PENGUNDI muda menjadi kuasa perubahan atau ‘power changer’ terbesar sehingga membolehkan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Siti Mastura Muhammad membuat kejutan terbesar memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Mastura, gelombang perubahan anak muda itu banyak menyumbang ke arah kemenanganya di kerusi itu sekali gus melakar sejarah menumbangkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang sebelum ini disifatkan kerusi selamat BN.

Tambah beliau, ‘ower changer’ atau kuasa perubahan anak muda itu juga adalah perkara yang sering ditekankan beliau dalam setiap ceramahnya sepanjang berkempen pada PRU15.

“Saya sebut bahawa kita nak bawa satu perubahan politik untuk anak muda khususnya kerana ramai beranggapan politik ini kotor, orang tak suka.

“Jadi, kita nak beritahu anak muda, inilah politik yang sebenar iaitu politik matang. Paling penting ialah, semua rakyat dapat menikmati kebajikan,” katanya kepada pemberita.

Siti Mastura menang selepas memperoleh 28,604 undi dengan majoriti sebanyak 2,867 undi mengatasi penyandang kerusi Parlimen tersebut, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan 25,737 undi.

Dua lagi calon iaitu Danial Abdul Majeed (Muda-PH) serta Hamidi Abu Hassan (Pejuang) masing-masing memperoleh 14,214 dan 747 undi.

Dalam pada itu, Siti Mastura yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang berkata, kemenangan pada PRU15 bukan untuk dibangga-banggakan atau disalah guna bagi ‘mengkayakan’ diri sendiri.

Sebaliknya kata beliau, dengan ruang dan peluang yang diberikan oleh warga Kepala Batas itu, beliau bersama jentera PN memohon untuk sama-sama membuka ‘buku’ baharu dan menambah baik apa yang terdapat di Kepala Batas.

“Terima kasih kepada semua yang mengundi saya dan saya doakan agar Kepala Batas menjadi tempat yang terbaik untuk semua,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau juga berhasrat bertemu seramai mungkin pengundinya selepas ini bagi menyatakan penghargaan atas kemenangan merampas kerusi Parlimen Kepala Batas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here