Category: Semasa

  • Pejuang patut sertai parti Melayu sedia ada, boleh sertai Pas atau kembali kepada Bersatu

    Pejuang patut sertai parti Melayu sedia ada, boleh sertai Pas atau kembali kepada Bersatu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) patut memikirkan untuk menyertai mana-mana parti Melayu sedia ada seperti Pas atau kembali kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), susulan keputusan yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini orang Melayu sudah tidak mampu berpecah lagi ketika terlalu banyak parti yang muncul mewakili mereka, menyebabkan parti-parti politik tersebut sudah tidak lagi mampu mendapatkan sokongan majoriti orang Melayu.

    “Saya rasa Pejuang patut memikirkan untuk menyertai mana-mana parti Melayu yang ada. Masuklah Pas malah kalau nak kembali kepada Bersatu pun boleh.

    “Mereka pun asalnya dari Bersatu tetapi berkelahi dan berpecah menjadi Pejuang. Kembalilah kepada asal kerana perkara itu boleh dilaksanakan dengan Semangat 46 dulu pun kembali kepada UMNO.

    “Dalam tsunami rakyat kali ini, orang dah tak mahu berpecah sebaliknya mahu kestabilan dan bersih. Alhamdulillah, negara ini sedang menuju ke arah yang betul,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah, dekat Kota Sarang Semut di Alor Setar, malam tadi.

    Dalam PRU kali ini, Pejuang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ditandingi dengan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Presiden, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir turut hilang deposit.

    Sementara itu Muhammad Sanusi sekali lagi menegaskan yang beliau tidak akan meminta maaf terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan hasrat untuk menyamannya sebanyak RM10 juta baru-baru ini.

    “Surat tuntutan (LOD) pun tak sampai kepada saya lagi sebaliknya dihantar kepada media. Saya fahamlah maksud itu kerana apabila dihantar kepada media, beliau nak bina persepsi seolah-olah kenyataan saya itu tak benar dan akan dicabar di mahkamah.

    “Saya tak akan minta maaf kerana apa yang saya katakan itu betul. Saya hanya ulas kes yang telah diputuskan oleh mahkamah saja iaitu fakta yang tak boleh disembunyikan,” katanya.

  • Muhyiddin akan kemuka SD Ahli Parlimen sokong beliau hari ini

    Muhyiddin akan kemuka SD Ahli Parlimen sokong beliau hari ini

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen hari ini, bagi membuktikan bahawa gabungan itu mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

    Muhyiddin berkata dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama PN, tidak menghalang PN untuk membentuk kerajaan melalui sokongan daripada ahli Parlimen.

    “Kalau ada ahli Parlimen yang membuat keputusan untuk menyokong saya, itu hak ahli Parlimen bersandarkan perlembagaan negara. Perlembagaan kata seseorang yang mahu menjadi perdana menteri mestilah mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli Parlimen iaitu (sekurang-kurangnya) 112 kerusi,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu, malam tadi.

    Beliau juga menjelaskan bahawa Akta Anti Lompat Parti tidak menghalang mana-mana parti walaupun bukan daripada PN sendiri untuk menyokong beliau sebagai perdana menteri.

    “Mereka tidak keluar daripada parti tetapi mereka secara individu sebagai ahli Parlimen hatta daripada Bebas sekalipun boleh menyatakan sokongan kepada saya. Itu tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

    Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang ini.

    PRU-15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.


    Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan adalah 112 kerusi.

  • MB Johor tegaskan rundingan Zahid dengan PH tidak sah

    MB Johor tegaskan rundingan Zahid dengan PH tidak sah

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu segera meletakkan jawatan dan bukannya berunding dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tindakan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berunding dengan PH bagi menubuhkan kerajaan campuran sebagai tidak sah, sekiranya benar berlaku.

    “Sementara ahli UMNO menunggu tindakan berjiwa besar Ahmad Zahid untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, beliau sebaliknya, kalau betul sebagaimana yang dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan Pakatan Harapan, DAP.

    “Ahmad Zahid telah mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya, antara punca kekalahan teruk BN.

