Category: Semasa

  • PRU15 Tioman: Calon PN syor Pahang beri cuti umum dua hari

    PRU15 Tioman: Calon PN syor Pahang beri cuti umum dua hari

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim menyarankan agar kerajaan Pahang memberikan cuti dua hari susulan tarikh mengundi jatuh pada hari bekerja.

    Beliau berkata, perkara itu penting bagi memudahkan pengundi menjalankan kewajipan mereka yang tertangguh tempoh hari selain memastikan peratusan keluar mengundi mencapai tahap optimum.

    Kalau boleh bagi cuti dua hari bermula Selasa supaya senang untuk anak-anak (pengundi) balik ke kampung untuk mengundi,” katanya kepada Bernama semasa Program Santai Anak Muda di Pantai Hiburan, Rompin hari ini.

    Mengulas perkembangan semasa yang menyaksikan BN dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama membentuk kerajaan negeri, Nor Idayu berkata, beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai pembangkang yang efektif di DUN Pahang jika diberikan mandat oleh pengundi.

    Sementara itu, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang turut menghadiri program tersebut berkata, beliau optimis Nor Idayu mampu merampas DUN Tioman yang selama ini dianggap sebagai kubu BN daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

    “Saya mempunyai keyakinan bahawa kita akan menang di DUN Tioman berdasarkan pilihan raya baru-baru ini apabila Parlimen Rompin dimenangi calon PN, Datuk Abdul Khalib Abdullah,” katanya.

    Turut bertanding di kerusi DUN yang terletak di bawah Parlimen Rompin itu ialah Osman A. Bakar mewakili Pejuang, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

    PRU15 DUN Tioman ditangguhkan sehingga 7 Disember ini susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada jam 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

    Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi sejumlah 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

  • Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan kereta bertembung van

    Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan kereta bertembung van

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta di Kilometer 15 Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Kluang pada pukul 4 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan dalam keadaan hujan renyai itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira dengan sebuah van Placer-X.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati van dari arah Renggam menghala ke Kluang manakala kereta pula dari arah bertentangan.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu disyaki telah hilang kawalan dan masuk laluan van lalu berlanggar.

    “Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu kereta tersebut, Muhammad Haziq Haiqal Mohd. Faizal, 20 cedera teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Pemandu dan semua penumpang yang menaiki van cedera dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang

    Katanya, penumpang belakang kereta berkenaan, Muhammad Khairil Rosli, 17, juga cedera teruk di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

    Sementara seorang penumpang hadapan kereta itu katanya, Ariffudin Khairum Ab. Ghafar, 21, cedera dalaman dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

    Menurutnya, seorang lagi penumpang belakang kereta berkenaan, Muhd. Haziq Kamarul Azhar, 17, patah kaki kiri serta masih menerima rawatan Zon kuning di HEBHK.

    Bahrin berkata, pemandu van pula, Ariffin Othman, 43, cedera di kepala, tangan kiri dan kanan serta kaki sebelah kanan, masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.

    “Isterinya iaitu penumpang hadapan van tersebut, Zalinda Mohamad, 42, cedera di mata sebelah kiri serta masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.

    Pemandu dan penumpang belakang kereta Proton Wira maut di tempat kejadian manakala seorang penumpang hadapan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital

    “Sementara anaknya yang merupakan penumpang belakang, Mohamad Hazriq Saufi Ariffin, 15, cedera di kaki kanan patah serta masih menerima rawatan zon kuning di HEBHK.

    “Begitu juga dengan seorang lagi anak mereka iaitu penumpang belakang van berkenaan, Nur Elsta Soffiya Ariffin, 11, cedera di kaki kanan serta masih menerima rawatan zon hijau di hospital sama,” katanya.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, sebuah jentera Fier Rescue Tedner (FRT) bersama lapan anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.29 petang.

    Anggota bomba membersihkan laluan tersebut dan operasi tamat pada jam 5.14 petang tadi

    “Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan van berkenaan.

    “Terdapat empat mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dengan dua daripadanya iaitu di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    “PKO bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan memotong manakala seterusnya empat mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulan KKM.

