Category: Semasa

  • Kanak-kanak 7 tahun lemas jatuh tali air

    Kanak-kanak 7 tahun lemas jatuh tali air

    SEORANG budak lelaki berusia tujuh tahun lemas di tali air di Kampung Jambu Merah, Melor, Kota. Bharu, semalam.

    Kanak-kanak berkenaan, Muhammad Uwais Arsyad Mohd. Safwan disahkan meninggal dunia pada pukul 6.50 petang.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarganya ke tali air itu pada pukul 5 petang kerana bapanya yang berusia 33 tahun ingin memukat dan memancing ikan.

    “Sampai di lokasi kejadian, mangsa meminta kebenaran bapanya untuk turun bermain di tali air berkenaan.

    “Lelaki itu membenarkannya sebelum terus memancing ikan di kawasan petak sawah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di Kota Bharu hari ini.

    Menurutnya, selang beberapa minit kemudian, bapanya mendapati anak lelakinya tiada dan cuba mencari di sekitar kawasan berkenaan.

    Lelaki tersebut katanya, mencari anaknya termasuk hingga dalam tali air dan mendapati mangsa berada di dasar tali air.

    “Mangsa dibawa naik ke tebing dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mahligai, Bachok namun disahkan meninggal dunia,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

    “Hasil bedah siasat mendapati sebab-sebab kematian mangsa akibat lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Peneroka Felda berputih mata, RM140,000 lesap diperdaya Macau Scam

    Peneroka Felda berputih mata, RM140,000 lesap diperdaya Macau Scam

    SEORANG peneroka dari Felda Chini Timur 2, Pekan berputih mata apabila menanggung kerugian sebanyak RM140,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam pada awal bulan ini.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, pada 1 Disember lalu, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota polis dari Ampang, Selangor.

    Mangsa katanya, diberitahu bahawa dia disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah serta dikehendaki memberikan butiran akaun bank miliknya sebelum diminta memindahkan semua wangnya dalam akaun Maybank milik mangsa ke akaun Bank Islam.

    “Mangsa melakukan seperti yang disuruh dan memindahkan wangnya secara berperingkat menggunakan mesin ATM yang terletak di Pusat Tenun Diraja Pahang, di Chini antara 1 Disember lalu hingga 6 Disember,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun, Mohd Zaidi memberitahu, pada Rabu lalu mangsa telah menyemak baki dalam akaun Bank Islam di Jalan Mahkota, Kuantan dan mendapati wang tersebut telah dipindahkan secara berperingkat ke beberapa akaun tidak dikenali.

    Jelasnya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis Rabu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • KPDN Pulau Pinang tahan empat lelaki seleweng diesel bersubsidi

    KPDN Pulau Pinang tahan empat lelaki seleweng diesel bersubsidi

    EMPAT lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi bersama pelbagai kenderaan berserta bahan api dan tangki diubah suai bernilai RM205,920 dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah stesen minyak di Jalan Perusahaan Perai pada 3.11 petang, Rabu lepas dan menahan sebuah lori lima tan serta kepala lori yang sedang mengisi diesel.

    “Pemeriksaan mendapati lori itu mempunyai enam unit tangki plastik berkapasiti 1,000 liter setiap satu di dalam muatannya manakala kepala lori disyaki memiliki tangki telah diubah suai berdasarkan saiz tangkinya.

    “Dua lelaki tempatan yang juga pemandu kenderaan berusia 20-an dan 60-an ditahan untuk siasatan lanjut.

    “Pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 2,000 liter diesel dalam enam unit tangki plastik itu dan 500 liter diesel dalam tangki besi diubah suai (kepala lori).

    “Kami merampas semuanya termasuk kedua-dua kenderaan, motor pam dan set hos pam yang kesemuanya bernilai RM77,125,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Dalam serbuan kedua semalam, dua lelaki tempatan berusia 30-an ditahan ketika sedang mengisi diesel dalam lori serta pacuan empat roda dipercayai untuk diseleweng di sebuah stesen minyak di Jalan Permatang Pauh pada 4.30 petang.

