Category: Semasa

  • Perkasa selar tindakan Dong Zong, rakus tuntut pengiktirafan UEC

    Perkasa selar tindakan Dong Zong, rakus tuntut pengiktirafan UEC

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyelar tindakan Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) yang dilihat mula tergesa-gesa bagi menuntut kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Examination Certificate (UEC), tidak berapa hari selepas pelantikan Perdana Menteri.

    Ketua Wira Perkasa, Muhamad Syafiq Ibrahim berkata, Dong Zong tidak seharusnya bertindak terlalu rakus dengan menuntut perkara yang sia-sia dan boleh menyebabkan sistem pendidikan negara terganggu.

    Katanya, tindakan itu boleh menimbulkan keadaan yang mengancam keharmonian selain mengakibatkan jurang kaum semakin besar, disebabkan perbezaan silibus serta bahasa digunakan di Malaysia.

    “Jika pengiktirafan UEC dibenarkan, itu merupakan satu langkah ke belakang. Langkah itu sangat tidak wajar kerana bercanggah dengan aspirasi dasar pendidikan negara dan dasar kebudayaan kebangsaan.

    “Adalah lebih baik jika sistem pendidikan di negara ini disatukan dalam satu aliran saja. Sudah pasti perpaduan kaum di Malaysia akan lebih baik dan terjamin untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Dong Zong menggesa kerajaan baharu mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Cina bebas dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina secepat mungkin.

    Menurut laporan Sin Chew Daily, mesyuarat bersama Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan, termasuk menggesa Anwar mengiktiraf sijil UEC dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina Persendirian secepat mungkin.

    Mengulas lanjut, Muhamad Syafiq turut mendesak dan mengingatkan Menteri Pendidikan yang bakal dilantik agar tidak sesekali melayan sebarang permintaan berkaitan pengiktirafan UEC.

    Katanya, Menteri Pendidikan yang akan dilantik itu perlu mengkaji dan mengambil kira Perlembagaan, undang-undang serta kepentingan kedaulatan negara dalam membuat keputusan berkaitan UEC.

    Sebaliknya kata beliau, Menteri Pendidikan itu perlu sentiasa fokus kepada usaha memperkasakan serta menambah baik sistem institusi pendidikan negara.

    “Kalangan ahli politik yang bersembunyi di sebalik isu pengiktirafan UEC ini juga diingatkan agar tidak mengamalkan politik semptit hanya untuk kepentingan peribadi tanpa mengambil kira dan memikirkan tentang tanah air.

    “Jangan kerana orang politik, dasar pendidikan negara menjadi mundur. Negara hanya perlu mengamalkan aliran satu sistem pendidikan kebangsaan saja yang mengkhususkan kepada usaha menyatukan semua kaum,” katanya.

    Katanya, Bahasa Melayu juga perlu sentiasa didaulatkan dengan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan perlu diteruskan agar menjadi bahasa pengantar utama bagi semua masyarakat di Malaysia.

  • Integriti terjejas jika lantik ahli Parlimen ‘kluster mahkamah’ jadi menteri

    Integriti terjejas jika lantik ahli Parlimen ‘kluster mahkamah’ jadi menteri

    KUMPULAN pemerhati pilihan raya Bersih menolak pelantikan mana-mana ahli politik yang mempunyai kes mahkamah ke dalam Jemaah Menteri, terutamanya Ahmad Zahid Hamidi, yang disebut-sebut bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

    Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga tidak seharusnya dilantik menjadi menteri sehingga kes mahkamah mereka selesai kerana ini akan menjejaskan integriti kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tambahnya.

    “Bersih bimbang (mengenai) sesetengah pihak dan individu yang mencadangkan Zahid untuk dipertimbangkan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam Jemaah Menteri Anwar,” katanya dalam kenyataan.

    “Bersih menolak dengan tegas sebarang perlantikan wakil rakyat yang sedang menjalani pendakwaan jenayah ke sebarang jawatan Jemaah Menteri kerana hal yang demikian akan menjejaskan integriti kerajaan pimpinan Anwar dan mencemarkan reputasi negara.

    ”Kumpulan itu berpandangan, ahli politik yang masih mempunyai kes mahkamah langsung tidak boleh diterima untuk memegang jawatan eksekutif kerana sebarang pembebasan akan dilihat sebagai pemberian pengampunan kepada mereka yang di pihak eksekutif, sekalipun jika kes mereka secara meritnya layak dibebaskan.

    “Hal ini akan melumpuhkan keyakinan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara dan sistem kehakiman,” katanya, lapor FMT.

