Category: Semasa

  • Beri perhatian isu lingkari pesawah jika benar mahu bantu keluarkan dari paras kemiskinan

    Beri perhatian isu lingkari pesawah jika benar mahu bantu keluarkan dari paras kemiskinan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN Persekutuan digesa supaya memberi perhatian terhadap isu-isu penting yang sudah lama menghantui golongan pesawah di negara ini hingga menyebabkan mereka sukar untuk keluar daripada garis kemiskinan sebelum ini.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kebanyakan isu yang melingkari golongan tersebut berada di bawah bidang kuasa agensi kerajaan Persekutuan.

    Masalah melibatkan golongan pesawah itu katanya, tidak mampu untuk diselesaikan dengan hanya mengagih-agihkan bantuan berjumlah puluhan juta ringgit kepada golongan pesawah ketika isu-isu berkaitan kos pengeluaran padi juga gagal diselesaikan.

    “Antara isu yang perlu diberi perhatian adalah mengenai timbangan padi di kilang. Apabila padi dijual, pesawah hanya duduk di rumah dan menerima resit ketika timbangan padi hanya berjalan dengan kelolaan pemandu lori serta tauke kilang saja.

    “Jadi siapa yang nak periksa timbangan itu betul atau tidak? Sudah tentulah kita mengharapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) apatah lagi saya difahamkan, walaupun tahun itu padi tampak banyak, tetapi timbangannya tetap sama seperti tahun lepas dengan kadar purata bagi keluaran padi di Kedah ini puratanya adalah enam tan untuk satu hektar.

    “Apabila Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) buat sistem penanaman padi dan timbangan sendiri, boleh pula cecah hingga tujuh tan pada musim pertama dan lapan tan pada musim kedua. Mengapa boleh jadi begitu sedangkan tanaman padi tersebut dilakukan di lokasi berdekatan dengan orang lain dan inilah antara perkara perlu diberi tumpuan,” katanya.

    Muhammad Sanusi menambah, keuntungan daripada nilai timbangan yang dikurangkan oleh pihak tertentu itu kemudiannya difahamkan digunakan untuk membuat pembayaran kepada broker lori, traktor, mesin padi dan bermacam-macam pihak lain.

    “Selain itu perhatian juga perlu diberi terhadap kartel-kartel yang membekalkan input pertanian dan benih padi. Kadang-kadang petani tabur benih dua tiga kali tetapi padi masih tak hidup.

    “Maka timbullah pelbagai alasan seperti air terlalu dalam dan sebagainya tetapi hakikat sebenar adalah benih dibekalkan itu yang tidak berkualiti. Hasil kekal sama tetapi kos penghasilan dan pengeluaran padi meningkat, maka bagaimana pesawah hendak keluar daripada paras kemiskinan?” katanya.

  • Sokongan Melayu UMNO terus menjunam selepas Padang Serai

    Sokongan Melayu UMNO terus menjunam selepas Padang Serai

    KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Padang Serai kelmarin merupakan isyarat jelas kemerosotan sokongan orang-orang Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.

    Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keadaan itu amat ketara di kawasan-kawasan majoriti Melayu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana UMNO hanya mampu meraih 26 kerusi Parlimen sahaja.

    “Jadi memang ada kaitan dengan prestasi sokongan UMNO dalam kalangan Melayu,” katanya lapor MalaysiaNow.

    Calon PN, Azman Nasrudin secara rasmi menang di Padang Serai dengan memperoleh undi berjumlah  51,637 menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260 undi.

    Kemenangan Azman yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas menyaksikan PN sekali lagi merampas kerusi kubu PKR sejak tahun 2008.

    Mengulas lanjut, Mazlan berkata kemenangan majoriti besar itu membuktikan gelombang ‘tsunami hijau’ yang dikesan pada PRU-15 masih terasa bahangnya.

    “Kalau kita tengok di Terengganu, Kelantan umpanya majoriti besar yang diraih oleh Pas dengan 30,000 hingga 40,000 (majoriti undi).

    “Kebiasaannya, di Terengganu ini 7,000 atau 8,000 (majoriti) tapi dalam satu-satu Parlimen pada PRU-15 boleh pergi sampai 30,000 majoriti.

