Category: Semasa

  • Istana Negara tangguh tarikh akhir serah SD

    Istana Negara tangguh tarikh akhir serah SD

    (KEMAS KINI) YANG di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan melanjutkan tarikh akhir untuk parti politik mengemukakan akuan bersumpah (SD) berhubung calon pilihan Perdana Menteri kepada 2 petang esok.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada hari ini berkata, titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan daripada ketua dan gabungan parti politik dan gabungan politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.

    “Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” menurut kenyataan itu.

    Ahmad Fadhil berkata, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau

    ‘Caretaker Prime Minister’ berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).

    Katanya, Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.

    “Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRU15:PN serah surat akaun bersumpah sokong Muhyiddin sebagai PM kepada Agong hari ini

    PRU15:PN serah surat akaun bersumpah sokong Muhyiddin sebagai PM kepada Agong hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, gabungan itu telah menyerahkan surat akaun bersumpah (SD) daripada semua ahli Parlimen yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kesepuluh.

    “Parti Perikatan Nasional telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

    “Jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • MB Perlis baharu angkat sumpah esok

    MB Perlis baharu angkat sumpah esok

    MENTERI Besar baharu Perlis bakal mengangkat sumpah di Istana Arau, Arau pada pukul 3 petang esok.

    Menurut sumber dalaman Perikatan Nasional (PN), majlis angkat sumpah dan watikah pelantikan Menteri Besar berkenaan telah dihantar ke pihak istana pada petang semalam.

    Difahamkan, hanya seorang calon daripada Pas dikemukakan untuk mengisi jawatan berkenaan.

    Tiga pemimpin kanan yang menghantar watikah itu adalah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Pas, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Sementara itu, Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara itu.

    Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai calon Menteri Besar tersebut.

    Media sebelum ini melaporkan Mohd. Shukri yang mesra dengan panggilan Cikgu Shukri bakal dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu.

    Mohd Shukri, 61, sebelum ini menjadi guru dari 1985 sehingga 2013 disifatkan sebagai seorang pemimpin yang sangat dihormati, mesra dan berjiwa rakyat.

  • Gabungan politik dibentuk tak perlu libat DAP – UMNO Johor

    Gabungan politik dibentuk tak perlu libat DAP – UMNO Johor

    GABUNGAN politik yang bakal dibentuk bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan tidak perlu melibatkan DAP kata Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

    Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, keutamaan parti politik ketika ini adalah untuk membentuk gabungan yang stabil.

    “Selain itu, UMNO Johor berpendirian kerajaan Persekutuan ditubuhkan perlu berfungsi serta berfahaman sederhana (moderate) untuk memimpin Malaysia mendepani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi masa hadapan.

    “Oleh yang demikian, Umno Johor berpendirian bahawa gabungan politik yang dibentuk tidak perlu membabitkan DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kenyataan itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat di Hotel Seri Pacific, pagi tadi.

    Mengulas lanjut, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata, BN dan UMNO Johor menerima dan menghormati keputusan rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Katanya, keputusan PRU-15 cukup jelas dan adalah penzahiran kepada kematangan rakyat dalam mendakap budaya demokrasi di Malaysia.

    “Keputusan PRU-15 juga adalah isyarat jelas rakyat kepada UMNO dan BN.

    “Oleh yang demikian, UMNO Johor percaya bahawa Presiden akan mengambil tanggungjawab yang jelas dan berprinsip demi kelangsungan parti dan orang Melayu amnya.

    “Pemilihan UMNO yang bakal diadakan tidak lama lagi perlulah berlangsung berdasarkan kerangka pemulihan (restore) Umno.

    “Keyakinan pengundi kepada parti ini perlu segera dipulihkan agar Umno kembali diyakini semua rakyat Malaysia,” katanya.

    Hasni yang menang kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU-15 berkata, keputusan PRU di Johor akan diteliti secara mendalam supaya penambahbaikan dapat segera dilakukan.

