Category: Semasa

  • Rayuan Najib mohon dokumen perbankan syarikat berkaitan Jho Low ditolak

    Rayuan Najib mohon dokumen perbankan syarikat berkaitan Jho Low ditolak

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan dokumen perbankan syarikat dipercayai berkaitan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

    Bekas Perdana Menteri itu memohon 19 dokumen untuk digunakan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan, menetapkan keputusan itu secara sebulat suara selepas mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dan membuat kesilapan ketika menolak permohonan berkenaan tahun lalu.

    Nordin berkata, permohonan itu tiada merit menyebabkan tiada keperluan untuk pihaknya mengubah keputusan yang dibuat Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    “Hakim terbabit mempunyai budi bicara untuk menolak keputusan mengikut Seksyen 51 dan 425 Kanun Tatacara Jenayah (CPC). Menjadi hakim dalam perbicaraan dan dikemukakan pertuduhan serta bukti daripada pihak pendakwaan terhadap Najib, Sequerah berada di kedudukan untuk membuat penilaian.

    “Ia berdasarkan bukti lisan yang diperlukan dalam perbicaraan untuk membuat keputusan terhadap permohonan itu mengikut Seksyen 51 dan 51A CPC termasuk berkaitan dana diterima keluarga Zeti.

    “Permohonan di Mahkamah Rayuan ditolak dan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi kekal, itu keputusan kami,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Susulan itu, Kamaludin berkata, secara ringkasnya keputusan Mahkamah Rayuan membabitkan isu berbangkit mengikut undang-undang sedia ada.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika ditemui media berkata, keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan Mahkamah Tinggi tidak membuat kesilapan terhadap permohonan membabitkan kes Najib yang didakwa mengikut akta pengubahan wang haram dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Dokumen yang diminta termasuk kenyataan siasatan membabitkan polis dan SPRM adalah rahsia. Saya juga bernasib baik mempunyai pasukan pendakwaan dalam kelas tersendiri untuk berdepan permohonan itu.

    “Berkaitan perbicaraan kes Najib, seramai 43 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan kita akan panggil tujuh lagi, tak silap saya saksi yang dipanggil termasuk bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar,” katanya.

    Pada 25 Oktober lalu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah permohonan dokumen membabitkan syarikat yang dikawal oleh Jho Low dan keluarga Zeti ada pada pihak pendakwaan dan pihak berkuasa Malaysia.

    Pihak berkuasa Singapura yang didakwa menyiasat skandal kewangan 1MDB di negara itu memberikan dokumen berkenaan kepada pihak berkuasa Malaysia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

    Bagaimanapun, Gopal dilaporkan berkata, dokumen itu adalah pramatang dan tidak relevan dengan perbicaraan Najib, selain ia hanya boleh dimohon selepas perintah membela diri.

    Katanya, tidak dinafikan kewujudan dokumen itu serta bebanan terletak pada pihak pembelaan untuk menunjukkan bahawa permohonan mereka adalah berdasarkan bukti yang boleh diterima dan bukannya keterangan bersifat dengar cakap.

    Pada 12 Julai tahun lalu, Sequerah menolak dua permohonan Najib yang meminta pendakwaan perbicaraan kes 1MDB mendedahkan dokumen perbankan dikaitkan dengan keluarga Zeti selepas dikatakan menerima wang daripada Jho Low.

    Najib memfailkan permohonan pada 24 Mac tahun lalu untuk meminta pendakwaan memberikan penyata perbankan daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lalu untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

  • Kerajaan pimpinan Anwar bermain ilusi, kucar-kacir pemikiran berbanding selesai masalah rakyat

    Kerajaan pimpinan Anwar bermain ilusi, kucar-kacir pemikiran berbanding selesai masalah rakyat

    KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berhenti bersikap seperti pembangkang, yang dilakukannya kini dengan melancarkan serangan kepada pihak lawan.

    Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Awang Hashim berkata, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu masih bermain dengan ilusi dan persepsi untuk mengucar-ngacirkan pemikiran rakyat berbanding menyelesaikan masalah dan memulihkan ekonomi.

    Perkembangan itu katanya, berbeza dengan apa yang dilaungkannya ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Kerajaan berusia kurang sebulan ini tidak menguruskan mereka sebagai kerajaan…masih lagi terikat dengan mentaliti sebagai pembangkang sebab itu kerap serangan, ilusi yang dimainkan untuk mengucar-ngacirkan pemikiran rakyat.

    “Kalau terus begini bagaimana kita nak bina pemikiran rakyat yang lebih profesional dan matang jika ini dilakukan pentadbiran Anwar?” katanya kepada FMT.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) berkata, kerajaan perpaduan Anwar seharusnya lebih ‘berseni’ dalam mentadbir negara dan tidak lagi sibuk ‘berpolitiking’.

    “Bila dapat maklumat daripada pegawai kerajaan, kita tak boleh dedah sembarangan…tak perlu dicanang. Ini bila dedah sesuatu perkara kita minta bukti, mereka tak boleh bagi,” katanya.

    Pada 5 Disember lalu, Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin Yassin.

    Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu diikuti pengumuman senarai Jemaah Menteri pada 3 Disember, lapan hari selepas pelantikannya.

    Dalam pada itu, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang turut mempersoalkan mengapa Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Asri Hamidin direhatkan sebaik Anwar memulakan tugas di pejabat Kementerian Kewangan.

    “Jelaskan mengapa KSP (ketua setiausaha perbendaharaan) dicutikan. KSP ini mengetuai perbelanjaan negara.. kalau ada salah laku boleh dibawa kepada tindakan tatatertib. Itu kaedahnya bukan kita terus beri cuti…dia (Asri) ada di situ, kita boleh minta dia beri penjelasan (jika berlaku salah laku),” katanya.

    Sejak beberapa hari lalu, media melaporkan Asri ‘hilang’ dari sidang media diketuai anwar dan difahamkan pegawai kanan itu diberikan cuti.

    Anwar pada sidang media hari pertama bertugas sebagai Menteri Kewangan pada 6 Disember lalu berkata akan ada KSP baru akan dilantik.

  • Dakwaan amang seksual: Peguam bela PU Azman cadang kemuka representasi

    Dakwaan amang seksual: Peguam bela PU Azman cadang kemuka representasi

    PEGUAM bela bagi pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau PU Azman mempertimbang untuk mengemuka representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), berkaitan lima pertuduhan terhadap anak guamnya.

    Peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad berkata, pihaknya perlu meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan terlebih dahulu, sebelum menghantar representasi berhubung lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki.

    “Kita akan kemukakan satu representasi kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertimbangan, antara niat kita untuk teliti balik kes ini, kalau ada pertimbangan yang terbaik untuk tarik balik kita akan cuba hantar surat itu.

    “Kita ikut proses undang undang, kalau ada pertuduhan kita akan pergi dan kita akan lawan ikut proses sedia ada. Semua dokumen yang pihak pendakwaan akan guna untuk perbicaraan, itu yang kita terima hari ini,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Seremban hari ini.

    Sebelum ini, PU Azman pada Oktober lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua remaja lelaki bawah umur, pada Februari dan Julai lalu.

    Dalam prosiding di hadapan Hakim Datin Surita Budin, Mohamad Zahid sebelum ini memohon tempoh sebulan setengah untuk meneliti dokumen, sebelum sebutan semula kes ditetapkan.

    Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi sebelum itu memaklumkan dua dokumen sedia diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini.

    Semalam, PU Azman, 41, turut dihadapkan ke Mahkamah Klang, atas empat pertuduhan jenayah seksual membabitkan tiga remaja lelaki antara Februari hingga Ogos lepas.

    Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, Klang, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Feb serta 29 Jun lepas.

