Category: Semasa

  • Dua lelaki Nepal maut, ada kesan hentakan pada muka

    Dua lelaki Nepal maut, ada kesan hentakan pada muka

    DUA lelaki warga Nepal ditemukan maut dengan kesan hentakan pada muka di sebuah rumah kedai di Jalan Haruan 4/7 Taman Perindustrian Oakland, Seremban, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mayat mangsa berusia 35 dan 46 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah pukul 6.25 petang di rumah kedai berkenaan.

    “Sebaik mendapat maklumat, polis telah ke lokasi dan menemui dua lelaki terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.

    “Keadaan kedua-dua mangsa berjauhan antara satu sama lain tidak sedarkan diri dan didapati muka mereka berlumuran darah.

    “Berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dipukul menggunakan penukul dan senjata berkenaan turut ditemui di lokasi,” katanya ketika ditemui di lokasi.

    Beliau berkata, seorang lagi lelaki warga Nepal berusia 37 tahun turut ditemui berada di lokasi dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Nanda berkata, kedua-dua mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat sama dan seorang dari mereka tinggal bersebelahan tempat kejadian.

    Difahamkan katanya, lokasi kejadian merupakan kantin untuk pekerja pengawal keselamatan mengambil makanan.

    “Polis masih menyiasat motif kejadian termasuk kaitan suspek yang berada di lokasi. Pihak kami akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, buat masa ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Landasan kereta api Hatyai-Padang Besar dibom

    Landasan kereta api Hatyai-Padang Besar dibom

    PERKHIDMATAN kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Hatyai ke Padang Besar, Malaysia tergendala selepas landasan dibom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngek, di Sadao, Thailand, pukul 2 petang tadi.

    Sumber berkata, kejadian berlaku ketika sebuah kereta api kargo dari Haytai ke Padang Besar tergelincir selepas landasan yang dilalui dipercayai diletakkan bom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngae.

    Letupan menyebabkan gerabak kereta api berkenaan terbabas dan melumpuhkan perkhidmatan kereta api dari sektor berkenaan ke Padang Besar.

    Stesen Kereta Api Khlong Ngae, Sadao terletak 23.3 kilometer dari Stesen Kereta Api Padang Besar, Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand, lapor Harian Metro

    Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian berkenaan dan setakat ini perkhidmatan kereta api SRT masih dihentikan buat sementara waktu.

    Sementara itu Bangkok Post melaporkan pihak berkuasa akan menyiasat kejadian tersebut sama ada landasan tersebut di bom atau kejadian kemalangan.

    Sumber memaklumkan landasan itu perlu ditutup beberapa hari bagi membolehkan kerja-kerja membaiki dilakukan.

    Kereta api berkenaan mempunyai 20 gerabak dengan 11 daripadanya tergelincir daripada landasan dan rosak teruk.

    Empat pekerja iaitu termasuk dua pemandu dan seorang juruteknik tidak mengalami sebarang kecederaan.

  • Tidak sertai Kabinet, MIC kini seperti pembangkang

    Tidak sertai Kabinet, MIC kini seperti pembangkang

    PRESIDEN MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mendakwa, parti itu ada membuat permohonan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN) supaya mempertimbangkan wakilnya dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

    Vigneswaran ketika mendedahkan perkara itu berkata, mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada menyatakan untuk membuat pertimbangan mengenai hal itu.

    Bagaimanapun katanya, sebaliknya pula berlaku apabila tidak ada seorang pun wakil MIC yang tersenarai untuk dilantik sebagai menteri.

    “Tak adalah, kita tak minta pun (jawatan menteri). Ini terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri.

    “Cuma sebelum ini apabila kita bincang dalam BN, memanglah mereka ada cakap nak pertimbangkan.

    “Tetapi apabila senarai (menteri) keluar (diumumkan) bermakna kita tidak dapat. Kita tiada masalah sebab kita pun tak tuntut,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Meskipun tidak diperuntukkan sebarang jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, Vigneswaran berkata, MIC akur dengan ketetapan itu.