    “Ini maksudnya ada satu trend sokongan orang Melayu ini kepada PN di kawasan utara dan pantai timur, tetapi tidak di tempat-tempat lain,” katanya dan menambah PH masih mendapat sokongan Melayu bandar dan semi bandar seperti di Kuala Selangor dan Shah Alam.

    Pilihan Raya Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman berlangsung kurang seminggu selepas pengumuman Kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyaksikan kemunculan semula Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke dalam Jemaah Menteri meskipun sedang berdepan 47 pertuduhan rasuah di mahkamah.

    Ketika ditanya sama ada lantikan Zahid menjadi manifestasi kemarahan pengundi, Mazlan berkata, itu tidak menunjukkan kaitan yang ketara.

    Katanya, sebelum Zahid dilantik menjawat semula jawatan tersebut dalam Kabinet Anwar, prestasi dan sokongan UMNO sudah merosot dengan teruk sekali.

    “Maknanya sentimen penolakan UMNO itu wujud dalam PRU-15 lagi tapi bukan kerana pelantikan Zahid sebagai TPM. 

    “Sebab prestasi PH di Padang Serai pun agak munasabah dengan undi yang dia dapat itu,” katanya.

    Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia juga senada dengan Mazlan. 

    Katanya, disebabkan Parlimen Padang Serai berada dalam Kedah, maka sentimen yang ditunjukkan oleh pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu , Perlis dan Kedah adalah sama.

    “Jadi yang kita saksikan adalah penerusan daripada senario yang berlaku pada PRU-15 baru-baru ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Menurut Martadha, pola pengundian sebelum ini memang menunjukkan sebahagian besar Melayu menyokong PN dan pengundi-pengundi bukan Melayu akan cenderung menyokong PH.

    Tetapi kali ini, pengundi Melayu berubah kerana pecahan undi tidak lagi sama.

    “Pengundi bukan Melayu memang sokong PH secara majoriti manakala yang berubah kali ini ialah pengundi Melayu. Dulu ada pecahan undi yang mana BN, PH dan PN bertanding. Tapi kali ini hanya PN dan PH.

    “Jadi undi Melayu yang pergi ke BN tidak lagi pergi ke BN seperti mana yang berlaku di tempat lain. Jadi pola pengundian itulah yang kita tengok berterusan seperti di kawasan-kawasan lain.”

    Zahid gagal tarik undi Melayu?

    Martadha bagaimanapun menafikan kemenangan besar PN disebabkan faktor Zahid gagal mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

    Menurut Martadha, sokongan pengundi Melayu beralih kepada PN bukan kerana UMNO tetapi lebih kepada faktor menolak DAP.

    Tambahnya, sebelum ini pun sudah boleh dilihat pola pengundian di kawasan majoriti Melayu akan menolak DAP. 

    Dan disebabkan DAP berada dalam PH maka pengundi Melayu beralih kepada PN.

    “UMNO pula bekerjasama dengan DAP, jadi secara tak langsung pola ini berterusan.”

    Pada Rabu, pilihan raya Parlimen Padang Serai menyaksikan calon PH, Mohamad Sofee Razak berada di tempat kedua tertinggi dengan 35,377 undi diikuti calon BN C Sivaraj 2,983 undi.

    Selain itu calon bebas Sreanandha Rao memperolehi 846 undi diikuti calon Pejuang, Hamzah Abd Rahman 424 undi, dan calon Warisan Mohd. Bakhri Hashim dengan 149 undi.

    Kemenangan di Padang Serai menjadikan PN kini mempunyai 74 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada PRU-15.

    Hari pengundian bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan seorang calon yang disahkan iaitu M Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov lalu.

    Beliau yang mewakili PH merupakan penyandang kerusi itu pada PRU-14 lalu menewaskan calon Pas, Muhamad Sobri Osman dan calon BN Dr. Leong Yong Kong.

  • Dakwaan PN menang disebabkan main isu kaum, keagamaan sempit tak berasas

    Dakwaan PN menang disebabkan main isu kaum, keagamaan sempit tak berasas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAKWAAAN kononnya kemenangan Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi hati masyarakat Melayu dan Islam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan memainkan sentimen perkauman serta keagamaan sempit adalah satu tuduhan yang tidak berasas.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjuangan dibawa parti-parti yang mendokong PN termasuk Pas diyakini sama sekali tidak menyalahi undang-undang mahu pun Perlembagaan parti masing-masing yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ROS.