    Lim Guan Eng bersama barisan peguam – Foto hiasan

    “Bersih menggesa semua parti dalam kerajaan gabungan campuran ini untuk mengelakkan menamakan individu dalam kes mahkamah kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan beliau dalam proses pembentukan Jemaah Menteri.

    ”Menjelang pembentukan Jemaah Menteri yang baharu, beberapa pihak mencadangkan Zahid selaku Presiden UMNO dilantik menjawat jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.

    Zahid pada 22 Sept telah dibebaskan daripada tuduhan rasuah berkait skim Visa Luar Negara (VLN), namun beliau masih sedang dibicarakan atas 47 lagi tuduhan jenayah pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

    Sebelum ini, bekas menteri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, kluster mahkamah perlu ditolak daripada menyertai Jemaah Menteri kerana ia akan memberi imej negatif kepada kerajaan baharu.

  • Hadi kecam naratif ‘Islamofobia’ DAP terhadap Pas pasca PRU15

    Hadi kecam naratif ‘Islamofobia’ DAP terhadap Pas pasca PRU15

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa DAP yang merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) cuba mempromosikan naratif Islamofobia dalam usahanya untuk menyekat parti itu daripada terus berada dalam kedudukan kukuh berikutan kemenangan besarnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

    Hadi dalam kenyataan tegas menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang tidak bermoral, di samping mengatakan parti itu ‘menunjukkan belangnya secara terbuka dan rakus’.

    “Pandangan para orientalis dan media Barat yang paling bermusuh serta berbohong terhadap Islam yang disebarkan di negara Barat telah diimport ke Malaysia oleh DAP, sehingga dilaporkan maklumat yang salah terhadap Pas,” kata Hadi.

    PRU15 baru-baru ini menyaksikan Pas memenangi 49 kerusi di peringkat persekutuan, menjadikannya parti yang memenangi paling banyak kerusi.

    Bilangan itu diikuti DAP yang memenangi 40 kerusi, menjadikannya rakan kongsi terbesar dalam PH.

    Kenyataan Hadi itu dibuat kira-kira empat hari selepas kemelut politik berakhir dengan pengumuman Yang di-Pertuan Agong, menamakan DatuK Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Pemimpin politik berkata Agong menggesa semua pihak membentuk ‘kerajaan perpaduan’, walaupun istilah itu tidak disebut dalam kenyataan rasmi istana ketika menamakan Anwar sebagai perdana menteri ke-10.

    Sekutu Hadi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini menolak cadangan istana dan berkata beliau tidak faham mengapa 115 akuan berkanun yang menyokongnya diabaikan walaupun ia dikemukakan sebelum lanjutan tempoh 24 jam yang diberikan.

    Dalam kenyataannya hari ini, Hadi berkata DAP tidak pernah belajar apa-apa daripada kerjasama yang pernah terjalin sebelum ini dengan Pas dalam Pakatan Rakyat, di mana beliau berkata pemimpin kedua-dua parti mengadakan banyak dialog bagi menjelaskan kekeliruan mengenai Islam.

    Beliau berkata antara naratif DAP ialah memberikan label terhadap sesiapa yang bercakap mengenai perjuangan Melayu-Islam sebagai ‘perkauman’.

    “Strategi ini digerakkan secara wayang kulit dengan DAP menjadi dalang di belakangnya.

    “Hak beragama bukan Islam yang ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan dianggap tidak mencukupi dan zalim, laksana diberikan betis mahukan paha.

    “Malah, hak berbahasa dan berbudaya yang diizinkan dalam Perlembagaan dianggapnya tidak memadai.

    “DAP terus bersikap melampau terhadap budaya umat Islam yang mahu dirosakkannya secara halus dan terancang,” tambah Hadi, lapor Malaysianow.

    Hadi turut berkata percubaan DAP menggunakan Melayu-Islam sebagai jurucakap mereka akan gagal.

    “Bangkai yang terlalu busuk itu tidak boleh ditutup oleh tangan DAP yang bergelumang dengan najis, walaupun mereka bertopengkan Melayu yang berwuduk dan disamaknya.”

  • Bas ekspres rempuh treler, 16 penumpang warga Singapura cedera

    Bas ekspres rempuh treler, 16 penumpang warga Singapura cedera

    SERAMAI 16 penumpang cedera ringan apabila bas ekspres dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 179.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di Jasin pada pagi Isnin.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan II Azman Md Dawam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 pagi dan seramai 17 pegawai serta anggota daripada BBP Jasin Bestari dan Tangkak digegaskan ke lokasi.

    “Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah bas ekspres membawa 27 penumpang telah melanggar sebuah treler membawa muatan barangan kitar semula.