    “Mangsa yang maut di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 5.14 petang tadi,” katanya.

  • Tiada makna kabinet kecil tapi lantik dua, tiga TPM-Tuan Ibrahin

    Tiada makna kabinet kecil tapi lantik dua, tiga TPM-Tuan Ibrahin

    PAS beranggapan tiada beza saiz kabinet lebih kecil yang akan dibentuk Kerajaan Perpaduan jika terdapat dua atau tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    “Pembaharuan dalam sistem pentadbiran berkait saiz kabinet tersebut adalah antara manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

    “Tak ada makna kalau kabinet kecil, tetapi TPM sampai dua atau tiga. Kecil di bawah, besar di atas,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jamuan Kesyukuran anjuran Pas Kubang Kerian di pekarangan Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, gabungan Perikatan Nasional (PN) yang memenangi jumlah kerusi yang besar pada PRU15 akan bertindak memantau Kerajaan Perpaduan termasuk berkaitan pembentukan kabinet berkenaan.

    Jelanya, PN akan bertindak sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan itu dan pantau semua perbelanjaan termasuk polisi dalam Parlimen.

    “Insya-Allah, kami yakin dengan kepakaran dalam PN, kami mampu mengetengahkan polisi dan memberikan idea yang baik,” katanya lapor Sinar Harian.

    Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar mengumumkan beliau akan menyelesaikan pembentukan Jemaah Menteri kerajaan yang dipimpinnya dalam tempoh beberapa hari lagi.

    Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berpandangan kerajaan yang terbentuk di peringkat nasional antara PH dan Barisan Nasional (BN) itu bukanlah Kerajaan Perpaduan sebaliknya hanya sebuah kerajaan campuran.

    “Konsep kerajaan perpaduan perlu ada semua parti. Harus menghormati parti-parti yang utama. Rakyat beri mandat kepada PN dengan Pas sahaja mendapat 49 kerusi tertinggi tetapi tiba-tiba yang rakyat kehendaki itu tidak berada dalam kerajaan.

    “Saya fikir ini bukan Kerajaan Perpaduan, ini kerajaan campuran PH dan BN macam ABC, air batu campur,” katanya.

  • Nurul Izzah dijangkiti Covid-19 lagi

    Nurul Izzah dijangkiti Covid-19 lagi

    NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengesahkan dirinya sekali lagi dijangkiti wabak Covid-19.

    Perkara itu didedahkannya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri Majlis Kesyukuran dan Meraikan Jentera Permatang Pauh pada malam ini akibat penularan tersebut.

    “Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam Majlis Kesyukuran dan Meraikan Jentera P044 Permatang Pauh pada malam ini kerana telah dijangkiti Covid-19.

    “Namun, majlis akan tetap berlangsung malam ini seperti yang telah dirancang. Insya-ALLAH saya akan bertemu para jentera yang telah membantu saya selama ini pada sesi yang seterusnya,” katanya.

    Majlis kesyukuran yang dijadualkan bermula jam 6 petang hingga 10 malam itu diadakan sempena pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan dalam masa sama meraikan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) Permatang Pauh.

    Beliau turut memaklumkan hanya mengalami gejala ringan dan kini sedang menjalani tempoh kuarantin.

    “Alhamdulillah, setakat ini saya hanya mengalami gejala ringan dan sedang menanti hari untuk selesai kuarantin dan suami untuk keluar dari wad. Mohon doakan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kekalkan tsunami PN sehingga PRN

    Kekalkan tsunami PN sehingga PRN

    TSUNAMI Perikatan Nasional (PN) yang melanda beberapa negeri harus dikekalkan sehingga diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), khususnya di Kedah yang menyaksikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, momentum kemenangan pada PRU15 itu perlu diterjemahkan menerusi khidmat terbaik kesemua 13 ahli Parlimen PN agar terus diberikan kepercayaan berdepan saingan PRN yang dijangka diadakan tahun hadapan.

