Category: Semasa

  • Kanak-kanak lelaki 9 tahun maut

    Kanak-kanak lelaki 9 tahun maut

    SEORANG kanak-kanak berusia sembilan tahun maut, selepas kereta dinaiki empat sekeluarga terbabit kemalangan di Munggu Tapang, Bukit Bangunan di Sri Aman, hari ini.

    Dalam kejadian itu, budak tersebut lelaki berkenaan menaiki kenderaan terbabit bersama bapanya yang juga pemandu, ibu dan seorang lagi adiknya berusia enam tahun.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pukul 5.15 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman ke lokasi kejadian.

    “Kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas akibat hilang kawalan.

    “Terdapat empat orang mangsa yang terbabit di dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum Bomba sampai lokasi kejadian.

    Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit mengalami cedera ringan, manakala seorang anak mangsa yang berumur sembilan tahun tidak sedarkan diri dan disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan.

    “Ibu mangsa dan seorang lagi anak mangsa yang berumur enam tahun yang selamat dan dibawa ke Klinik Pantu,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Anak gajah mati dilanggar Perodua Viva

    Anak gajah mati dilanggar Perodua Viva

    SEEKOR anak gajah mati selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di Lahad Datu, pukul 2.16 pagi tadi.

    Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Sylverter Saimin berkata, anak gajah berkenaan mati di lokasi kejadian.

    “Anak gajah berkenaan dikatakan sedang melintas jalan di lokasi itu. Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta Perodua Viva tidak dapat mengelak lalu melanggar anak gajah berkenaan.

    “Kakitangan JHL Lahad Datu melakukan bedah siasat dan kemudian menanam bangkai anak gajah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, pemandu Perodua Viva seorang lelaki tempatan tidak mengalami kecederaan.

    “Namun kereta Perodua Viva dipandu lelaki terbabit rosak di bahagian hadapan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Suspek muat naik video berunsur perkauman bebas dengan jaminan

    Suspek muat naik video berunsur perkauman bebas dengan jaminan

    PEMILIK akaun Twitter yang ditahan polis kerana disyaki memuat naik video berunsur perkauman di media sosial, Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, ia susulan tempoh reman ke atas lelaki tersebut tamat, hari ini.

    “Seterusnya, PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, akan merujuk kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara menurut peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, setelah siasatan dilengkapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana memuat naik video yang menjurus kepada unsur perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum di aplikasi TikTok.

  • Warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah

    Warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah

    LELAKI warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah di Taman Bulatan Miri, Jalan Bulatan Park di Miri, hari ini.

    Chin Tet Min@ Tet Bui, 72, ditemui terbaring tidak sedarkan diri dengan badannya dikerumuni tebuan.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 2.57 petang dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral bergerak ke lokasi.

    “Setibanya pasukan, didapati mangsa lelaki terbaring tidak sedarkan diri dikerumuni tebuan yang masih berterbangan di sekitar tubuhnya.

    “Kaedah RECEO diaplikasikan dan anggota mengalihkan mangsa menggunakan baju khas pelindung, bagi tujuan memusnah sarang serangga berbisa itu

    “Mangsa berjaya dialihkan ke kawasan jarak selamat anggaran 9.1 meter dari lokasi asal dia terbaring serta diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.

    “Pihak perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, pemantauan di buat di sekitar lokasi dan anggota menjumpai satu sarang tebuan di atas pokok dengan anggaran ketinggian 21.3 meter.

    Katanya, perbincangan dibuat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memusnahkan sarang itu dan perlu menggunakan jentera ‘sky lift’.

    “Tindakan memusnahkan sarang tebuan akan segera dilaksana apabila jentera tiba, atas faktor keselamatan penduduk dan orang awam yang beriadah di taman awam itu,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Gerakan yakin gabungan PN masih diterima rakyat

    Gerakan yakin gabungan PN masih diterima rakyat

    PENINGKATAN jumlah undian kepada calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, menunjukkan slogan prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan oleh Perikatan Nasional (PN) diterima rakyat.

    Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata sebanyak 34 peratus pengundi kali pertama berbangsa Melayu memberi undi dan sokongan kepada PN.

    “Ia membuktikan rakyat menerima ideologi PN. Undi yang diperoleh Gerakan juga meningkat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun lalu dan juga PRN Johor awal tahun ini diadakan.

    “Fokus bagi Gerakan adalah Pulau Pinang. Kita berjaya mendapat tempat kedua dalam empat daripada lima kerusi Parlimen yang dipertandingkan walaupun semua kerusi tersebut membabitkan empat ataupun lebih calon,” katanya hari ini di Ibu Pejabat Parti Gerakan, lapor BH Online.

    Dominic turut berkata, fokus Gerakan kini adalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dahulu.

    “Pada masa yang singkat ini, kita juga akan mempersiapkan jentera bagi mengharungi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu pada tahun hadapan,” katanya.

    Pada PRU15, Gerakan bertanding di 20 kerusi Parlimen dengan lima daripada kerusi Parlimen itu akan dipertandingkan di Pulau Pinang, negeri yang pernah menjadi kubu kuat parti itu sebelum dirampas DAP pada 2008.

    Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan gabungan parti politik itu tidak akan menyertai Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif.

    PN juga akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen dengan membawa suara rakyat selaras prinsip demokrasi berparlimen.

  • Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands

    Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands

    SEORANG lelaki maut selepas tertimbus runtuhan tanah di Blue Valley berhampiran Kampung Raja, di Cameron Highlands hari ini.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, pihaknya menerima panggilan pukul 12.54 tengah hari berhubung kejadian itu.

    Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands dikejarkan ke lokasi.

    “Mangsa warga tempatan berusia 37 tahun itu terperangkap di dalam sebuah pengorek kaut (backhoe) yang tertimbus ketika melakukan kerja mengorek tanah di kawasan itu.

    “Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa, namun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

  • ‘Nak jumpa kawan pun tak boleh’, Ismail nafi ‘Langkah Tropicana’

    ‘Nak jumpa kawan pun tak boleh’, Ismail nafi ‘Langkah Tropicana’

    NAIB presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan terdapat pertemuan tertutup semalam yang melibatkan pemimpin BN dan PAS di sebuah kelab golf di Petaling Jaya, Selangor. 

    Menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri menyifatkan segala tindakannya kini disalah tafsir, sehingga dia dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan dari Pas sementara pihak yang bertemu dengan pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) dianggap hero. 

    “Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

    “Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan Pas (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya lapor Malaysia Kini.

    Khabar angin berhubung perjumpaan di Tropicana Golf Resort yang diberi julukan ‘Langkah Tropicana’ itu berlegar dalam media sosial, disertakan dengan beberapa gambar yang didakwa dirakan ketika pertemuan itu.

    Sepuluh pemimpin BN dan Pas dikatakan terlibat pertemuan itu.

    Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang didakwa terlibat pertemuan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan bekas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan semalam dia hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri (PMO), tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa dia bersama Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

    Malah menurutnya, pemimpin UMNO lain seperti Khairy Jamaluddin turut difitnah, bahawa dia membuat gerakan untuk melawan Presiden parti, Daruk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

    “Sekarang ni, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi Perdana Menteri, pemimpin UMNO memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan UMNO,” katanya. 

    Khabar angin itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem – antara mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH, dan mereka yang tidak bersetuju.

    Terdapat juga gesaan sebelum ini dari dalam UMNO untuk Ahmad Zahid meletakkan jawatan selepas Presiden UMNO itu menghantar surat kepada pihak istana menyatakan sokongan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Minta jangan jadi paparazzi

    Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan.

    Wee menjelaskan dia cuma ke lokasi berkenaan untuk menjamu selera dengan rakannya.

    “Ini mengarut. Saya sedang menjamu selera (brunch), dimsum bersama dua rakan di restoran, pada jam 10 pagi semalam,” katanya. 