    “Beliau tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak tanpa persetujuan parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor menegaskan, Ahmad Zahid tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

    “Untuk pengetahuan, Presiden UMNO dan Pengerusi BN tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan daripada MKT UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

    “Oleh itu, sebarang keputusan yang dibuat oleh presiden parti tanpa proses ini adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti,” katanya.

    Semalam Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

    Sumber dilaporkan media mendedahkan bahawa pimpinan PH dan BN bakal mengadakan pertemuan rahsia di Hotel Seri Pacific, kira-kira jam 10 pagi ini, bagaimanapun perincian pertemuan itu tidak didedahkan.

    Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengingatkan keputusan terakhir UMNO adalah tidak akan bekerjasama dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

    “Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. Insya-Allah ada hikmahnya.

    “Sekali lagi saya memohon dan merayu agar Presiden UMNO meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera,” katanya. lapor Sinar Harian.

  • PRN Kedah dijangka dilaksanakan pada bila-bila masa selepas Mac 2023

    PRN Kedah dijangka dilaksanakan pada bila-bila masa selepas Mac 2023

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Kedah akan dilaksanakan pada bila-bila masa selepas berakhirnya musim banjir serta peralihan monsun pada Mac, tahun depan.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama rakan sejawatannya di Terengganu dan Kelantan agar PRN tersebut dapat dilaksanakan secara serentak.
     
    “Saya menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan selepas Mac. Sebelum ini pernah saya katakan bahawa PRN tak dilaksanakan sekarang kerana banjir dan apabila musim banjir itu berakhir pada Mac, PRN akan diadakan ‘anytime’.  

    “Peralihan monsun dan banjir ini sampai Mac jadi kita akan adakan PRN selepas itu. Kena ambil kira jugalah beberapa perkara kerana selepas Mac akan ada kedatangan Ramadan, Aidilfitri, Aidiladha tetapi mungkin kita boleh laksanakan PRN di celah-celah itu.

    “Apa pun saya kena bincang dengan Kelantan dan Terengganu agar PRN diadakan sekali. Kalau buat sekali, ‘syok’ dan jimatlah sikit,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah, dekat Kota Sarang Semut di Alor Setar, malam tadi.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada PRN di Kedah akan diawalkan susulan momentum sokongan rakyat yang dilihat menyebelahi PN dalam PRU ke-15.

    Sementara itu Muhammad Sanusi turut menzahirkan keyakinan betapa PN dapat merampas kerusi Parlimen Padang Serai dari Pakatan Harapan (PH), sekali gus menjadi kerusi Parlimen yang ke-14 dimenangi di Kedah apabila pengundian di kawasan itu dijalankan pada 7 Disember depan.

    “Tunggu dibuka tong undi sajalah dan tong tersebut akan dipenuhi dengan undi kepada PN kerana di sinilah keyakinan rakyat sekarang ini. Semua orang tak mahu duduk sebelah sana kerana masing-masing mahu bersama pemenangan.

    “Saya harap begitulah kerana bagi saya kerusi Parlimen Padang Serai ini hanyalah kemenangan yang tertangguh,” katanya.

    Proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai terpaksa ditangguhkan setelah calon PH, M. Karupaiya meninggal dunia akibat penyakit jantung pada 16 November lalu.

  • PRU15: MPN gesa percepat bentuk kerajaan, ketepi kepentingan peribadi

    PRU15: MPN gesa percepat bentuk kerajaan, ketepi kepentingan peribadi

    MAJLIS Profesor Negara (MPN) berharap proses membentuk sebuah kerajaan campuran atau gabungan yang stabil susulan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dapat dicapai segera berlandaskan perlembagaan dan lunas undang-undang negara.

    MPN menggesa para pemimpin parti politik yang menang agar segera berunding berpandukan matlamat untuk membentuk sebuah kerajaan baharu yang stabil dan kukuh bagi menerajui negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

    “MPN menyeru semua pihak meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi lain-lain kepentingan yang sempit dan bersifat peribadi. Lebih cepat kerajaan gabungan ini dapat dibentuk ianya lebih baik bagi negara.