    Ahli Parlimen Kuala Kedah itu berkata, kemenangan PN membolot hampir keseluruhan kerusi Parlimen di Kedah diyakini akan memberikan satu impak besar pada PRN akan datang.

    Ahmad Fakhruddin menegaskan, kepercayaan yang diberikan rakyat itu merupakan modal untuk ahli Parlimen PN menunjukkan keprihatinan kerajaan PN dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa tanggapan yang melabel kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sebagai kerajaan pintu belakang adalah persepsi yang sengaja dicetuskan Pakatan Harapan (PH).

    “Sebenarnya tidak berlaku pintu belakang dalam politik ini, cuma kaedah itu cuba digambarkan mengikut persepsi yang dimainkan PH ketika itu, untuk memburukkan PN yang mengambil alih pentadbiran mengikut lunas Perlembagaan selain mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

    Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tugas setiap ahli Parlimen PN untuk mengangkat kembali kebaikan yang telah dilakukan kerajaan PN ketika mentadbir negara.

    Keputusan PRU15 menyaksikan PN membolot 13 kerusi Parlimen dan hanya Parlimen Sungai Petani dimenangi PH, manakala Parlimen Padang Serai akan ditentukan pada 7 Disember depan.

    “Saya beranggapan berlaku keseimbangan isu-isu di peringkat nasional dan negeri yang menyumbang kepada kemenangan PN. Di peringkat negeri, isu bekalan air sedang dalam tindakan walaupun memakan masa. Saya percaya disiplin dan komitmen kerajaan negeri menyebabkan rakyat dapat membuat penilaian.

    “Peringkat Persekutuan, kerajaan PN ketika itu berjaya membawa masuk pelabur selain komitmen yang memperlihatkan kaedah yang telus, bersih dan cekap,” jelasnya lapor Sinar Harian.

    Ahmad Fakhruddin percaya sentuhan Muhyiddin menerusi pendekatan ‘abah’ berjaya memikat hati rakyat yang diterjemahkan menerusi undi pada PRU-15.

    “Ketika pilihan raya, itulah masa terbaik bagi rakyat membalas jasa Muhyiddin yang memperlihatkan keprihatinan kerajaan PN ketika itu, saya percaya itulah faktor yang membuatkan berlakunya tsunami PN bukan setakat di Kedah tetapi seluruh negara,” ujarnya.

    Keputusan PRU15 menyaksikan Ahmad Fakhruddin berjaya menembusi kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga penggal di Parlimen Kuala Kedah dengan majoriti 28,061 undi.

    “Saya sudah bersedia pikul amanah dan akan bawa suara dari Kuala Kedah merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundur ke peringkat tertinggi,” katanya.

  • Empat lelaki ditahan jadi bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar

    Empat lelaki ditahan jadi bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar

    EMPAT lelaki warga tempatan disyaki menjadi bookie pertaruhan judi Piala Dunia Qatar ditahan dalam Ops Soga di sebuah kediaman di Taman Bukit Maluri, Kepong, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai dalam kenyataan berkata hasil siasatan mendapati kegiatan itu berselindung di sebalik rumah kediaman dan dipercayai beroperasi sejak sebulan lepas.

    Beliau berkata polis turut merampas antaranya telefon bimbit, modem, tablet dan komputer riba dalam operasi pada 10.15 malam itu.

    Beh berkata kesemua suspek berusia antara 40 hingga 48 tahun itu, kini direman tiga hari hingga esok (29 Nov) bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menguruskan aktiviti perjudian dalam talian serta Seksyen 6(3) dan Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjadi ejen perjudian bola sepak dan bermain judi dalam talian.

  • PN janji jadi pembangkang konstruktif di Pahang – Tuan Ibrahim

    PN janji jadi pembangkang konstruktif di Pahang – Tuan Ibrahim

    PERIKATAN Nasional (PN) memberi jaminan akan menjadi pembangkang yang membina di Pahang selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung menubuhkan kerajaan di negeri itu.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan akan dilakukan di peringkat kerajaan negeri selain berusaha memberi idea terbaik bagi kemajuan dan pembangunan di Pahang.

