Category: Semasa

  • Sebaran SMS kepada umum pertahan Kerajaan Perpaduan dikecam

    Sebaran SMS kepada umum pertahan Kerajaan Perpaduan dikecam

    Beberapa mesej sistem pesanan ringkas (SMS) mempertahankan kerajaan gabungan pimpinan DAtuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan kecaman terhadap Kementerian Komunikasi dan Digital diketuai Fahmi Fadzil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Ini kerana kementerian itu menggunakan rangkaian telekomunikasi di bawah seliaannya bagi menyebarkan naratif politik kepada orang ramai.

    SMS yang diterima pengguna peranti mudah alih merentasi pelbagai rangkaian sejak minggu lalu, dilihat mempertahankan Kerajaan Perpaduan, istilah yang digunakan pemimpin kerajaan bagi menggambarkan jalinan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Kerajaan Perpaduan adalah langkah penyelesaian berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang,” kata satu SMS yang diterima pengguna peranti mudah alih minggu lalu.

    Satu lagi mesej mengenai topik yang sama turut tular tengah hari tadi di mana ia menyifatkan kerajaan hari ini diwakili oleh ahli Parlimen pelbagai bangsa dan agama, serta mereka yang mempunyai ‘kepakaran dan pengalaman’.

    Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tampil menyelar tindakan yang diambil kementerian itu, menyifatkannya sebagai tindakan ‘terdesak’ kerajaan dan penyalahgunaan kemudahan telekomunikasi kerajaan.

    Dr. Muhammaf Faiz Na’aman turut membandingkan tindakan tersebut dengan taktik propaganda ‘komunis’ yang mahu ‘mencuci otak rakyat supaya terima naratif pemerintah’.

    “Adakah kerajaan luar tabii ini takut dan tidak yakin dengan penerimaan orang awam serta rakyat Malaysia terhadap mereka hingga perlu hantar SMS sebegini,” soalnya, lapor MalaysiaNow.

    Dalam pada itu, Seorang pengguna Twitter menyatakan kemarahan selepas menerima SMS tersebut, menggesa supaya Fahmi menjelaskan tujuannya membuat sebaran itu.

    Beliau turut mengingatkan ahli politik PH yang sebelum ini mengkritik SMS Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika krisis Covid-19 memuncak.

    “Dulu PH kritik katanya mesej MKN mengenai Covid-19 membazir wang rakyat.

    “Jangan jadi hipokrit dan hentikan segera!” kata seorang pengguna, Ayep, dalam ciapannya di Twitter.

    MalaysiaNow turut menghubungi Fahmi dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di mana bidang kuasanya turut merangkumi rangkaian telekomunikasi.

    Sejak memegang portfolio yang dijenamakan semula kepada KKD daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, ahli Parlimen Lembah Pantai itu beberapa kali menjadi sasaran kritikan.

    Ini termasuk kritikan beliau lebih berminat untuk menutup isu politik berbanding menambah baik infrastruktur digital negara.

    Sebelum ini, beberapa ahli politik PH pernah mengkritik SMS yang dihantar kepada umum melalui agensi kerajaan, menuduh kerajaan terdahulu menggunakan rangkaian telekomunikasi bagi tujuan menyebarkan propaganda.

    Mereka termasuk ahli Parlimen Segambut dari DAP yang kini merupakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, mengatakan mesej yang dihantar kepada orang ramai sepatutnya membantu mereka.

    “Hentikan salah guna platform SMS MKN untuk retorik atau sebar propaganda halus.

    “Kita (patut) masukkan simptom (Covid-19) sekarang sudah berubah, bukan lagi demam. Jika anda mempunyai simptom ini, hubungi klinik kesihatan yang paling hampir,” katanya pada Julai 2021, tidak lama sebelum pemimpin UMNO yang bersekutu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendalangi siri pembelotan yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kemuncak pandemik dalam negara.

