Category: Semasa

  • Lantikan Tengku Zafrul dipersoal pembantu Tun M

    Lantikan Tengku Zafrul dipersoal pembantu Tun M

    PEMBANTU Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang kalah dalam pilihan raya umum ke-15 dalam Jemaah Menterinya, tetapi bukannya Dzulkefly Ahmad.

    Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan, mempertahankan Parlimen Kuala Selangor untuk Pakatan Harapan ketika berdepan Tengku Zafrul dari Barisan Nasional (BN) dan dua lagi calon.

    Bagaimanapun, Anwar mengumumkan Tengku Zafrul, yang juga bekas menteri kewangan, menganggotai Jemaah Menterinya.

    Tengku Zafrul akan dilantik sebagai senator sebelum menjadi menteri.

    “Kesian Dzulkefly, beliau menang di Kuala Selangor, tetapi tidak dilantik sebagai menteri. Calon yang beliau kalahkan pula dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri,” kata Adam Mukhriz Mohd Muhayeedin di Twitter.

    Setiausaha akhbar Mahathir itu turut mempersoalkan keputusan Anwar memegang portfolio kewangan.

    “Apa jadi dengan prinsip perdana menteri tidak boleh memegang portfolio kewangan atau portfolio lain?” soalnya, lapor Free Malaysia Today.

    Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum 2018 berjanji perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri kewangan secara serentak.

    Jemaah Menteri Anwar terdiri daripada 28 menteri dan dua timbalan perdana menteri, iaitu Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

  • Senarai penuh Kabinet kerajaan perpaduan

    Senarai penuh Kabinet kerajaan perpaduan

    Berikut adalah senarai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim:

    Perdana Menteri dan Menteri Kewangan

    Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

    Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi

    Datuk Seri Fadillah Yusof

    Menteri Pengangkutan

    Anthony Loke Siew Fook

    Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan

    Mohamad Sabu

    Menteri Ekonomi

    Mohd Rafizi Ramli 

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan

    Nga Kor Ming

    Menteri Pertahanan

    Datuk Seri Mohamad Hasan

    Menteri Kerja Raya

    Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

    Menteri Dalam Negeri

    Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

    Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz 

    Menteri Pendidikan Tinggi

    Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

    Menteri Sains dan Teknologi

    Chang Lih Kang 

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

     Datuk Seri Nancy Shukri

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

     Datuk Seri Salahuddin Ayub

    Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi

    Datuk Seri Azalina Othman Said

    Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

    Nik Nazmi Nik Ahmad

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

    Datuk Ewon Benedick

    Menteri Luar Negeri 

    Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir 

    Menteri Pelancongan 

    Datuk Seri Tiong King Sing

    Menteri Komunikasi Digital

    Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil

    Menteri Pendidikan 

    Fadhlina Sidek

    Menteri Perpaduan Negara

    Datuk Aaron Ago Anak Dagang

    Kementerian Agama 

    Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

    Menteri Belia dan Sukan 

    Hannah Yeoh Tseow Suan

    Menteri Sumber Manusia 

    V.N. Sivakumar 

    Menteri Kesihatan

    Dr Zaliha Mustafa

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)

    Datuk Armizan Mohd Ali

    — BERNAMA

  • “Tahniah TPM, Kabinet terbaik”, reaksi sinis Ahmad Fadhli

    “Tahniah TPM, Kabinet terbaik”, reaksi sinis Ahmad Fadhli

    “Tahniah Datuk Seri Timbalan Perdana Menteri. Kabinet terbaik”. Itu reaksi sinis Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari susulan pengumuman 28 Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menerusi catatan Facebook beliau malam ini, beliau merakamkan ucapan tahniah itu yang dipercayai ditujukan kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) I yang baru dilantik iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ini adalah kerana Zahid menjawat jawatan itu ketika masih menjalani perbicaraan melibatkan 47 pendakwaan rasuah.