    “Pas ini Parti Islam Semalaysia maka kami sudah jelas bahawa kami memang memperjuangkan Islam seperti yang tertera dalam nama parti itu. Kami bukan permainkan isu agama sebaliknya memprjuangkannya, jadi di mana salah dan silapnya serta apa yang hendak dipersoalkan?

    “Begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meletakkan nama Pribumi dalam namanya. Tetapi bagi Parti Amanah Negara (Amanah), kami tak tahulah apa yang mereka perjuangkan.

    “Barisan Nasional (BN) pun sama, entah apa diperjuangkan mereka kerana nampaknya sebelum ini mereka maki Pakatan Harapan (PH) dan DAP tetapi pada akhirnya berkawan semula,” katanya dalam sidang akhbar sempenaMajlis Penutup Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kubang Pasu di Masjid Haji Ismail dekat Jitra, hari ini.

    Baru-baru ini Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mendakwa, kekalahan PH di Padang Serai adalah disebabkan rentetan gelombang yang ditiup dengan membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit sekali gus menakutkan masyarakat dan rakyat dalam berpolitik.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau beranggapan perjuangan BN dan PH ketika ini sudah pun hancur dengan hanya parti-parti yang mendokong PN saja dilihat masih terus kekal berada di atas garis perjuangan Perlembagaan masing-masing.

    “Tsunami Melayu dalam PRU-15 yang membawa sokongan besar kepada PN adalah disebabkan rasa hilang percaya rakyat terhadap parti-parti lain. Parti-parti lawan ini dilihat tidak melaksanakan apa yang mereka katakan.

    “Kami sebaliknya tetap dengan perjuangan parti dan menawarkan perkara paling diperlukan negara ini iaitu keprihatinan, bersih dan stabil. Kerana itulah orang menyokong PN,” katanya.

    Terdahulu ketika berucap dalam majlis tersebut, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk tidak melakukan sebarang rombakan terhadap kedudukan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Kedah.

    “Mereka yang memegang jawatan itu merupakan ahli macam-macam parti termasuk Pas, UMNO, Bersatu, Part Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan macam-macam lagi. Mereka ini dilantik sejak awal dulu terdiri daripada pemimpin tempatan yang diyakini dan dipercayai boleh memberi khidmat selain dihormati dalam komuniti masing-masing.

    “Saya dah nyatakan dalam Mesyuarat Exco minggu lalu yang kita takkan mengganggu sesiapa. Jadi jalankanlah tugas seperti biasa dan teruskan khidmat bakti anda seperti biasa tanpa segan silu walaupun parti anda tak sama dengan saya,” katanya.

    Tambahnya, beliau tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya ada dalam kalangan mereka yang memegang jawatan tersebut mahu berhenti disebabkan arahan daripada parti politik masing-masing.

    “Tetapi di pihak kerajaan negeri saya dah tegaskan agar mereka ini tidak diganggu. Teruskanlah berkhidmat hingga Pilihan Raya Negeri akan datang.

    “Walaupun politik berkocak akibat pertembungan parti, saya harap ‘enjin’ kerajaan negeri ini dapat terus berfungsi. Biarlah ‘gearnya’ dapat masuk dengan elok untuk kita terus berjalan dan membawa negeri ini ke depan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

  • PM silap keutamaan, bila nak tegur tauke telur, simen – Wan Saiful

    PM silap keutamaan, bila nak tegur tauke telur, simen – Wan Saiful

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mengamal sikap ‘pilih bulu’ dalam menegur tauke-tauke kaya yang memonopoli industri tertentu di negara ini.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN),  Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Perdana Menteri juga perlu meletakkan keutamaan yang betul dengan mengutamakan perkara mendesak yang menghimpit rakyat seperti kekurangan bekalan telur dan kenaikan harga simen.

    “Telur dan simen sepatutnya menjadi keutamaan Anwar Ibrahim. Tapi Anwar utamakan beras. Ya harga beras penting, tapi kenapa masih tak ada idea bagaimana nak selesaikan masalah harga telur dan simen yang lebih mendesak sekarang?

    “Tak adakah keinginan nak tegur tauke-tauke kaya ‘tertentu’ dalam industri berkaitan telur dan simen? Itu sepatutnya jadi keutamaan kerajaan.

