Category: Semasa

  • Tiga wanita rugi RM1.7 juta akibat Macau Scam

    Tiga wanita rugi RM1.7 juta akibat Macau Scam

    TIGA wanita mengalami kerugian hampir RM1.7 juta selepas masing-masing menjadi mangsa sindiket Macau Scam mendakwa mereka terlibat dalam pengubahan wang haram, dalam kejadian baru-baru ini.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata mangsa pertama seorang kerani di sebuah syarikat swasta yang tinggal di Bukit Mertajam membuat laporan polis pada 19 Dis lepas, memaklumkan dia kerugian RM1,026,200 ditipu sindiket tersebut sejak Julai lepas.

    “Wanita itu mendakwa dia pada mulanya dihubungi suspek mengaku dari Pos Malaysia kononnya terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan atas namanya sebelum talian disambung kepada pegawai polis yang memaklumkan mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.

    “Mangsa yang panik dan takut ditahan polis mengikut semua arahan suspek sebelum membuat pemindahan wang secara berperingkat ke 13 akaun berbeza dan duit tersebut adalah merupakan wang insuran mendiang suami serta simpanannya,” katanya pada sidang akhbar di Georgetown, hari ini.

    Beliau berkata mangsa kedua adalah seorang guru berusia 41 tahun yang tinggal di Seberang Perai Selatan (SPS) mengalami kerugian RM203,200 membuat laporan polis juga pada 19 Dis.

    Fisol berkata wanita itu dihubungi sindiket tersebut sejak November lepas dan dia  membuat pinjaman bank sebanyak RM190,000 serta duit simpanan untuk membayar kepada suspek kononnya bagi mengelak ditahan polis.

    Mangsa terakhir yang juga guru berumur 47 tahun dan tinggal di Seberang Perai Utara membuat laporan polis pada 23 Dis selepas kerugian RM439,000 kerana ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya pada 19 Sept.

    “Mangsa turut membuat pinjaman bank sebanyak RM300,000 untuk membayar kepada sindiket itu dan dia membuat 15 transaksi ke lapan akaun berbeza membabitkan jumlah kerugian RM439,000,” katanya modus operandi sindiket yang menipu dua guru itu adalah sama dengan kes pertama.

    Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan tiga kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Sejak Januari hingga semalam, polis Pulau Pinang merekodkan sebanyak 2,239 kes jenayah siber membabitkan kerugian RM79.5 juta dengan kes Macau Scam antara yang tertinggi direkodkan iaitu 921 kes dan sebanyak RM27.14 juta nilai kerugian,” katanya.

  • PM dijangka bentang belanjawan 2023, 24 Februari depan

    PM dijangka bentang belanjawan 2023, 24 Februari depan

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb pada Sidang Pertama Parlimen ke-15, tahun depan.

    Mengesahkan perkara itu kepada Bernama, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul memaklumkan belanjawan itu akan dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sidang Dewan Rakyat bermula pada 13 Feb.

    “Ya benar, Bajet 2023 akan dibentang pada 24 Feb depan…secara keseluruhan, proses pembentangan bajet dan perbahasan termasuk urusan jawatankuasa serta dasar akan mengambil masa 21 hari.

    “Notis Mesyuarat Pertama akan dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen kelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Johari berkata persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 13 Feb dengan istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong dan persidangan itu berlangsung selama 29 hari turut melibatkan urusan-urusan kerajaan yang lain.

    Johari berkata sidang Parlimen selama dua hari pada 19 dan 20 Dis  lepas masing-masing bagi melaksanakan undi percaya terhadap Anwar bagi mengesahkan keabsahannya sebagai Perdana Menteri selain pembentangan peruntukan khas atau Bajet Mini.

    Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan peruntukan khas itu bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650 merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

    Sebelum ini, Belanjawan 2023 telah dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Okt lepas sebelum Dewan Rakyat dibubarkan 10 Okt bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

  • Shila Amzah gembira dapat tunaikan janji 2022 untuk turunkan berat badan 14kg

    Shila Amzah gembira dapat tunaikan janji 2022 untuk turunkan berat badan 14kg

    PENYANYI Shila Amzah melahirkan rasa gembira apabila dapat menunaikan janjinya untuk menurunkan berat badan pada tahun ini.

    Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 32, berkata, meskipun berdepan dengan pelbagai halangan dan kesakitan, namun dia akhirnya berjaya menurunkan berat badan sehingga 14 kilogram.

    “Saya gembira kerana dapat tinggalkan tahun 2022 bersama-sama dengan 14 kilogram yang telah saya turunkan.

    “Saya berjanji pada diri saya untuk menjaga diri dengan lebih baik dan saya berjaya lakukan pada 2022.

    “Saya berjaya harungi semua kesakitan dan halangan. Alhamdulillah, untuk segala kemenangan,” katanya, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, penyanyi lagu Patah Seribu itu mendedahkan pernah ingin melakukan prosedur memasukan belon ke dalam perut demi mendapatkan bentuk badan yang kurus dengan cara pantas.

    Walau bagaimanapun, hasrat tersebut terbantut selepas dia mengambil kira kesan daripada prosedur tersebut yang mungkin akan menganggu peti suaranya.

  • Lima termasuk remaja didenda RM1,000 seorang kerana merusuh

    Lima termasuk remaja didenda RM1,000 seorang kerana merusuh

    MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman didenda RM5,000 terhadap lima rakan termasuk remaja perempuan atas kesalahan merusuh sehingga menyebabkan kecederaan seorang lelaki, 10 Disember lalu.

    Setiap tertuduh masing-masing didenda RM1,000 iaitu Nur Aishah Mohammad Najib, 21, Muhammad Asyraf Mohd Ali, 21, Hafizul Fazrin Abdul Hakim, 22, Ahmad Thahaa Jasni, 21, dan Muhammad Safuan Mohamed Taib, 25.

    Hukuman tersebut dijatuhkan selepas semua tertuduh membuat pengakuan bersalah itu sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan semua tertuduh, serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

    Beliau turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Semua tertuduh membayar denda berkenaan.

    Mengikut pertuduhan, semua tertuduh bersama-sama rakan sejenayah yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dalam melaksanakan tujuan bersama didapati kekerasan digunakan oleh seorang atau lebih daripada mereka hingga menyebabkan kecederaan terhadap pengadu berusia 17 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar, dekat sini, kira-kira jam 10 malam, pada 10 Disember lalu, lapor Berita Harian.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, pengadu berjumpa dengan semua tertuduh di lokasi kejadian sebelum dipukul secara beramai-ramai oleh semua tertuduh dan rakan sejenayah yang masih bebas kerana disyaki pengadu merogol kenalan tertuduh.

    Terdahulu, semua tertuduh diwakili peguam, Ishak Mohd Kari memohon dikenakan hukuman denda yang ringan mengambil kira semua mereka mengaku bersalah sejurus dibacakan pertuduhan.

    Peguam juga berhujah bahawa semua tertuduh mendapat pengajaran sepanjang tiga hari berada dalam reman dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan selain bekerja dengan pendapatan rendah.

    Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

  • Status empat ahli Parlimen Sabah masih kekal, kedudukan diumum 21 hari lagi

    Status empat ahli Parlimen Sabah masih kekal, kedudukan diumum 21 hari lagi

    YANG Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul hari ini berkata status empat Ahli Parlimen Sabah yang keluar daripada Bersatu setakat ini kekal dan belum ada kekosongan kerusi mereka.

    Beliau berkata notis pemakluman daripada Bersatu untuk mengesahkan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka empat Ahli Parlimen berkenaan, telah diterima pada 27 Dis.

    “Saya kena teliti dahulu… keputusan mengenai kedudukan mereka akan diumumkan selepas tempoh 21 hari,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan hari ini berkata notis berkenaan diserahkan untuk memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat berkenaan.

    Menurut beliau notis berkenaan adalah selaras Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan, melibatkan empat ahlinya yang telah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai ahli Bersatu dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang Dipertua apabila menerima notis bertulis daripada mana-mana Ahli Dewan Rakyat mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara ini, hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya dalam tempoh 21 dari tarikh menerima notis bertulis itu.

