Category: Semasa

  • Nenek, cucu melecur dalam kebakaran

    Nenek, cucu melecur dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nenek dan cucunya melecur dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Gembira, Johor Bahru hari ini.

    Dalam kejadian itu, wanita warga emas berusia 70 Tahun dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun melecur manakala seorang wanita dewasa berusia 30-an cedera.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 5 pagi.

    Beliau berkata, seramai 19 anggota dari BBP Larkin dan BBP Tebrau dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 1.4 x 6.5 meter telah terbakar 60 peratus. Terdapat tiga mangsa yang cedera dan melecur semasa kejadian berlaku.

    “Seorang daripada mangsa berkenaan melecur kulit dan seorang lagi cedera di muka akibat serpihan kaca,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini menggunakan ambulans dan EMRS J2-20
    Kempas.

    Jelasnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi menyelamat mangsa selesai pada pukul 6.35 pagi.

  • “Mudarat lebih besar menanti jika tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO”

    “Mudarat lebih besar menanti jika tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO”

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ALASAN kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan demi kestabilan parti hanya akan digunakan oleh golongan tidak tahu malu yang hanya gilakan kuasa serta kemaruk jawatan dan kepentingan.

    Menurut Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail, ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas kian hampir, semakin banyak pandangan yang menyokong dan menyanggah agar kedua-dua jawatan tersebut dipertandingkan.

    Katanya, mereka yang tidak mahu pemilihan untuk dua jawatan tersebut mempunyai pelbagai alasan kononnya walak kepada pemimpin dan setia kepada Presiden.

    “Paling mual, nak pastikan kestabilan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Alasan itu juga turut digunakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) konon untuk memastikan parti kuat dan menang.

    “Menang apanya? Kalah teruk lagi adalah. Paling teruk dalam sejarah, 26 kerusi saja berbanding 54 kerusi dalam PRU-14.

    “Paling tidak sebelum PRU-15, UMNO kuasai kerajaan dan menjadi Perdana Menteri. Pergi desak PRU-15 diadakan atas alasan kestabilan, sudahnya lagi porak-peranda,” katanya dalam satu status dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

    Yusof turut mempersoalkan adakah UMNO masih mahu menyekat demokrasi dengan alasan ‘kestabilan’ selepas semua itu berlaku?

    “Hanya yang gila kuasa dan kemaruk jawatan serta kepentingan saja tak tahu malu guna alasan konon suci macam ini. Jutaan lagi ahli UMNO tahu sangat agenda masing-masing.

    “Kalau betul dua jawatan ini tidak dipertandingkan, tunggulah UMNO akan ditimpa mudarat lebih besar. Bukan ahli UMNO saja hilang kepercayaan tetapi rakyat juga akan berpaling muka dari UMNO.

    “Mana lagi kita sanggup tengok? UMNO kekal dihormati ahlinya sediri walaupun segelintir akan menyalak kerana hilang kuasa atau UMNO dikuburkan rakyat buat selama-lamanya?” soalnya.

  • Suami isteri ditahan dipercayai abai rawatan anak melecur

    Suami isteri ditahan dipercayai abai rawatan anak melecur

    POLIS menahan suami isteri bagi membantu siasatan melakukan pengabaian selepas tidak menghantar anak lelaki mereka untuk rawatan kerana melecur akibat bermain api di timbunan sampah di Kampung Parit Kuchi, Pontian, 30 Dis lepas.

    Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata pasangan berusia 36 dan 33 tahun itu ditahan pada 2 pagi tadi semasa memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian serta akan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Beliau berkata terdapat kesan terbakar dan melecur di bahagian sendi, beberapa anggota badan di bahagian kanan badan hingga kaki, lengan kiri, kedua-dua bahagian paha dan bahagian telinga kanan mangsa berusia sembilan tahun itu akibat kejadian berkenaan.

    Bagaimanapun, pihaknya mempercayai kanak-kanak itu tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum rakan kepada ibu mangsa yang mengetahui kejadian itu membuat laporan polis semalam.

    “Laporan polis dibuat kerana pengadu tidak berpuas hati dengan ibu bapa mangsa yang masih membiarkan anaknya tidak menerima rawatan.

    “Walaupun sudah lima hari berlalu sehingga laporan polis dibuat, (tiada rawatan dibuat menyebabkan) luka mangsa semakin teruk dan sudah mula berbau. Laporan juga dibuat untuk tindakan lanjut pihak polis kerana pengadu mengesyaki terdapat pengabaian terhadap kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan. 

    Mohammad Shofee berkata siasatan awal oleh pegawai penyiasat terhadap ibu mangsa mendapati  ketika kejadian, mangsa sedang bermain api bersama adiknya dan dilihat membaling bekas telur ke dalam api. 