    PU Azman turut didakwa atas satu pertuduhan menggalakkan seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun dengan berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp sekitar 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru pada 16 ogos lepas.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Azman Syah didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, pada 9.15 malam pada 10 Jun lepas.

  • SPR teliti panjangkan tempoh lebih 60 hari adakan pilihan raya

    SPR teliti panjangkan tempoh lebih 60 hari adakan pilihan raya

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedang melihat kemungkinan memanjangkan tempoh untuk mengadakan pilihan raya melebihi 60 hari selepas pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sepertimana yang diperuntuk ketika ini.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata perkara itu bagi membolehkan suruhanjaya berkenaan melakukan persiapan sebaik mungkin berikutan pertambahan jumlah pengundi yang banyak setiap tahun di negara ini.

    “Kita akan cuba panjangkan lagi sebab tempoh sekarang ini (60 hari), daripada dahulu hingga sekarang agak sempit (suntuk) sikitlah dengan keadaan jumlah pengundi yang banyak iaitu daripada 14.9 juta sebelum ini meningkat kepada 21.1 juta.

    “Kita juga kena ingat pengundi berusia 18 tahun ini tiap-tiap tahun akan bertambah sebanyak setengah juta, jadi (jumlah pengundi) akan bertambah dan terus bertambah,” katanya pada sidang media malam tadi.

    Terdahulu, beliau hadir ke pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim.

    Menjelas lanjut, Abdul Ghani berkata berikutan peningkatan jumlah pengundi, SPR perlu melakukan persiapan termasuk menyediakan pusat dan saluran mengundi serta petugas agar proses pilihan raya dapat dilaksana dalam keadaan selesa.

    Beliau juga berkata pihaknya berharap pilihan raya bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.

    “Ia akan memudahkan petugas kita, memudahkan kita membuat penyelarasan, itu yang terbaik tapi dari segi kos, sama juga,” katanya.

    Ditanya waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan, Abdul Ghani berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam hal itu dan ia terpulang kepada kepimpinan negeri terbabit.

    Beliau juga berkata pilihan raya bagi keenam-enam negeri dianggarkan menelan belanja kira-kira RM450 juta.

    Abdul Ghani berkata secara keseluruhan, proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan DUN Tioman di Pahang berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi agak baik.

    “Secara keseluruhan saya lihat untuk PRU15, peratus keluar mengundi ialah sebanyak 74.71… satu gambaran masyarakat kita mengambil tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya.

  • Import telur tak akan selesai kekurangan bekalan jangka pendek, kerajaan diberitahu

    Import telur tak akan selesai kekurangan bekalan jangka pendek, kerajaan diberitahu

    PENGARAH Urusan rangkaian pasaraya Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mempersoalkan rancangan kerajaan untuk mengimport telur ayam bagi menyelesaikan kekurangan bekalan dalam pasaran.

    Menurut beliau, langkah tersebut bukan penyelesaian terbaik kepada masalah itu.

    Ameer Ali Mydin berkata, adalah tidak masuk akal untuk mengimport telur memandangkan Malaysia merupakan pengeksport bersih barangan makanan itu.

    “Sekiranya bekalan tidak mencukupi, maka kita harus berhenti mengeksport telur ke Singapura dan Hong Kong supaya bekalan telur mencukupi untuk rakyat Malaysia,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    “Jika pihak berkuasa mengatakan kami mengeluarkan telur yang mencukupi untuk pasaran domestik, maka di mana mereka? Peruncit tidak mempunyai bekalan mencukupi,” katanya.

    Beliau mengulas pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu bahawa kerajaan bersetuju mengimport telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan bekalan mencukupi.

    Ameer berkata, jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan rancangan itu, ia perlu menjelaskan sama ada mana-mana syarikat boleh mengimport telur atau jika peruncit perlu melalui syarikat yang dilantik.

    “Kerajaan juga harus menyediakan senarai negara di mana telur itu boleh diperolehi dan senarai pengeluar yang diluluskan dari negara tersebut,” katanya.