    Istilah Kerajaan Perpaduan digunakan oleh pemimpin kerajaan, terutama dari PH bagi menjelaskan langkah menjalin hubungan dengan musuh politiknya dari BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu.

    Berikutan kemelut politik pasca PRU15 mengakibatkan Parlimen tergantung, Zahid berjaya memimpin 30 ahli Parlimen BN untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri, di mana pemimpin kedua-dua gabungan itu mendakwa ia adalah bagi memenuhi hasrat istana supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk.

    Bagaimanapun, istilah tersebut tidak disebut dalam kenyataan rasmi Istana Negara yang mengisytiharkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas beberapa hari negara menyaksikan drama politik.

    Pengkritik berkata kerajaan diterajui Anwar tidak boleh disifatkan sebagai Kerajaan Perpaduan kerana ia tidak merangkumi sejumlah besar ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN).

    PN menyatakan ia menolak pelawaan Anwar untuk menyertai kerajaan diterajuinya.

    Semasa sidang pertama Parlimen pada 19 Disember lalu, penggunaan istilah Kerajaan Perpaduan oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mencetuskan bantahan hebat daripada ahli Parlimen pembangkang.

    “Jangan gunakan nama Yang di-Pertuan Agong. (Kerajaan perpaduan) tidak disebut pun dalam surat lantikan Tambun (Anwar),” kata Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee.

  • Buku takziah digital Pele kini tersedia untuk rakyat Malaysia

    Buku takziah digital Pele kini tersedia untuk rakyat Malaysia

    BUKU ucapan takziah digital kini disediakan untuk peminat bola sepak Malaysia memberikan penghormatan kepada mendiang legenda bola sepak Brazil Pele

    Menurut kenyataan Kedutaan Brazil di Malaysia, buku ucapan takziah itu dibuka mulai Selasa (3 Jan) hingga Sabtu (7 Jan) dan sebarang ucapan takziah hendaklah dihantar ke alamat e-mel: [email protected] .

    Pele, satu-satunya pemenang Piala Dunia tiga kali dalam sejarah, meninggal dunia pada Khamis pada usia 82 tahun selepas sekian lama bertarung dengan kanser.

    Raja bola sepak Brazil itu menjaringkan ratusan gol sepanjang kariernya. Gerakannya yang lincah serta kelajuannya membantu merevolusikan permainan dan meningkatkan populariti bola sepak di seluruh dunia.

    Pada 2000, badan induk bola sepak dunia, FIFA, memilihnya sebagai pemain abad ini bersama-sama bintang Argentina Diego Maradona yang meninggal dunia pada 2020. – BERNAMA

  • Kami sudah maafkan jurulatih berkenaan – Bapa

    Kami sudah maafkan jurulatih berkenaan – Bapa

    BAPA kepada salah seorang pelajar perempuan yang ditampar jurulatih dalam satu insiden di kejohanan bola tampar di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini telah memaafkan perbuatan lelaki itu dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

    Meskipun kejadian itu mendapat perhatian netizen yang mengecam perbuatan berkenaan, namun Abd Halim  Bakar, 50, menganggap tindakan itu tidak keterlaluan serta tidak meninggalkan sebarang kesan psikologi ke atas anaknya.

    Sebaliknya beliau melihat kelakuan jurulatih itu sebagai pembakar semangat kepada anaknya untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan itu dan tindakannya bukan bertujuan mencederakan.

    “Sehubungan itu saya mohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengambil tindakan memandangkan kami telah memaafkan guru sukan (jurulatih) itu. 

    “Untuk netizen pula, kami minta hentikan semua kecaman kerana saya pun tidak anggap ia serius dan tiada kecederaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di  Kampung Melekek, di sini hari ini.

    Beliau juga tidak menyangka kejadian itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) yang bertindak menggantung tugas jurulatih berkenaan.

    Mengulas lanjut Abd Halim memaklumkan keluarganya sudah mengenali lelaki itu lebih lima tahun dan berharap beliau dikekalkan berdasarkan kemampuan dan dedikasi jurulatih berkenaan melatih pasukan anaknya.