    Menganggap partinya kini adalah pembangkang susulan keputusan buruk yang dilakar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila MIC hanya menang satu daripada 10 kerusi ditandingi, beliau akui tidak kisah sekali pun untuk jawatan timbalan menteri.

    “Tak adalah…Kita tak minta pun (jawatan dalam Kabinet) dan kita pun tidak tuntut. Ini terpulang pada budi bicara perdana menteri.

    “Walaupun kita ada berbincang dengan Barisan Nasional (BN), memanglah mereka ada cakap nak buat pertimbangan, tetapi apabila senarai keluar (diumumkan) bermakna tidak dapat.

    “Kita sudah buat ketetapan ini (tak tuntut) kerana kita sudah buat keputusan untuk patuh nasihat Yang di-Pertuan Agong. Jadi kita tak payahlah minta apa-apa (jawatan). Tak ada masalah pun,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap agar menteri yang dilantik terutama dalam kalangan kaum India memberi tumpuan dan bekerja keras untuk golongan itu.

    “Tidak kira menteri kaum India itu daripada parti apa sekali pun, kita meletakkan harapan tinggi supaya nasib dan kebajikan kaum India di negara ini, sentiasa terbela serta diberi tumpuan sewajarnya.

    “Kita ini pembangkang. Jadi rakyat sudah tentukan kita pembangkang. Kalau kita tak dapat (jawatan) kita tak ada masalah. Tetapi saya percaya menteri berkenaan asalkan dia boleh selesaikan masalah kalau wujud isu berkaitan kaum India, sudah cukup.

    “Cuma jangan beri alasan tidak munasabah bahawa (kebajikan kaum India) bukan dalam kementerian beliau,” katanya.

  • Presiden sepak takraw Singapura dikenakan sekatan 10 tahun

    Presiden sepak takraw Singapura dikenakan sekatan 10 tahun

    PRESIDEN Persekutuan Sepaktakraw Singapura (PERSES) Mohd Nasri Haron dikenakan sekatan selama 10 tahun bermula 30 November lalu oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

    Pengerusi Jawatankuasa Disiplin ASTAF Yogender Singh Dahiya berkata, Mohd Nasri juga perlu membayar balik AS$15,000 (kira-kira RM65,800) kepada badan itu.

    Katanya, ini menampung kos mengadakan perbicaraan yang melibatkan seluruh jawatankuasa disiplin antarabangsa itu dan kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan tambahan dua tahun sekatan.

    Yogender Singh berkata, Mohd Nasri menghadapi lima pertuduhan berkaitan suratnya sebagai Naib Presiden ASTAF dan Presiden PERSES yang disalin kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

  • Bayi perempuan masih bertali pusat ditinggalkan dalam kotak

    Bayi perempuan masih bertali pusat ditinggalkan dalam kotak

    SEORANG bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan, ditemukan dalam sebuah kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di hadapan simpang masuk kebun di Jemaluang, di Mersing, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata bayi itu yang masih bertali pusat, diletakkan dalam sebuah kotak dengan hanya beralaskan kain langsir, ditemukan kira-kira jam 8.40 pagi.

    “Polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan menemukan seorang bayi yang masih hidup dan cukup sifat di tepi simpang masuk kebun berkenaan.

    “Bayi itu kemudiannya diselamatkan dan dirawat di Klinik Kesihatan Jemaluang, bagaimanapun identitinya masih belum dapat dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Bayi itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

    Cyril turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

  • Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar rapuh, kata Hadi Awang

    Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar rapuh, kata Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebuah kerajaan yang rapuh atas faktor tidak cukup jumlah majoriti.

    Menurutnya, antara jemaah yang dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan itu juga terdiri kalangan mereka yang disebut oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri sebagai perompak dan penyamun.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerajaan yang ditubuhkan itu adalah sebuah kerajaan yang rapuh atas faktor tidak cukup jumlah majoriti.

    “Tambahan pula terdapat jemaah menteri yang dilantik merupakan kalangan yang disebut oleh pemimpin PH sendiri sebagai perompak dan penyamun.