    Tetapi Ameer berkata, sukar untuk melihat bagaimana mengimport telur boleh menyelesaikan masalah itu.

    “Telur mempunyai jangka hayat yang singkat iaitu 21 hari dan tidak boleh dibekukan. Jadi dari aspek logistik, anda perlu mengimportnya dari negara di rantau ini,” katanya.

    “Tetapi harga telur adalah yang paling rendah di Malaysia. Satu dozen telur Gred C berharga RM4.92, tetapi di Thailand, ia bersamaan dengan RM7.42, Singapura (RM12.24), Indonesia (RM6.55), Brunei (RM10.15) dan Vietnam (RM5.78).

    “Saya tidak nampak bagaimana telur yang diimport mampu dimiliki rakyat Malaysia,” katanya.

    Ameer berkata, satu-satunya telur yang terdapat di pasaran dalam kuantiti yang mencukupi ialah telur yang tidak tertakluk kepada kawalan harga, seperti Omega 3 yang boleh berharga 75 sen sebiji.

    Dakwanya, kebanyakan perniagaan terpaksa membeli telur ini, dan ini telah menyebabkan harga lebih tinggi di kedai roti dan restoran.

    “Perkara paling mudah dilaksanakan”, kata Ameer merujuk kepada kerajaan menarik balik kawalan harga.

    “Walaupun pengeluar menaikkan harga telur sebanyak 10 sen setiap satu, ia masih lebih rendah daripada 75 sen setiap telur Omega 3,” tambah Ameer.

  • Bantah KKM perluas penggunaan PrEP, tekankan langkah pencegahan HIV

    Bantah KKM perluas penggunaan PrEP, tekankan langkah pencegahan HIV

    RANCANGAN Kementerian Kesihatan (KKM) memperluaskan penggunaan ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) terutama dalam kalangan mereka yang mengamalkan homoseksual mendapat tentangan dan tidak dipersetujui beberapa doktor. Menurut mereka, apa yang perlu lebih ditekankan ialah mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang boleh menyebabkan penyebaran wabak HIV.

    Berikut adalah kenyataan penuh enam doktor dan perunding pakar perubatan keluarga dari beberapa universiti;

    Abstinen, bukan PrEP sebagai mesej utama pencegahan jangkitan HIV

    Kami ingin merujuk kepada laporan berkaitan rancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluaskan penggunaan ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) untuk mencegah penyebaran wabak HIV. PrEP adalah ubatan oral yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV yang tersebar melalui hubungan kelamin ataupun penggunaan jarum suntikan yang telah pun diedarkan melalui klinik-klinik kesihatan di Selangor, Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan juga Sabah.

    Buat masa ini, PrEP diberikan kepada individu berstatus HIV-negatif yang berisiko untuk mendapat HIV, seperti pasangan kepada individu yang telahpun menghidap HIV. Individu yang menghidap HIV serta keluarga mereka adalah kategori pesakit yang layak untuk dilindungi dan sepatutnya menerima rawatan terbaik yang tersedia.

    Namun, apa yang membimbangkan, perancangan terkini adalah untuk meluaskan penggunaan PrEP kepada pasangan homoseksual berstatus HIV-negatif dan secara atas permintaan. Kami menggesa untuk KKM menilai semula perancangan ini.

    Kami berpendapat bahawa KKM sepatutnya lebih menumpukan kepada kempen langkah-langkah pencegahan, yang bermula dengan penghindaran perbuatan seks itu sendiri atau abstinen. Mesej-mesej kesihatan dan saranan kepada masyarakat awam untuk mengelakkan hubungan kelamin melalui dubur (seks anal) sepatutnya menjadi langkah utama pencegahan.

    Kos ekonomi yang besar untuk perbelanjaan 𝗣𝗿𝗘𝗣

    ‘Pencegahan lebih baik daripada mengubati’ adalah pepatah lama yang malar segar yang bukan sahaja praktikal dalam kehidupan sehari-harian, malah juga dalam sudut pandang ekonomi negara dan polisi sosial yang menyeluruh. Ini tidaklah bermakna langkah pencegahan awal secara farmaseutikal tidak berkesan atau pun tidak berhasil dalam mengurangkan beban dan kos jagaan dan rawatan.