    Apabila ditanya sama ada dia ada bertemu dengan pemimpin lain dalam senarai tersebut, Wee berkata dia ada terserempak dengan Ismail Sabri yang sedang bersarapan berseorangan. 

    Katanya, dia hanya menegur ringkas Ismail Sabri dan beredar kerana enggan mengganggu bekas Perdana Menteri itu. 

    “Saya tak nampak orang lain pun. Macam mana saya nak tahu kalau dia ada perjumpaan ke tak? 

    “Kamu boleh periksa dengan pengurusan Tropicana, periksa CCTV? Tolonglah, ini privasi. Macam mana mereka boleh buat macam tu?” katanya. 

    Menyifatkan individu yang merakam gambar yang diambil sebagai ‘paparazzi, Wee meminta supaya tindakan seumpamanya dihentikan. 

    “Saya tak terlibat dalam apa-apa pertemuan… saya di sana menikmati brunch saja,” katanya yang mengulangi dia tidak terlibat dengan mana-mana pertemuan yang dimaksudkan. 

    Sementara itu, Annuar turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan apabila ditanya mengenai perkara itu. 

    “Nak main golf kot,” jawabnya ringkas.

  • Jangan keluar kenyataan ganggu pentadbiran Johor, pesan MB

    Jangan keluar kenyataan ganggu pentadbiran Johor, pesan MB

    MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu gugat pentadbiran negeri itu.

    Onn Hafiz berkata, Johor masih lagi sebuah kerajaan yang stabil, di bawah naungan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    “Insya-Allah. Negeri Johor masih lagi sebuah kerajaan yang stabil di bawah naungan Kebawah DYMM Tuanku Sultan Johor.

    “Saya mohon kembali supaya tidak ada pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu-gugat pentadbiran negeri Johor. Kepada Allah kita berserah,” katanya, lapor FMT hari ini.

    Itu susulan kenyataan Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse yang dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) Johor, memohon budi bicara kerajaan negeri untuk membenarkan wakil rakyat daripada parti itu dilibatkan sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

    Jimmy Puah dipetik sebagai berkata, ini bertujuan menyelaraskan gerak kerja pentadbiran memandangkan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) sudah menjadi rakan sekutu di peringkat persekutuan.

    “PH Johor akan menulis surat rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat. Saya harap atas budi bicara kerajaan negeri khasnya Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, membenarkan ADUN dan Ahli Parlimen PH Johor untuk menjadi ahli JTPD dan terlibat dalam mesyuarat itu.

    “Ini kerana kita sudah jadi rakan sekutu di Persekutuan dan memang ada keperluan untuk kita menyertai mesyuarat bulanan di pejabat daerah bagi menyelaraskan gerak kerja, saya harap menteri besar boleh mempertimbangkannya,” katanya dalam satu program di Parlimen Tebrau hari ini.

  • Kerajaan pimpinan Anwar bukan Kerajaan Perpaduan, tapi Kerajaan PH – Dominic Lau

    Kerajaan pimpinan Anwar bukan Kerajaan Perpaduan, tapi Kerajaan PH – Dominic Lau

    PRESIDEN Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah satu ‘Kerajaan Perpaduan’.

    Sebaliknya kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, kerajaan tersebut lebih tepat ditakrifkan sebagai ‘Kerajaan Pakatan Harapan,’.

    “Kerajaan Perpaduan sepatutnya merangkumi semua parti politik di negara ini. Pendirian PN dan Gerakan adalah konsisten, iaitu untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dalam Parlimen.

    “Pendirian bagi PN seperti dikatakan kepada Pengerusi PN, kita akan menjadi pembangkang di arena politik negara kita. Dan memang saya katakan bagi definisi kerajaan perpaduan itu adalah kerajaan yang merangkumi semua parti politik.