    “PN juga bersedia memberi teguran membina dan dalam masa sama mengharapkan setiap keputusan yang dibuat kerajaan negeri dapat memberi momentum yang terbaik kepada negeri itu.

    “Sebelum keputusan gabungan kerajaan negeri ini dibuat, saya beberapa kali berunding dengan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, untuk cari jalan penyelesaian kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang masih tergantung dengan PN memenangi 17 kerusi, BN (16) serta PH, lapan kerusi,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    “Sebelum ini, kita (PN) mencadangkan beliau sebagai Menteri Besar melalui muafakat antara PN dan BN dengan pembahagian jawatan Exco yang sama rata, namun BN membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH.

    “Ada cadangan untuk mengadakan penyatuan tetapi pihak kami menolak selepas hanya ditawarkan satu kerusi Exco daripada 10 kerusi yang ada di negeri ini.

    “Kami kemudian memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pemangku Raja Pahang berhubung pendirian BN selain pihak istana turut memaklumkan bahawa sudah menerima cadangan BN akan bersama PH di Pahang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Pas Kubang Kerian, di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh, hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akur dengan gabungan berkenaan dan PN berjanji menjadi pembangkang yang konstruktif di Pahang.

    Beliau turut berkongsi perkembangan gerak kerja di DUN Tioman, selain mengakui mendapat kerjasama baik daripada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut sama turun padang berkempen untuk PRU15 DUN Tioman pada 7 Disember ini.

    Akhbar sebelum ini melaporkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN, PN, PH, Pejuang dan seorang Bebas.

    Calon wanita tunggal Nor Idayu Hashim yang mewakili PN dicabar oleh calon BN Datuk Seri Mohd. Johari Hussain yang juga penyandang kerusi itu, selain Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

  • Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat samun

    Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat samun

    POLIS berjaya menahan tiga daripada empat lelaki yang dipercayai menetak serta menyamun seorang pemborong dan pembekal sayur di Pasar Parit Buntar semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata anggota polis terpaksa melepaskan tembakan bagi memberhentikan kereta Proton Waja dinaiki kesemua lelaki berkenaan di sekitar kawasan Parit Buntar.

    “Kira-kira 4 petang, anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian telah terserempak dan mengekori kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum tiga lagi lelaki bersenjatakan pedang dan parang meluru masuk ke dalam kenderaan itu.

    “Pihak polis segera menyerbu bagi menahan kesemua suspek namun suspek yang terkejut bertindak melibas pedang ke arah polis dan cuba melarikan diri dengan melanggar pihak polis yang berada di hadapan kereta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata dalam usaha untuk mempertahankan diri dan memberhentikan kereta itu, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi memberhentikan kenderaan suspek.

    Mohd Yusri berkata tiga lelaki berusia antara 47 hingga 63 tahun berjaya diberkas manakala seorang lagi dikenali sebagai P. Manimaran berjaya melarikan diri.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek telah menetak pergelangan tangan kanan dan merampas seutas rantai leher pemborong dan pembekal sayur berusia 51 tahun itu.

    Katanya mangsa cedera parah dihantar ke hospital dan kerugian dianggarkan kira-kira RM15,000.Men

    Menurutnya hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga lelaki terbabit mendapati mereka terlibat dengan sekurang-kurangnya 11 kes rompakan menggunakan kenderaan dengan modus operandi sama.

    Kesemuanya mempunyai rekod dadah dan jenayah selain ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis metampetamin dan morfin.

    Mohd Yusri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian melaporkan kepada polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

  • Penjawat awam Terengganu terima bonus RM900

    Penjawat awam Terengganu terima bonus RM900

    KERAJAAN Terengganu mengumumkan bayaran bonus sebanyak RM900 yang akan diberikan kepada 14,000 penjawat awam di Terengganu yang layak menerusi Belanjawan 2023.

    Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian bonus itu sebagai menghargai jasa dan komitmen mereka yang telah menggerakkan pentadbiran kerajaan.