    “Orang sebegini yang dilantik menjadi menteri. Ini yang berlaku. Kita sabar sekejap. Ini ujian yang Allah SWT berikan kepada kita,” katanya menerusi hantaran di Twitter dan Facebook, hari ini.

    Petang tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selesai mengangkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri I, manakala Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik Timbalan Perdana Menteri II.

    Kerajaan Perpaduan mempunyai 28 menteri adalah kabinet lebih kecil berbanding 31 jemaah menteri dalam kerajaan sebelum ini.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi menggesa semua mengambil contoh perjuangan Baginda Nabi Muhammad SAW dalam usaha menegakkan syariat Islam di Malaysia.

    “Rasulullah SAW sendiri pernah diuji apabila turun ayat bahawa Nabi SAW akan memasuki Makkah. Namun apabila Nabi SAW ingin memasuki Makkah dalam peristiwa Hudaibiyah, disekat jalannya.

    “Selepas beberapa tahun barulah Nabi SAW berjaya memasuki Makkah dan membebaskannya daripada kekuasaan musyrikin Makkah.

    “Marilah kita mengambil contoh daripada perjuangan baginda Nabi SAW ini dalam usaha kita menegakkan syariat Islam di Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Lelaki guna nama masjid kutip derma sudah ditahan

    Lelaki guna nama masjid kutip derma sudah ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang menggunakan nama masjid untuk mengutip derma bagi memberi sumbangan dan makanan kepada anak yatim.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 29 tahun ditahan pukul 4.48 petang semalamdi kediamannya di kawasan perumahan Kemumin, Pengkalan Chepa.

    “Suspe merupakan seorang penganggur. Siasatan awal juga mendapati suspek terbabit dalam kes menggunakan modus operandi sama di Pasir Puteh pada Mei lalu.

    “Hasil semakan mendapati suspek juga adalah individu dikehendaki selain mempunyai rekod lampau berhubung kes rogol di Bachok.

    “Kami yakin selepas siasatan dibuat, ramai lagi yang akan tampil untuk membuat laporan berhubung kes penipuan secara dalam talian yang semakin berleluasa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, Kuala Krai, hari ini.

    Beliau berkata, permohonan reman suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang peniaga yang dihubungi oleh suspek yang mengaku sebagai penghulu memberitahu ingin mengadakan majlis untuk memberi makan anak yatim dan meminta sedikit sumbangan kewangan.

    Mangsa tidak bertanya lanjut berikutan sering dihubungi pemimpin setempat untuk tujuan yang sama sudah membuat transaksi RM500 kepada suspek.

    Suspek kemudian memaklumkan tidak cukup dan meminta RM2,300 lagi daripada mangsa.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, statistik jenayah komersial di Kelantan pada tahun ini meningkat sebanyak 30 kes atau 3.4 peratus berbanding tahun lalu dalam tempoh Januari hingga November.

    “Pada tahun lalu sebanyak 874 kes dilaporkan berbanding tahun ini sebanyak 904 kes dengan anggaran kerugian masing-masing RM16,072,480.65 pada tahun lalu dan RM24,897,882.21 pada tahun ini.

    “Antara jenis yang dilaporkan termasuklah Macau Scam, tipu pelaburan dalam talian, tipu kerja sambilan dalam talian, pinjaman tidak wujud, dan sebagainya,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Video tular mengenai perhimpunan adalah video lama – KPN

    Video tular mengenai perhimpunan adalah video lama – KPN

    VIDEO tular kononnya satu perhimpunan akan diadakan pada Khamis depan (8 Dis) adalah video lama dan ditularkan kembali pihak tidak bertanggungjawab bertujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan.

    Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan hari ini berkata semakan polis mendapati video berkenaan dirakam pada tahun 2018 semasa isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sedang diperkatakan.

    Beliau berkata perhimpunan yang dimaksudkan adalah perhimpunan anti-ICERD yang berlangsung pada 8 Dis 2018 di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

    “Video berkenaan ditularkan kembali oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan, seolah-olah terdapat perhimpunan yang akan dianjurkan pada 8 Dis ini.

