Category: Semasa

  • Pemimpin PN berkumpul di rumah Muhyiddin, tunggu keputusan Majlis Raja-Raja

    Pemimpin PN berkumpul di rumah Muhyiddin, tunggu keputusan Majlis Raja-Raja

    PEMIMPIN Perikatan Nasional (PN) yang berkumpul di kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, hari ini difahamkan sedang menunggu keputusan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu susulan kemelut pembentukan kerajaan ketika ini.

    Perkara dimaklumkan sumber kepada media yang menunggu di kawasan kediaman Muhyiddin bagi mendapatkan perkembangan lanjut berhubung kemelut pembentukan kerajaan ketika ini.

    Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meraikan petugas media dengan kira-kira 30 pek nasi briyani untuk makanan tengah hari ini.

    Selain itu, dua khemah turut disediakan untuk media berteduh di kawasan itu hasil inisiatif Ketua Penerangan Armada Malaysia, Ashraf Mustaqim.

    Bermula pukul 9.25 pagi tadi, beberapa pemimpin parti gabungan itu termasuk Ahmad Faizal dilihat mula tiba di kediaman Muhyiddin dipercayai ada kaitan dengan kemelut pembentukan kerajaan.

    Antara beberapa kenderaan yang membawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang juga Bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd. Harun tiba di kediaman itu.

    Dalam pada itu menurut laporan Harian Metro, kenderaan membawa Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar juga turut kelihatan.

    Istana Negara menganjurkan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu susulan kemelut pembentukan kerajaan, hari ini.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dilaporkan berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah perkenan untuk mengadakan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

    Kemelut pembentukan kerajaan masih belum terungkai berikutan tiada parti yang mendapat cukup majoriti selepas Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15).

  • Lelaki diberkas enam jam selepas meragut

    Lelaki diberkas enam jam selepas meragut

    POLIS berjaya memberkas seorang lelaki yang meragut telefon bimbit di sebuah stesen minyak di Jalan SS1/22, di Petaling Jaya Sabtu lalu.

    Suspek samun diberkas tanpa senjata api selepas hanya enam jam lelaki itu meragut telefon bimbit di sebuah stesen minyak di Jalan SS1/22, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 11 pagi semasa mangsa duduk menunggu di stesen minyak berkenaan sementara isterinya pergi mengundi.

    “Tiba-tiba datang sebuah motosikal nombor pendaftaran dan warna tidak pasti yang dinaiki seorang lelaki memakai baju berwarna kuning telah meragut telefon bimbit jenis Huawei Mate 20 milik mangsa.

    “Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah pergi ke balai untuk membuat laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Fakhruddin berkata, bertindak atas maklumat, mangsa bersama sepasukan polis dari Balai Sungai Way berjaya menahan suspek dalam satu serbuan di Jalan PJS 5/30, Petaling Jaya pada pukul 5.40 petang, Sabtu.

    “Sampai di lokasi, mangsa dan pasukan serbuan telah menahan seorang lelaki tempatan serta merampas barang kes yang disiasat.

    “Hasil soal siasat, suspek mengaku telah terlibat dalam kes yang diadu. Dipandu arah oleh suspek berkenaan, pasukan serbuan telah pergi ke sebuah rumah di sekitar Sungai Way,” katanya.

    Selain itu, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, pihak polis menemui pakaian yang digunakan suspek semasa meragut telefon bimbit mangsa dan turut merampas empat buah telefon bimbit dipercayai hasil kegiatan samun.

    Katanya, semakan rekod mendapati, suspek berkenaan mempunyai 22 rekod jenayah lampau dan satu berkaitan dadah.

    “Kejayaan tangkapan ini telah menyelesaikan tiga kes samun tanpa senjata api dalam daerah Petaling Jaya.

    “Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun tanpa senjata api),” ujar beliau.

  • Tiga ditahan disyaki ‘keldai akaun’

    Tiga ditahan disyaki ‘keldai akaun’

    POLIS menahan dua wanita dan seorang lelaki kerana disyaki menjadi ‘keldai akaun’ oleh sindiket penipuan dalam tawaran kerja sambilan dan urusan pelaburan melalui dalam talian yang tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa kerugian.

    Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semua mereka berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan di Kedah dan Pulau Pinang, dua hari lepas.

    “Berdasarkan siasatan, tiga individu yang ditahan itu dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ sindiket penipuan dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah daripada RM13,220 sehingga RM61,946 membabitkan kes yang dilaporkan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu memaklumkan tiga suspek itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat Seksyen 420 Kanun keseksaan.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara atau sambilan, Macau scam dan parcel scam yang kesemuanya dilalukan menerusi media sosial,” menurut kenyataan itu.