    “Pada hari ini dengan jelas kita nampak ini Kerajaan Pakatan Harapan bukan kerajaan perpaduan. Oleh itu, kita mainkan peranan pembangkang seperti dikatakan Muhyiddin, iaitu Pengerusi PN,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Dalam pada itu, Dominic berkata, culaan (pengiraan awal) menunjukkan hampir 34 peratus undi rakyat memihak kepada PN dan Gerakan kali ini.

    “Dan sokongan yang meningkat itu kita rujuk kepada keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, memang jika berbanding Pilihan Raya Umum, itu, sokongan itu jelas tidak menampakkan sokongan itu.

    “Saya pun jelaskan semasa PRN Melaka dan Johor, kita memang menggunakan slogan bersih dan stabil, tetapi pada masa itu sokongan rakyat kepada PN tak tinggi.

    “Tetapi kita tahu slogan ini, ideologi bagi PN iaitu Prihatin, Bersih, dan Stabil ini adalah ideologi terbaik sekali untuk rakyat, pilihan terbaik sekali untuk rakyat,” katanya lapor Astro Awani.

    Dominic berkata, PN akan terus berpegang kepada visi dan slogan itu dalam usaha mengukuhkan jentera bagi menghadapi enam lagi Pilihan Raya Negeri pada tahun hadapan, iaitu untuk Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.

  • Kes rompakan babit kerugian ratusan ribu ringgit di Miri, Brunei selesai

    Kes rompakan babit kerugian ratusan ribu ringgit di Miri, Brunei selesai

    POLIS Sarawak berjaya menyelesaikan kes rompakan yang berlaku di Miri termasuk di Brunei membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit dengan penahanan 10 suspek membabitkan warga negara asing dan tempatan baru-baru ini.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Ahmad Sapri berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima laporan kes rompakan bersenjata disyaki didalangi warga negara asing yang berlaku di kawasan Miri dan Bekenu pada 8 September dan 14 September lalu.

    “Dalam kejadian rompakan bersenjata pada awal pagi itu, tangan mangsa diikat dengan tali oleh penjenayah bersenjatakan parang.

    “Penjenayah terbabit berjaya melarikan sejumlah wang tunai berserta barangan berharga yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, ekoran laporan itu, polis Miri melancarkan operasi dalam usaha mengesan penjenayah terbabit sehingga mendapat satu maklumat disalurkan orang awam mengenai sekumpulan lelaki warga negara asing yang mencurigakan mendiami sebuah rumah di kawasan Riam ByPass Miri.

    “Berpandukan maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri membuat intipan dan pemantauan ke atas rumah itu selama beberapa hari, katanya.

    Menurutnya, hasil intipan dan pemantauan dijalankan, pihak polis melancarkan Op Rantau untuk mengesan dan menangkap suspek disyaki terbabit dalam kes rompakan bersenjata itu.

    Beliau berkata, pada 16 November lalu, serbuan dilakukan di kediaman itu dan berjaya menangkap dua lelaki warga negara asing serta seorang lelaki tempatan pada pukul 3 pagi.

    “Lima individu yang turut menghuni rumah itu juga ditahan bagi membantu siasatan.

    “Susulan tangkapan dan pemeriksaan ke atas rumah itu, polis berjaya menjumpai barangan berharga disyaki dilarikan suspek dalam kejadian rompakan, selain menjumpai kelengkapan pecah rumah dan senjata yang disyaki digunakan mereka,” katanya lapor BH Online.

    Azman berkata, dua lagi suspek warga negara asing yang terbabit dalam rompakan itu dipercayai melarikan diri ke daerah lain dengan menaiki bas pada malam 15 November lalu.

    Bagaimanapun, beliau berkata, pada awal pagi 16 November, suspek terbabit berjaya ditahan di stesen bas Serian oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada BSJD Serian.

    “Polis turut menjumpai barangan rompakan dibawa bersama suspek dan siasatan yang dijalankan mendapati semua suspek adalah penjenayah yang terbabit secara langsung dalam kejadian rompakan dan pecah rumah di sekitar daerah Miri.

    “Semua suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan serta rompakan bersenjata dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah,” katanya.