    “Tahniah YAB Datuk Seri Timbalan Perdana Menteri. Kabinet terbaik!,” tulisnya ringkas.

    Pelantikan Zahid juga dilihat mengetepikan pandangan beberapa pihak termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang meminta Anwar tidak melantik mana-mana individu yang mempunyai kes mahkamah sebagai anggota Kabinet hanya disebabkan ingin menjaga kestabilan politik Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.

    Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bakal menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa korupsi boleh ditoleransi jika ‘maslahat lebih besar’ dapat dicapai melalui pelantikan mereka yang terpalit dengan kes rasuah.

    Barisan Kabinet yang diumumkan Anwar mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan buat pertama kali Malaysia mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

    Zahid yang juga TPM I turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala TPM II pula akan dipegang Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

  • Zahid, Fadillah TPM dalam 28 Jemaah Menteri Anwar

    Zahid, Fadillah TPM dalam 28 Jemaah Menteri Anwar

    SELEPAS lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan barisan Kabinet kerajaan pimpinannya yang merangkumi 28 Jemaah Menteri.

    Angka 28 menteri itu lebih kecil berbanding seramai 31 Jemaah Menteri semasa kerajaan sebelum ini ketika Anwar turut mengumumkan beliau akan turut memegang portfolio selaku Menteri Kewangan.

    Mengikut pecahan parti, PKR memiliki jemaah menteri paling ramai dengan lapan orang diikuti BN (6), GPS (5), DAP (4), Amanah (2), GRS (1), UPKO (1) dan lantikan (1).

    Pada masa sama, Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar itu juga menyaksikan buat pertama kali Malaysia mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

    Jawatan Timbalan Perdana Menteri I akan dijawat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

    Timbalan Perdana Menteri II pula akan dipegang Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang tuurt menjawat Menteri Perladangan dan Komoditi.

    Selain itu, beberapa nama yang sebelum ini pernah menjadi menteri turut menganggotai Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

    Antaranya, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang kembali menerajui Kementerian Pengangkutan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

    Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula kembali ke dalam barisan Kabinet sebagai Menteri Pendidikan Tinggi; Datuk Seri Nancy Shukri menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup manakala Datuk Seri Azalina Othman Said pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

    Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pula dilantik menerajui Kementerian Luar.

    Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang sebelum ini merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Koperasi dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

    Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula dilantik masing-masing sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh pula dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

    Antara nama baharu yang menganggotai Kabinet Anwar pula adalah Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi); Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi); Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim); Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan).

    Nama baharu lain adalah Ahmad Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi Digital); Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan); Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara); VN Sivakumar (Menteri Sumber Manusia); Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan) dan Armizan Mohd Ali (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)).

    Kabinet Kerajaan Perpaduan ini juga menyaksikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilantik sebagai Menteri Agama.

    Dalam sidang medianya sebentar tadi, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya menerima pakai semua kekuatan induk daripada Pakatan Harapan (PH) dan dukungan BN serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Kata beliau, ketiga-tiga tonggak itu juga telah bersepakat dalam membentuk Jemaah Menteri yang menetapkan tatakelola baik dan keutamaan memacu pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan beban rakyat dari sudut kos sara hidup.

    “Kesepakatan ini memungkinkan kita melebarkan jaringan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sekarang ini selain daripada Warisan dan UPKO yang sedia ada.

    “Ini bermakna kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam Parlimen sudah mencecah sekitar dua pertiga.

    “Jadi, dengan mandat ini, ia telah memberi keyakinan kepada kita untuk membentuk satu barisan Jemaah Menteri yang lebih padu dan akan bekerjasama sebagai satu pasukan dan menumpukan perhatian dalam soal pemacuan pertumbuhan ekonomi yang segar serta permasalahan rakyat,” katanya.

    Pengumuman barisan Kabinet itu dinantikan seluruh negara selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

    Terdahulu, Anwar menerima perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menghadap Seri Paduka.