    “Kami harap pihak terlibat dapat memberi peluang kepadanya dengan mengambil kira jasa dan bakti yang dicurahkannya dalam sukan bola tampar. Saya percaya tindakan tidak lebih seperti ‘mengejutkan orang dari tidur’, untuk naikkan semangat,” katanya.

    Semalam, Bernama melaporkan status jurulatih berkenaan yang sebelum ini digantung sementara oleh MAVA, akan ditentukan esok selepas siasatan lanjut dilakukan. 

    Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, VP Shanmugam berkata hal itu perlu memandangkan jurulatih yang dilantik untuk membawa pasukan ini adalah di bawah kuasa Persatuan Bola Tampar Melaka. – BERNAMA

  • Pekerja binaan maut terjatuh dari ketinggian 70 meter

    Pekerja binaan maut terjatuh dari ketinggian 70 meter

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja warganegara Nepal berusia 42 tahun maut selepas terjatuh dari tempat tinggi di sebuah tapak projek pembinaan di Pasir Gudang pada pukul 10.21 pagi semalam.

    Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, hasil siasatan awal yang dijalankan pihak JKKP mendapati mangsa merupakan pekerja sub-kontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja pembuka perancah di kawasan pembinaan berkenaan.

    “Ketika kejadian mangsa telah terjatuh dari ketinggian 70 meter ke aras bawah. Mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

    “Susulan itu JKKP Johor telah mengeluarkan notis larangan serta merta berkaitan aktiviti kerja merombak perancah kepada pihak majikan termasuk arahan larangan kacau ganggu tempat kejadian,” menurut JKKP Johor dalam kenyataan hari ini.

    Jelas kenyataan itu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab atas kemalangan tersebut.

    JKKP Johor katanya, akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    “JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja,” menurut jabatan itu lagi.

    Tambah JKKP, majikan bertanggunjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko di tempat kerja yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

    “Ini bagi mengurangkan risiko ke atas pekerja dan mengelakkan sebarang kemalangan. Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melaporkan kemalangan maut yang berlaku dengan serta merta kepada JKKP dengan cara yang paling cepat.

    “Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melakukan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” jelas JKKP.

  • Lelaki ditemukan mati di restoran

    Lelaki ditemukan mati di restoran

    SEORANG lelaki berketurunan Siam berusia 31 tahun ditemukan mati di sebuah restoran di Koa Bharu, semalam.

    Penemuan tersebut dimaklumkan orang awam kepada pihak polis menerusi panggilan telefon pada pukul 7.45 malam.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah rumah kedai dua tingkat dan mempunyai tiga bilik tidur.

    “Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan hanya terdapat kesan jerutan pada leher.

    “Selain itu barangan milik mangsa juga tiada yang hilang. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Rosdi memberitahu, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan Asphyxia iaitu kekurangan oksigen dalam badan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Sany tak layak jelaskan isu peruntukan MP pembangkang – Shahidan

    Sany tak layak jelaskan isu peruntukan MP pembangkang – Shahidan

    AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan tidak layak memberi penjelasan berhubung isu peruntukan kerajaan yang didakwa tidak diterima oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

    Tegas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim, penjelasan sebaiknya perlu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau juga mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah memperoleh peruntukan, sebaliknya tidak bagi Ahli Parlimen pembangkang.

    “Saya mendapat maklumat bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat peruntukan. Tetapi hingga ke hari ini, tiada peruntukan diterima oleh pembangkang terutamanya negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    “Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan dari YAB Perdana Menteri. Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Beliau turut meminta supaya peruntukan yang diagihkan kepada Ahli Parlimen kerajaan turut diterima Ahli Parlimen pembangkang, seiring dengan janji manifesto pilihan raya mereka.

    “Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya lapor BH.

    Mohd Sany semalam mempersoalkan dakwaan Shahidan berkaitan isu peruntukan itu, dengan mendakwa Ahli Parlimen Arau itu cuba ‘memancing’ dan menekan Kerajaan Perpaduan supaya mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil Kerajaan menerusi Belanjawan 2023.

