Category: Semasa

  • Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    PEMILIK akaun Twitter menggunakan nama Zulfadzli@bumilangit yang memuat naik video mengandungi unsur perkauman di media sosial ditahan polis, hari ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

    “Lelaki itu direman bermula hari ini hingga 26 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baru-baru ini pemilik akaun Twitter tersebut difahamkan memuat naik video TikTok yang tular yang menjurus kepada unsur perkauman sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum.- BERNAMA

  • GPS mungkin jadi sebahagian kerajaan perpaduan

    GPS mungkin jadi sebahagian kerajaan perpaduan

    SEORANG pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia ke-10.

    “Saya gembira, kebuntuan telah berakhir. Saya harap kerajaan baharu akan berlaku adil kepada semua, termasuk Sabah dan Sarawak.

    “GPS akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan baharu,” kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, lapor Free Malaysia Today.

    Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak berkata, GPS berkemungkinan akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, yang dianjurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking turut mengucapkan tahniah kepada Anwar.

    “Kami berharap beliau akan segera memastikan pelaksanaan semua tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

    Dalam turut mengucapkan tahniah kepada Anwar, Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Jeffrey Kitingan mengingatkan bahawa perdana menteri baharu akan berdepan banyak cabaran.

    “Kami berharap aspirasi dan tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap hak perlembagaan mereka akhirnya didengari,” katanya.

    Terdahulu, Istana Negara mengesahkan Anwar akan dilantik sebagai perdana menteri ke-10 dan beliau dijadualkan mengangkat sumpah pada 5 petang hari ini.

  • Bapa tiri disyaki dera anak hingga maut direman lima hari-Polis

    Bapa tiri disyaki dera anak hingga maut direman lima hari-Polis

    BAPA tiri yang disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun hingga mati di Taman Sri Ramal, Kajang direman selama lima hari bermula hari ini hingga 28 Nov.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki berusia 53 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Serdang pada 12.39 tengah malam 22 Nov lepas berhubung seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa ke hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital dan menerusi bedah siasat dijalankan doktor semalam, punca kematian kanak-kanak itu dipercayai daripada kesan hentakan objek tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan ususnya pecah.

    Susulan itu, seorang lelaki tempatan ditahan di pekarangan Hospital Serdang pada 2.25 petang semalam.

  • 5 ahli politik ditahan bantah kerjasama GPS-PN

    5 ahli politik ditahan bantah kerjasama GPS-PN

    PRESIDEN Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan bersama empat lagi pemimpin parti itu ditahan di Kuching, semalam, kerana terbabit dalam bantahan terhadap kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Perikatan Nasional (PN).

    Lapor Berita Harian, kesemua ahli politik itu difahamkan menaiki lima kenderaan berkonvoi sekitar bandar raya ini sambil melaungkan ‘Say no to PAS’ petang kelmarin.

    Bantahan itu diadakan kerana parti terbabit tidak menerima Pas yang menjadi komponen utama PN.

    Sumber berkata, kelima-lima ahli politik itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga, di Kuching, kira-kira pukul 11 malam tadi.

    Jurucakap polis berkata, siasatan terhadap lima ahli politik itu dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Lee Shan dalam hantaran di akaun Facebooknya berkata, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini.

    Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mengumumkan keputusan GPS untuk menyertai kerajaan campuran bersama PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

  • Kelantan belum bincang tarikh PRN – Mohd Amar

    Kelantan belum bincang tarikh PRN – Mohd Amar

    KELANTAN belum membincangkan isu Pilihan Raya Negeri (PRN) walaupun momentum Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam keadaan baik.

    Malah Kelantan mempunyai tempoh sehingga Mei untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    “Setakat ini kita belum bincang apa-apa lagi kerana perlu fikir pengundi luar baru sahaja pulang selain petugas pilihan raya termasuk media yang bekerja keras.

    “Kita masih ada masa sehingga Mei dan sebaik pembubaran DUN dibuat, masih ada masa sehingga Julai. Maka kita tunggu dulu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.

    Sementara itu, Mohd. Amar berkata, pihaknya berharap semua projek di Kelantan akan diteruskan dengan pembentukan kerajaan baharu.

    “Ini kerana apa sahaja projek akan memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Presiden MCA didesak letak jawatan

    Presiden MCA didesak letak jawatan

    PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong perlu meletakkan jawatan susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Pengerusi MCA Bahagian Mersing, Tan Ah Fatt berkata, Ka Siong harus bertanggungjawab atas kegagalan dan memberi ruang kepada generasi baharu memimpin MCA.

    “Masyarakat Cina hari ini jelas menyatakan pendirian mereka dalam PRU15 apabila menolak MCA, namun presiden masih melanggar kehendak masyarakat Cina.

    “Tindakan itu hanya akan menghancurkan MCA. Paling menyedihkan, MCA yang mewakili kaum Cina di Malaysia hanya memenangi dua kerusi di 44 kawasan yang majoritinya bukan Cina. Keputusan diraih MCA pada PRU15 adalah sangat teruk.

    “MCA Bahagian Mersing termasuk Pemuda MCA Bahagian Mersing dengan ini menggesa Presiden supaya mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk parti dalam PRU15 dengan meletakkan jawatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ah Fatt menyifatkan tindakan Presiden MCA meminta Setiausaha Agungnya mengeluarkan kenyataan sebagai melucukan apabila menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, untuk berundur kerana kegagalan pada PRU15.

    “Presiden bukan sahaja gagal memimpin seluruh parti dan pemimpin akar umbi dengan hala tuju dan strategi yang jelas selepas pilihan raya, malah meminta pula Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon mengeluarkan kenyataan meminta Pengerusi BN berundur.