    “Kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kesemua 16 penumpang itu telah diberi rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kesemua penumpang terlibat adalah warga Singapura dan bas tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

    Beliau berkata bas ekspres dipandu lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang treler berkenaan di lorong paling kiri.

    Katanya kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Remaja lelaki maut kemalangan, tercampak dari jambatan

    Remaja lelaki maut kemalangan, tercampak dari jambatan

    SEORANG remaja lelaki maut selepas tercampak dari sebuah jambatan setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Besar Nilai-Pajam, Nilai, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata dalam kejadian pada 1.57 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederan parah di badan dan kepala setelah tercampak dari jambatan berketinggian 30 meter.

    “Siasatan awal mendapati, kereta tersebut yang sedang dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Nilai menghala ke arah Pajam, telah bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba masuk ke laluan kereta berkenaan.

    “Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak dari jambatan manakala pemandu kereta iaitu lelaki berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Pengundi Padang Serai akan beri isyarat jelas kepada PH, BN – Calon PN

    Pengundi Padang Serai akan beri isyarat jelas kepada PH, BN – Calon PN

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGUNDI Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai khususnya penyokong UMNO akan memberi isyarat jelas menolak pemimpin yang tidak menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu, 7 Disember ini.

    Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin berkata, penolakan itu disebabkan penyokong dan akar umbi UMNO tertipu dengan pucuk pimpinan parti itu yang pada awalnya menegaskan tiada kerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Katanya, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN itu juga diibaratkan seperti ‘kerajaan penzinaan’ kerana ‘perkahwinan’ yang tidak direstui ahli serta pemimpin di peringkat bawahan.

    “Saya yakin orang Melayu yang dikhianati dan ditipu akan beri isyarat jelas kepada PH, Anwar dan (Datuk Seri Dr.) Ahmad Zahid Hamidi bahawa mereka menolak pemimpin yang tak tunai janji, tak cakap benar dan tipu pengundi masa kempen.

    “Mengapa saya cakap ‘kerajaan penzinaan’ kerana perkahwinan itu tidak direstui penyokong dan pemimpin UMNO bawahan kerana melanggar resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

    “Apabila Ahmad Zahid terbukti sokong Anwar sebagai Perdana Menteri walhal disebut No Anwar No DAP tapi akhirnya terpaksa sokong mungkin dengan syarat bebaskan beliau daripada kes dihadapi, maka ianya tak direstui pemimpin dan ahli UMNO di bawah,” katanya.

    Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas dan bekas pimpinan PKR berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Pekan Merbau Pulas, Padang Serai di Kulim.

    Menurutnya, situasi itu turut memberi kelebihan kepada PN di Padang Serai kerana momentum pengundi Kedah masih tinggi menolak 100 peratus BN dan PH yang hanya menang satu kerusi.

    “Terbukti di Kedah BN tiada kerusi Parlimen, PH hanya menang majoriti 1,115 undi di Sungai Petani dan Padang Serai akan membuktikan PN boleh menang dengan majoriti tinggi.

    “Kita akan kerja keras keluar seramai mungkin pengundi agar capai sekurang-kurangnya 80 peratus bagi membolehkan kita beri mesej kepada kerajaan bahawa orang Melayu dah buat perubahan,” katanya.

    Sementara itu, Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah tidak akan mempertahankan DUN Lunas sekiranya menang di Padang Serai.

    Beliau berkata, ianya bagi membolehkan tumpuan sepenuhnya diberikan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu yang memerlukan komitmen lebih tinggi berbanding ADUN.

  • Tiga lelaki ditahan terlibat perjudian bola sepak Piala Dunia

    Tiga lelaki ditahan terlibat perjudian bola sepak Piala Dunia

    TIGA lelaki tempatan ditahan di Perak selepas disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian bola sepak sempena Piala Dunia Qatar 2022.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ketiga-tiga mereka disyaki ejen bookie itu ditahan dalam tiga serbuan di Ipoh dan daerah Hilir Perak menerusi Op Soga IX yang bermula 21 November lalu.

    “Aktiviti pertaruhan Op Soga di Kontinjen Perak dikesan menggunakan satu aplikasi yang membolehkan pelanggan membuat pertaruhan di alam maya.

    “Suspek hanya perlu ‘top up’ aplikasi berkenaan dengan membeli top up atau secara terus di premis yang menyediakan top up tersebut,” katanya dalam atau kenyataan hari ini

    Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas alat peranti, peralatan yang mempunyai catatan taruhan dan wang tunai keseluruhan RM900.

    Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu telah direman bagi siasatan kes di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

    “Tindakan berterusan sedang dijalankan untuk memerangi aktiviti ini secara menyeluruh,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Op Soga bermula pada 21 November lalu hingga 19 Disember depan bagi membanteras gejala pertaruhan dan perjudian membabitkan Kejohanan FIFA World Cup Qatar 2022.

    Kejohanan ini melibatkan sebanyak 32 negara yang dibahagikan kepada lapan kumpulan.

  • PRU-15: Keputusan Wan Rosdy tak lemahkan Pas Pahang

    PRU-15: Keputusan Wan Rosdy tak lemahkan Pas Pahang

    PAS Pahang menyifatkan keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membentuk kerajaan negeri menerusi gabungan politik bersama Pakatan Harapan tidak sedikit pun melemahkan parti itu.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar menegaskan Pas akan melipat gandakan usaha bagi menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

    Pahang mempunyai 42 kerusi DUN daripada jumlah itu PN beroleh 17 kerusi, BN pula sebanyak 16 dan PH hanya lapan kerusi.

    Keputusan itu menyebabkan kerajaan Pahang masih belum terbentuk setelah tiada parti memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lapor Sinar Harian.

    Susulan itu terdapat siri perbincangan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN, selain BN dan PH untuk menubuhkan kerajaan negeri campuran.

    Pada 24 November lalu, PH menyatakan sokongan kepada Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang, yang dikatakan menandakan persetujuan dua gabungan itu untuk membentuk kerajaan perpaduan negeri bersama.

    Pada Ahad, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Wan Rosdy sebagai Menteri Besar.

    Pemangku Raja Pahang turut berkenan pembentukan kerajaan negeri daripada BN dan PH.

    Upacara istiadat mengangkat sumpah Wan Rosdy di Istana Abu Bakar pada jam 11 pagi.

  • Bekas Ahli Parlimen Langkawi meninggal dunia

    Bekas Ahli Parlimen Langkawi meninggal dunia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, 61, meninggal dunia di Jerman, awal pagi tadi.

    Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi dikatakan menghembuskan nafas terakhir di Frankfurt, Jerman ketika dalam urusan tugas sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    Isteri Allahyarham, Datin Shabariah Md. Hassan turut berada di negara tersebut.

    Perkara itu dikongsikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan melalui hantaran yang dikongsikan dalam Facebook miliknya.

    “Saya sempat menghubungi isterinya dan difahamkan anak mereka sedang sedang dalam penerbangan ke negara tersebut bagi menguruskan jenazah bapanya.

    “Setakat ini keluarga memutuskan untuk mengebumikan jenazah di sana namun keputusan tersebut masih belum muktamad,” katanya.

    Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.

    Sebelum itu beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah antara 2004 hingga 2013.

    Beliau bagaimanapun tewas kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

  • PAS terus jadi sasaran DAP – Abdul Hadi

    PAS terus jadi sasaran DAP – Abdul Hadi

    PAS mendakwa terus menjadi sasaran DAP selepas melihat kemaraan parti itu meraih kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata DAP ibarat membaling batu di tengah khalayak ramai pada waktu siang demi kepentingan politiknya.

    “Pandangan orientalis dan media Barat yang bermusuh serta berbohong terhadap Islam yang disebarkan di negara Barat diimport ke Malaysia oleh DAP, sehingga dilaporkan maklumat yang salah terhadap Pas.

    “Tindakan ini secara halus boleh mengelirukan mereka yang tidak mengkaji Islam daripada sumber asalnya dan sejarah pelaksanaannya yang diterima tanpa sebarang paksaan,” katanya menerusi Minda Presiden hari ini.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, DAP tidak mengambil iktibar walaupun beberapa ketika dahulu pernah berdialog bersama Pas secara langsung bagi menjelaskan banyak kekeliruan terhadap hukum Islam yang menjadi modal mereka.

    Bagaimanapun, dakwanya, jawapan yang diterima daripada parti itu adalah semata-mata kepentingan politik sempit dan masih menjadi pegangan.

    “Pas dilabelkan laksana Taliban yang berperang dengan Amerika di Afghanistan, walhal Amerika menceroboh negara itu dengan ganas dan bertindak melampau melalui media Barat terhadap Taliban yang dizalimi, namun keadaan yang sebenar ditutup oleh DAP.

    “Hukum Islam hudud dan qisas terus menjadi modal mereka dengan penjelasan yang salah dan menyesatkan, semata-mata bagi memberikan suatu gambaran buruk terhadap Islam dan wajah Pas,” katanya lapor BH Online.

    Beliau berkata DAP memejamkan mata walaupun Pas mengamalkan konsep demokrasi dan pelaksanaan Islamnya mengikut prinsip dan konsep yang betul.