    Beliau juga menyifatkan tuduhan Shahidan itu bersifat melulu dan berniat jahat, sambil mengucapkan ‘selamat memancing’ dan selamat mencuba kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu.

  • 2,016 saman, 146 kenderaan disita dalam Op Ambang Tahun Baharu 2023

    2,016 saman, 146 kenderaan disita dalam Op Ambang Tahun Baharu 2023

    SEBANYAK 2,016 saman dan 146 buah kenderaan disita polis Pulau Pinang sepanjang Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan bermula 30 Disember lalu hingga kelmarin.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi sama, seramai tujuh individu turut atas pelbagai kesalahan antaranya memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kesalahan dadah.

    Jelas beliau, Op Ambang Tahun Baharu 2023 itu melibatkan seramai 1,294 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang yang memfokuskan kepada pencegahan jenayah dan samseng jalanan secara bersepadu dengan kerjasama beberapa agensi lain.

    “Operasi ini turut dijalankan bersama agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi sekatan jalan raya bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

    “Operasi ini juga bertujuan memastikan Tahun Baharu 2023 tidak dikotori dengan kegiatan samseng jalanan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Sementara itu, tambah beliau, polis Pulau Pinang turut menjalankan operasi pencegahan jenayah di beberapa kawasan tumpuan orang awam dan pengunjung yang mana sejumlah 61 premis pusat hiburan dan sebanyak 5,340 kenderaan telah diperiksa.

    “Seramai 6,427 individu juga telah diperiksa dan dijalankan saringan air kencing yang mana seramai 71 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1971, Akta Racun, Akta Dadah Berbahaya, Akta Pertubuhan dan sebagainya,” katanya.

    Tambahnya, polis Pulau Pinang akan terus menjalankan operasi-operasi sedemikian bagi memastikan keadaan di negeri itu kekal aman.

  • SMS berbentuk propaganda bukti kerajaan terdesak – Faiz Na’aman

    SMS berbentuk propaganda bukti kerajaan terdesak – Faiz Na’aman

    SISTEM pesanan ringkas ataupun SMS (Short Message Service) berbentuk propaganda bertujuan mempengaruhi pendapat orang ramai menimbulkan perasaan sangsi terhadap keabsahan kerajaan perpaduan.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Faiz Na’aman berkata, kerajaan sekarang masih berkempen setelah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menjustifikasi kewujudan mereka melalui SMS dari kerajaan.

    “Ini contoh salah guna kemudahan telekomunikasi kerajaan untuk berpolitik secara halus.

    “Propaganda begini bagaikan mekanisme kerajaan komunis atau diktator yang mahu cuci otak rakyat supaya paksa terima naratif pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Faiz turut menyoal tindakan menghantar mesej tersebut seolah-olah kerajaan sedia ada tidak yakin dengan kebolehan sendiri dalam mentadbir negara.

    “Apakah kerajaan ‘luar tabie’ hari ini takut dan tidak yakin dengan penerimaan orang awam serta rakyat Malaysia terhadap mereka hingga perlu hantar SMS sebegini?

    “Sepatutnya SMS rasmi dari kerajaan digunakan untuk menyampaikan perkara-perkara yang penting untuk orang awam atau hal kecemasan atau sebarang perkhidmatan untuk rakyat,” jelasnya, laor SatuBerita.

    (SMS berbentuk propaganda)
  • Bung Moktar, isteri sekali lagi berjaya pohon tangguh bicara kes rasuah

    Bung Moktar, isteri sekali lagi berjaya pohon tangguh bicara kes rasuah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini, sekali lagi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menggantung perbicaraan membela diri pasangan itu atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan itu selepas peguam M. Athimulan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua anak guamnya memohon untuk menggantung pendengaran kes pembelaan tersebut, sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria tidak membantah permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette. Sepatutnya, hari ini ditetapkan perbicaraan hari pertama bela diri bagi pasangan suami isteri itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

    Ini adalah kali kedua Bung Moktar dan Zizie Izette dapat menangguhkan prosiding bela diri selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 23 Sept tahun lepas, membenarkan permohonan pasangan itu untuk menggantung perbicaraan kes tersebut yang dijadual berlangsung pada hari sama (23 Sept).

    Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 45, merayu terhadap keputusan Azhar pada 9 Dis tahun lepas yang menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Menerusi notis usul difailkan pada 22 Dis tahun lepas, Bung Moktar dan Zizie Izette selaku pemohon berkata terdapat keadaan khas atau luar biasa untuk mewajarkan dan menjustifikasikan penggantungan kes bicara di Mahkamah Sesyen sehingga pelupusan rayuan pemohon di Mahkamah Rayuan.

    Kedua-dua pemohon berkata terdapat isu perundangan dalam rayuan mereka yang berkemungkinan besar akan dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan dan sekiranya penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen tidak dibenarkan, ia akan mencetuskan ketidakadilan kepada mereka.

    Menurut pasangan itu, jika perbicaraan diteruskan, ia akan menyebabkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan menjadi akademik.

    Sementara itu, di hadapan Hakim Rozina, Athimulan memberitahu Mahkamah Sesyen berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu dan memaklumkan bahawa pengurusan kes rayuan telah ditetapkan pada 25 Jan ini.

    Bagaimanapun, Rozina mengingatkan semua pihak terlibat agar mengambil langkah positif supaya kes berkenaan dapat diteruskan dengan segera berikutan kes itu diibaratkan sebagai ‘tiada penghujung’ kerana belum selesai sejak 2019.

    “Kes masih tergantung tanpa penghujung. Saya pasti tertuduh-tertuduh juga gelisah untuk mengetahui keputusan kes. Namun, mahkamah menangguhkan prosiding bela diri hari ini dan tarikh perbicaraan pada 9 sehingga 13 Jan ini dilapangkan,” katanya yang menetapkan 27 Jan untuk sebutan kes.

    Pada 2 Sept 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • DAP buat kenyataan songsang isu judi

    DAP buat kenyataan songsang isu judi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERMINTAAN DAP Kedah yang mahu kerajaan negeri itu mengkaji semula keputusan menutup premis judi diibaratkan selerti kenyataan songsang.

    Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, gesaan itu bertentangan dengan etika masyarakat serta penekanan semua agama yang melarang perjudian.

    Katanya, alasan kononnya pertimbangan tersebut wajar dibuat demi keharmonian kaum juga tidak dapat diterima.

    Nurul Amin yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Kelantan dan Terengganu sudah lama mengharamkan judi dan tindakan tersebut terbukti tidak menimbulkan ketegangan kaum.

    “Di kedua-dua negeri itu tidak pula timbul isu yang mengakibatkan ketegangan atau merosakkan keharmonian kaum.

    “Sebaliknya aktiviti perjudian yang lebih merosakkan masyarakat serta institusi keluarga apabila mengheret pelaku melakukan apa sahaja untuk berjudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    DAP Kedah berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menarik balik arahan dan mengeluarkan lesen kepada pengusaha judi berlesen seperti biasa bagi memastikan keharmonian kaum.

    Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan Setiausahnya, Teh Swee Leong berkata, tindakan untuk menghentikan lesen judi tidak boleh diterima kerana akan menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat.

    Tambah Nurul Amin, kenyataan mereka sangat naif dan bertentangan dengan kehendak masyarakat di negeri ini yang mahukan sebuah negeri selamat, harmoni dan aman.

    “Usaha kerajaan Kedah menghentikan lesen premis perjudian perlu disokong semua pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    “Selain itu kenyataan beliau turut menimbulkan persoalan adakah DAP merupakan sebuah parti yang memberi sokongan kepada aktiviti perjudian dalam negara ini,” katanya.