    “Kita amat menyedari bahawa negara masih berada pada fasa pemulihan di samping berdepan dengan pelbagai cabaran besar terutamanya iklim ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu,” kata MPN dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambah MPN, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, cekap dan berkesan bagi memastikan negara berupaya mengurus dan menangani segala cabaran yang mendatang.

    “Nasib dan masa depan rakyat dan negara tidak seharusnya diperjudikan dan menjadi taruhan,” menurut kenyataan itu, lapor Astro Awani.

    Malaysia jelas MPM, harus mengelakkan diri daripad terjerumus dalam krisis politik yang berlarutan.

  • PRU15: Ahli Parlimen sokong saya jadi PM tidak langgar Akta Antilompat Parti – Muhyiddin

    PRU15: Ahli Parlimen sokong saya jadi PM tidak langgar Akta Antilompat Parti – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa sokongan yang diterimanya untuk membentuk kerajaan turut datang daripada Ahli Parlimen atas kapasiti individu bukan parti.

    Jelas Muhyiddin, tindakan ahli-ahli Parlimen berkenaan tidak melanggar sebarang akta seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

    “Kalau ikut Perlembagaan, ia mengatakan sokongan Ahli-ahli Parlimen, ia tidak kata parti mana, maknanya secara individu boleh, secara kumpulan dan parti boleh.

    “Kalau ada mana-mana Ahli Parlimen yang membuat keputusan menyokong saya, itu hak Ahli Parlimen, ini bersandarkan Perlembagaan negara.

    “Perlembagaan negara mesti dapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, ia tidak menyatakan sokongan mesti datang dari parti A atau parti B,” katanya ketika ditemui pemberita di Shah Alam, malam ini.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa gabungan itu tidak menjalankan sebarang perbincangan untuk menyertai PN bagi membentuk kerajaan atau melantiknya sebagai Perdana Menteri.

    Muhyiddin juga menjelaskan: “Sokongan yang diberikan oleh Ahli-ahli Parlimen itu tidak melanggar Akta Antilompat Parti hingga membolehkan mereka hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.”

    “Ia tidak melanggar peruntukan Akta Antilompat Parti kerana mereka tidak keluar parti tetapi mereka secara individu menyatakan sokongan kepada saya. Jadi ia tidak menyalahi Akta Antilompat Parti,” katanya, lapor Astro Awani.

    PN yang mempunyai 73 Ahli Parlimen sedang berusaha membentuk gabungan bersama beberapa parti bagi membentuk kerajaan baharu.

    Terdahulu, Muhyiddin dilapor berkata, mempunyai sokongan yang mencukupi daripada parti dan beberapa Ahli Parlimen untuk membolehkan dirinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10.

    Beliau berkata, keyakinan itu diperoleh susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

    Menurut Muhyiddin, kedua-dua pemimpin itu serta ‘beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain’ telah memberi komitmen untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

    Selain PN, Pakatan Harapan (PH) diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai 82 kerusi juga sedang berusaha untuk menubuhkan kerajaan bersama parti lain.

  • Muhyiddin tak sebut BN sokong PN bentuk kerajaan

    Muhyiddin tak sebut BN sokong PN bentuk kerajaan

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan gabungannya telah meraih sokongan cukup bentuk kerajaan berkata, penyokongnya ialah GPS Sarawak, GRS Sabah dan “beberapa orang ahli Dewan Rakyat lain.”

    Bagaimanapun Muhyiddin ketika mengumumkan gabungannya mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan tidak menyebut nama BN.

    Menurut Muhyiddin, penyokongnya ialah GPS Sarawak, GRS Sabah dan sejumlah ahli parlimen yang tidak dinamakan daripada gabungan mana.

    “Beberapa orang ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen yang sama,” kata Muhyiddin pada satu kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu dibuat sejurus selepas GPS berkata ia bersedia bekerjasama dengan PN, BN dan GRS untuk membentuk kerajaan.