    Akan tetapi, pencegahan awal melalui farmaseutikal hanya terpakai untuk ubat-ubatan ataupun vaksinasi secara one-off atau ianya dengan kekerapan yang minimum. Sebagai contohnya, pembelian dan pemberian vaksin BCG yang terbukti sangat berkesan untuk melawan penyakit tibi. Begitu juga halnya dengan vaksin yang kita gunakan semasa COVID-19. Namun kita diperlukan mengambil ubat atau vaksin ini di antara sekali atau 3-4 kali sahaja sebagai booster.

    Berbeza dengan PrEP yang memerlukan lelaki yang mengamalkan seks dengan lelaki (MSM) untuk mengambil ubat tersebut setiap hari kerana mereka dikategorikan sebagai ‘individu yang kerap terdedah kepada risiko’. Mengambil kira majoriti pengamal MSM adalah mereka yang masih muda, strategi ini bukan sahaja berupaya meruntuhkan nilai moral masyarakat, bahkan juga dari sudut ekonomi, ia akan menyebabkan berlakunya perbelanjaan yang tinggi dan tidak munasabah.

    Hasil negara yang dikutip melalui pembayar cukai akan dibelanjakan seterusnya membolehkan individu yang berisiko dari segi tingkah laku untuk meneruskan aktiviti mereka sedangkan mereka boleh meninggalkan perbuatan berisiko tinggi dengan memberikan fakta kesihatan yang betul dari aspek kesihatan dan motivasi dari sudut moral.

    Daripada menggunakan dana kita yang terhad kepada PrEP yang ternyata merupakan gaya hidup dan pilihan seseorang untuk mengamalkan seks anal, dana kesihatan kita boleh dimanfaatkan untuk penyakit-penyakit lain seperti penyakit kongenital (penyakit sejak lahir) atau pun penyakit tidak berjangkit (NCD).

    Menyekat kebebasan bersuara pihak agama dalam bidang mereka

    Adalah juga amat dikesali dengan kecaman yang dilontarkan kepada sebarang pendekatan agama dalam memotivasikan individu untuk meninggalkan tingkah laku berisiko ini. Sebarang nasihat yang menjunjung nilai moral masyarakat dibidas dan dikecam secara terbuka, seperti mana kes Malaysian AIDS Council (MAC) yang mengecam seorang agamawan di Hari Menyambut AIDS Sedunia pada 1 Disember lepas kerana dikatakan memberikan ‘kenyataan yang menghina dan berunsur kebencian’. Ironinya, masyarakat umum tidak pula diberitahu apakah kandungan ucapan secara terperinci yang dicop sebagai ucapan berunsur kebencian tersebut.

    Situasi ini ternyata merencatkan kebebasan bersuara dan kebebasan memberikan pandangan dan posisi agama oleh para agamawan dalam bidang mereka dalam perkara yang melibatkan HIV. Menyekat suara agamawan dan pandangan pro-kekeluargaan ini telah terdahulu ditempuh oleh jiran kita iaitu Singapura.

    Terbaharu, kerajaan Singapura telah mengeluarkan homoseksualiti daripada senarai perilaku jenayah. Undang-undang ini menurut masyarakat beragama Kristian dan Islam memberi nilai untuk melindungi institusi keluarga, perkahwinan, kanak-kanak dan kebebasan. Pihak agama di sana dikekang oleh pihak minoriti yang tidak bertoleransi yang cuba untuk mengkucar-kacirkan masyarakat dalam segenap sudut – perkahwinan, pendidikan, perniagaan, kepercayaan – pada masa yang sama mereka yang tidak bersetuju dengan homoseksualiti akan digelar sebagai ‘pentaksub/bigot’ atau ‘pembenci/haters’.

