Category: Semasa

  • “Entah dari mana keputusan ini dicapai” – Presiden MCA runsing bagaimana BN dan PH boleh bergabung di Perak

    “Entah dari mana keputusan ini dicapai” – Presiden MCA runsing bagaimana BN dan PH boleh bergabung di Perak

    DEWAN Tertinggi Barisan Nasional (BN) tidak pernah berbincang mengenai keputusan gabungan itu membentuk kerajaan negeri Perak bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH).

    Malahan, Naib Pengerusi BN, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu juga belum lagi diadakan setakat ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir.

    “Maaf ya, Dewan Tertinggi Barisan Nasional tidak pernah berbincang tentang BN dan PH bergabung membentuk Kerajaan Perak.

    “Malahan, selepas PRU15, mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum lagi diadakan setakat waktu ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya hari ini.

    Justeru, beliau kesal kerana Dewan Tertinggi BN diketepikan susulan tindakan penggabungan di Perak dibuat tanpa merujuk kepada beliau selaku Naib Pengerusi BN.

    “Saya sebagai Presiden MCA dan Naib Pengerusi Barisan Nasional TIDAK pernah dirujuk atau dimaklumkan langsung. Entah dari mana keputusan itu dicapai! Dewan Tertinggi BN diketepikan.

    “Terkini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pula menyokong PH bergabung dengan BN untuk membentuk kerajaan,” jelasnya, lapor Astro Awani.

  • Kerjasama BN-PH di Perak, pengkhianatan UMNO kepada orang Melayu

    Kerjasama BN-PH di Perak, pengkhianatan UMNO kepada orang Melayu

    PEMBENTUKAN kerajaan baharu yang melibatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri Perak adalah bukti UMNO kini adalah pengkhianat sebenar orang Melayu.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan keputusan UMNO untuk bersama dengan PH mengesahkan dakwaan sebelum ini adalah terbukti benar dan orang Melayu sekali lagi ditipu hidup-hidup pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

    “Keputusan UMNO untuk menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) di negeri Perak adalah suatu resipi untuk bencana (recipe for disaster).

    “Tindakan ini mengesahkan cakap-cakap sebelum pilihan raya bahwa pemimpin UMNO sedang mengusahakan suatu bentuk jajaran baharu dengan PH semata-mata untuk kekal berkuasa.

    “Jika kerjasama BN dan PH ini berlaku, ia bertentangan dengan ketetapan PAU dan Zahid perlu bertanggungjawab dengan tindakannya yang merosakkan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zahid juga jelas menipu ahli UMNO dan menyalahgunakan PAU apabila sebelum ini menafikan ingin bekerjasama dengan Anwar dan DAP, tapi perkara itu kini terserlah benar.

    “Jelas, Zahid curang pada parti dan ahlinya. Dengan pelbagai desakan di peringkat bahagian dan sayap serta pimpinan negeri, beliau nyata sudah kehilangan kepercayaan untuk memimpin UMNO dan BN, sekali gus perlu melepaskan jawatan untuk memulihkan parti,” katanya.

    Terdahulu, pemimpin utama PH dan sejumlah Ahli Parlimen PH hadir dalam pertemuan dengan pemimpin tertinggi dan Ahli Parlimen BN di Hotel Seri Pacific bersebelahan ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur, hari ini.

    Pertemuan itu dipercayai bagi berunding usaha membentuk kerajaan antara kedua-dua pihak, berikutan tiada parti yang berjaya mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen dalam PRU-15, Sabtu lalu.

    PAU 2020 yang diadakan pada Mac tahun lalu antara lain memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Anwar, DAP dan BERSATU dalam PRU15.

  • PN Perak tolak kerjasama ahli politik tercemar rasuah – Faizal Azumu

    PN Perak tolak kerjasama ahli politik tercemar rasuah – Faizal Azumu

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak tidak akan sama sekali bekerjasama dengan ahli politik yang tercemar dengan masalah rasuah dalam membentuk kerajaan negeri yang baharu.