    Ia juga menunjukkan tidak semua 30 ahli parlimen BN akan menyokong PN dan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

    Spekulasi bertiup kencang bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya cuba menyelaraskan gabungan BN dengan Pakatan Harapan.

    Bagaimanapun, dikatakan beberapa ahli parlimen BN yang mesra PN dan telah menjadi penyokong kerjasama itu menentang keras usaha Zahid itu.

    Menurut laporan Malaysiakini, tanpa BN, gabungan PN, GPS, dan GRS hanya mempunyai 101 kerusi di parlimen.

    Mereka memerlukan 10 lagi kerusi parlimen untuk memenuhi majoriti mudah ketika ini iaitu 111, atau 11 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti 112 yang lebih stabil sebaik sahaja dua kerusi parlimen yang kosong diisi.

    Di bawah undang-undang antilompat, ahli parlimen tidak kehilangan kerusi mereka jika mereka tidak berundur atau meletak jawatan daripada parti mereka.

    Secara teorinya, ini membolehkan ahli Parlimen menentang arahan parti dalam menyokong calon perdana menteri.

    Bagaimanapun, sesetengah parti seperti DAP telah meminda peraturan organisasi supaya ahli parlimen yang menentang keputusan parti itu dianggap telah “meletak jawatan” – sekaligus mencetuskan pelaksanaan undang-undang antilompat. BN tidak membuat pindaan yang sama terhadap pertubuhannya.

    Pemulihan PN lepas tewas di Melaka, Johor

    Selepas prestasi buruk pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor, gabungan PN pimpinan Muhyiddin bangkit kembali semalam dan menawan semua kerusi di Kelantan, Terengganu dan Perlis, serta hampir semua kerusi parlimen Kedah kecuali satu.

    Gabungan itu juga menang besar di Perak dan Pahang, dan turut menawan kubu kuat PH seperti Permatang Pauh dan Kuala Langat.

    Secara keseluruhan, PN memperoleh 73 kerusi manakala GRS bahagiannya di Sabah menang enam kerusi.

    PH menjadi gabungan yang menang kerusi terbanyak pada PRU15 dengan 82 parlimen.

    Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

    Anwar berkata telah mendapat sokongan 112 kerusi parlimen walaupun tidak menamakan daripada mana sokongan itu datang.

  • KJ gesa Presiden UMNO undur sekarang, gelombang desakan meningkat

    KJ gesa Presiden UMNO undur sekarang, gelombang desakan meningkat

    GELOMBANG desakan agar Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan semakin meningkat dengan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin anggota parti terbaharu menyuarakan tekanan itu.

    Khairy menggunakan analogi perang untuk memberi isyarat kepada Ahmad Zahid agar berundur kerana menyifatkan reformasi UMNO tidak boleh ditangguh lagi.

    Menurut beliau, apabila kalah dalam peperangan, panglima besarnya perlu bermaruah untuk mengambil tanggungjawab lebih-lebih lagi strategi diatur panglima besar itu mengakibatkan ramai tentera tersungkur.

    “Apabila kalah dalam peperangan, Panglima besar mesti ada maruah untuk mengambil tanggungjawab. Lebih2 lagi bila strategi perang diatur oleh Panglima besar telah sebabkan ramai soldadu di medan tersungkur.

    “Presiden mesti undur. Sekarang. Reformasi UMNO tidak boleh ditangguh lagi,” ciapnya di Twitter beliau.

    Desakan itu turut dibuat Wanita BN Wilayah Persekutuan meminta Zahid melepaskan jawatan sebagai pengerusi gabungan tersebut dan menyerahkan teraju kepimpinan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Ketuanya, Zurainah Musa, berkata pengerusi BN itu wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penolakan rakyat kepada BN dalam PRU semalam.

    “Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 rakyat menegur UMNO (dan) BN, dalam PRU ke-15 rakyat menolak UMNO, BN. Oleh itu pengerusi BN wajib bertaggungjawab sepenuhnya terhadap penolakan rakyat.

