pada PRU-15, PN berjaya menyapu bersih kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu termasuk dua kerusi yang menjadi kubu kuat BN iaitu di Besut dan Hulu Terengganu.
PN yang bertanding menggunakan logo bulan kekal menguasai Parlimen Marang, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.