    “PN Perak tidak akan sama sekali bekerjasama dengan PH yang di dalamnya ada DAP yang ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu atau dengan mereka yang tercemar dengan masalah rasuah,” kata Pengerusi PN Perak, Ahmad Faizal Azumu, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Terdahulu, Istana Perak mengisytiharkan ia berpuas hati dengan bilangan kerusi yang dikemukakan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, sekaligus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan negeri baharu.

    Menteri besar Perak baharu akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak pada 5.30 petang.

  • Tiada Ahli Parlimen BN yang tandatangani SD sokong PH – Saravanan

    Tiada Ahli Parlimen BN yang tandatangani SD sokong PH – Saravanan

    BELUM ada mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani sebarang dokumen akuan bersumpah (SD) menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

    Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan ketika mengesahkan hal itu menjelaskan, pendirian itu dibuat memandangkan setakat petang ini, BN belum membuat sebarang keputusan muktamad menyokong mana-mana pihak.

    “Padi tadi kita bincang dengan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Dia (sokongan kepada mana-mana pihak) tak sah selagi tak dimuktamadkan diperingkat BN.

    “Walaupun sebelum bertanding, kita sudah bagi SD kepada pengerusi BN, tapi itu sekadar SD saja. Kita belum boleh sahkan selagi tak diputuskan, sebab kita tanding atas BN,” katanya yang memenangi kerusi Parlimen Tapah, lapor BH Online.

    Menurut beliau, setiap parti dalam BN, UMNO, MCA, MIC serta PBRS mesti mencapai kata sepakat bersama mengenai sokongan kepada mana-mana gabungan.

    Beliau juga berkata, perjumpaan dengan pemimpin PH pagi tadi adalah sesi perbincangan biasa antara BN dan PH, namun belum ada keputusan antara kedua-duanya.

    Petang ini, BN dijangka memutuskan sokongannya kepada mana-mana pihak, sama ada PH atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan campuran.

    BH juga difahamkan, beberapa pemimpin BN tertinggi juga mencadangkan supaya mereka kekal dalam blok pembangkang, namun bersedia bekerjasama dengan PH atau PN, hanya terhad kepada rundingan pemilihan calon Perdana Menteri bagi membentuk kerajaan.

  • Sah! PH, BN bentuk kerajaan negeri Perak, Shaarani angkat sumpah MB petang ini

    Sah! PH, BN bentuk kerajaan negeri Perak, Shaarani angkat sumpah MB petang ini

    PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk bersama-sama membentuk kerajaan negeri di Perak.

    Pengerusi BN Perak yang juga Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau dan Bendahari DAP Perak Howard Lee Chuan How telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan menyembah maklum persetujuan kedua-dua gabungan mengenai perkara itu.

    “Itu yang kami persembahkan dan terpulang kepada Tuanku sama ada baginda yakin dan setuju perkenan dengan cadangan penubuhan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin di Istana Kint, Ipoh hari ini.

    Ini susulan tiada gabungan yang memperoleh majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

    Sementara itu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi PKR negeri Muhamad Arafat Varisai Mahamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

    Terdahulu dalam kenyataan bersama, PH dan BN Perak bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri.

    “BN dan PH secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang telah diadakan pada 19 Nov 2022.

    “Demi kepentingan rakyat dan negara, BN dan PH Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Perak dan maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” menurut kenyataan itu.

    Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi dalam kenyataan video berkata langkah itu akan membentuk kerajaan negeri yang stabil sebagai memenuhi hasrat kebanyakan rakyat yang ingin melihat kerajaan baharu yang berjaya mentadbir negeri.

    Keputusan PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 26 kerusi DUN manakala PH pula menawan 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

    Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS.

  • Agong titah rakyat bersabar tunggu pembentukan kerajaan baharu

    Agong titah rakyat bersabar tunggu pembentukan kerajaan baharu

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat Malaysia agar bertenang dan bersabar, sementara menunggu pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Seri Paduka bertitah pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu memerlukan sedikit masa lagi.