    “Kemudian, ibu mangsa yang berada dalam rumah ketika itu terdengar bunyi letupan di luar dan nampak kelibat mangsa berlari dengan baju dan seluar terbakar menuju dan terjun ke dalam parit di hadapan rumah. 

    “Bapa mangsa juga telah membantu memadamkan api pada baju mangsa sebelum membawanya masuk ke dalam rumah,” katanya. 

    Beliau berkata ibu bapa mangsa hanya membeli ubat tahan sakit serta ubat sapu di farmasi dan tidak membawa mangsa ke mana-mana hospital untuk rawatan.

    Katanya kanak-kanak itu kini stabil di Hospital Pontian dan akan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

  • Jurulatih tampar pemain mohon maaf secara terbuka

    Jurulatih tampar pemain mohon maaf secara terbuka

    JURULATIH bola tampar kontroversi yang menampar dua pemain remaja pasukannya hingga tular di media sosial baru-baru ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.

    Saiful Hadee Amar, 44, mengakui kesal dengan apa yang telah berlaku kerana niatnya ketika itu adalah untuk menaikkan semangat dan memberi motivasi kepada pemain yang telah berjaya melayakkan diri mereka menyertai kejohanan bola tampar bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor.

    Katanya yang juga seorang pendidik, dia bersedia dan reda dengan sebarang tindakan dan keputusan yang bakal dikenakan atas keterlanjuran perbuatannya dan berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada dirinya.

    “Tidak berniat saya untuk mengambil tindakan (menampar) sehingga mendatangkan kecederaan, tindakan saya adalah untuk menaikkan lagi semangat mereka, memotivasikan mereka.

    “Saya memohon maaf pada semua pemain terlibat terutama sekali dua pemain yang terlibat, ibu bapa pemain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, di Krubong hari ini, lapor Sinar Harian.

    Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam dan Pengarah MSN Melaka, Asri Ninggal.

    Media sebelum ini melaporkan video tular kejadian yang memaparkan seorang jurulatih bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka sewaktu Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun yang diadakan 16 Disember lalu.

    Insiden itu telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta mantannya, Datuk Seri Faizal Azumu, yang menyelar tindakan berkenaan,

    Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan butiran lanjut isu yang tular ini kerana membabitkan pelajar bawah umur.

  • Bekas pegawai syarikat minyak dan gas didakwa rasuah, AMLA

    Bekas pegawai syarikat minyak dan gas didakwa rasuah, AMLA

    SEORANG bekas pegawai syarikat minyak dan gas didakwa di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, atas 37 pertuduhan rasuah melibatkan wang RM6.1 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) hampir RM940,000, tujuh tahun lalu.

    Mohd. Amal M. Razalan, 36, megnaku tidak bersalah selepas 37 pertuduhan kes rasuah dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-21, Mohd. Amal didakwa melakukan kesalahan itu dalam 21 transaksi berbeza daripada seorang pengarah syarikat, sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat lain bagi mendapatkan kontrak ‘Provision Of Civil & Structural Maintenance Services’.

    Bagi tiga pertuduhan lain, dia dituduh atas kes sama melalui tiga transaksi daripada seorang pengurus projek, bagi menyemak dan mempersetujui dokumen ‘Job Completion Ticket’ (JCT).

    Baki 13 pertuduhan lagi, dia didakwa menerima rasuah daripada pengurus projek sama melalui cek ke akaun sebuah syarikat atas persubahatan pengarah syarikat sama, iaitu mempersetujui JCT bagi kontrak sama untuk Operasi Sarawak.

    Kesemua kesalahan dilakukan di Maybank Berhad, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini, antara 21 Disember 2016 hingga 1 Ogos 2019, lapor Sinar Harian.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta itu.

    Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, disenarai hitam daripada keluar negara serta melapor diri ke pejabat SPRM Putrajaya, sebulan sekali.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Februari depan.

    Bagi enam pertuduhan AMLA di hadapan Hakim Azura Alwi, tertuduh tidak mengaku bersalah iaitu lima menerima dan satu menggunakan wang berjumlah RM939,334.10, bermula enam tahun lalu.

    Bagi lima pertuduhan AMLA, dia didakwa menerima RM798,985.49 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui empat akaun bank milik seorang lelaki yang juga pengarah syarikat berusia 35 tahun, daripada dua akaun Maybank Berhad milik dua syarikat.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Berhad Petronas Twin Tower, Jalan Ampang dan Dataran Maybank di sini serta Public Bank Berhad cawangan Mont Kiara dan Jalan Genting Kelang, di sini antara 13 Julai 2017 hingga 15 Mac 2022.