    Jegan berkata pemeriksaan ke atas lori 2.5 tan itu mendapati terdapat dua tangki plastik berkapasiti 1,000 liter setiap satu manakala pacuan empat roda jenis Ford Ranger pula mempunyai sebiji tangki besi berkapasiti 1,000 liter telah diubah suai dan ditempatkan di belakang kenderaan tersebut dengan ditutupi kain kanvas.

    Beliau berkata pihaknya merampas 800 liter diesel di dalam dua tangki yang terdapat di lori manakala 500 liter diesel dalam tangki pacuan empat roda serta menyita kedua-dua kenderaan, motor pam dan set hos pam yang kesemuanya bernilai RM128,795.

    “Berdasarkan siasatan awal, empat lelaki ditahan itu berperanan membeli diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Pulau Pinang sebelum mereka menjual semula kepada pihak lain dengan harga lebih mahal. Siasatan lanjut masih dijalankan dan semua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

    Sementara itu dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya menyerbu sebuah premis perniagaan di Kampung Kastam, Gelugor dekat Bukit Mertajam pada 12.28 tengah hari semalam dan merampas pelbagai barangan serta pakaian berjenama tiruan bernilai RM4,181.

    “Serbuan itu dijalankan selepas pihak KPDN menerima aduan daripada pemilik cap dagang dan pemeriksaan di premis yang menjual pakaian, kasut, tali pinggang, topi dan bag itu disyaki menggunakan cap dagang palsu.

    “Kami turut menahan seorang lelaki bekerja di situ untuk siasatan lanjut,” katanya kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

  • Anwar umum senarai Timbalan Menteri

    Anwar umum senarai Timbalan Menteri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan senarai Timbalan Menteri kepada Kabinet Kerajaan Perpaduan.

    Pelantikan Timbalan Menteri berkenaan menyusul pengumuman Kabinet 28 Menteri pada 2 Disember lalu.

    Upacara angkat sumpah akan berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur pukul 3 petang esok.

    Berikut adalah senarai mereka yang dilantik sebagai Timbalan Menteri tersebut;

    Timbalan Menteri Kewangan – Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim

    Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital – Teo Nie Ching

    Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi – Ramkarpal Singh

    Timbalan Menteri Belia dan Sukan – Adam Adli

    Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah – Datuk Rubiah Wang

    Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi – Siti Aminah Aching

    Timbalan Menteri Pengangkutan – Hasbi Habibullah

    Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan – Chang Fong Chin

    Timbalan Menteri Ekonomi – Datuk Hanifah Hajar Taib

    Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan – Akmal Nasrullah Mohd Nasir

    Timbalan Menteri Pertahanan – Adly Zahary

    Timbalan Menteri Kerja Raya – Datuk Abdul Rahman Mohamad

    Timbalan Menteri Dalam Negeri – Datuk Seri Dr. Samsul Anuar Nasarah

    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Liew Ching Tong

    Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi – Datuk Seri Yusuf Apdal

    Timbalan Menteri Sains dan Teknologi – Datuk Arthur Joseph Kurup

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – Aiman Athirah Sabu

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup – Fuziah Salleh

    Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi – Ramkarpal Singh

    Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi – Saraswathy Kandasamy

    Timbalan Menteri Luar Negeri – Datuk Mohamad Alamin

    Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya – Khairul Firdaus Akhbar Khan

    Timbalan Menteri Pendidikan – Lim Hui Ying

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Wilson Ugak Kumbong

    Timbalan Menteri Sumber Manusia – Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud

    Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim – Datuk Sri Huang Tiong Sii

  • Menyamar peguam dan mencuri, bekas banduan dipenjara 18 bulan, 2 sebatan

    Menyamar peguam dan mencuri, bekas banduan dipenjara 18 bulan, 2 sebatan

    SEORANG bekas banduan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Taiping hari ini selepas mengaku salah menipu dengan menyamar sebagai peguam, Ogos lalu.

