Category: Semasa

  • Dadah: Farid Kamil didenda RM5,000, hukuman penjara diketepikan

    Dadah: Farid Kamil didenda RM5,000, hukuman penjara diketepikan

    PELAKON dan pengarah Farid Kamil Zahari terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, empat tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir Farid Kamil, 41, selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

    Bagaimanapun, Hakim Kamaludin mengekalkan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap pelakon itu dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Pelakon filem Remp-It 2 itu membayar denda berkenaan.

    Kamaludin dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.

    Hakim itu berkata tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan bahawa hukuman tersebut setimpal dengan kesalahan dilakukan pada masa itu dan tiada aspek pemberatan contohnya tiada kesalahan lampau atau sebagainya. 

    “Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung kepada fakta kes itu. Dalam kes ini, kami dapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.

    “Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu dan memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan di bawah AADK dikekalkan,” kata hakim itu.

    Turut bersidang Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

    Pada 15 Mei 2019, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Farid Kamil bersalah kerana menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’.

    Dia dituduh melakukan kesalahan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan 2018.

    Hukuman berkenaan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019.

    Turut hadir di mahkamah isterinya, pelakon Diana Danielle dan adik Farid Kamil iaitu Fadzil.

    Farid Kamil ketika ditemui pemberita selepas membayar denda menzahirkan rasa syukur dengan keputusan hari ini yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

    “Saya gembira kerana kes ini telah selesai di peringkat rayuan dan kini saya boleh fokus terhadap penggambaran filem seterusnya berjudul Anwar, yang kini berada di peringkat akhir serta bakal ditayangkan pada Februari 2023,” katanya yang turut berterima kasih kepada barisan peguam mewakilinya.

    Farid Kamil diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang. – BERNAMA

  • Warga emas mengaku tidak bersalah tembak kucing guna senapang angin

    Warga emas mengaku tidak bersalah tembak kucing guna senapang angin

    SEORANG warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menembak seekor kucing menggunakan senapang angin di sebuah rumah di Bukit Rambai, Jun lepas.

    Aziz Tambi, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai kira-kira 2.30 petang pada 18 Jun 2022.

    Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon jaminan sebanyak RM20,000 namun peguam tertuduh Mohd Ishak Kari merayu agar jaminan dikurangkan kerana Aziz hanya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM50 sehari.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Terdahulu di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Aziz mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam atas pertuduhan memiliki selaras senapang angin tanpa lesen pada pukul 8 malam di tempat dan tarikh yang sama.

    Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

    Serahan dokumen bagi kedua-dua kes ditetapkan 11 Jan tahun depan.

  • 2 pemimpin DAP diperintah bayar RM350,000 fitnah bekas timbalan menteri

    2 pemimpin DAP diperintah bayar RM350,000 fitnah bekas timbalan menteri

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin yang baharu dipilih, baru-baru ini, membayar ganti rugi RM350,000 kerana memfitnah bekas timbalan menteri, Chew Mei Fun, berhubung dakwaan meluluskan penjualan tanah pada nilai rendah kepada MCA.

    Lapor Free Malaysia Today, Hakim Roslan Abu Bakar berkata, Chew juga bekas naib presiden MCA, telah membuktikan kesnya terhadap dua pemimpin DAP itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.

    Chew telah menyaman Pua berhubung artikel diterbitkan dalam Malay Mail dan Nanyang Siang Pau serta di FMT, pada September 2017.

    Yeo juga disaman berhubung video yang diterbitkan di Facebook dan Nanyang Sian Pau, pada bulan sama.

    Pua dan Yeo mendakwa Chew, yang menganggotai jawatankuasa tanah daerah, telah meluluskan penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor di bawah harga pasaran.

    Dalam keputusannya, Roslan berkata, kedua-dua penerbitan itu memfitnah Chew dan pembelaan justifikasi, komen adil dan keistimewaan Reynolds yang dibangkitkan oleh kedua-duanya telah gagal.

    Pua dan Yeo diperintahkan membayar Chew masing-masing RM200,000 dan RM150,000, sebagai ganti rugi.

    Chew, yang diwakili Rueben Mathiavaranam, turut dianugerahkan RM50,000 sebagai kos yang perlu dibayar oleh defendan.

    Pua dan Yeo diwakili Syahredzan Johan.

    Chew, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, memfailkan saman itu, pada Mac 2018.

    Beliau dilantik sebagai senator antara 2014 dan 2017.