    “Melangkah ke hadapan, UMNO dan BN Johor akan terus diperkukuhkan,” katanya, lapor Harian Metro,

  • SPRM buka 8 kertas siasatan babitkan kakitangan kerajaan Pulau Pinang

    SPRM buka 8 kertas siasatan babitkan kakitangan kerajaan Pulau Pinang

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak lapan kertas siasatan terhadap kakitangan kerajaan negeri berkaitan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, sepanjang 2020 hingga 2022.

    Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri terbuka bagi menerima sebarang siasatan berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan kerajaan Negeri.

    “Sebarang bentuk kesalahan akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan disabitkan kesalahan oleh pihak pendakwaan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

    Beliau menjawab soalan Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) yang ingin tahu mengenai jumlah kes SPRM yang disiasat di Pulau Pinang melibatkan Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan Negeri.

    Chow juga berkata bagi siasatan yang melibatkan kakitangan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) boleh mengambil tindakan di bawah Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997 bagi tujuan penahanan kerja sekiranya melibatkan prosiding jenayah.

    Selain itu, katanya kerajaan negeri telah dan akan mengambil tindakan terhadap semua laporan lengkap SPRM berhubung salah laku melibatkan Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan Negeri, sekiranya kes tersebut tidak disabitkan kesalahan di peringkat mahkamah.

    “Kerajaan negeri tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan laporan SPRM,” katanya.

  • PN persembah nama calon MB kepada Raja Perlis

    PN persembah nama calon MB kepada Raja Perlis

    PERIKATAN Nasional (PN) Perlis akan mempersembahkan nama calon Menteri Besar baharu bagi mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail petang ini.

    Pengerusi PN Perlis Shukri Ramli berkata PN pusat telah menyampaikan watikah kepada pihaknya untuk mempersembahkan nama calon tersebut dan pelantikan menteri besar perlu mendapat perkenan Raja Perlis sepertimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

     “Semalam kita (PN Perlis) telah melakukan perjumpaan dengan pucuk pimpinan parti dan kami sebulat suara bersetuju untuk mempersembahkan satu nama calon Menteri Besar Perlis yang baharu kepada Raja Perlis petang ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata urusan pembentukan kerajaan negeri baharu di bawah PN berjalan lancar.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada satu perjumpaan dengan jentera PN Perlis beberapa bulan lepas berkata sekiranya PN menguasai Perlis, menteri besar akan dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS sebagai menghormati parti itu yang lebih senior dalam gabungan berkenaan.

    Pada PRU15, PN berjaya menyapu bersih hampir seluruh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila berjaya menawan 14 daripada 15 kerusi, selain memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar.

    Hanya satu kerusi DUN dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi Gan Ay Lin daripada PKR yang mengekalkan kemenangan di DUN Indera Kayangan.

    Barisan Nasional (BN) pula mencatat keputusan terburuk sepanjang PRU di Perlis, apabila gagal mempertahankan sebarang kerusi termasuk kerusi DUN Bintong susulan kekalahan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kepada calon PN-PAS Fakhrul Anwar Ismail dengan majoriti 4,329 undi dalam persaingan enam penjuru. -BERNAMA

  • Zahid tiada hak putuskan kerjasama BN, PH – Ismail Sabri

    Zahid tiada hak putuskan kerjasama BN, PH – Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai hak untuk memutuskan mengenai pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu hanya boleh ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) BN.

    “Presiden tiada hak, biro politik pun tiada hak. Hanya MT BN saja boleh membuat keputusan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Ismail Sabri bersama beberapa kepimpinan BN dilihat sudah tiba di Hotel Seri Pacific, dipercayai bagi mengadakan pertemuan dengan PH bagi membincangkan mengenai pembentukan kerajaan campuran.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, sudah tiba di Hotel Seri Pacific bagi tujuan itu.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat sudah tiba.

    Ketika ditanya mengenai jemputan pertemuan ini, Ismail Sabri berkata, beliau dijemput Setiausaha UMNO Pahang.

    “Semua Ahli Parlimen Pahang dijemput,” katanya.

  • PH-BN setuju kerjasama bentuk kerajaan di Perak

    PH-BN setuju kerjasama bentuk kerajaan di Perak

    BARISAN Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju untuk mengadakan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri Perak.