    Hal yang serupa sedang dialami oleh pendakwah dan insitusi keagamaan di Malaysia kini.

    Fraterniti perubatan tidak boleh membenarkan ideologi yang menyerang institusi kekeluargaan berleluasa. Bukan sahaja ia memusnahkan struktur masyarakat, bahkan ianya juga bertentangan dengan data terkini dalam laporan UNAIDS yang menunjukkan peningkatan kes-kes baru HIV dikalangan pengamal homoseksualiti. Amat penting untuk kita tidak mencampur-adukkan keberkesanan mesej dengan siapa yang memberi mesej.

    Abstinen dan kesetiaan kepada pasangan tidak boleh dinafikan oleh profesyen perubatan sebagai satu langkah pencegahan yang utama, yang juga turut diperakui oleh beberapa badan piawaian antarabangsa seperti Pusat Kawalan Penyakit (CDC) yang berpengkalan di Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    WHO turut mendefinisikan kesihatan sebagai suatu keadaan yang dinamik merangkumi aspek fizikal, mental, spiritual, dan kesejahteraan sosial, dan bukan terhad hanya semata-mata kepada ketiadaan penyakit dan ketidakupayaan.

    Adalah berlawanan dengan logik yang mana pengamal kesihatan menggalakkan perkembangan tingkah laku yang berisiko tinggi, bila mana kita sebenarnya perlu untuk menghentikannya. Sebagai contoh; amalan tidak sihat seperti merokok. Pihak CDC menganggarkan pada setiap hari terdapat lebih daripada 3,200 individu muda berumur kurang 18 tahun MULA menghisap rokok. Setiap hari, 2100 remaja dan belia yang merokok sesekali sesekala berubah menjadi perokok harian.

    Mesej utama daripada CDC adalah jelas tanpa berselindung bahawa pencegahan dan pembanterasan amalan merokok adalah perlu dari sudut kesihatan. Walaupun kempen-kempen ini masih belum berjaya menghalang 1.2 juta perokok baharu, ia tidak sesekali menjadi alasan untuk berhenti menjalankan tanggungjawab profesional sebagai seorang pengamal perubatan untuk menghentikan tingkah laku tidak sihat ini.

    Cara kempen yang sama juga sepatutnya terpakai dalam isu pemakanan, senaman dan seksualiti. Mengambil kesimpulan daripada contoh rokok, adakah dalam konteks masyarakat yang masih gagal untuk menghentikan tabiat mengambil makanan manis, maka doktor bolehlah berhenti dari menasihati masyarakat jangan mengambil gula berlebihan sebagai teras utama mesej pemakanan sihat? Sudah tentu ini ini sangat tidak wajar dan tidak ada satu alasan pun kenapa kita perlu berbeza dalam pengurusan masalah HIV yang terkait dengan perilaku berisiko tinggi seks anal dengan tingkah-laku berisiko tinggi yang lain.

    Abstinen
    Abstinen
    Abstinen

    ……adalah mesej utama yang sepatutnya kita ulang-ulang dan tekankan untuk mempromosi pencegahan HIV dalam kalangan MSM.

    Ini adalah kenyataan bersama oleh;

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗗𝗿 𝗥𝗮𝗳𝗶𝗱𝗮𝗵 𝗛𝗮𝗻𝗶𝗺 𝗠𝗼𝗸𝗵𝘁𝗮𝗿
    Profesor Gender dan Fisiologi Kardiovaskular
    Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
    Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗗𝗿 𝗦𝗮𝗺𝘀𝘂𝗹 𝗯𝗶𝗻 𝗗𝗿𝗮𝗺𝗮𝗻
    Profesor dan Perunding Pakar Perubatan Keluarga
    Gender Dysphoria Flagship Leader, Kuliyyah Perubatan
    Timbalan Pengarah Kampus, Pejabat Pengarah Kampus, Kuantan
    Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗗𝗿 𝗔𝗻𝗶𝘀 𝗦𝗮𝗳𝘂𝗿𝗮 𝗥𝗮𝗺𝗹𝗶
    Profesor dan Perunding Pakar Perubatan Keluarga
    Timbalan Pengarah & Felo Utama I-PPerForM, Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Atherosklerosis dan Pencegahan CVD
    Universiti Teknologi Mara (UiTM)