  • Rogol kenalan TikTok, lelaki dipenjara tujuh tahun dua sebatan

    Rogol kenalan TikTok, lelaki dipenjara tujuh tahun dua sebatan

    SEORANG lelaki dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap gadis bawah umur hingga melahirkan anak, bulan lalu.

    Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hazziq Ramdan, 20, selepas menerima pengakuan tertuduh dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

    Dalam penghakimannya beliau menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan bagi pemberatan hukuman.

    “Kesalahan yang kamu lakukan ini adalah serius kerana membabitkan mangsa bawah umur 18 tahun yang mengandung dan melahirkan bayi.

    “Saya juga mengambil kira peningkatan kes-kes sebegini di seluruh negara, justeru mahkamah perlu memberikan hukuman tegas sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya, lapor Berita Harian.

    Bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa merogol perempuan berusia 17 tahun di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Siantan, dekat Ayer Keroh, pada akhir Februari lalu, kira-kira 3 petang.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, iaitu melakukan amang seksual fizikal dengan mencium leher, meramas payu dara dan kemaluan mangsa sama di tempat, masa dan pada tarikh sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

    Mengikut fakta kes, mangsa melahirkan bayi di dalam tandas di rumahnya pada 18 November lalu, kira-kira pukul 12 tengah malam dan dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.

    Satu laporan dibuat oleh ibu kandung mangsa (pengadu) berusia 42 tahun di Balai Polis Kandang selepas menguruskan bayi dilahirkan anaknya.

    Pengadu kemudian menerima mesej daripada mangsa yang berada di wad HM memaklumkan dia dipaksa melakukan hubungan seks dengan tertuduh yang dikenali di aplikasi Tik Tok dan tinggal di Pangsapuri Flat Sri Siantan, Bukit Baru, dekat sini.

    Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir untuk siasatan lanjut hingga membawa kepada penahanan suspek pada 23 November lalu di Muar, Johor.

    Terdahulu tertuduh yang beralamat di Taman Tangkak Jaya, Jalan Payamas Tangkak, Johor merayu hukuman ringan atas alasan mahu menjaga mangsa dan bayi terbabit.

    Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asyraf Anuar Sharuddin yang menjalankan pendakwaan bagaimanapun berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh atas dua kesalahan dilakukan.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh dan lima tahun tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua.

    Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 November lalu.

  • Bekas pemandu e-panggilan ditahan bersama dadah lebih RM6 juta

    Bekas pemandu e-panggilan ditahan bersama dadah lebih RM6 juta

    POLIS menahan seorang bekas pemandu e-panggilan bersama sejumlah 170.58 kilogram (kg) dadah bernilai RM6.14 juta di sebuah rumah sekitar Subang Jaya, pada Rabu.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata suspek berusia 49 tahun itu, ditahan pada jam 3 petang di rumah sewa yang dijadikan sebagai tempat simpanan dadah, dan kejayaan itu hasil risikan pihaknya selama seminggu.

    “Kita mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan rumah judi dan lelaki itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Sasikala Devi berkata dadah yang dirampas itu terdiri daripada 166 bungkus plastik dengan 111 bungkusan berlabel teh cina manakala 55 bungkusan plastik lutsinar, yang kesemuanya disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

    Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dianggarkan bernilai RM18,000.

    Sasikala Devi berkata suspek itu kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dis ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Beliau berkata hasil ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dan pihaknya masih menyiasat sama ada suspek tersebut terlibat dengan sindiket dadah lain.

    Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan kerja di media sosial yang menawarkan pendapatan lumayan, tetapi proses pengambilan dan urusan kerja dibuat tanpa berjumpa dengan majikan.