    Di dalam notis berkenaan, Ahli Parlimen yang dinamakan ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

    Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata semasa persidangan Dewan Rakyat pada 19 Dis lepas, empat Ahli Dewan Rakyat itu duduk di blok kerajaan.

    “Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti Bersatu yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden Bersatu dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ (beralih sokongan) dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada para pengundi,” katanya.

    Beliau berkata keahlian mereka sebagai anggota Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Dis lepas.

    “Justeru, menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan, Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.

    Pada 10 Dis lepas, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dilapor berkata pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.

    Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini terutama di Sabah, dan demi kepentingan negeri, perpaduan selain memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

  • Taktik sembunyi rokok dalam lantai kontena terbongkar

    Taktik sembunyi rokok dalam lantai kontena terbongkar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK menyeludup rokok ke Australia dianggarkan bernilai RM426,000 yang disembunyikan dalam lantai sebuah kontena terbongkar hasil pemeriksaan dilakukan di Pelabuhan Pasir Gudang pada 9 Disember lalu.

    Cubaan itu gagal dalam pemeriksaan pukul 11.35 pagi hasil maklumat Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

    Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, pemeriksaan rapi menemukan 428,000 batang rokok putih disembunyikan di ruang khas lantai kontena yang telah diubah suai bersama 20 palet tisu tandas, tisu dapur dan tisu basah.

    Jelas beliau, rokok putih yang diseludup akan disimpan sementara sebelum dieksport.

    “Pihak syarikat telah menempah awal satu unit kontena berukuran 12 meter daripada sebuah syarikat pengangkutan dan diletakkan di kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah.

    “Sementara bahagian lantai kontena tersebut telah diubah bagi meletakkan rokok putih yang diseludup. Bagi mengaburi kegiatan mereka, pihak syarikat telah membuat dua kali tempahan tisu daripada sebuah syarikat di Puchong, Selangor untuk dieksport ke Australia,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Iskandar Puteri, hari ini.

    Misbahudin berkata, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 35 tahun yang merupakan wakil syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

    Sementara itu, dalam kes berlainan, Misbahudin berkata, pihaknya berjaya menyita enam kontena berisi besi skrap bernilai RM380,000 yang disyaki cuba diseludup ke negara Asia Timur pukul 12.30 tengah hari, pada 5 Disember lalu.

    Katanya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai dibantu pihak berkuasa zon bebas Pelabuhan Klang menyita sejumlah dagangan besi skrap yang dipercayai tidak berkastam di Pelabuhan Klang.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran borang kastam dua mendapati dagangan diikrar sebagai bahan tembaga. Namun pemeriksaan rapi yang dijalankan mendapati kontena mengandungi besi skrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah,” katanya.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) akta yang sama kerana membuat pengikraran yang tidak benar dan terlibat dalam cubaan mengeksport barangan larangan bersyarat tanpa permit.

  • Kekang LGBTQ, halang peningkatan HIV di Malaysia-Armada

    Kekang LGBTQ, halang peningkatan HIV di Malaysia-Armada

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif membendung gejala budaya songsang lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) yang didakwa antara punca peningkatan kes jangkitan HIV di seluruh dunia termasuk Malaysia.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, gaya hidup tersebut turut menyumbang kepada peningkatan perceraian dalam kalangan rakyat.

    “Mengikut laporan ‘In Danger: UNAIDS Global AIDS Update 2022’ untuk 2022 menyatakan terdapat peningkatan ketara jangkitan HIV dan AIDS di 38 buah negara dari tahun 2015. Gaya hidup songsang dinyatakan sebagai penyumbang utama.

    “Ini disokong oleh data daripada pusat kawalan penyakit (CDC) Amerika Syarikat yang menyatakan 70 peratus daripada jangkitan baharu HIV di Amerika Syarikat pada tahun 2019 disumbang oleh pengamal gaya hidup songsang (gay).

    “Kami di pihak Armada percaya, sudah sampai masa untuk Malaysia mengambil langkah yang sama dan lebih proaktif dalam melindungi keluarga nukleus di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik hari ini.