    Bagi satu lagi pertuduhan AMLA, dia didakwa telah menggunakan wang berjumlah RM140,348.61 melalui dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya, daripada akaun Maybank Berhad milik sebuah syarikat di CIMB Bank Berhad Jalan Pantai Baru, di Kuala Lumpur pada 22 Mac 2021 dan 18 Mac 2022.

    Keenam-enam pertuduhan itu dibuat mengikut subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan kes itu disebut semula pada tarikh sama.

    Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzammil Merican.

  • ‘Transporter’ sumbat 11 PATI dalam Wira dicekup

    ‘Transporter’ sumbat 11 PATI dalam Wira dicekup

    SEORANG lelaki yang menjadi “transporter” berputih mata setelah ditahan polis belum sempat dia menerima habuan selepas cubaannya menyeludup 11 orang pendatang tanpa izin (PATI) digagalkan.

    Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi ini, sepasukan anggota polis dari Unit Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Kubang Pasu menahan kereta Proton Wira dipinjam suspek di Kilometer 33 Lebuhraya Utara Selatan, Jitra.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, suspek berusia 44 tahun itu menetap di Butterworth dan memaklumkan dia menerima upah RM500 untuk melakukan jenayah tersebut.

    Katanya, hasil siasatan polis suspek memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) ingin membawa kesemua PATI warga Myanmar itu ke Pulau Pinang.

    “Suspek berasal dari Myanmar bekerja sebagai buruh binaan mengaku meminjam kereta itu daripada seorang lelaki di Butterworth.

    “Dia memaklumkan upah akan diterima sebaik semua PATI itu selamat tiba ke destinasi yang dijanjikan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

    Rodzi berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua PATI itu masuk ke negara ini pada 7 petang Isnin melalui laluan tikus di Bukit Kayu Hitam.

    Katanya semua mereka terdiri daripada dua wanita berusia 19 dan 29 tahun dan sembilan lelaki berusia antara 25 hingga 37 tahun.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    Menerusi tangkapan itu polis merampas sebuah kereta Proton Wira, dan telefon bimbit untuk siasatan.

  • Polis jamin siasatan telus, adil kes inspektor didakwa rogol remaja 16 tahun

    Polis jamin siasatan telus, adil kes inspektor didakwa rogol remaja 16 tahun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SIASATAN terhadap inspektor polis berusia 30 tahun yang didakwa merogol remaja perempuan berumur 16 tahun di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan minggu lalu, kini dijalankan oleh pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan siasatan tersebut dijalankan secara telus, adil dan saksama.

    Selain itu katanya, kertas siasatan berhubung kes tersebut akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri Kedah dengan kadar segera agar penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan walaupun dia merupakan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), tanpa kompromi.

    ” Suspek telah ditahan dan direman untuk tujuan siasatan hingga esok. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, suspek boleh dipenjara hingga 20 tahun dan disebat.

    “Pihak polis sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab seagai agensi penguatkuasa utama negara. PDRM Kedah memberi jaminan bahawasa siasatan yang telus, adil dan saksama akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam, kredibiliti polis serta mengganggu siasatan dijalankan.

    “Orang ramai juga disarankan memberi kerjasama serta membantu PDRM membanteras perlakuan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

  • Rasuah urus jenazah: Dua penolong pegawai perubatan dipenjara, denda

    Rasuah urus jenazah: Dua penolong pegawai perubatan dipenjara, denda

    DUA penolong pegawai perubatan di Hospital Kajang dipenjara masing-masing lapan dan enam hari oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah antara 2019 dan 2021.

    Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Redzuan Che Husain, 34, dan Mohd Fariq Ariffin, 34, selepas masing-masing mengaku bersalah atas empat dan tiga pertuduhan pilihan.

    Mahkamah menjatuhi hukuman penjara dua hari bagi setiap pertuduhan kepada kedua-dua tertuduh dan memerintahkan hukuman itu berjalan secara berturut-turut bermula hari ini.

    Mahkamah juga mengenakan hukuman denda keseluruhan RM20,000 atau penjara 24 bulan kepada Mohd Redzuan bagi empat pertuduhan pilihan manakala Mohd Fariq didenda RM11,000 atau penjara 18 bulan (tiga pertuduhan pilihan).