    “Harap bersabar, perlukan masa sikit, kena bersabar, banyak bertenang.

    “Kerajaan ‘Caretaker’ masih lagi ada, masih berjalan seperti biasa,” titah baginda ketika mencemar duli menyantuni pengamal media yang berkampung di hadapan pintu 2 Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

    Seri Paduka juga bertitah agar segala perkembangan terkini mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan baharu, hendaklah dirujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan pihak Istana Negara.

    “Saya tidak akan buat kenyataan. Ikutlah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara,” titah baginda.

    Dalam kenyataan media terkini Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan untuk melanjutkan proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri, sehingga 2 petang esok.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, hari ini.

    PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung, apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

    PRU15 pada 19 November menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

    Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi.

  • ‘SD tak tandatangan lagi. Kita cuma borak dengan PH’ – Ismail Sabri

    ‘SD tak tandatangan lagi. Kita cuma borak dengan PH’ – Ismail Sabri

     “TIDAK ada pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH),” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ringkas selepas tamat sesi sidang media membabitkan 26 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, pagi ini.

    Bagaimanapun, kenyataan itu dilihat bercanggah apabila kehadiran beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berada di lokasi sama sejak jam 10 pagi lagi.

    Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, mereka juga belum menandatangani Akaun Bersumpah (SD) bagi memilih calon Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan persekutuan.

    “SD tak ‘sign’ lagi. Tetamu (PH) datang sini, takkan tak layan. Kita borak-borak, salam-salam. Macam biasa.

    “BN akan meminta penangguhan penyerahan SD kepada Speaker Dewan Rakyat,” katanya, lapor Harian Metro.

  • PRU-15: Calon Bebas di Sabah dan MP Kota Marudu sokong PN, Muhyiddin

    PRU-15: Calon Bebas di Sabah dan MP Kota Marudu sokong PN, Muhyiddin

    DUA calon Bebas di Sabah dan seorang calon Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10.

    Seorang calon Bebas Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda berkata, beliau menyokong dan berada di belakang Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN).

    “Saya memberi sokongan kepada PN dan Muhyiddin Yassin. Begitu juga Kota Marudu (abang saya) dan Riduan Rubin (Tenom),” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Sebentar tadi, Perikatan Nasional dalam satu kenyataan memaklumkan telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun (SD) daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kata Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Menurutnya, jumlah SD yang dihantar melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

  • ‘Kami dah cukup dan hantar, tunggu untuk diundang’, kata Hadi

    ‘Kami dah cukup dan hantar, tunggu untuk diundang’, kata Hadi

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gabungan itu hanya menunggu untuk diundang ke Istana Negara setelah menyerahkan surat akaun bersumpah (SD) daripada semua ahli Parlimen yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kesepuluh.

    Dalam kenyataan ringkas dalam akaun media sosial beliau, Hadi berkata gabungan itu sudah mempunyai SD mencukupi untuk membentuk kerajaan.

    “Kami dah cukup. Kami dah hantar. Tunggu untuk diundang,” kata Presiden Pas itu hari ini.

    Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan media berkata, gabungan itu telah menyerahkan lebih daripada 112 akuan berkanun menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri, kepada Agong.

    “Parti Perikatan Nasional telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

    “Jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Rumah Muhyiddin jadi tumpuan pemimpin PN

    Rumah Muhyiddin jadi tumpuan pemimpin PN

    BEBERAPA pemimpin utama parti komponen Perikatan Nasional (PN) dipercayai berkumpul di kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur ketika teka-teki mengenai rundingan bentuk gabungan baru kerajaan masih belum terjawab. 

    Kelihatan pergerakan kenderaan keluar masuk yang membawa pemimpin PAS termasuk Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang sekitar pukul 11.30 pagi. 

    Laporan portal-portal berita pula menyebut, kenderaan yang membawa Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat meninggalkan kawasan itu pada pukul 1.15 petang tadi.