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗿𝗺𝘆 𝗯𝗶𝗻 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗲𝗱 𝗬𝘂𝘀𝗼𝗳
    Dekan Fakulti Perubatan
    Profesor dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga
    Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗠𝗮𝗱𝘆𝗮 𝗗𝗿 𝗥𝗼𝘀𝗲𝗱𝗶𝗮𝗻𝗶 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱
    Profesor Madya dan
    Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Wanita dan Kesihatan Seksual
    Universiti Sains Malaysia (USM)
    Dan
    Pengerusi Asia Oceana Federation for Sexology

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗠𝗮𝗱𝘆𝗮 𝗗𝗿. 𝗔𝗻𝗶 𝗔𝗺𝗲𝗹𝗶𝗮 𝗗𝗮𝘁𝗼 𝗭𝗮𝗶𝗻𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻
    Profesor Madya Obstetrik dan Ginekologi
    Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Ginekologi Remaja dengan Pengkhususan dalam Perkembangan Seks
    Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Pilihan raya di enam negeri wajar diadakan serentak – SPR

    Pilihan raya di enam negeri wajar diadakan serentak – SPR

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengharapkan dapat melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan secara serentak.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jika harapan berkenaan dapat direalisasikan, ia akan dapat memudahkan urusan SPR terutama dari segi pengurusan termasuk melakukan penyelarasan serta persiapan awal.

    “Bagaimanapun SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat pembubaran bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri yang terlibat memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa Menteri Besar ataupun Ketua Menteri.

    “Kalau tanya pandangan SPR. kita kalau boleh, (pilihan raya negeri bagi) keenam enam (negeri terlibat) dibuat serentak, (ia akan) memudahkan urusan kita dan dari segi petugas kita, memudahkan kita di SPR buat penyelarasan walaupin dari segi kos tetap sama juga

    “(Berhubung tarikh sesuai), yang ini susah saya hendak cakap, saya tidak ada kuasa untuk membubarkan DUN, tidak ada (kuasa untuk membuat sebarang) recommendation, (sebab perkara itu) terpulang kepada kepimpinan negeri masing-masing,” katanya.

    Abdul Ghani berkata demikian ketika sidang media selepas hadir meninjau pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Padang Serai, malam tadi.

    Tambahnya, kos bagi menjalankan PRN di enam negeri berkenaan adalah dianggarkan sekitar RM450 juta meskipun ianya diadakan secara serentak mahupun berasingan.

    Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa proses pengundian Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman berlangsung dengan baik dan teratur.

    Peratus keluar mengundi disifatkan agak tinggi dan melebihi sasaran memandangkan PRU bagi kedua-dua kawasan ini diadakan pada hari bekerja, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Abdul Ghani turut memaklumkan bahawa purata jumlah peratusan keluar mengundi bagi PRU15 adalah sebanyak 74.71 peratus.

  • Keputusan PRK bukti rakyat tak percaya gabungan BN-PH – Muhyiddin

    Keputusan PRK bukti rakyat tak percaya gabungan BN-PH – Muhyiddin

    KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis di DUN Tioman menunjukkan rakyat tidak teruja dan mempercayai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga petanda positif sokongan padu rakyat kepada gabungan itu kerana kedua-kedua kerusi itu masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam PRU-14.

    Menurut Presiden Bersatu itu, majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU-14.

    “Syukur ke hadrat Allah SWT, kemenangan besar PN di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN. Kedua-kedua kerusi ini masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam PRU 14.

    “Keputusan kedua-dua PRK (pilihan raya kecil) ini menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH. Majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU 14.