    “Saya setuju jangan ada monopoli tetapi letaklah keutamaan yang betul dan jangan lindungi tauke-tauke kawan-kawan PH-DAP daripada ‘teguran’. Jangan pilih bulu,” katanya dalam hantaran dalam Facebooknya, hari ini.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menambah, sekarang rakyat resah, kecewa dan marah dengan masalah kekurangan bekalan serta lonjakan harga telur dan simen.

    Katanya, dua isu ini bukan baru bermula semalam.

    “Sepatutnya, siapa juga menjadi kerajaan selepas PRU-15, inilah keutamaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

    Menurutnya, rakyat kini berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur dan harga yang melambung. Selain harga makanan berasakan telur turut naik.

    “Contohnya laporan berita mengatakan harga roti canai telur naik dari RM2.50 ke RM3.20. Naik 70 sen.

    “Simen pula melonjak 30 peratus iaitu daripada RM17 bagi setiap beg 50 kilogram (kg), sekarang naik sehingga RM22.50. Jika simen naik harga, semua bahan binaan melibatkan simen akan turut naik. Padahal, simen adalah Barangan Kawalan Berjadual yang tak sepatutnya naik.

    “Semua ini berlaku disebabkan monopoli dan permainan licik tauke-tauke kaya yang menguasai industri makanan dan pembinaan dan yang jadi mangsa ialah rakyat dan kontraktor terutama kontraktor kecil,” katanya.

    Wan Saiful mengingatkan Anwar supaya tidak bertindak seperti pembangkang dan mula memberi keutamaan pada isu penting. 

    “Bila dah jadi kerajaan, kita perlu tahu apa keutamaan. Tidak boleh lagi bermentaliti pembangkang populis,” ujarnya.

  • Judi Piala Dunia: 412 bookie ditahan, lebih RM11.2 juta wang pertaruhan dirampas

    Judi Piala Dunia: 412 bookie ditahan, lebih RM11.2 juta wang pertaruhan dirampas

    SERAMAI 412 individu dipercayai bookie ditahan dan direman dalam OP Soga IX berkaitan perjudian dan pertaruhan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022.

    Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

    Jelasnya, kesemua suspek ditahan dalam 348 serbuan dilancarkan di seluruh negara bermula 19 November hingga 8 Disember.

    PDRM juga berjaya merampas wang tunai berjumlah RM417,613 mata wang asing iaitu HK$382,995 dan SG$500 Singapura.

    Sementara had kredit yang dirampas dalam perisian pula mencecah RM10.6 juta.

    Turut dirampas, 31 unit komputer, 469 telefon bimbit, 207 kad sim, 103 helai kertas catitan pertaruhan dan 23 keping jadual perlawanan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

    Kes disiasat dibawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Sebanyak 348 kertas siasatan telah dibuka, dimana 289 daripadanya masih dalam tindakan manakala 52 kertas siasatan telah berjaya dituduh.

    Tujuh lagi kertas siasatan telah disabitkan hukuman oleh mahkamah lapor Astro Awani.

  • SPRM tumpu siasatan terhadap RM92 bilion dana kerajaan sepanjang pandemik

    SPRM tumpu siasatan terhadap RM92 bilion dana kerajaan sepanjang pandemik

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menumpukan siasatan terhadap RM92.5 bilion daripada anggaran jumlah keseluruhan RM530 bilion yang diperuntukkan sejak Covid-19 melanda negara, berikutan dakwaan salah laku dalam pengurusannya oleh kerajaan sebelum ini.

    Dalam sebuah kenyataan, SPRM menjelaskan siasatan awal mendapati hanya jumlah itu sahaja yang melibatkan dana kerajaan sementara baki sebanyak RM437.5 bilion lagi bukan daripada kerajaan.

    “Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan. 

    “Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan,” lapor Malaysia Now.

  • Muhyiddin bertemu 31 Ahli Parlimen Bersatu

    Muhyiddin bertemu 31 Ahli Parlimen Bersatu

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa bertemu dengan 31 Ahli Parlimen Bersatu, bagi berkongsi pandangan untuk memperkukuhkan suara rakyat di Parlimen, tidak lama lagi.

    Hadir sama di majlis itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Ketua Penerangan Bersatu Malaysia yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika ditemui di majlis itu berkata semangat yang ditunjukkan oleh semua ahli Parlimen Bersatu sangat membara dan pelbagai input dapat dikongsi dalam memantapkan lagi gerak kerja di kawasan parlimen masing-masing.

