PAS mendakwa terus menjadi sasaran DAP selepas melihat kemaraan parti itu meraih kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata DAP ibarat membaling batu di tengah khalayak ramai pada waktu siang demi kepentingan politiknya.

“Pandangan orientalis dan media Barat yang bermusuh serta berbohong terhadap Islam yang disebarkan di negara Barat diimport ke Malaysia oleh DAP, sehingga dilaporkan maklumat yang salah terhadap Pas.

“Tindakan ini secara halus boleh mengelirukan mereka yang tidak mengkaji Islam daripada sumber asalnya dan sejarah pelaksanaannya yang diterima tanpa sebarang paksaan,” katanya menerusi Minda Presiden hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, DAP tidak mengambil iktibar walaupun beberapa ketika dahulu pernah berdialog bersama Pas secara langsung bagi menjelaskan banyak kekeliruan terhadap hukum Islam yang menjadi modal mereka.

Bagaimanapun, dakwanya, jawapan yang diterima daripada parti itu adalah semata-mata kepentingan politik sempit dan masih menjadi pegangan.

“Pas dilabelkan laksana Taliban yang berperang dengan Amerika di Afghanistan, walhal Amerika menceroboh negara itu dengan ganas dan bertindak melampau melalui media Barat terhadap Taliban yang dizalimi, namun keadaan yang sebenar ditutup oleh DAP.

“Hukum Islam hudud dan qisas terus menjadi modal mereka dengan penjelasan yang salah dan menyesatkan, semata-mata bagi memberikan suatu gambaran buruk terhadap Islam dan wajah Pas,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata DAP memejamkan mata walaupun Pas mengamalkan konsep demokrasi dan pelaksanaan Islamnya mengikut prinsip dan konsep yang betul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here