    Majistret Nur Atiqah Sapari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, P. Maniarasan, 28, membuat pengakuan tersebut, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdaya kononnya dia seorang peguam bertauliah yang menjanjikan khidmat perundangan tidak wujud sehingga mendorong mangsa memberikan wang RM2,234 secara pindahan ke akaun bank.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu individu sama dengan mendorongnya memberikan wang tunai RM882, kedua-dua kesalahan itu dilakukan pukul 1.51 petang pada 12 Ogos dan 5 petang, 8 Ogos lalu.

    Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara 18 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

    Majistret Nur Atiqah Sapari bagaimanapun memerintahkan hukuman tersebut dijalankan serentak bermula Khamis lalu.

    Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas tuduhan mencuri dua utas rantai milik dua wanita dalam bangunan yang dijadikan tempat kediaman di Jalan Azizul Rahman, Ipoh, antara pukul4 petang pada 2 Mei hingga 3 pagi, 5 Mei lalu.

    Dia yang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman penjara satu tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 23 November lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala Maniarasan diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), T Selva.

  • Kastam rampas rokok, barangan elektrik cuba elak cukai RM5.34 juta

    Kastam rampas rokok, barangan elektrik cuba elak cukai RM5.34 juta

    IKRAR barangan dagangan sebagai tuala, filem plastik, bahan seramik, tisu basah dan rokok, namun sebenarnya mengandungi rokok dan barangan elektrik.

    Itu taktik sebuah syarikat pengimport sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad berpangkalan di Kuala Lumpur yang cuba menyeludup barangan tersebut dengan RM1.54 juta bagi mengelak duti serta cukai keseluruhan berjumlah RM5.34 juta.

    Bagaimanapun, cubaan syarikat terbabit berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dalam dua pemeriksaan berasingan pada 21 dan 22 November lalu.

    Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, pemeriksaan pertama dibuat kira-kira pukul 1.15 petang pada 22 November ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor dengan dibantu Unit Kawalan Kontena (CCU) Pelabuhan Klang.

    Katanya, pemeriksaan ke atas kontena itu menjumpai sebanyak 7.8 juta batang rokok putih disyaki tidak berkastam di dalam 788 kotak yang dianggarkan bernilai RM630,400 dengan nilai cukai berjumlah RM5,049,504.

    Jelassnya, siasatan awal mendapati, kontena itu dipercayai dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

    “Modus operandi yang digunakan dalam kes ini adalah dengan membuat pengikraran tidak benar pada Borang Manifes (K4) iaitu mengikrar dagangan sebagai tuala, filem plastik, bahan seramik, tisu basah dan rokok.

    “Bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati, dagangan sebenar yang dipercayai berasal dari sebuah negara di Asia Timur itu merupakan bahan seramik, tisu basah serta rokok yang tidak memiliki permit import,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam selain mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

    Sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambah beliau, bagi dakwaan cuba mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 pula boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Sementara itu katanya, kes kedua pula dikesan kira-kira pukul 4 petang 21 November susulan penahanan sebuah kontena di Pangkalan Kontena Butterworth Utara oleh sepasukan anggota Kastam daripada Bahagian Penguatkuasaan, Pulau Pinang.

    Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kontena itu menjumpai sejumlah 1,300 unit lengkap periuk aruhan (induction cooker) yang disyaki tidak berkastam dianggarkan bernilai RM910,000 serta cukai berjumlah RM291,200.

    “Siasatan mendapati kontena itu dipercayai telah diimport oleh sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan seorang lelaki berusia 54 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan,” katanya.

    Ujar beliau, modus operandi kes itu adalah dengan membuat pengikraran palsu di dalam Borang Kastam 1 (K1) iaitu mengikrar dagangan sebagai 32 bahagian berbeza periuk aruhan yang belum siap pasang yang mana item-item yang diikrarkan itu mendapat manfaat daripada pengecualian cukai penuh serta tidak memerlukan lesen import.

    Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan membuat perakuan palsu dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang tak berkastam.

    Ujar beliau, bagi kesalahan membuat perakuan palsu, denda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh tujuh tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

    “Bagi kesalahan mengimport barang tidak berkastam pula boleh didenda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM50,000, mana yang lebih besar, dan tidak lebih 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Razman ketua pembangkang DUN Perak

    Razman ketua pembangkang DUN Perak

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria dipilih sebagai ketua pembangkang mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

    Razman yang juga Timbalan Pengerusi 1 PN Perak merangkap Pesuruhjaya Pas negeri berkata, gabungan itu akan memainkan peranan penting sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan Perak.

    “Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan Perikatan Nasional dan Pas di peringkat pusat serta PN Perak yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mengetuai barisan Ahli-Ahli DUN PN sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

    “Insya-Allah, PN Perak akan memainkan peranan penting sebagai semak dan imbang kerajaan gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH),” katanya menerusi satu kenyataan dalam Facebook beliau, hari ini, lapor Astro Awani.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Razman berjaya mempertahankan kerusi DUN Gunung Semanggol dengan meraih 12,825 undi dengan majoriti 7,446 dalam saingan tiga penjuru.

    Komposisi DUN Perak mempunyai 59 kerusi dan daripada jumlah itu PH dan BN yang berada di blok kerajaan masing-masing memiliki 24 dan sembilan kerusi, sementara PN memenangi 26 kerusi.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 21 November.

    Persidangan DUN Perak ke-15 dijadual akan berlangsung pada 19 Disember ini dengan pembentangan Bajet 2023 serta perbahasan berkenaan enakmen peruntukan larangan ahli Dewan melompat parti.

  • Juruteknik penerbangan didenda RM7,000 hantar komunikasi lucah

    Juruteknik penerbangan didenda RM7,000 hantar komunikasi lucah

    PADAH membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah menerusi aplikasi WhatsApp, seorang juruteknik syarikat penerbangan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini.

    Mohd Redzuan Mohd Radzir, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara sedar melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang individu dengan niat menyakiti hati orang lain, yang dibaca di sebuah pejabat di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, kira-kira 11.30 pagi, 7 Feb 2018.

    Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

    Mohd Redzuan membayar denda yang diputuskan Hakim Rasyihah Ghazali itu.

    Mengikut fakta kes, pengadu membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas berasa sakit hati kerana komunikasi yang dihantar OKS menunjukkan gambar isteri pengadu dalam keadaan mengaibkan.

    Bertindak daripada aduan tersebut, sepasukan anggota polis dan pegawai MCMC membuat serbuan di beberapa lokasi serta merampas barangan juruteknik itu, antaranya telefon bimbit dan komputer riba, dan menemukan komunikasi lucah berkenaan hasil analisis forensik.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala OKS diwakili peguam Swinder Singh Ram Singh.

  • Ahli pernigaan bebas pertuduhan terima wang deposit hampir RM1 juta tanpa lesen sah

    Ahli pernigaan bebas pertuduhan terima wang deposit hampir RM1 juta tanpa lesen sah

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini membebaskan seorang ahli perniagaan daripada pertuduhan menerima wang deposit  hampir RM1 juta tanpa lesen sah daripada seorang pakar perunding kardiologi.

    Hakim Datin Sabariah Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap T. Harikumar, 44.

    Dalam penghakimannya, Sabariah berkata mahkamah berpuas hati bahawa wujud keterangan berdokumen yang jelas menyokong pembelaan iaitu wang tersebut adalah bertujuan untuk mengembangkan perniagaan Harikumar.

    “Pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pertuduhan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

    Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi manakala Harikumar diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran, Datuk C. Vignesh Kumar, Daniel Annamalai dan Yaw Xinying.

    Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang berlangsung selama empat hari bermula 18 Ogos lepas.