    Ketika kenyataan menyinggung itu dibuat, Pua merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, manakala Yeo ADUN Damansara Utama.

    Mereka mendakwa, Chew menyalahgunakan kuasanya dan meletakkan dirinya dalam kedudukan konflik berkepentingan.

    Bagaimanapun, Chew berkata, beliau tidak menganggotai jawatankuasa tanah kerana perkara melibatkan tanah adalah di luar bidang kuasanya.

    Beliau juga berkata, Yeo mendakwa tanah berkenaan digunakan oleh penduduk setinggan bagi penanaman buah naga pada masa ia dijual kepada MCA.

  • PN susun ‘Kabinet bayangan’ untuk semak, imbang kerajaan PH

    PN susun ‘Kabinet bayangan’ untuk semak, imbang kerajaan PH

    PERIKATAN Nasional (PN) dalam usaha menyusun ‘Kabinet bayangan’ dengan kepakaran dimiliki gabungan itu akan bertindak sebagai semak dan imbang kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH).

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, PN bersedia untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia, demi menjamin kemaslahatan negara.

    Beliau juga optimis kerjasama antara kerajaan dan pembangkang boleh terjalin sepertimana sebelum ini untuk bersama-sama menyelesaikan masalah negara dan mengangkat Malaysia kembali ke persada dunia.

    “Kita dalam usaha menyusun ‘Kabinet bayangan’ atau kepakaran melalui kementerian-kementerian. Apatah lagi, kita pernah memimpin sebelum ini di bawah kerajaan PN dan kerajaan Keluarga Malaysia.

    “Saya yakin ‘template’ (acuan) yang sama juga akan dibawakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita mewujudkan satu kekuatan yang ampuh,” katanya ketika bercakap pada program bual bicara di sebuah stesen televisyen malam tadi, lapor BH Online.

    Khairil Nizam berkata, selain sokongan kepada Kabinet, pembangkang juga boleh memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda transformasi Parlimen.

    “Kalau ditakdirkan ada badan atau jawatankuasa yang diperlukan untuk pembangkang menjadi ketuanya, mengapa tidak? Sebelum ini pun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kita berikan kepada DAP untuk mengetuainya.

    “Sewajarnya, segala fasiliti dan prasarana untuk memastikan kita dapat mencapai sasaran ditetapkan kepada setiap jawatankuasa terbabit maka perkara itu akan diperkasakan oleh pihak kerajaan khususnya di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

    PN sebelum ini memutuskan untuk tidak menyertai Kerajaan Perpaduan meskipun diajak untuk bekerjasama oleh Anwar, sebaliknya memilih untuk menjadi pembangkang.

  • Penganggur dera anak tiri didakwa membunuh mangsa

    Penganggur dera anak tiri didakwa membunuh mangsa

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini, atas tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia 11 tahun pada Isnin minggu lalu.

    Tertuduh, C. Stephen Raj, 43, mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Berita Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa melakukan menyebabkan kematian anak perempuan tirinya yang berusia 11 tahun itu dengan niat membunuh.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Melur 5, Taman Sri Ramal, di Kajang pukul 11.33 malam pada 21 November lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan membawa hukuman gantung mandatori.

    Prosiding pendakwaan hari ini, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam bela, M. Manoharan

    Majistret Nik Siti Norazlini menetapkan 10 Januari ini untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini, melaporkan mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang selepas tidak sedarkan diri pada pukul 11.33 malam Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, dilaporkan berkata mangsa yang dikejarkan ke hospital dengan ambulans disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

    Hasil pemeriksaan bedah siasat dijalankan doktor pakar, mendapati punca kematian mangsa dipercayai akibat kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan usus pecah.

    Malah, terdapat juga kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan mangsa.

    Polis kemudian menahan bapa tiri mangsa ketika berada di pekarangan Hospital Serdang.

    Mohd. Zaid dilaporkan berkata, suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini termasuk menggunakan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah ketika ketiadaan isterinya di rumah.

  • PH hipokrit, angkuh minta tindakan polis terhadap calon PN – Afif Bahardin

    PH hipokrit, angkuh minta tindakan polis terhadap calon PN – Afif Bahardin

    TIMBALAN Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Shah Alam, Dr. Afif Bahardin membidas Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang menggesa polis mengambil tindakan terhadap calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin kerana mengatakan kerajaan baru seperti ‘kerajaan zina’.