    Menerusi satu kenyataan bersama, perincian mengenai ketetapan itu akan diumumkan secepat yang mungkin.

    “BN dan PH secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di DUN Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang telah diadakan pada 19 November lalu.

    “Demi kepentingan rakyat dan negara, BN dan PH Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Perak serta maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” kata kenyataan itu hari ini, lapor Berita Harian.

    PRU-15 menyaksikan BN hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi DUN Perak, menjadikan ia keputusan terburuk pernah direkodkan parti itu.

    Keputusan di DUN sama turut menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan 26 kerusi, manakala PH memenangi 24 kerusi.

  • GRS sokong Muhyiddin sebagai PM ke-10

    GRS sokong Muhyiddin sebagai PM ke-10

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10.

    Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, gabungan itu turut bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN) dan parti dari Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti lain yang bersedia membentuk kerjasama.

    “Saya telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, 20 November 2022.

    “GRS berpandangan adalah perlu pembentukan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya, khususnya dalam memuktamadkan penggubalan Belanjawan 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Ketua Menteri Sabah itu menambah, GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air.

    Semalam, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan persetujuan untuk GPS bekerjasama dengan PN, Barisan Nasional (BN) dan GRS bagi membentuk kerajaan.

    Keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 81 kerusi; PN (73), dan BN (30).

    Sementara, GPS yang dipimpin Abang Johari mendapat 22 kerusi diikuti GRS yang memperoleh enam kerusi dan Parti Warisan (tiga kerusi).

    Dalam pada itu, ketua parti dan gabungan politik perlu memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat jika mereka memperoleh majoriti di Parlimen dan menyerahkan pilihan calon Perdana Menteri kepada istana sebelum 2 petang hari ini.

  • Kuasa perubahan pengundi muda bantu Siti Mastura cipta sejarah di Kepala Batas

    Kuasa perubahan pengundi muda bantu Siti Mastura cipta sejarah di Kepala Batas

    PENGUNDI muda menjadi kuasa perubahan atau ‘power changer’ terbesar sehingga membolehkan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Siti Mastura Muhammad membuat kejutan terbesar memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Menurut Mastura, gelombang perubahan anak muda itu banyak menyumbang ke arah kemenanganya di kerusi itu sekali gus melakar sejarah menumbangkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang sebelum ini disifatkan kerusi selamat BN.

    Tambah beliau, ‘ower changer’ atau kuasa perubahan anak muda itu juga adalah perkara yang sering ditekankan beliau dalam setiap ceramahnya sepanjang berkempen pada PRU15.

    “Saya sebut bahawa kita nak bawa satu perubahan politik untuk anak muda khususnya kerana ramai beranggapan politik ini kotor, orang tak suka.

    “Jadi, kita nak beritahu anak muda, inilah politik yang sebenar iaitu politik matang. Paling penting ialah, semua rakyat dapat menikmati kebajikan,” katanya kepada pemberita.

    Siti Mastura menang selepas memperoleh 28,604 undi dengan majoriti sebanyak 2,867 undi mengatasi penyandang kerusi Parlimen tersebut, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan 25,737 undi.

    Dua lagi calon iaitu Danial Abdul Majeed (Muda-PH) serta Hamidi Abu Hassan (Pejuang) masing-masing memperoleh 14,214 dan 747 undi.

    Dalam pada itu, Siti Mastura yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang berkata, kemenangan pada PRU15 bukan untuk dibangga-banggakan atau disalah guna bagi ‘mengkayakan’ diri sendiri.

    Sebaliknya kata beliau, dengan ruang dan peluang yang diberikan oleh warga Kepala Batas itu, beliau bersama jentera PN memohon untuk sama-sama membuka ‘buku’ baharu dan menambah baik apa yang terdapat di Kepala Batas.

    “Terima kasih kepada semua yang mengundi saya dan saya doakan agar Kepala Batas menjadi tempat yang terbaik untuk semua,” katanya.

    Ujarnya lagi, beliau juga berhasrat bertemu seramai mungkin pengundinya selepas ini bagi menyatakan penghargaan atas kemenangan merampas kerusi Parlimen Kepala Batas.