    Harikumar, yang juga pemberi pinjam wang, didakwa menerima wang deposit berjumlah RM999,500 daripada Dr. Peter Jebaseelan Jesudason tanpa memiliki lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Abdullah, Bangsar di Kuala Lumpur antara 1 Ogos 2018 dan 26 Feb 2019 mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

  • PAS Kedah syor 5 garis panduan dasar keselamatan makanan

    PAS Kedah syor 5 garis panduan dasar keselamatan makanan

    PAS Kedah mencadangkan lima garis panduan keselamatan makanan sebagai keutamaan kepada kerajaan sebelum menghapuskan monopoli industri padi dan beras negara.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, lima teras utama cadangan itu termasuk mengupayakan dasar agromakanan negara, menyokong usaha kerajaan Kedah dalam usaha penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun, memerangi kartel padi, mencontohi model asas Smart Sawah dan meremajakan industri padi dan beras negara.

    “Isu menghapuskan monopoli dalam industri ini dan keselamatan makanan negara memerlukan penelitian yang lebih lanjut dan tidak sekadar semberono,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ahmad menjelaskan, kerajaan pusat perlu justifikasi dan mengenal pasti langkah susulan yang kukuh sebelum menghapuskan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam industri padi dan beras negara.

    Beliau berkata, kerajaan perlu mengenal pasti sama ada cadangan menghapuskan monopoli itu akan membuka ruang kepada syarikat swasta lain untuk mengawal monopoli berkenaan.

    “Ini kerana monopoli itu berkait dengan pengimportan beras ke dalam negara. Bagaimana kesan dan impak kepada pengusaha beras tempatan yang terpaksa bersaing disebabkan harga beras import yang lebih murah?

    “Apakah ada ‘safety net’ terhadap perkara tersebut? Bagaimana kerajaan akan mengawal import beras sedangkan langkah sedia ada dilakukan bagi mengawal selia jumlah beras yang diimport memenuhi keperluan dan permintaan?” katanya.

    Ahmad berkata, pengistilahan ‘monopoli’ kepada BERNAS sebenarnya diikat dengan obligasi sosial yang ketat, bahkan kerajaan mengawal sepenuhnya bidang kuasa BERNAS ketika ini melalui ‘golden share’.

    “Ia berkait dengan pengawalseliaan terhadap stok penimbal yang disasarkan kepada 290,000 tan metrik kelak. Obligasi ini mengikat peranan monopoli import BERNAS termasuk dalam klausa pembaharuan konsesi bagi 10 tahun akan datang sehingga 2031.

    “Persoalannya, adakah syarikat swasta yang lain turut diikat dengan obligasi yang sama seperti yang ditanggung BERNAS?” katanya lapor BH Online.

    Lima garis panduan yang dicadangkan Pas Kedah adalah pertama, kerajaan perlu mengupayakan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) yang menumpukan kepada peningkatan produktiviti serta mobiliti sosial para pesawah.

    Kedua, menyokong usaha kerajaan Kedah dengan dasar penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan penghasilan padi seterusnya menyokong sasaran tahap sara diri melebihi 80 peratus menjelang 2030 seperti yang digariskan DAN 2.0.

    Ketiga, memerangi kartel padi secara sistematik, telus dan berstrategik serta mengawal rantaian pengeluaran padi dengan lebih efektif.

    Cadangan keempat adalah supaya kerajaan mencontohi model asas perlaksanaan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Asnaf yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

    Strategi Smart SBBA ini bukan sahaja berjaya memastikan peningkatan terhadap penghasilan padi bagi sehektar, bahkan juga berjaya memastikan mobiliti sosial para pesawah keluar daripada zon kemiskinan.

    Dan yang terakhir, kerajaan perlu memberikan tumpuan yang serius bagi meremajakan industri padi dan beras negara serta tumpuan terhadap penerimagunaan teknologi.

    Ahmad berkata, Pas Kedah berpandangan isu keselamatan makanan wajar ditangani secara komprehensif dan langkah yang diatur kerajaan Persekutuan ketika ini lebih didorong oleh tindakan populis yang tiada justifikasi kukuh terhadapnya.