    “Ugutan PH untuk mengambil tindakan polis berhubung kenyataan Azman bertentangan sama sekali dengan janji yang berulang kali bahawa mereka akan mempertahankan kebebasan bersuara.

    “Dalam Manifesto Pilihan Raya PRU-15, PH secara khusus berjanji untuk memansuhkan undang-undang zalim yang menyekat kebebasan bersuara dan berjanji untuk ‘mempertahankan demokrasi dan mempromosikan kebebasan bersuara.’

    “Menuntut polis menyiasat Azman adalah bertentangan sama sekali dengan dakwaan PH sebagai juara demokrasi,” kata Afif dalam kenyataan, lapor Berita Bersatu.

    Terdahulu, Fahmi meminta Azman disiasat oleh pihak berkuasa kerana kenyataannya yang ‘biadab dan tidak menghormati’ institusi diraja.

    Bagaimanapun, Azman telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya mengeluarkan kenyataan mempunyai unsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam kempen ceramahnya baru-baru ini.

    Azman mengesahkan perkara itu berkata, keterangan tersebut dibuat di Balai Polis Hi-Tech, Kulim pada pukul 12 tengah malam kelmarin.

    Mengulas perkara tersebut, Azman menjelaskan bahawa kenyataannya itu disalah erti oleh pihak tertentu dengan mendakwa beliau menghina Yang di-Pertuan Agong.

    “Kenyataan saya tidak merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebaliknya apa yang saya katakan adalah mengenai prinsip UMNO dalam resolusi Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang sebelum ini memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

    “Tapi pimpinan UMNO langgar dan menyebabkan ahli UMNO di bawah marah…Apabila tiada restu daripada ahli dan pemimpin mereka langgar undang-undang parti, saya nak sebut apa? Memang agak kasar sedikitlah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kempen di Kampung Nesa di Kuala Lumpur, semalam.

    Dalam pada itu, Afif berkata, tidak ada unsur jenayah dalam apa yang diperkatakan oleh Azman.

    “Ia adalah kritikan politik terhadap gabungan baru BN-PH dan ia adalah komen yang adil. Sebarang penggunaan kuasa polis untuk menyiasat musuh politik PH berhubung kritikan politik adalah penyalahgunaan kuasa polis.

    “Fahmi dan PH kini bertindak persis seperti mana BN pernah bertindak ketika berkuasa dengan mengancam siasatan polis apabila mereka dikritik oleh ahli politik pembangkang.

    “Sebaliknya, PN ketika berkuasa tidak mengambil tindakan polis terhadap ahli politik PH yang berulang kali menghina kerajaan dengan menjenamakan kerajaan pintu belakang atau kerajaan gagal serta banyak lagi istilah menghina,” kata Afif.

    “Kami menuntut PH dan Fahmi Fadzil menarik balik ugutan untuk menggunakan kuasa polis terhadap Azman Nasrudin yang melanggar kebebasan bersuara dan undang-undang pilihan raya,” tambahnya.

  • Bantuan khas kewangan RM1,500 untuk penjawat awam Kelantan

    Bantuan khas kewangan RM1,500 untuk penjawat awam Kelantan

    KERAJAAN Kelantan mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam di negeri itu.

    Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata bantuan itu akan diberi Januari tahun depan sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka.

    “Kerajaan bersetuju memberi bantuan khas kewangan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM13 juta dan ia merupakan bantuan tertinggi yang pernah diberikan kerajaan negeri berikutan lebihan belanjawan dalam tempoh lima tahun berturut-turut.

    “Ini adalah sebagai tanda menghargai iltizam dan kesungguhan kakitangan kerajaan yang telah bekerja bersungguh-sungguh dalam memastikan kewangan kita berada pada keadaan yang baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

  • Ahli Parlimen Baling nafi terlibat klip video kaitkan Anwar dengan Israel

    Ahli Parlimen Baling nafi terlibat klip video kaitkan Anwar dengan Israel

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad menafikan penglibatannya dengan penularan satu klip video berlatar belakangkan wajahnya dan mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Israel, yang tular di media sosial sejak kelmarin.

    Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Baling berkata, ada pihak yang yang mempercayai perkara tersebut walaupun jelas bahawa audio dalam klip video tersebut tidak memaparkan kenyataan mahu pun suara darinya.

    “Justeru saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan seperti mana didakwa dan ditularkan dalam klip video tersebut.