    “Kenapakah presiden tidak berani mengeluarkan kenyataan sendiri supaya Pengerusi BN meletak jawatan, sebaliknya meminta Setiausaha Agungnya menanggung beban.

    “Adakah ini bermakna Presiden MCA tidak perlu menanggung tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan teruk parti pada PRU15,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Ah Fatt berkata, Ka Siong selaku pemimpin nombor satu dalam parti seolah-olah menafikan kegagalan beliau dalam memimpin parti ini apabila beliau menolak tanggungjawab kekalahan ini kepada Ahmad Zahid.

  • Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10

    Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

    Pelantikan Presiden PKR itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, sebentar tadi.

    “Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

    “Selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” demikiat menurut kenyataan Istana Negara.

    Kenyataan itu menyebut, pada sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu bahawa proses pelantikan Perdana Menteri baharu adalah susulan daripada PRU15, Sabtu lalu.

    “Perbicangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka mendapat pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkah baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

    “Proses di atas adalah bagi membolehkan Seri Paduka membuat keputusan melantik seorang Ahli Dewan Rakyat pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan,” katanya.

  • PN mampu menang mudah di Padang Serai, Tioman 

    PN mampu menang mudah di Padang Serai, Tioman 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERIKATAN Nasional (PN) diyakini tidak berdepan masalah untuk mencapai kemenangan di Parlimen Padang Serai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang tertangguh akibat kematian calon yang bertanding di kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini.

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini yang dilihat menampakkan keyakinan rakyat kepada PN.

    “Dengan gelombang yang bertiup ke arah PN, penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta perkembangan semasa yang memberi kesedaran kepada pengundi, saya fikir PN akan mendapat laluan mudah untuk menang di Padang Serai dan Tioman,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengiringi calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin pada proses penamaan calon di Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), hari ini.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dalam pada itu turut menyatakan persetujuan dengan cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak bersama lima negeri lain termasuk yang berada di bawah pentadbiran PH.

    Secara prinsipnya kata beliau, idea berkenaan dilihat akan memudahkan perjalanan pilihan raya termasuk pergerakan pengundi luar untuk pulang serta petugas-petugas parti.

    “Kalau nak dijadikan pilihan raya serentak kita boleh rundinglah dengan negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu. Saya rasa perkara ini bukanlah sesuatu yang sulit untuk dipersetujui bersama.

    “Kalau Pas pusat bersetuju tak ada masalah, bagi pihak negeri saya fikir pilihan raya bersama itu lebih baik untuk memberi peluang kepada semua orang balik untuk mengundi, kalau cuti pun akan serentak sahaja,” katanya.

  • GRS akur keputusan Agong wujudkan kerajaan perpaduan

    GRS akur keputusan Agong wujudkan kerajaan perpaduan

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) akur terhadap apa jua keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah termasuk mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

    Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor berkata pendirian itu senada dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan penubuhan kerajaan perpaduan harus inklusif serta melibatkan kerajaan Sabah dan Sarawak yang diberi mandat oleh rakyat.

    Ketua Menteri Sabah itu berkata GRS juga berpendirian bahawa adalah perlu pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.

    “Bagi memastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Pakatan Harapan menang 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), GPS (23), GRS (enam), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

    Keputusan PRU15 menyaksikan tidak ada parti mahupun blok parti politik yang berjaya mendapat majoriti sekali gus menyebabkan Parlimen tergantung. – BERNAMA

  • Penjilat ludah, ‘desperado’, oportunis dan pencatur licik pakat halang PN – Sanusi

    Penjilat ludah, ‘desperado’, oportunis dan pencatur licik pakat halang PN – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan semua pihak agar berpolitik secara bermaruah.

    Menurut Menteri Besar Kedah itu, ketika ini penjilat ludah, ‘desperado’, oportunis dan pencatur licik sedang berpakat untuk menghalang kemaraan Perikatan Nasional (PN) dengan pelbagai usaha dan taktik kotor.

    Begitu pun katanya, semua pihak harus meneguhkan pendirian dan mengukuhkan keyakinan terhadap PN selain melihat sejauh mana kumpulan-kumpulan yang berpakat itu mahu ‘pergi’.

    “Tsunami PRU-15 yang membentuk sokongan besar kepada PN telah membadai Malaysia, terbit daripada kemahuan dan kepercayaan rakyat Malaysia kepada pendekatan dan dasar parti politik yang bersih dan stabil untuk membentuk kerajaan baharu.

    “Konsep dan dasar PN dibesarkan lagi melalui persetujuan gabungan parti-parti politik yang diterajui gabungan ini untuk membawa citra Malaysia, bagi menubuhkan kerajaan baharu.

    “Hanya gabungan PN yang memiliki semua keupayaan untuk mengemudi negara tercinta ini, berasaskan daya kepimpinan dan rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook peribadinya, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, kerajaan baharu ditawarkan PN adalah pemerintah yang prihatin selain pentadbiran bersih dan stabil.

    “PN sedang dipimpin oleh tokoh negara dan parti politik yang benar-benar prihatin, bersih dan stabil.
    Dalam kalangan pemimpin PN tiada kluster mahkamah atas tuduhan rasuah seperti yang ada dalam kalangan dua kelompok lain yang sedang berhempas pulas ingin merebut kuasa.

    “PN bebas dari ekstrimis kaum dan agama, jauh daripada pelampau liberalisme dan penganut pluralisme yang mencarik adat, norma, nilai dan budaya Malaysia,” katanya.