MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’ berjumlah RM1.991 bilion bagi perbelanjaan mengurus.

“Kerajaan Terengganu akan memperuntukkan RM500 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan RM30 juta bagi perbelanjaan bekalan air.

“Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM93.13 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.897 bilion bagi perbelanjaan bekalan iaitu sebanyak RM271.65 juta untuk emolumen, RM249.17 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM25.94 juta untuk aset, RM1.35 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap RM1 juta untuk lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sejumlah RM500 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan; RM250 juta bagi pemberian kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi; RM200 juta bagi pemberian kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM400 juta bagi program-program pelbagai perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan.

Katanya, di bawah perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM417.73 (79 peratus) diperuntukkan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam termasuk bekalan air, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan.

Selain itu ujarnya, RM85.04 juta (16 peratus) untuk sektor pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka; dan RM27.23 juta (5 peratus) untuk sektor ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan, dan industri mikro, kecil dan sederhana.

Menurutnya, bagi anggaran hasil, kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM1.810 bilion iaitu sebanyak RM65.17 juta daripada hasil cukai, RM135.59 juta dari hasil bukan cukai dan RM1.609 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk dana khas kerajaan persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum.

“Walaupun belanjawan ini dirangka berasaskan harga minyak mentah Brent yang dijangka mencatat purata lebih rendah sebanyak USD90 setong pada 2023 berbanding USD100 setong pada tahun ini, namun keputusan untuk mengembangkan Belanjawan 2023 ini melebihi 20 peratus berbanding 2022 adalah dibuat bagi menjamin ekonomi di negeri ini dapat terus tumbuh mampan dan tahap sosioekonomi penduduk juga bertambah baik menerusi dasar, projek dan program yang dilaksanakan,” ujarnya.

Pembentangan Belanjawan 2023 itu menekankan tiga teras pendekatan iaitu menyantuni rakyat, memacu ekonomi dan melestarikan pembangunan.

Ketika membentangkan belanjawan itu Ahmad Samsuri turut mengumumkan kadar baharu sumbangan tabung pendidikan menerusi Skim Permata Sejahtera yang dinaikkan iaitu RM200 bagi anak pertama dan kedua, RM300 bagi anak ketiga hingga kelima dan RM500 bagi anak keenam hingga kesepuluh.

“Pemberian tunai ‘one off’ RM110 sebagai ‘pitih belanja’ turut diberikan kepada lebih 86,000 murid sekolah rendah dan menengah yang layak.

“Pemberian bantuan bernilai RM100 menerusi baucar pelajar sejahtera untuk semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi pembelian buku dan alat tulis.

“Di samping itu, penyediaan dana RM5 juta bagi Tabung Siswa Pelajar untuk membiayai yuran pengajian peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara bagi yang layak, ” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here