    “Saya juga memohon semua pihak supaya menyiasat terlebih dulu sebelum mudah mempercayai sebarang berita mahu pun maklumat,” katanya.

    Menerusi klip video berdurasi 38 saat itu, terdapat suara seorang wanita bercakap dalam dialek Baling dengan latar belakangnya diletakkan gambar Hassan selain terdapat perkataan tertulis ‘Betul ke Ustaz Hassan Bin Saad P016 Baling’.

    Wanita tersebut memetik nama individu bernama ‘Ustaz Hassan’ yang kononnya bercerita panjang mengenai masalah pelantikan jemaah menteri selain rasa sebaknya kerana kasihankan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang terlalu penat dan letih, tetapi tenang menanti pelantikan itu.

    Wanita tersebut mendakwa, Pas sepatutnya sudah boleh memerintah kerana mempunyai 115 kerusi tetapi pelantikan Perdana Menteri memakan masa berhari-hari kerana Anwar berhubung dengan Israel dan terdapat unsur luar serta campur tangan dalam urusan tersebut.

    Dia juga menyatakan kononnya Agong terpaksa mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kerana tidak mahu ada pergaduhan mahu pun peperangan dengan Israel.

    Disebabkan penularan klip video tersebut, beberapa pihak dilihat mempersoalkan penglibatan Hassan dengan penularan klip video berkenaan.

  • Isu ejen Israel: Abdul Hadi sedia dipanggil Bukit Aman

    Isu ejen Israel: Abdul Hadi sedia dipanggil Bukit Aman

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia untuk dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman berhubung dakwaan mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

    Ahli Parlimen Marang itu terbuka untuk disiasat oleh pihak polis, jika benar beliau ada membuat dakwaan sedemikian.

    “Saya boleh pergi ke Bukit Aman, tiada masalah. Saya terbuka untuk siasatan. Tapi sekarang ini tiada panggilan daripada Bukit Aman,” katanya ringkas ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai isu dakwaan Anwar sebagai ejen Israel selepas berakhirnya ceramah perdana di bandar baru Rompin, Rompin tengah malam tadi.

    Semalam, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Putrajaya, Mohamad Syazreen Ezam Mohd. Saidi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkaitan fitnah terhadap Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berkenaan yang mengaitkannya dengan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad.

    Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan fitnah).

    Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Abdul Hadi menjelaskan tiada ucapan sedemikian dibuat ketika beliau berceramah.

    “Saya tidak kata, dia (pihak yang mendakwa saya menunduh Anwar) yang kata, serah kepada dia. Bukit Aman tahu saya tidak kata.

    “Ceramah saya dirakam, kenyataan media (akhbar) saya Bukit Aman baca. Saya kata ke tidak kata itu terpulang. Saya bukan sekali dua dipanggil Bukit Aman,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Suspek keempat kes rompakan bersenjata di Parit Buntar ditahan

    Suspek keempat kes rompakan bersenjata di Parit Buntar ditahan

    POLIS berjaya menahan seorang lagi suspek yang melarikan diri dalam rompakan bersenjata di Parit Buntar, Bagan Serai, baru-baru ini.

    Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Butterworth, Pulau Pinang kira-kira jam 10.30 malam tadi.

    Pada Ahad, tiga suspek yang disyaki terlibat dalam insiden rompakan bersenjata sehingga menyebabkan kecederaan seorang pembekal sayur di Parit Buntar ditahan.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, ketiga-tiga suspek direman selama lima hari hingga 2 Disember ini.

    “Suspek yang baru ditahan malam tadi akan direman pagi ini,” kata Juna lapor Astro Awani.

    Kesemua suspek berusia 47 hingga 63 tahun itu ditahan dalam rondaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sekitar Parit Buntar kira-kira pukul 4 pagi.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penahanan itu dibuat selepas terlihat sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    Katanya, polis menahan kereta terbabit selepas mendapati terdapat tiga lelaki bersenjatakan pedang dan parang memasuki kereta berkenaan.

    Suspek yang terkejut bertindak melibas pedang ke arah pasukan polis dan cuba melarikan diri dengan memandu dan melanggar kenderaan polis yang berada di hadapan kereta mereka.

    Polis, dalam usaha mempertahankan diri, terpaksa melepaskan tembakan bagi memberhentikan kenderaan suspek.

    Tiga suspek itu kemudian berjaya diberkas, manakala seorang lagi telah melarikan diri sebelum ditangkap malam tadi.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 38 Akta Senjata Api 1960.