    “Bayaran bonus yang akan mula dibuat pada Januari 2023 itu diharap dapat memberi suntikan semangat untuk golongan berkenaan bekerja dengan lebih gigih pada masa akan datang.

    “Sebagai menghargai jasa penjawat awam yang telah menggerakkan pentadbiran kerajaan, saya dengan ini mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM900 kepada hampir 14,000 penerima yang layak,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ahmad Samsuri sebelum itu mengumumkan Belanjawan Terengganu 2023 bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’ merangkumi RM1.991 bilion bagi perbelanjaan mengurus; RM500 juta perbelanjaan pembangunan dan RM30 juta perbelanjaan bekalan air.

    Belanjawan itu menggariskan tiga teras utama sebagai pendekatan pelaksanaan iaitu Menyantuni Rakyat, Memacu Ekonomi dan Melestarikan Pembangunan.

    Selain itu, turut diumumkan pemberian pencen rakyat berjumlah RM600 akan diteruskan dengan peruntukan RM15 juta bagi memberi manfaat kepada 25,000 penerima.

  • Terengganu bentang Belanjawan 2023 bernilai RM1.991 bilion

    Terengganu bentang Belanjawan 2023 bernilai RM1.991 bilion

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’ berjumlah RM1.991 bilion bagi perbelanjaan mengurus.

    “Kerajaan Terengganu akan memperuntukkan RM500 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan RM30 juta bagi perbelanjaan bekalan air.

    “Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM93.13 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.897 bilion bagi perbelanjaan bekalan iaitu sebanyak RM271.65 juta untuk emolumen, RM249.17 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM25.94 juta untuk aset, RM1.35 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap RM1 juta untuk lain-lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu.

    Ahmad Samsuri berkata, di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sejumlah RM500 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan; RM250 juta bagi pemberian kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi; RM200 juta bagi pemberian kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM400 juta bagi program-program pelbagai perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan.

    Katanya, di bawah perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM417.73 (79 peratus) diperuntukkan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam termasuk bekalan air, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan.

    Selain itu ujarnya, RM85.04 juta (16 peratus) untuk sektor pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka; dan RM27.23 juta (5 peratus) untuk sektor ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan, dan industri mikro, kecil dan sederhana.

    Menurutnya, bagi anggaran hasil, kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM1.810 bilion iaitu sebanyak RM65.17 juta daripada hasil cukai, RM135.59 juta dari hasil bukan cukai dan RM1.609 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk dana khas kerajaan persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum.

    “Walaupun belanjawan ini dirangka berasaskan harga minyak mentah Brent yang dijangka mencatat purata lebih rendah sebanyak USD90 setong pada 2023 berbanding USD100 setong pada tahun ini, namun keputusan untuk mengembangkan Belanjawan 2023 ini melebihi 20 peratus berbanding 2022 adalah dibuat bagi menjamin ekonomi di negeri ini dapat terus tumbuh mampan dan tahap sosioekonomi penduduk juga bertambah baik menerusi dasar, projek dan program yang dilaksanakan,” ujarnya.

    Pembentangan Belanjawan 2023 itu menekankan tiga teras pendekatan iaitu menyantuni rakyat, memacu ekonomi dan melestarikan pembangunan.

    Ketika membentangkan belanjawan itu Ahmad Samsuri turut mengumumkan kadar baharu sumbangan tabung pendidikan menerusi Skim Permata Sejahtera yang dinaikkan iaitu RM200 bagi anak pertama dan kedua, RM300 bagi anak ketiga hingga kelima dan RM500 bagi anak keenam hingga kesepuluh.

    “Pemberian tunai ‘one off’ RM110 sebagai ‘pitih belanja’ turut diberikan kepada lebih 86,000 murid sekolah rendah dan menengah yang layak.

    “Pemberian bantuan bernilai RM100 menerusi baucar pelajar sejahtera untuk semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi pembelian buku dan alat tulis.

    “Di samping itu, penyediaan dana RM5 juta bagi Tabung Siswa Pelajar untuk membiayai yuran pengajian peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara bagi yang layak, ” katanya, lapor Sinar Harian.