    “PDRM menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebar atau berkongsi lanjut sekiranya telah menerima video berkenaan,” katanya menambah kerjasama pengguna media sosial amat diperlukan bagi mengelak berita tidak benar daripada disebarkan.

    Menurutnya mana-mana individu yang dikesan menyebarkan video itu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kenyataan-kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penyebaran sebuah video berdurasi dua minit 20 saat di media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki memberikan ucapan berbaur perkauman di sebuah premis tertutup dan menyatakan sebuah perhimpunan akan diadakan pada ‘8 Dis 2022’.

    Acryl Sani berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai perhimpunan yang akan diadakan oleh mana-mana pihak pada 8 Dis ini seperti yang cuba digambarkan.

    Beliau turut mengulangi komitmen PDRM dalam menjamin keselamatan awam dan masyarakat dengan tindakan tegas akan diambil jika mana-mana pihak dikesan mengadakan sebarang perhimpunan atau perarakan di tempat terbuka yang boleh mengancam ketenteraman awam.

  • NUTP harap Menteri Pendidikan, KPT baharu perkenalkan dasar progresif

    NUTP harap Menteri Pendidikan, KPT baharu perkenalkan dasar progresif

    KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mahu Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi yang baharu dilantik untuk mempertingkatkan kemajuan dan memperbaiki sistem pendidikan dengan memperkenalkan dasar-dasar yang progresif.

    Menurut Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon dalam satu kenyataan hari ini, NUTP berharap Menteri Pendidikan Fadhliana Sidek dapat memberikan lebih autonomi kepada akar umbi dalam merancang sesi pengajaran dan pembelajaran serta peka akan permasalahan yang sudah lama dihadapi dunia pendidikan negara.

    “Menteri Pendidikan haruslah meneliti cadangan dan pandangan yang diutarakan sesiapa sahaja sebelum membuat sebarang keputusan cadangan dan pandangan akar umbi sebahagiannya dapat membantu dan memperbaiki sistem pendidikan,” menurutnya dalam kenyataan tersebut.

    Dalam pada itu, menurutnya NUTP berpendapat pengasingan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah wajar supaya kedua-dua kementerian itu dapat lebih fokus dalam melaksanakan fungsi masing-masing.

    Menurutnya, NUTP berharap dua kementerian itu dapat meneliti semula dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang tidak disentuh sepanjang pentadbiran menteri yang lepas.

    “Pembinaan generasi Malaysia masa hadapan amat bergantung kepada dasar yang dibuat oleh kementerian-kementerian ini kelak,” menurutnya dalam kenyataan itu.

    Selain itu, Fouzi berkata kedua-dua tokoh yang dipilih untuk menerajui kementerian berkaitan pendidikan negara itu dapat memberikan kerjasama yang baik dengan kesatuan guru dan mendengar suara mereka melalui sesi libat urus.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Fadhlina dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik untuk menerajui KPT. Mereka berdua adalah sebahagian daripada 28 menteri Kabinet yang bakal mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini.

  • PN ikrar jadi pembangkang telus, perjuang nasib rakyat

    PN ikrar jadi pembangkang telus, perjuang nasib rakyat

    PERIKATAN Nasional (PN) berikrar untuk menjadi pembangkang yang lebih telus dan sentiasa memperjuangkan nasib rakyat.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, walaupun berada di pihak pembangkang, mereka tetap akan bertanggungjawab membantu membentuk negara ini dengan lebih baik.

    “Jadi kepada semua pengundi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu janganlah berasa kecewa, sentiasalah mengamalkan sikap bersabar.

    “Dalam kempen kita yang lalu, kita selalu mengatakan bahawa kita akan sentiasa menentukan masa depan kita secara jujur dan ikhlas dan apa juga yang berlaku dihadapan kita ini belum ada garis penamatnya lagi,” katanya, lapor SatuBerita.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Parlimen Larut di Dewan Terbuka Tapak Bazar Ramadan Selama di Larut hari ini.