    Pada masa yang sama, Wan Ahmad Fayhsal menambah, beliau menyambut baik keputusan Rusia memerangi LGBTQ dan usaha Indonesia mencegah hubungan luar nikah dalam kalangan rakyatnya.

    Jelasnya, kerajaan mesti tegas dalam membendung perkara sedemikian kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kerosakan moral tetapi juga kesihatan, lapor Sinar Harian.

  • Tular warga emas disepak muka, dibelasah sehingga berdarah selepas mencuri

    Tular warga emas disepak muka, dibelasah sehingga berdarah selepas mencuri

    SEORANG lelaki warga emas dibelasah sehingga berdarah muka dalam kejadian di Semporna, semalam dan kejadian itu tular dalam media sosial.

    Video berdurasi satu minit 36 saat itu memaparkan seorang individu bersama sekumpulan lelaki menarik baju warga emas itu di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya sambil disaksikan oleh orang awam.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya belum menerima laporan polis dan masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

    “Setakat ini tiada individu tampil atau sebarang laporan diterima berhubung kejadian itu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Berdasarkan video tular itu, difahamkan mangsa didakwa mencuri beberapa barangan termasuk syampu dari pasar raya berkenaan namun disedari kakitangan di situ.

    Bagaimanapun, tindakan seorang individu yang mencederakan lelaki terbabit dengan menyepak muka sehingga berdarah mengundang pelbagai reaksi.

  • Pelakon ditahan pandu melulu sehingga kekasih tercampak keluar dari kenderaan

    Pelakon ditahan pandu melulu sehingga kekasih tercampak keluar dari kenderaan

    GARA-gara perselisihan faham,  seorang pelakon lelaki ditahan selepas memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya sehingga mengakibatkan kekasihnya tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur, pukul 5.30 petang kelmarin.

    Kejadian itu selepas dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain yang melalui lebuh raya sama.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek dengan tiba-tiba menukar lorong secara melulu.

    “Kenderaan dipandu pelakon tersebut kemudiannya hilang kawalan dan melanggar bahagian sisi kiri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova.

    “Susulan pelanggaran tersebut mengakibatkan kekasih suspek yang merupakan wanita tempatan berumur 25 tahun tercampak keluar.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.

    Mengulas lanjut, kata Mohamad Farouk, siasatan juga mendapati berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa ketika kejadian.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”jelasnya lapor Satu Berita.

  • Kabinet setuju secara prinsip tubuhkan jawatan, institusi khas kanak-kanak-Nancy

    Kabinet setuju secara prinsip tubuhkan jawatan, institusi khas kanak-kanak-Nancy

    KABINET bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan sebuah jabatan atau institusi khas untuk kanak-kanak bagi menjaga kebajikan serta kepentingan golongan itu.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata cadangan itu telah dikemukakan beliau semasa mesyuarat Kabinet sebelum ini dan mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

    Jelasnya buat masa ini kementeriannya sedang meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

    “Buat masa ini memang kami sudah ada bahagian kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi ini mungkin boleh kita perbaiki lagi.

    “Pegawai kami kini dalam proses melihat cadangan ini (jabatan atau institusi khas kanak-kanak) agar ia menjadi khusus dan supaya fokus lebih baik dapat diberikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat penjagaan ibu selepas bersalin Mamacare di Kuching, hari ini.

    Semalam, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dilaporkan berkata sebuah jabatan atau institusi khas kanak-kanak perlu ditubuhkan kerana institusi sedia ada ketika ini menumpukan kepada pelbagai peringkat umur dan tidak khusus.

    Sementara itu, diminta mengulas mengenai kes kematian kanak-kanak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera di Batu Pahat, Johor pada Isnin lepas, Nancy berkata undang-undang lebih berat diperlukan bagi menangani kes dera di dalam negara.

    Katanya beliau terbuka dengan sebarang cadangan penambahbaikan undang-undang sedia ada daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

    “Saya juga minta agar semua pihak termasuk NGO untuk melihat kepada lacuna in the law iaitu dalam undang-undang sedia ada yang boleh kita tambah baik,” katanya.