    Beliau berkata ini kerana terdapat laporan yang diterima pihaknya menunjukkan ia merupakan salah satu strategi untuk merekrut pengedar dadah dengan tawaran gaji sehingga RM7,000 ke RM8,000 sebulan. – BERNAMA

  • Anak Najib, 2 ADUN PH antara 10 exco Pahang angkat sumpah

    Anak Najib, 2 ADUN PH antara 10 exco Pahang angkat sumpah

    ANAK bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar, adalah seorang daripada 10 wakil rakyat Pahang yang mengangkat sumpah sebagai exco negeri hari ini.

    Lapor Malaysiakini, Mohd Nizar dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) lalu.

    Selain itu, dua ADUN Pakatan Harapan (PH) turut mengangkat sumpah di Istana Abu Bakar, Pekan, petang ini.

    Mereka ialah Adun Teruntum yang juga wakil PKR, Sim Chon Siang, dan Adun Triang (DAP), Leong Yu Man.

    Sim adalah Adun Teruntum untuk penggal ketiga manakala Yu Man yang juga anak pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah, pula dipilih sebagai Adun Triang sejak 2013.

    Dalam pada itu, antara muka lama yang dikekalkan ialah ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak; Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar).

    Muka baru BN yang disenaraikan dalam exco kerajaan Pahang pula ialah ADUN Muadzam Shah, Razali Kassim; Datuk Seri Mohd Johari Harun (Pelangai) dan Datuk Sabariah Saidan (Guai).

    Mohd Johari dan Sabariah adalah ADUN penggal pertama.

    Turut dilantik sebagai exco ialah bekas setiausaha akhbar menteri besar Pahang, Mohd Fadzli Mohamad Kamal yang juga ADUN Dong.

    Seorang bekas exco digugurkan dalam senarai walaupun turut menang dalam PRU baru-baru ini iaitu ADUN Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram.

    Istiadat angkat sumpah berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar bermula pukul 3.05 petang tadi.

    Turut hadir pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga menteri besar Selangor.

  • Kerjasama BN-PH beri kelebihan calon PN di Padang Serai, Tioman

    Kerjasama BN-PH beri kelebihan calon PN di Padang Serai, Tioman

    PAS Kelantan yakin calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman akan menjadi pilihan rakyat pada hari pengundian 7 Disember ini.

    Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, situasi itu dapat dilihat berdasar momentum sokongan penduduk tempatan di kedua-dua lokasi terbabit.

    Menurutnya, tindakan Barisan Nasional (BN) melutut kepada Pakatan Harapan (PH) sukar diterima pengundi Melayu yang rata-rata menolak DAP.

    “Ia adalah antara beberapa isu panas yang semakin diperkatakan rakyat sekarang. Mereka melihat Umno terperangkap dengan agenda PH,” katanya di Kota Bharu lapor Harakahdaily.

    Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kedua-dua kawasan Parlimen itu terbabit ditangguh sebelum ini berikutan kematian calon yang bertanding sebelum hari pengundian berlangsung.

    Di Parlimen Padang Serai, PN menampilkan ADUN Lunas, Datuk Azman Nasrudin. Beliau berdepan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak; Dato’ C. Sivaraajh (BN); dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

    Di Tioman pula Nor Idayu Hashim mewakili calon PN berdepan Mohd Johari (BN), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman Bakar (Pejuang) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH).

    Sementara, Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, petugas pilihan raya Pas peringkat kawasan dialu-alukan membantu kempen PN di Tioman dan Padang Serai.

    Menurutnya biarpun tiada arahan rasmi, namun sekiranya ada petugas pilihan raya yang berminat membantu sangat dialu-alukan kerana keringat mereka diperlukan.

    “Atas dasar tanggungjawab dalam perjuangan, petugas pilihan raya dari Kelantan dialu-alukan turun padang membantu kempen calon PN.

    “Orang Kelantan terkenal dengan semangat kental dalam politik, sebut sahaja pilihan raya mereka sedia menggalas tanggungjawab bagi memastikan kemenangan calon kita,” ujarnya.