  • Istana Negara terus jadi tumpuan hari ini

    Istana Negara terus jadi tumpuan hari ini

    ISTANA Negara Kuala Lumpur, sekali lagi menjadi tumpuan apabila Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dijadual berlangsung berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir dengan Parlimen tergantung, Sabtu lepas.

    Perbincangan dijadual bermula 11 pagi antara lain bertujuan mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi membantu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan berhubung pembentukan kerajaan baharu.

    Tinjauan Bernama mendapati konvoi kenderaan dari istana negeri mula memasuki perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1 seawal 9.40 pagi ini.

    Antara yang telah berangkat tiba setakat ini ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Keputusan PRU15 Sabtu lepas menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. 

    Pada PRU itu, Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.

    Sementara itu, hari ini juga berlangsung proses penamaan calon bagi pilihan raya kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri Tioman di Pahang yang  diadakan serentak susulan kematian calon di kedua-dua kerusi berkenaan sebelum hari pengundian PRU15.

  • Enam penjuru di Padang Serai

    Enam penjuru di Padang Serai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERJALANAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Padang Serai yang tertangguh sebelum ini bakal menyaksikan pertarungan enam penjuru.

    Perikatan Nasional (PN) yang mendominasi jumlah kerusi Parlimen dalam PRU-15 kali ini bakal Datuk Azman Nasrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Lima calon lain yang bakal turut memberi saingan adalah Datuk C. Sivarraajh (Barisan Nasional); Mohd. Bakhri Hashim (Warisan); Hamzah Abd. Rahman (Pejuang); Dr. Mohammad Sofee Razak (PH) dan seorang calon Bebas, Sreanandha Rao.

    Pengesahan mengenai penyertaan keenam-enam calon tersbeut dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah di Pusat Penamaan Calon bagi Parlimen tersebut, di Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kedah.

    PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon PH sebelum ini, mendiang M. Karupaiya yang meninggal dunia pada 16 November lalu.

    Azman (dua kiri), Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor (tengah) bersama-sama penyokong PN pada hari penaman calon di Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kedah, hari ini. – Foto Facebook Azman Nasrudin

    Tindakan PH menamakan Mohammad Sofee melenyapkan spekulasi terdapat pertukaran saat akhir setelah beliau diperkenalkan sebagai calon gabungan tersebut dalam satu majlis, malam tadi.

    Spekulasi itu timbul setelah terdapat pemakluman kira-kira pukul 1 pagi dalam kumpulan Whatsapp PKR Kedah kira-kira pukul 1 pagi menyatakan Mohammad Sofee akan digantikan dengan calon lain.

    Dipercayai calon baru, Shamsul Anuar Abdullah dipilih berikutan kekecohan membabitkanPKR Padang Serai yang tidak berpuas hati dengan pemilihan Mohammad Sofee .

    Shamsul berasal dari cabang PKR Padang Serai.

    Dalam proses pencalonan tersebut, kelima-lima calon turut melakukan cabutan semula undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.

  • ‘Kita tak tengok wayang, kita bermunajat’ – Faizal

    ‘Kita tak tengok wayang, kita bermunajat’ – Faizal

    “KITA tak tengok wayang. Kita bermunajat, tak makan ‘popcorn’ (bertih jagung).”

    Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata demikian dengan nada berseloroh ketika bertegur sapa dengan petugas media yang menunggu berhampiran kediaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bukit Damansara, di Kuala Lumpur hari ini.

    Bagaimanapun, Ahmad Faizal tidak memberitahu tujuannya hadir ke kediaman Muhyiddin pada pagi ini.

    Beliau yang memandu sendiri kereta jenis Lexus berwarna putih, tiba bersama isterinya, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi, pada pukul 9.25 pagi tadi.

    Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjenaka bahawa beliau mahu keluar menonton wayang, apabila ditanya pemberita ketika meninggalkan kediamannya di Bandar Sungai Long, Kajang, dan sekali lagi ketika beredar dari pejabat beliau di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

    Malah, Anwar turut memberikan ‘popcorn’ kepada pengamal media yang berkumpul di pekarangan pejabatnya sejak pagi, ketika itu.

    Ahmad Faizal secara berseloroh turut meminta pemberita bertanya Anwar mengenai wayang yang ditonton Presiden Parti keadilan Rakyat (PKR) itu.

    “Tanya Anwar, dia tengok wayang cerita apa? Seronok tak?” katanya, lapor Sinar Harian.