    Berdasarkan kesemua pertuduhan pilihan itu, kedua-dua tertuduh yang semasa kejadian bertugas di Unit Forensik, masing-masing menerima suapan RM1,550 dan RM1,000 daripada Nur Azlan Azmi melalui akaun CIMB Bank milik mereka tanpa sebarang balasan daripada Nur Azlan yang diketahui oleh kedua-dua lelaki itu ada kaitan dengan tugas rasmi mereka iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di sebuah cawangan CIMB Bank di Ipoh, Perak dan Petaling Jaya, dekat sini antara 14 Ogos 2019 dan 21 Jan 2021.

    Bagi kesemua kesalahan itu, kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi. – BERNAMA

  • BF.7 dibimbangi ‘virulence’, sekat segera pelancong China – PERDIM

    BF.7 dibimbangi ‘virulence’, sekat segera pelancong China – PERDIM

    PENULARAN wabak COVID-19 subvarian Omicron atau BF.7 perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak kerana wujud kebimbangan ianya bersifat ‘virulence’ atau berbahaya.

    Jika ia berbahaya sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kes tahap 4, 5 serta kematian pada ketika individu lengkap divaksin seperti di China, maka dunia kini berdepan masalah besar.

    Menurut Timbalan Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria, keadaan itu akan menyebabkan dunia perlu menghasilkan vaksin baharu bagi mendepani BF.7.

    Oleh itu beliau menggesa kerajaan supaya segera memperketatkan semula kemasukan pelancong luar khususnya dari China bagi mengelak subvarian ini daripada terus menular.

    Beliau menegaskan agar jangan diulangi sikap berlengah-lengah seperti suatu masa dahulu sehingga menyebabkan kes COVID-19 negara kini mencecah lebih 5 juta orang.

    “Dekat China kebanyakannya ambil Sinovac, (negara) dunia lain ambil Pfizer, outcome Sinovac dan Pfizer ini mungkin juga menyebabkan hasil dia sekarang, kita bebas bercampur sekarang tapi kesan ICU, stage COVID itu tak nampak ketara sangat.

    “(Bimbang) mungkin juga BF.7 ini Pfizer pun tak tahan, bila tak tahan dia akan jadi macam China, peningkatan kes stage 4, 5 dan kematian.

    “Kita sudah dapat vaksin, tiba-tiba katalah dia jadi virulence, so kita kena mula dari awal balik. Mungkin kena cari vaksin yang khas untuk dia (BF.7),” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.

    Sehubungan itu, Dr Zaidi menyarankan semua pihak untuk kembali menggunakan pelitup muka terutamanya di kawasan sesak atau tumpuan ramai.

    Beliau turut memohon kerajaan supaya mengaktifkan semula penggunaan aplikasi MySejahtera bagi mengawal penularan di peringkat awal.

    “Saya rasa sekurang-kurangnya kalau nak masuk tempat-tempat yang sesak kena pakai balik mask.

    “Ujian kendiri kadang-kadang kalau kita periksa hanya 30 peratus sahaja masuk dalam MySejahtera. Saya rasa itu kena kembali kepada asal, kena ada hitam putih,” katanya lagi.

  • Polis rampas cecair, peranti vape bernilai RM1.55 juta

    Polis rampas cecair, peranti vape bernilai RM1.55 juta

    POLIS menahan tiga individu dan merampas 2,753 kotak mengandungi pelbagai jenis cecair serta peranti rokok elektronik (vape) bernilai RM1.55 juta di sebuah premis di Jalan Eco Perniagaan 1/2, Taman Eco Perniagaan, Johor Bahru semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 22 hingga 25 tahun itu, ditahan dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati cecair dan peranti vape itu dijual secara dalam talian, manakala premis tersebut dijadikan sebagai stor penyimpanan.

    “Hasil siasatan mendapati kesemua mereka adalah pekerja dan penjaga premis yang terlibat dengan penjualan pelbagai jenis cecair serta peranti vape tersebut.

    “Kita akan siasat apakah jenis vape ini kerana tidak ketahui lagi kandungan di dalamnya,” katanya pada sidang media, di Johor Bahru, hari ini.

    Menurutnya secara keseluruhan terdapat 53,421 unit pelbagai jenis cecair dan peranti vape di dalam kesemua kotak itu.

    Kamarul Zaman berkata pihaknya akan melakukan analisis bagi mengenal pasti kandungan bahan di dalam cecair vape itu untuk mengesan sama ada ia mempunyai bahan terlarang atau tidak.

    Beliau turut mengesahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor tidak mengeluarkan sebarang lesen perniagaan bagi penjualan vape di negeri ini.

    “Kami menasihati mereka yang terlibat dengan aktiviti penjualan cecair dan peranti vape ini agar menghentikannya kerana polis tidak akan kompromi dan akan terus menjejaki aktiviti penjualan sebegini,” katanya.

    Kesemua individu itu direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dan Akta Kastam 1967.