    “Justeru Wanita BN Wilayah Persekutuan menggesa Ahhad Zahid meletak jawatan sebagai pengerusi dan presiden Umno serta-merta. Umno perlu segera melakukan penstrukturan parti,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

    Zurainah juga menegaskan pendirian pergerakan itu ialah menolak sebarang kerjasama dengan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dan DAP yang menjadi komponennya.

    “Pendirian Wanita BN Wilayah ialah ‘no Anwar, no DAP’ seperti diputuskan perhimpunan agung Umno lalu,” katanya.

    Dia juga berkata, tiada siapa boleh melanggar ketetapan tersebut termasuk presiden, biro politik dan majlis kerja tertinggi (MKT) mereka.

    Sementara itu dua sayap dalam MIC juga mengeluarkan kenyataan sama.

    Ketua Pemuda MIC kebangsaan,K Raven Kumar, berkata Ahmad Zahid adalah liabiliti kepada BN sehingga mengakibatkan nama-nama besar lain dalam parti turut tewas.

    “Majoriti anak muda berpandangan bahawa BN masih dalam cengkuman ‘warlords’ serta kluster mahkamah.

    “Jelas dapat dilihat bahawa Ahmad Zahid adalah liabiliti sebenar kepada BN,” katanya.

    Tambah Raven Kumar, antara nama besar yang kalah semalam termasuklah Khairy, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, malah Presiden MIC sendiri, SA Vigneswaran.

    Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy, berpendapat Ahmad Zahid perlu berjiwa besar dengan melepaskan jawatan tersebut.

    Katanya, ketika ini itulah jalan terbaik untuk BN yang berusaha memulih dan memperbaiki parti berkenaan.

    “Anggaplah ini satu pengajaran buat kita semua. Peletakan jawatan ini juga untuk memberi laluan kepada pimpinan lain yang mampu membawa perubahan jika BN tidak mahu berdepan dengan penolakan lebih teruk pada masa hadapan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Muhyiddin tinggalkan kediaman, hadiri mesyuarat Bersatu

    Muhyiddin tinggalkan kediaman, hadiri mesyuarat Bersatu

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan kediamannya pada pukul 8.30 malam dipercayai menuju ke sebuah hotel di Subang bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Cubaan media mendapatkan reaksi beliau bagaimanapun tidak berjaya apabila kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Pagoh tidak berhenti.

    Difahamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin susulan kenyataan pembentukan kerajaan bakal melibatkan ahli-ahli Parlimen BN, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun sehingga Muhyiddin beredar, tiada sebarang pergerakan pemimpin BN dilihat di situ.

    Tumpuan dipercayai akan terarah ke lokasi mesyuarat Bersatu.

    Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan.

    Hari ini, susulan pertemuan bersama beberapa pemimpin parti Sabah dan Sarawak, Muhyiddin dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengeluarkan kenyataan bahawa gabungan-gabungan parti itu yakin memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

    Bahkan Abang Johari turut menyatakan penglibatan BN sebagai sebahagian daripada kerajaan campuran yang bakal dibentuk.

    Muhyiddin pula menyatakan keyakinan memperoleh cukup sokongan untuk membolehkan diri beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

  • Hormati suara rakyat, Zahid perlu segera letak jawatan – Nazri

    Hormati suara rakyat, Zahid perlu segera letak jawatan – Nazri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab dan meletak jawatan susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menurut bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Zahid perlu bertanggungjawab penuh dan meletak jawatan seperti mana Datuk Seri Najib Tun Razak lakukan selepas PRU14.

    Tegas beliau, Ahmad Zahid tidak perlu banyak alasan kerana PRU15 merupakan prestasi paling buruk untuk UMNO dan BN.

    “Zahid perlu bertanggungjawab dan segera letak jawatan. Tidak perlu banyak alasan, ini suara rakyat yang jelas tidak boleh menerima beliau (Zahid) sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

    “Berjiwa besarlah dan ketepikan kepentingan peribadi, dahulukan parti dengan meletak jawatan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi BN dilaporkan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

    Pada PRU14, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen.

    Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).

    Selain Mohamed Nazri, beberapa pemimpin UMNO yang lain antaranya Tan Sri Noh Omar, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan turut membuat gesaan yang sama.