  • Jurukimpal didakwa bunuh lelaki warga emas

    Jurukimpal didakwa bunuh lelaki warga emas

    SEORANG jurukimpal didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9 Cheras di Kajang, minggu lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada Chin Ngit Soon, 51, yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Chin didakwa membunuh Wong Kim Miew, 71, pada 11.50 malam, 25 Nov lepas.

    Majistret Syahrul Sazly Md Sain menetapkan 13 Jan ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala Chin tidak diwakili peguam.

    Pada 26 Nov lepas, media melaporkan Chin dan isterinya berumur 45 tahun ditahan di sekitar Hospital Serdang dan Kuala Lumpur kira-kira 1.30 pagi selepas polis menerima laporan daripada pegawai perubatan hospital itu berhubung seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian badan dan paha akibat ditikam. – BERNAMA

  • PN tidak derhaka, sebaliknya usahakan kestabilan

    PN tidak derhaka, sebaliknya usahakan kestabilan

    TIDAK timbul Perikatan Nasional (PN) menderhaka titah Yang di-Pertuan Agong kerana sedia dimaklumi bahawa baginda tidak campur tangan dalam urusan parti-parti politik, demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau yang menyangkal tuduhan PN menentang baginda kerana tidak menurut titah untuk bersama kerajaan menjelaskan, tindakan PN itu adalah berdasarkan kepada keputusan dan dasar telah sedia dimiliki yang harus dipegang oleh parti-parti di dalamnya.

    “Cuma kita akur bahawa baginda merupakan payung bagi negara kita. Mana-mana parti yang tak boleh terbentuk kerajaan terpaksa diadakan perundingan,” katanya dalam Sembang Santai sempena PRU N.42 Tioman di Bandar Baru Rompin, semalam.

    Tuan Ibrahim berkata, walaupun gelombang sokongan rakyat lebih besar kepada PN, tetapi ketiadaan majoriti dominan mana-mana gabungan telah membawa kepada cadangan perbincangan oleh baginda, namun ‘keajaiban’ berlaku setelah itu menerusi gabungan PH-BN.

    “Maka perundingan terbuka kepada parti-parti dan kita menyaksikan bagaimana perkara yang pelik. Ini antara 10 ajaib di dunia ini ya. Parti politik yang duk serang UMNO sebagai musuh utama dia, perompak, penyamun, apa semuanya, akhirnya ‘join’ penyamun.

    “Ini satu keputusan yang kita tak jangka bagaimana orang yang satu masa menyerang habis-habisan dalam kempennya, ‘No Anwar, No DAP’ bersumpah lagi wallahi, wabillahi, watallahi, sumpah macam-macam tiba-tiba apa yang berlaku mereka bentuk bersama kerajaan,” ujarnya.

    Beliau berkata, Pas dan PN telah mengusahakan perundingan bagi membentuk kerajaan dengan pihak-pihak berkenaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri dalam rangka muafakat ummah, tetapi UMNO-BN akhirnya lebih memilih untuk bersama PH.

    “Saya tengok bahkan dalam perbincangan saya pun, sebenarnya terus terang saya sebut, bahawa kalau Tuanku sendiri pun berkehendak untuk melihat politik stabil, ekonomi berjalan baik dan sebagainya.

    “Jadi kalau kita nak capai kestabilan, kita lihat ialah muafakat yang ada ni ialah satu jalan. Sebab kita telah buktikan kita berada dalam Kerajaan Persekutuan zaman Tan Sri Muhyiddin (Yassin), zaman Datuk Sri Ismail Sabri (Yaakob), kita akui bahawa berjalan okay.

    “Kerajaan pentadbiran berjalan baik walaupun berbeza parti-parti politik duk dalam kementerian, dalam masing-masing, tapi kita bekerja dalam konteks kepentingan negara. Dan ini dapat kita buktikan selama hampir 30 bulan kita menerajui kerajaan bersama,” tambahnya lapor Harakahdaily.