    Hari ini, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merungkai kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, dalam satu kenyataan semalam berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

  • Siti Bainun diperintah bela diri atas tuduhan abai dan aniaya Bella

    Siti Bainun diperintah bela diri atas tuduhan abai dan aniaya Bella

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini memerintahkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

    Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, di akhir kes pendakwaan.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala Siti Bainun diwakili peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Asiah Abd Jalil dan Nur Ellena Mohamed Razif.

    Turut Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman yang dilantik oleh Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.

  • PRU-15: PN optimis rampas DUN Tioman dari BN

    PRU-15: PN optimis rampas DUN Tioman dari BN

    PERIKATAN Nasional (PN) optimis dapat merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang pengundiannya akan berlangsung pada 7 Dis ini.

    Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abdul Jabar berkata Nor Idayu Hashim, 35, Ketua Muslimat parti itu bagi Cawangan Pianggu, adalah calon yang sesuai memandangkan DUN Tioman mempunyai ramai pengundi wanita.

    “Selain itu, gelombang pengundi pada PRU15 baru-baru ini yang menyaksikan pengundi beralih daripada BN kepada PN sehingga membolehkan kita merampas Parlimen Rompin dan DUN Bukit Ibam masih belum reda.

    “Saya percaya ini juga akan diterjemahkan di DUN Tioman dengan gerak kerja jentera parti yang akan membantu sehabis baik untuk memenangkan calon kita,” katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Pengenalan Calon DUN Tioman di Kampung Sepakat di Rompin malam tadi.

    Beliau berkata pemilihan Nor Idayu, yang berkelulusan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan, juga bagi memastikan terdapat ‘suara wanita’ di DUN Pahang.

    Jika menang, Nor Idayu akan menjadi calon tunggal wanita PN di DUN Pahang memandangkan kesemua 17 wakil rakyat gabungan itu yang menang pada PRU-15 adalah lelaki.

    PN Pahang turut meletakkan calon wanita pada PRU15 iaitu Ketua Muslimat Pas Pahang Salamiah Mohd Noor yang berjaya merampas kerusi Parlimen Temerloh daripada Pakatan Harapan (PH).

    Walaupun PN Pahang berjaya memperoleh 17 kerusi DUN, lebih satu kerusi berbanding BN, Rosli berkata ia bukan alasan untuk mereka ‘berasa selesa’ atau mengambil ringan cabaran pihak lawan.

    PRU-15 bagi DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian calon PN iaitu Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

  • PRU-15: Pusat penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman dibuka

    PRU-15: Pusat penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman dibuka

    PUSAT penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang dibuka pukul 9 pagi ini.

    Bagi Padang Serai, pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di Kulim manakala bagi Tioman, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin.

    Kedua-dua pusat itu akan dibuka sehingga 10 pagi.

    Calon-calon yang telah sah dinamakan bagi kedua-dua kerusi itu pada 5 Nov lepas perlu hadir di pusat penamaan calon untuk tujuan cabutan undi menentukan giliran pada kertas undi manakala calon baharu perlu menyerahkan kertas penamaan calon masing-masing.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga 11.59 malam 6 Dis.

    PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli dari Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.

    Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU-15, Sabtu lepas (19 Nov).

  • Komponen BN sahkan surat usul tidak percaya terhadap Zahid

    Komponen BN sahkan surat usul tidak percaya terhadap Zahid

    TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mengesahkan kesahihan surat usul tidak percaya terhadap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan.

    Bagaimanapun kedua-dua pemimpin tertinggi MIC dam MCA itu enggan mengulas lanjut mengenai kandungan surat berkenaan.

    Surat berkenaan ditandatangani Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup itu dihantar kepada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

    Dalam surat tersebut, ketiga-tiga pemimpin parti komponen itu meminta Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berundur secara terhormat serta-merta dan digantikan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Berdasarkan surat yang tular itu, tindakan tiga parti komponen berkenaan dibuat selepas Ahmad Zahid didakwa mengkhianati keputusan dicapai menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada jam 10 pagi semalam.

    Menerusi mesyuarat berkenaan, BN berpendirian untuk berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan termasuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

    “Perkara ini sudah diusulkan Presiden MIC dalam mesyuarat semalam, tetapi perjalanan mesyuarat terganggu apabila Pengerusi membenarkan Ahli Parlimen BN memasuki bilik mesyuarat walaupun mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum selesai.

    “Kami akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi BN untuk mengambil tindakan tatatertib sekiranya Pengerusi enggan berundur secara terhormat pada hari ini,” menurut surat tersebut.