    “Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

    Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, kemenangan besar PN itu juga menunjukkan rakyat tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.

    Beliau berkata, kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU-15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN.

    “Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU 15 adalah “the biggest electoral fraud ever” dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” kata beliau.

    Sementara itu, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh mengucapkan terima kasih beliau kepada para pengundi di Padang Serai dan Tioman yang telah memilih Perikatan Nasional.

    Katanya, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai dan kepada calon PN di Tioman, Nor Idayu Hashim.

    “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Cikgu Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai. Kepada calon PN di Tioman, Puan Nuridayu Hashim, teruskan perjuangan anda bersama PN. Kita berada di landasan yang benar.

    “Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh berkempen,” tambah beliau.

    Keputusan bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan Perikatan Nasional (PN) meneruskan penguasaan majoriti kerusi Parlimen di Kedah selepas calon gabungan itu Datuk Azman Nasrudin memenangi kerusi yang merupakan kubu kuat PKR itu dengan memperoleh 51,637 undi dalam pertembungan enam penjuru.

    Kemenangan itu sekali gus menyaksikan PN hampir “menyapu bersih” kerusi Parlimen di Kedah apabila memperoleh 14 daripada 15 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri berkenaan, setelah tewas tipis di Sungai Petani dengan majoriti 1,115 undi kepada calon PH.

    Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, menewaskan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional – BN) memperoleh 2,983 undi dan calon Bebas Sreanandha Rao mendapat 846 undi.

    Sementra itu di DUN Tioman, calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.

  • ‘Kerajaan Perpaduan’ tewas, PN menang bergaya kerusi Parlimen Padang Serai

    ‘Kerajaan Perpaduan’ tewas, PN menang bergaya kerusi Parlimen Padang Serai

    Oleh BADLISHAH MAT

    GABUNGAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak mampu menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN) di Kedah apabila tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Padang Serai.

    Calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang selepas mendapat majoriti 16,260 mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

    Kemenangan Azman menjadikan PN memperoleh 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.

    Dua calon yang menarik diri, Datuk C. Sivaraj daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim masing-masing turut mendapat 2,983 dan 149 undi.

    Sementara itu, calon bebas, Sreanandha Rao memperoleh 846 undi diikuti calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd. Rahman yang mendapat 424 undi.

    Sivaraj dan Mohd. Bakhri sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada PRU15 bagi memberi laluan dan menyokong Mohamad Sofee.

    Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah pada pukul 10.50 malam ini di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini.

    Turut hadir menyaksikan kemenangan calon PN itu antaranya Pengerusi PN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    Pilihan raya Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon PH M Karupaiya pada 16 Nov. Bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

    Karupaiya memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 dengan majoriti lebih 8,000 undi.

  • “Menang tak megah! Kalah tak rebah!” – Calon PN Tioman

    “Menang tak megah! Kalah tak rebah!” – Calon PN Tioman

    “MENANG tak megah! Kalah tak rebah!”. Itu antara sebahagian ucapan penghargaan calon Perikatan Nasional (PN ) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim, malam ini.

    Ini susulan kekalahan tipis PN pada pilihan raya kecil DUN Tioman kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kecil 573 undi.

    Datuk Seri Mohd Johari Hussain memperoleh 8,080 undi manakala Nor Idayu mendapat 7,507 undi.

    Berikut kenyataan penuh Nor Idayu yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau.

    ASSALAMUALAIKUM WBT

    Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas yang telah bekerja keras untuk memenangkan Islam dalam pilihanraya memenangkan PERIKATAN NASIONAL pada PRK ini.

    Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan diri saya sepanjang tempoh berkempen kepada semua petugas.

    Semoga Allah terima segala amal kita semua dan diberkati Allah.
    Kekalkan momentum kita untuk menangkan Islam dan moga terus istiqomah dalam perjuangan ini.

    Menang tak megah! Kalah tak rebah!

    TAKBIR!!!

    IKHLAS DARI:
    NOR IDAYU BINTI HASHIM