    “Petang tadi semua Ahli Parlimen Bersatu mengadakan pertemuan dengan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti.

    “Saya gembira melihat semangat dan kesungguhan rakan-rakan Ahli Parlimen.

    “Keseluruhannya, Bersatu ada 31 Ahli Parlimen. Ini menjadikan Bersatu bukan saja lebih besar dari UMNO, tetapi lebih besar dari BN keseluruhannya.

    “Syukur Allah memberikan peluang kepada Bersatu untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Armada Bersatu yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pertemuan ini adalah pertama kali diadakan khususnya selepas kemenangan Datuk Azman Nasrudin di Padang Serai.

    “Pertama kali dapat berhimpun khususnya selepas kemenangan YB Cikgu Azman (Padang Serai) semalam.

    “Insha-Allah kami akan jadi pembangkang yang baik bersama rakan-rakan Perikatan Nasional,” katanya.

    Bagi Naib Ketua Srikandi Bersatu yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, Bersatu kekurangan wakil rakyat wanita sungguhpun bertanding di enam kerusi Parlimen.

    Katanya, lebih banyak ruang dan pendedahan buat pemimpin wanita wajar diberikan dalam Bersatu supaya akan datang mereka ini dapat sama berkhidmat.

    “Kita kekurangan Ahli Parlimen wanita. Nampak tu, hanya 1 Ahli Parlimen wanita dari 31 Ahli Parlimen Bersatu Malaysia. Tak cukup.

    “Ahli Parlimen wanita yang bertanding hari tu pun hanya 6 Parlimen. Tak ada rezeki yang lain.

    “Kita perlukan lebih banyak ruang dan pendedahan buat pemimpin wanita dalam Parti Bersatu supaya akan datang mereka ini dapat sama berkhidmat. Berdiri sama tinggi, bila duduk sama rendah. Saya percaya ramai yang berpotensi di luar sana.

    “Proses ini perlukan komitmen dari semua pihak. Bukan hanya dari satu pihak semata-mata. Sama-sama kita usaha capai matlamat itu,” katanya.

  • Anwar dijangka menghadap Agong, persembah senarai Timbalan Menteri hari ini

    Anwar dijangka menghadap Agong, persembah senarai Timbalan Menteri hari ini

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada petang ini bertujuan memaklumkan senarai timbalan menteri akan dilantik dalam Kerajaan Perpaduan.

    Sinar Harian memetik sumber menyatakan, perkembangan itu bakal melengkapkan pentadbiran kerajaan di bawah Ahli Parlimen Tambun itu selepas 28 anggota kabinet mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada 3 Disember lalu.

    Senarai Timbalan Menteri yang terpilih kebiasaannya diumumkan Perdana Menteri, sebelum mereka mengangkat jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

    Sumber rapat dengan perbincangan isu itu memaklumkan, jumlah timbalan menteri itu mungkin akan dihadkan kepada satu bagi setiap kementerian kecuali beberapa kementerian disatukan.

    Difahamkan, proses berkenaan akan mengambil kira hasrat Anwar yang mahukan saiz Kabinet lebih kecil berbanding kerajaan sebelum ini.

  • UMNO sah pemecatan Annuar, 2 pemimpin wanita

    UMNO sah pemecatan Annuar, 2 pemimpin wanita

    UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, antara tiga pemimpin akar umbi parti itu dipecat keahlian masing-masing dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata MKT UMNO mengambil tindakan itu mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya. 

    Beliau berkata, ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

    “Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

    “Pemecatan mereka berkuat kuasa serta merta dengan surat rasmi perlucutan keahlian akan dihantar hari ini,” katanya lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, di Pontian, hari ini. 

    Pagi tadi, media yang memetik sumber melaporkan Anwar, Shamsiah dan Fatimah antara tiga pemimpin UMNO yang dipecat keahliannya selepas diputuskan Mesyuarat MKT parti malam tadi. 

    Shamsiah dan Fatimah bulan lalu dilaporkan digantung sementara seluruh jawatannya selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sementara, Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

  • Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi

    Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi

    PENGASAS Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali gagal dalam permohonan untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan.

    Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati rakaman percakapan itu dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang, lapor Sinar Harian.

    Berita lanjut menyusul…